Kuantiti jualan tepung masih untungkan pengeluar

>> Jumaat, Jun 29, 2007

Oleh Adnan Ibrahim

SEJAK akhir ini kenaikan harga barang menjadi-jadi bermula kenaikan harga minyak, gas memasak dan tol. Sebelum itu, gula sukar didapati di pasaran. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal tetap lawan dengan tindakan pengeluar menyorok gula.
Beliau import gula dikatakan sampai ke Brazil tetapi akhirnya harga gula tetap juga naik. Nasib sama turut berlaku kepada minyak kelapa sawit bungkusan sekilo. Agaknya cara ini mungkin menjadi langkah terbaik bagi pengilang mahu menaikkan harga barangan mereka. Beri tekanan kepada kerajaan.
Bagaimanapun yang peliknya para demontrasi selalu juga turun dijalanan desak harga minyak, tol dan gas turun tetapi tidak pula turun. Mungkin demontrasi tersebut tidak cukup kuat tekanan.
Apa yang jelasnya ialah penguasaan kapitalis dalam kerajaan. Bagaimana kapitalis boleh menguasai kerajaan? Mudah sahaja, mereka ini pun main `politik wang’ terutama menjelang pilihan raya umum. Macam juga Umno tabur wang kepada rakyat akhirnya rakyat ikut kemahuan Umno.
Sekarang timbul pula tepung naik harga sebanyak 15 sen menjadikan sekilo RM1.35. Alasannya sudah lama tidak dinaikkan sejak 1998. Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abdul Rahman dalam satu siaran televisyen pada sebelah pagi seolah memperakui kenaikan tersebut kerana faktor usia tersebut.
Langsung kita tidak mengambil kira keuntungan yang diperolehi pengeluar akibat daripada pertambahan penduduk rakyat Malaysia dari 1998 hingga sekarang. Keuntungan kecil daripada produk tetapi kuantiti jualan bertambah tetap memberi margin keuntungan kepada pengeluar.
Selain itu, alasan negara pengeksport tepung, New Zealand dan Australia dilanda kemarau menyebabkan berlaku kenaikan harga tepung di pasaran dunia. Apakah kita boleh mengharap harga tepung turun apabila bencana dan harga tepung pulih di pasaran?
Hakikatnya harga minyak membuktikan segalanya. Kerajaan menaikan harga petrol, diesel dan gas berikutan kenaikan di pasaran dunia. Sebaliknya apabila berlaku penurunan harga minyak dunia kenapa petrol, diesel dan gas tidak ikut turun.
Ditambah dengan bebanan kenaikan tol maka semakin peritlah rakyat yang hidup dibawah gaji RM1,000 sebulan. Memang mereka ini mengelak daripada tol dengan menaiki pengangkutan awam tetapi mereka tidak mampu mengelak membeli barang keperluan hidup yang kerap kali naik.
Badan pemantau sama ada masih hidup atau tidak, yang pernah diumumkan Shafie tidak timbul untuk menyelamatkan rakyat.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Asan Ali Golam Hassan berkata, walaupun nilai ringgit yang tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat sepatutnya menyebabkan produk import seperti tepung gandum lebih murah, namun faktor luaran lebih mempengaruhi harga.
“Sebenarnya tindakan tersebut merupakan satu desakan tersorok yang dibuat dengan tujuan mengharapkan harga tepung akan naik. Nampaknya taktik itu berjaya dan kerajaan telah pun bersetuju untuk menaikkan harga,” katanya mengulas faktor harga tepung gandum yang diimport lebih mahal sedangkan nilai ringgit semakin mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat.
Pensyarah Kulliyyah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nahar Mohd. Arshad berpendapat, sepatutnya kenaikan kos tepung gandum di pasaran ditampung dengan pengukuhan nilai ringgit tetapi keadaan itu tidak berlaku.
“Terdapat kemungkinan kenaikan kos bahan mentah dan pengangkutan yang lebih besar daripada pengukuhan nilai ringgit,” jelasnya.

Read More...

Gadai WPI tarik sokongan Cina

>> Isnin, Jun 18, 2007

Oleh Adnan Ibrahim

MENGAPA kerajaan begitu terdesak mengadakan pilihan raya umum sedangkan Barisan Nasional (BN) masih ada tempoh dua tahun lagi bagi meneruskan janjinya setelah diberi mandat pada pilihan umum 2004 lalu.
Apakah Umno melihat pengaruh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mampu menggugat BN jika sekiranya pilihan raya selepas April 2008?
Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan selepas disabitkan dengan hukuman dikatakan salahguna kuasa sebelum ini.
Apa yang jelas Umno belum bersedia memperjudikan pemerintahannya dalam menghadapi populariti Anwar. Sebarang kemungkinan dalam pilihan raya umum tidak harus diambil risiko oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apatah lagi dalam pemerintahan beliau sekarang lebih banyak mengundang perpecahan dalam Umno.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad cukup risau melihat kemampuan Pak Lah memerintah sehingga sanggup mengalah kepada Singapura. Kalau beliau dikatakan berpendirian tegas tetapi tidak mudah menjinakkan Singapura bagi menyelesaikan isu harga air, wang simpanan pekerja rakyat Malaysia di Singapura dan lain-lain, inikan pula Pak Lah.
Bagi Mahathir, Pak Lah juga lebih dipengaruhi menantunya Khairy Jamaludin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Malah lebih teruk kroninya kerana cepat menonjol dalam politik dan kekayaan berbanding keluarga beliau.
Kebimbangan yang sama turut dirasai bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaliegh Hamzah. Pak Lah seumpama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra sehingga Bumiputra lemah dan terpinggir dalam segala hal.
Beliau mengambil contoh kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan ekuiti yang bertentangan dengan prinsip Dasar Ekonomi Baru (DEB) memperuntukan 30 peratus kepada Bumiputra.
Memandangkan itu maka beliau cuba membawa pemikiran Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussain supaya kesedaran hak Bumiputra terbela dalam mengejar kemajuan namun jurang kekayaan Bumiputra dengan bangsa lain benar-benar dapat dikurangkan.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mendakwa jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina diramalkan menjadi bertambah sempit daripada nisbah 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.50 pada tahun 2010.
Penulis blog yang juga bekas Pengarang New Strait Time, A Kadir Jasin berkata pada nisbah tahun 2004, bagi setiap RM1 yang diperoleh oleh seorang Bumiputera, seorang Cina memperoleh RM1.64.
Kalau pendapatan Bumiputera naik kepada RM2, pada nisbah tahun 2004, pendapatan Cina akan naik kepada RM3.28.
Tetapi pada nisbah 1:1.50 pada tahun 2010, jika pendapatan Bumiputera bertambah RM2, pendapatan Cina bertambah RM3.
Kalau diterbalikkan andaian ini, jika pendapatan orang Cina meningkat kepada RM4.50, pendapatan Bumiputera dijangka meningkat kepada RM3.
Jurang pendapatan antara Bumiputera dan India pula diramalkan mengempis daripada nisbah 1:1.27 pada tahun 2004 kepada 1:1.15 pada tahun 2010 sementara antara luar bandar dan bandar daripada 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:2 pada tahun 2010.
Ringkasnya, walaupun pendapatan Bumiputera dijangka meningkat dengan lebih pesat dalam tempoh RMK-9, namun mereka kekal mengekori kaum Cina dan India. Begitu juga pendapatan luar bandar, di mana majoriti Bumiputera tinggal di luar bandar akan terus mengekori pendapatan bandar.
Kebimbangan Ku Li tersebut ada benar dan persamaannya dengan PAS kerana melihat Pak Lah tidak tegas dalam mempertahankan hak orang Islam sehingga wujud kumpulan Suruhanjaya Antara Kepercayaan atau Interfaith Commission (IFC) sebelum ini dikenali Suruhanjaya Antara Agama atau Inter Religious Council (IRC).
Bagaimanapun sukar untuk membuat perubahan pemerintah kerana orang Melayu mudah disogok dan digula-gulakan setiap kali pilihan raya. Walaupun begitu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok baru-baru ini, benar-benar mengugat kedudukan Umno yang terpaksa berbelanja RM100 juta.
Namun bagi Pak Lah meneruskan pilihan raya umum lebih awal adalah lebih baik daripada menempuh badai yang seakan bergelora selepas April tahun depan. Sebab itu ada pertemuan sulit Pak Lah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Malaysia di Pulau Pangkor sebagai usaha mengadakan pilihan raya umum pada tahun ini dan memastikan kemenangan BN. Pertemuan ini juga dikatakan bagi mengatasi undi Melayu sebagai kaum dominan.
Walaupun undi Cina di Ijok pergi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagaimana dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang memberi alasan tiga faktor utama menyebabkan orang Cina Ijok tidak puas hati. Tiga faktor itu ialah rekod perkhidmatan Adun mendiang Datuk K. Sivalingam, pemimpin hanya menjenguk ketika pilihan raya dan mereka terguris hati dengan kenyataan pemimpin tertentu tetapi Pak Lah ada muslihat tertentu bagi memastikan Cina terus menyokong BN.
Pengumuman Pak Lah bahawa Malaysia dan Singapura setuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas peringkat menteri khusus untuk Wilayah Iskandar (WPI) di Johor yang antara tugas awalnya adalah memperincikan penggunaan kad pintar bagi memudahkan pergerakan keluar masuk orang ramai dari Republik Singapura ke wilayah berkenaan, dilihat rancangan terbaik Pak Lah menarik undi Cina.
Keadaan ini pasti menggugat DAP sebagai parti mewakili pengundi pembangkang Cina. Sejarah membuktikan bahawa pertalian kaum Cina negara ini dengan Singapura adalah suatu yang sangat kuat.
Malah DAP terutama bekas Setiausaha Agungnya, Kerk Kim Hock yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka sering mempertahankan Singapura apabila Ahli Parlimen Umno mengutuk pemerintah Singapura kerana terdapat tindakan yang tidak memuaskan hati rakyat Malaysia.
Pendirian Kerk membayang sikap Cina di negara ini terhadap Singapura. Segala bentuk kerjasama apa lagi yang menguntungkan Singapura sudah tentu mendapat sokongan mereka. Kaum Cina Perak juga dikatakan ramai bekerja di Singapura dan ia seolah satu jalinan keluarga bangsa tersebut.
Ia seumpama gula-gula tetapi cukup besar bagi nilai pengundi Cina berlainan pengundi Melayu yang hanya boleh dibeli dengan mesih jahit dan wang dua, tiga ratus ringgit.
Apakah DAP kali ini akan turut mengalami zaman suram dalam Parlimen nanti sebagaimana nasib yang sama pada pilihan raya umum 1999 apabila buat pertama kali bekerjasama dengan PAS disamping banyak isu kaum Cina dipenuhi kerajaan ketika itu.
Isu WPI sebelum ini telah mendapat bantahan rakyat terutama ahli Umno, Mahathir dan juga Ku Li. Tekanan tersebut menyebabkan projek WPI sepi sekejap.
Bagaimanapun selepas pilihan raya Ijok dan peralihan undi Cina kepada pembangkang, Pak Lah terus mengumumkan kerjasama Malaysia –Singapura bagi meneruskan WPI. Ia dilihat satu yang tidak menyenangkan orang Melayu tetapi mengembirakan kaum Cina.
Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar kependudukan tanah Arab Palestin oleh Israel yang akhirnya mereka merempat di bumi sendiri kerana mengejar kemajuan dan material mereka sanggup menjual tanah kepada orang Israel dan akhirnya mereka dijajah.
Kita cukup bimbang kerana kelemahan kita atau keghairahan mahukan kuasa dan terus memerintah tetapi akhirnya negara tergadai kepada orang asing sebagaimana kata Mahathir.

Read More...

Mensuci Chow Kit dengan kuliah ilmu

Sempena perasmian bangunan PAS 21 Mei lalu

Oleh Adnan Ibrahim

KALAU anda menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Star dari stesen Titiwangsa menghala ke bandar dan selepas stesen PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) palingkan muka anda ke sebelah kiri sekiranya badan anda menghadap haluan depan LRT.Sekiranya anda dari stesen Masjid Jamek menghala ke stesen Sentul selepas stesen Jalan Sultan Ismail palingkan muka anda ke sebelah kanan kalau tubuh anda menghadap stesen PWTC.Tumpukan perhatian anda dicelah bangunan tinggi dan anda akan terpegun dengan panorama bangunan Pejabat Agung PAS sambil anda tersenyum puas melihat perkataan jawi dan rumi terpampang gah dengan lambang bulan.Tulisan berwarna hijau itu nampak timbul kerana berlatarbelakangkan warna putih pada bangunan menambah terserlah huruf dan lambang tersebut.Tulisan jawi yang disifatkan kolumis Siasah, Haji Subky Latif sebagai mati, ada juga satu generasi baru di bangunan itu. Perkataan PAS bertuliskan jawi disebelah kanan manakala sebelah kirinya rumi dan lambang bulan ditengah kedua tulisan tersebut.Inilah bangunan pejabat PAS yang baru dirasmikan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 21 Mei lalu. Bangunan berwarna putih bercerminkan biru gelap tersebut hasil sumbangan orang ramai bertempat di Jalan Raja Laut.Di sini terdapat tulisan jawi pada bangunan baru yang sukar kita temui dalam zaman kemajuan ini. Selain itu kita hanya dapati keturunan jawi daripada akhbar Utusan Zaman yang masih hidup. Itupun seminggu sekali dalam sisipan akhbar utama dan dua minggu sekali dalam satu muka Harakah.Mahu mengenali tulisan jawi ditengah kota raya ini memang sukar sekarang. Generasi awal jawi sudah lama meninggalkan kita. Kalau ada tinggal pun tulisan jawi di bangunan sudah tua, kedai lama perniagaan orang Cina dan pawagam lama yang mungkin ketika dahulu menyiarkan filem P Ramlee.Ketika anda dalam LRT dan sedang memperhati kemegahan bangunan PAS tersebut dicelah bangunan tinggi hingga menutup terus minda anda tentang apa disebalik dan dicelah bangunan PAS itu.Sebenarnya keindahan yang anda saksikan itu terselindung gelagat manusia yang berbagai ragam di Lorong Haji Taib atau juga dikenali `Belakang Mati’ di Chow Kit. Cuba anda gagahkan kaki melalui lorong tersebut, mungkin anda akan temui sesuatu yang cukup memualkan. Oleh yang demikian sempena dengan perasmian itu, satu pendekatan mungkin perlu diambil bagi menangani suasana dan keadaan tersebut. PAS boleh membuat perubahan ini kerana pemuda pernah berkata PAS akan kedepan dalam segala hal.PAS juga terkenal dengan pendekatan kuliah ilmu dalam menarik orang ramai kepada Islam. Majlis ilmu di tengah Kota Bharu cukup meriah dan menjadikan bandar tersebut sebagai pusat ilmu kerohanian dan bimbingan kehidupan rakyat Kelantan. Bandar tersebut menjadikan masyarakatnya bermoral dan berakhlak tinggi sehingga mampu menilai kehidupan mana yang baik dan buruk.Sebenarnya ditengah kota raya Kuala Lumpur, banyak masjid yang boleh menjadi pusat sumber kuliah ilmu tetapi mungkin kerana tenaga pengajar tidak terdiri daripada ulama terkenal maka suasana sambutan kepada majlis ilmu kurang berkesan. Secara langsung tidak memberi impak kepada penduduk kota kepada kehebatan Islam.Saya pernah ditanya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika itu Timbalan Presiden PAS, semasa berbual konsert dari luar negara di Stadium Merdeka. Kata beliau: “Cuba bagi kita, tengok macam mana mahu buat pengisianstadium itu.” Lalu disokong Mohamad Sabu yang ada bersama.Maknanya di sini saya membayangkan PAS ada agenda besar sekiranya ada peluang menguasai kota raya. Bayangkan program ilmu itu mendapat sambutan sebagaimana di Kota Bharu, ia akan memberi kesedaran berbeza kepada budaya masyarakat kota selama ini. Penerokaan ini juga akan membawa dimensi baru kepada penduduk kota yang secara tidak langsung membersih Lorong Haji Taib daripada perkara yang memualkan kepada tempat yang indah dengan budaya ilmu. Sekurangnya Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara bersyukur kalau sumber mengatakan nama Haji Taib daripada nenek moyangnya itu benar.Mungkin sukar tetapi itulah cabaran. Namun pengalaman PAS di Kota Bharu mengadakan kuliah agama ditengah bandar boleh direalisasikan di sini. Hujung minggu Kota Bharu pada Jumaat manakala di Belakang Mati pada Ahad.Pengisian pagi Jumaat di Kota Bharu boleh dilaksanakan di pejabat ini, pada pagi Ahad. Bagi menarik kehadiran dan sambutan yang baik terhadap kuliah agama yang julung kali diadakan ditengah kota maka pemimpin tertinggi parti perlu terlibat.Jadual boleh diatur iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh menyampaikan kuliah pada hari Ahad setiap minggu pertama. Bagi Ahad minggu kedua dicadangkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan minggu ketiga Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din.Ahad minggu keempat boleh diamanahkan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau sebarang Pesuruhjaya PAS negeri. Bagi Ahad minggu kelima, boleh dicadangkan penceramah bebas terutama daripada keturunan Cina dan India hatta daripada orang asli sekalipun supaya PAS nampak lebih majmuk. Misalnya; tokoh seperti Ann Wan Seng perlu diberi peluang berdakwah untuk kaum mereka.Jika langkah seperti ini diambil, insya-Allah mungkin perubahan Belakang Mati boleh berlaku. Walaupun maksiat sukar dibendung tanpa adanya kuasa, tetapi kita perlu bertawakal kepada Allah swt supaya memberi minat dan hidayat kepada mereka untuk bersama menyertai kuliah tersebut.

Read More...

Fatwa Sheikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhayli tentang Malaysia negara Islam?

Fatwa Sheikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhayli tentang Malaysia negara Islam?Soalan: Saya seorang warganegara Malaysia, telah mendengar pelbagai pandangan mengenai adakah negara Malaysia termasuk dalam definisi negara Islam. Saya harap tuan dapat memberi jawapan.Jawapan Sheikh Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli: Sekarang ini kebanyakan Negara Arab dan Islam dilabelkan dengan label negara Islam. Namun hanya dari sudut politik.Realitinya tidak demikian. Kerana sifat sebenar Islam dan pelaksanaan syariat hilang (tidak wujud) pada realitinya. Boleh jadi, penamaan (pelabelan ) ini diterima kerana kebanyakan penduduknya orang Islam dan kerana syiar-syiar Islam ditegakkan di negara itu.Maka bolehlah dinamakan (Negara) `Islam’. Namun secara simboliknya sahaja bukan pada realiti(Dr Wahbah ialah ulama dari Syria. Pengarang kitab fiqh moden terbesar al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh dan tafsir al-Tafsir al-Munir)

Read More...

Adnan Ibrahim al-Binjai

Bismillahirrahmannirrahim...
Assalamualaikum...
Selamat datang ke blog ini semuga mendapat keberkatan dalam menyampaikan dakwah Islamiyyah.
Dengan adanya blog ini mendapat rahmat Allah yang berkekalan dunia dan akhirat. Apa yang penting ialah sama-sama kita doakan supaya kita mendapat taufiq dan hidayah Allah. Kita hanya menyeru dan mengajak tetapi Allah yang menentukan keimanan makhluknya.

Read More...

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP