Sahabat seperjuangan meninggal di Mekah

>> Ahad, September 07, 2008

Agak lama saya tak menulis kerana marah dan maki broadband maxis tetapi pagi tadi saya dapat SMS yang cukup mengejutkan saya dan secara tidak langsung terlintas sahabat rapat yang telah pergi. Kerana ini saya terpaksa juga menulis walaupun cukup benci dengan kelambatan maxis.
Semasa sahur tadi ada sahabat dari kampung hantar SMS bertulis "Abg Li (Kg Ramli) meninggal d Mekah 1.30 am tadi (Maghrib). Al-Fatihah semoga d cucuri rahmat atas rohnya."
Saya nak sahih betul ke Abang Ali, imam Surau Ramli Batu 5 1/3 dekat simpang ke Kampung Lalang meninggal, lalu menghubungi balik.
Mie bagi tahu: "Abang Li imam kita tu la katanya." Saya tanya balik: "Abng Li buat umrah ke." Jawab Mie: "Abang Li pergi dengan isteri dia."
Jadi sahihlah guru pertama saya dalam politik Islam atau siasah syariah pada 1985 kembali ke rahmatullah di Mekah. Isteri saya secara spontan berkata: "Best la meninggal di Mekah," bila diberitahu Abang Li yang pernah beliau ziarah pada hari raya telah meninggal.
Termenung juga dengar perkataan ringkas itu. Teringat juga sahabat-sahabat yang ke Mekah mendoakan supaya meninggal di sana. Walaupun saya tidak sempat hendak buka buku tetapi teringat juga hadis yang pernah saya baca mengenai kelebihan meningal di Mekah dan Madinah.
Mereka yang mengetahui hadis ini akan mendoakan supaya Allah mengambil rohnya di dua tanah tersebut.
Teringat juga betapa banyak mehnaj dan tribulasi yang dilalui Abang Ali sejak mula menegakkan PAS di Binjai dan sehingga akhir kehidupannya tetapi bila beliau meninggal di Mekah dalam bulan Ramadan menunjukkan betapa ujian yang dilalui selama ini dibalas oleh Allah dengan kemuliaan yang cukup tinggi.
Abang Ali atau nama penuhnya Mohd Ramli Embong mempunyai kesabaran yang cukup tinggi walaupun banyak tuduhan dilemparkan kepada beliau.
Saya juga pernah dituduh mempelajari ilmu sesat oleh orang kampung kerana pergi ke surau beliau atau surau orang PAS di Binjai.
Sebelum saya berminat dengan PAS, saya melihat beliau dan orang PAS di situ seperti orang asing kerana di pulau oleh masyarakat kampung, diberi gambaran yang cukup buruk dan jahat.
Walaupun begitu kesedaran hasil daripada mendengar ceramah ustaz Ghazali Hasbulah yang berani menegur kesalahan pemimpin mengubah fahaman saya bahawa Islam itu bukan ibadah sahaja.
Daripada situ saya bertambah minat mendengar ceramah hingga penceramah Tuan Guru Abdul Hadi dan mengikut kawan sertai Tabligh. Dan kemudian rapat dengan surau Abang Li.
Bagaimanapun saya lah manusia yang paling gagal bila beliau meninggal. Saya rasa cukup kecewa kerana insan yang mempunyai khazanah ilmu dan pengalaman yang banyak di kampung Binjai meninggal sebelum sempat saya menunaikan hasrat saya.
Saya bercita-cita untuk membukukan perjuangan beliau serta serta sejarah penubuhan PAS bersama sahabat beliau menegakkan Islam di kampung Binjai.
Beliau juga mengharapkan saya dapat membantu beliau menyaman kerajaan negeri Terengganu kerana mengantung beliau daripada jawatan Imam di Masjid Binjai, Batu 4 1/2.
Beliau memperolehi jawatan itu semasa PAS memerintah negeri itu pada pilihan raya umum 1999.
Pada tahun lepas beliau digantung daripada bertugas jawatan tersebut. Saya ajukan perkara ini kepada sahabat di Kuala Terengganu supaya mengambil tindakan tetapi saya tidak tahu apa cerita selanjutnya.
Namun begitu bukanlah perkara saman yang mahu ditegakkan tetapi soal kebenaran dan Abang Li juga sebenarnya orang yang bertanggungjawab dengan amanahnya. Beliau setiap kali memastikan masjid tersebut selamat sebelum meninggalkan masjid selepas solat Isyak. Beliau tidak nanti tok siak yang melakukannya.

Read More...

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP