Selama ini semua orang beranggapan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dipecat daripada jawatan Menteri Besar.
Namun, hari Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur diberitahu Sultan Perak tidak memecat Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, sebaliknya beliau disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Perkara itu dihujahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Nizar untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.
Menurut Gani, penyingkiran Nizar dilakukan oleh Sultan Perak mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ekoran Nizar telah kehilangan kepercayaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Nizar hilang kepercayaan atau sokongan DUN tersebut ekoran tiga orang ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Radzi, ADUN Bukit Gantang Kapten (B) Osman Jailu, kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ADUN Jelapang, Yee Hit Foong (DAP) keluar daripada parti masing-masing dan menjadi ADUN Benas dan menyatakan sokongan kepada Barisan naisonal (BN) untuk mebentuk kerajaan yang baru.
Dengan perkembangan itu, BN yang mempunyai 28 kerusi mendapat sokongan daripada tiga ADUN Bebas menjadikan BN mendapat sokongan dan kepercayaan daripada 31 ADUN untuk membentuk kerajaan manakala pakatan pembangkang yang semasa membentuk kerajaan mempunyai 31 kerusi daripada pakatan DAP, PKR dan PAS tinggal 28 sahaja