Oleh Adnan Ibrahim
KERAJAAN hendaklah memastikan pendapatan yang diperolehi rakyat dibawah naungannya hasil daripada titik peluh mereka bersesuaian bagi menampung nafkah seorang isteri, keperluan tempat tinggal dan pakaian.
Nabi bersabda: “Sesiapa yang bekerja dengan kami, sekiranya ia belum lagi beristeri maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu beristeri, sekiranya ia belum lagi mempunyai seorang pembantu maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu mendapatkan seorang pembantu dan sekiranya ia belum lagi mempunyai sebuah rumah maka dimampukannya (melalui pembayaran gaji) memiliki sebuah rumah.” Riwayat daripada al-Auzai, daripada al-Harith bin Zaid, daripada Jubair bin Nafir daripada al-Mustaurad bin Syaddad. Hadis ini boleh dilihat dalam Abu Daud al-Musnad.
Polemik kali menampilkan masalah pendapatan rakyat dan menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan ia melepasi paras kemiskinan. Hantarkan 450 perkataan pendapat anda dan catatkan polemik melalui SMS 0133354513, e-mail adnanbrahim@hotmail.com atau fax 03-40253307.
Gaji atau upah adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seorang pekerja. Ia adalah sumber pendapatan setiap insan golongan pekerja sama ada mewakili satu atau dua pekerjaan yang dilakukannya.
Jadi amat wajar gaji tersebut boleh menampung perbelanjaan hidupnya dan orang dalam tanggungannya, sama ada untuk mendapatkan barang asas serta keperluan.
Memandangkan Malaysia diwar-warkan dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi maka sudah sepatutnya golongan pekerja mendapat perlindungan yang sewajarnya. Perlindungan di sini dimaksudkan peraturan atau undang-undang bagi memastikan golongan pekerja mendapat pembelaan pendapatan mereka sesuai dengan taraf sosial ekonomi negara ini.
Walau pekerja tukang sapu sekalipun kerana mereka hidup dalam negara Malaysia yang sudah semestinya tanggungjawab pemerintah memastikan mereka memperolehi pendapatan melepasi daripada taraf kemiskinan. Sekiranya kerajaan gagal untuk memberi keyakinan tersebut bermakna negara ini tidak ada keberkatan.
Negara Islam itu rahmat dan berkat menjadikan rakyatnya aman dan damai. Aman kerana tidak ada kejadian kecurian, rompakan dan pembunuhan.
Kecurian dan rompakan berlaku dalam negara yang tidak ada keseimbangan pendapatan. Ia bukan sahaja melahirkan rakyat miskin bahkan warganegara berhutang yang boleh menimbulkan desakan serta tekanan hidup hingga membawa kepada gejala tersebut.
Oleh kerana itu tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bukanlah satu perkara berat yang tidak boleh dibawa berbincang. Alasan yang diberi kerajaan ialah bimbang pelabur tidak akan masuk ke negara ini. Ia satu yang sukar diterima.
Seperti pendapat Izam yang memberi nama ringkas, katanya: “Sebenarnya pelabur bukan semata-mata melihat soal gaji pekerja. Dia lihat soal polisi kerajaan, kestabilan politik, ketelusan, korupsi, infrastruktur. Yang pasti pelabur tak banyak komplen pasal pekerja Malaysia. dia banyak komplen pasal rasuah di setiap pintu, polisi yang macam-macam jenis atau tidak munasabah.”
Apa yang kita bimbang daripada luahan Izam itu ialah pelabur menghabiskan wang bawah meja berjuta-juta untuk datang melabur ke negara ini, bukan kerana bayaran gaji pekerja tinggi. Bermakna golongan tertentu yang berkepentingan mengutamakan peribadi mereka daripada memastikan masyarakat pekerja di sini mendapat imbuhan yang adil.
Kadar gaji
Mengenai soal menentukan kadar gaji, Islam telah menetapkan beberapa kaedah yang kemas mengharamkan penipuan baik dipihak mana sekalipun. Ia juga menegaskan jangan ada kemudaratan dan sesuatu amat yang tidak wajar kalaulah harta itu hanya dimiliki oleh orang-orang kaya sahaja. Firman Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 7: “Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja diantara kamu.”
Berdasarkan kepada panduan beberapa kaedah dan prinsip yang menarik ini sudah tentu dengan mudah sahaja orang dapat menentukan kadar gaji yang sesuai bagi kaum buruh.
Dalam syariat Islam membayar gaji pekerja adalah satu perkara yang termasuk dalam jenis kontrak yang diarahkan al-Quran bagi memenuhinya dan ia dianggap sebagai satu amanat yang mesti ditunaikan kepada orang yang berhak, firman Allah: “Hai orang-orang yang beriman penuhilah aqad-aqad (kontrak) itu.” (Surah al-Maidah, ayat 1) dan “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya...” (Surah al-Nisa, ayat 58)
Sunnah Rasulullah telah menyebut melalui ayat yang keras tiga jenis manusia yang dimusuhi Allah di hari kiamat nanti, antaranya mereka yang disebut ialah seorang yang mengambil pekerja, lalu buruh itu menunaikan kerjanya dengan sempurna tetapi lelaki itu tidak membayar gajinya. Lihat Sahih Bhukari kitab 37 bab 10.
Pastikan gaji melepasi kemiskinan
>> Jumaat, Ogos 10, 2007
WPI cabar kedaulatan Malaysia- Profesional
Oleh Adnan Ibrahim
SUARA kebimbangan dan kekesalan pertubuhan profesional Melayu berhubung Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sebenarnya pernah disiarkan Siasah bahawa keselamatan dan ancaman terhadap kedaulatan Malaysia itu sendiri disebabkan kerana kepentingan politik Umno.
Polemik kali ini membicarakan isu WPI yang semakin jelas tidak memberikan keuntungan kepada Malaysia terutama bangsa Melayu. Hantarkan pendapat anda dalam 450 perkataan dengan mencatatkan polemik melalui SMS 0133354513, e-mail nanbinjai@gmail.com atau fax 03-40253307.
Memorandum mengenai WPI mengandungi 20 tuntutan itu antaranya menyebut: “Meletakkan kepentingan negara Singapura sama taraf dan penting dengan kepentingan negara Malaysia dengan polisi-polisi dan teras-teras yang benar-benar mencabar kedaulatan negara Malaysia.”Pertubuhan berkenaan menggesa supaya: “Visi dan misi WPI mestilah untuk kepentingan negara Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan bukan sekali-kali bertujuan untuk mengintegrasikan kepentingan negara Singapura secara mutlak.”Memorandum itu telah dihantar kepada Majlis Raja-Raja Melayu, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, DYMM Sultan Johor, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Kata pertubuhan itu lagi, mereka menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia untuk membangunkan WPI dan tidak sekali-kali menolak pembangunan yang dapat menjana peningkatan ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya bangsa Melayu.
Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, pertubuhan merasakan kerajaan telah dengan sengaja atau tidak sengaja mengambil kira kepentingan Singapura di masa hadapan dan diterapkan secara jelas sebagai salah satu teras WPI.
Sebelum ini kebanyakkan penulis siber terutama bloggers dianggap anti pembangunan apabila turut mengkritik projek WPI yang disifatkan lebih memberi keuntungan kepada Singapura berbanding Malaysia.
Pertubuhan itu memetik beberapa bab dalam Comprehensive Development Plan (CDP) WPI. Pertamanya adalah daripada Bab 4, Bahagian 2, Mukasurat 7, yang menegaskan seperti berikut:Singapura telah menghampiri had fisikal daripada tanah persisiran pantainya dan kawasan lautnya, dengan ini adalah dipercayai bahawa strategi Singapura adalah untuk memindahkan sebarang pembangunan yang bersifat intensif buruh dan tanah dan ‘lower value added industries’ ke Johor dan Batam atau JSI nodes. Ini adalah untuk mengambil peluang kepada kawasan tanah yang ditawarkan oleh Johor dan Batam.Keduanya, Bab 12, Bahagian 3, Mukasurat 13 dalam CDP tersebut yang merujuk kepada “Proposed Nusajaya Free Access Zone (FAZ).Pertubuhan berkenaan menyatakan bahawa FAZ ini dengan jelas meletakkan salah satu objektifnya adalah untuk memperbaiki atau memudahkan ‘lingakes’ antara WPI dan Singapura. Menurut cadangannya, FAZ dijadikan Bandar 24 jam dan memang jelas bahawa WPI akan dipergunakan dan menjadi mangsa untuk menyokong ekonomi Singapura.Bab 3, Bahagian 1, Mukasurat 9, dalam Strategi Pembangunan Fisikal WPI yang dengan jelas menyatakan bahawa SJER (WPI) adalah dirancang dan akan dibangunkan sebagai salah satu titik pertemuan sejagat yang terdiri daripada Johor, Singapura dan Indonesia. Sekali lagi, dengan jelas tercatat bahawa kejayaan WPI adalah sangat bergantung kepada penyertaan Singapura dalam perancangan WPI dan terasnya.Dalam kenyataan akhir pertubuhan itu berkata: “Ini adalah bukan caranya untuk menyambut kemerdekaan Negara yang ke-50.”
Agaknya sampai masa golongan profesional turut kedepan dalam mempertahankan kepentingan negara. Rasanya negara sudah tidak cukup selamat selagi Umno memerintah penuh dengan rasuah dan penyelewengan.
Perubahan mesti dilakukan. Berilah mereka yang layak memegang amanah negara bukan kepada sebarangan orang yang akhirnya anak cucu hidup merempat dan tergadai.
Adakan dailog selesai gaji pekerja swasta
Oleh Adnan Ibrahim
KERAJAAN mesti bersedia berdailog dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi menyelesaikan masalah lima juta pekerja swasta masih bergaji bawah RM1,000 sebulan.
Sebaliknya tuduhan keatas MTUC bahawa ada `udang di sebalik batu’ tidak akan menghasilkan penyelesaian bahkan menaikan kemarahan orang ramai kepada kerajaan.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar menuduh MTUC di Dewan Rakyat, berkata: “Saya nampak MTUC ada 'udang di sebalik batu', mungkin ada pemilihan tahun ini dan juga didalangi oleh parti politik pembangkang.
“Jangan hanya menuduh MTUC kerajaan pun ambil kesempatan dan menyogok rakyat apabila dekat pilihan raya. Pilihan raya kecil Ijok contohnya projek yang perlu siap lima tahun boleh siap sembilan hari. Ini kata-kata Menteri Kerja Raya, S Samy Vellu,” kata penghantar SMS ke Polemik.
Sudah sampai masanya orang Melayu kena pandai berpolitik. Jangan membiarkan kaum Cina sahaja cerdik mengambil kesempatan dalam pemerintahan negara. Seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dong Zia Jong, mengambil kesempatan menuntut beberapa keistimewaan pendidikan sekolah kaum Cina ketika menjelang pilihan raya umum 1999.
Akibat tekanan politik pembangkang terutama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad terpaksa menerima desakan Dong Zia Jong untuk mendapatkan sokongan.
“Saya rasa politik MTUC sudah peringkat `Wold Class’ tidak seperti Abdul Rahman dan Umno yang sering melaungkan `didalangi pembangkang’ seperti politik orang kampung,” tambah penghantar tersebut.
Abdul Rahman semasa menjawab soalan tambahan dari Lau Yen Peng (BN-Puchong) berkata, kerajaan perlu melihat kepada kemampuan majikan itu sendiri.
"Jika kita melaksanakan gaji minima, kemungkinan pelabur asing tidak akan datang ke Malaysia kerana antara faktor yang menyebabkan mereka berminat adalah kesesuaian gaji pekerja yang sederhana.
"Saya mengambil contoh sektor perkhidmatan pembantu rumah atau 'amah' yang mempunyai seramai 320 ribu orang. Jika mereka ditetapkan gaji minima sebanyak RM1200, bagaimanakah majikan yang berpendapatan berjumlah RM1000 atau RM2000 lebih mampu untuk menggaji amah ini? Sebab itu tuntutan yang dikemukakan tidak sesuai," katanya lagi.
Penghantar email turut mempersoalkan: “Apa yang ada udang? awak atau mtuc...gaji awak tu berapa kenapa nak banding dengan gaji kami yang cukup makan aje! Lagi satu mana ada majikan RM1000 - RM2000 ambil amah....
Awak tu naik jadi menteri dan dok kat parlimen atas undi sapa...jangan main api dengan rakyat terutama soal gaji. Silap-silap pilihan raya umum nanti ada balasan.”
Penghantar email yang lain pula berkata: “Sebagai pemerhati atas pagar. Saya memang tidak bersetuju dengan cadangan gaji minimum tersebut. Adalah tidak relevan sekiranya seorang amah tempatan bergaji RM1000, penyapu sampah di kilang bergaji RM1200 atau pun seorang budak pejabat bergaji RM1200.
Apa akan jadi kepada majikan yang keuntungan syarikatnya sekadar cukup bayar gaji sedia ada je. Apa yang penting ialah turunkan harga barang keperluan seperti petrol dan tol. Itu yang lebih sesuai.
Kalau gaji naik pun tapi harga barang keperluan juga tinggi maka ia tidak memberi apa-apa makna. Pi mai pi mai tang tu juga. Mungkin usaha MTUC sebenarnya nak desak kerajaan turunkan harga barang dan tol dengan cara mengusik golongan pelabur. agaknya la. Apa-apa pun syabas lah kepada MTUC kerana peka dengan nasib golongan tertindas.”
Hamas masih berpengaruh
Oleh Adnan Ibrahim
RAKYAT Palestin tetap mempercayai Hamas sebagai organisasi yang boleh membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada mereka dalam berdepan dengan Israel dan keamanan negara.
Ini merupakan rumusan banyak pihak berhubung hasil kaji selidik CNN di Palestin yang menunjukkan 52 peratus atau 4,807 orang memilih Hamas sebagai pertubuhan yang boleh dipercayai berbanding Fatah dan parti lain.
Sebanyak 17 peratus atau 814 responden sahaja yang memilih Fatah. Agak mengejutkan juga, ada 28 peratus atau 1,346 orang responden yang menyatakan tidak mempercayai sesiapa pun dalam masalah yang mereka alami di Palestin.
Sedangkan parti selain Fatah dan Hamas, disebutkan hanya dipilih 3 peratus responden atau 127 orang.
Hasil selidik itu menunjukkan rakyat Palestin masih memberi sokongan kepada Hamas walaupun Presiden Mahmud Abbas mengenakan tekanan dan menyingkirkan kerajaan tersebut.
Keputusan itu mengejutkan banyak pihak terutama Barat kerana ia menunjukkan seolah tindakan Abbas tidak memberi kesan.
Hamas memenangi pilihan raya 2006 tetapi kerajaan itu disingkirkan oleh Abbas dan golongan Fatah yang mahu menguasai Palestin.
Selidik itu turut mendedahkan para responden yang ditemui juga menjangkakan akan ada pemisahan Palestin iaitu Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas dengan Tebing Barat yang dikuasai Fatah.
Sementara dalam satu laporan lain, jurucakap gerakan Hamas, Fauzi Barhum menyeru pejuang mujahidin di Tebing Barat tidak menyerahkan senjata mereka kepada arahan gencatan senjata oleh Abbas.
Beliau menyifatkan arahan tersebut merupakan konspirasi pihak tertentu yang mahu pejuang meletakkan senjata dan akhirnya memerangkap umat Islam.
Hargailah kami sebagai rakyat Malaysia
Oleh Adnan Ibrahim
ADA yang berpendapat gaji pekerja tempatan lebih rendah berbanding pekerja asing terutama pendatang yang bekerja di sektor pembinaan. Oleh kerana mereka ini sudah lama kerja dalam bidang tersebut dan lebih mahir daripada pekerja tempatan maka gaji mereka lebih tinggi daripada rakyat Malaysia.
“Kami ibarat melukut ditepi gantang, hidup segan mati tak mahu, gaji RM500 sebulan,” kata penghantar SMS 016740xxxx.
Sementara penghantar SMS 019479xxxx mengakui beliau tertarik dengan isu tuntutan gaji yang dibincangkan dalam polemik. Beliau juga mengakui memang benar berlaku di Penang bahawa masih terdapat pekerja menerima gaji RM450 sebulan.
“Saya agak tertarik dengan isu ini memang benar di penang ada pekerja masih terima gaji RM450 sebulan.
Memang ada golongan pekerja sedar masalah ini tapi tak tahu apa perlu dilakukan mungkin kerana tidak mendapat maklumat sebenar dari media masa rasmi negara kita. Pemikiran golongan ini terkongkong atas sebab itu saya mula membawa akhbar dan ceramah pembangkang ditempat kerja dan hasilnya ada kesedaran dikalangan mereka,” kata penghantar tadi.
Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sebanyak 18 atau 19 peratus negara Eropah telah melaksanakan pembayaran gaji minimum yang disesuaikan dengan kos hidup negara masing-masing. "MTUC telah berbincang dengan PKR mengenai tuntutan gaji minimum bagi mencari jalan bagaimana ia boleh dilaksanakan. "Majikan tidak akan takut membayar gaji minimum kerana ia mengikut produktiviti pekerja. Gaji minimum RM900 bukanlah sangat besar kerana saya dalam korporat dahulu pernah dapat RM90,000 sebulan. "Adalah efektif dan munasabah kerajaan menerima tuntutan MTUC tersebut," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini. Khalid pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Berhad sebelum menyertai PKR pertengahan tahun lalu.
Beliau salah seorang pihak yang mewakili majikan menyuarakan sokongan kepada tuntutan pekerja itu. Jadi tidak menjadi halangan kiranya majikan lain mengikuti langkah Khalid sebagai menghargai pengorbanan pekerja.
Tidak kurang juga laman web turut memberi sokongan kepada MTUC malah mahukan kongres itu mengadakan demontrasi besar-besaran jika kerajaan masih lagi membisu.
Orang seperti Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Sumber Manusia, Fong Chan Onn dan Timbalan Menterinya, Abdul Rahman Bakar sudah tentu akan menyelar piket MTUC kerana gaji mereka berada di `paras tinggi’ dan sedikit pun tidak akan terasa dengan kenaikan harga minyak, tol dan barang-barang keperluan.
“Kita berharap agar MTUC tidak akan tunduk dengan desakan BN untuk menghentikan piket. Piket harus berterusan dan jika perlu demonstrasi dan mogok perlu diadakan sehingga kerajaan akur dengan tuntutan kaum pekerja,” kata salah satu laman web.
Bagaimanapun sehingga kini tuntutan MTUC tersebut belum mendapat sokongan daripada mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN).
Malah pihak kerajaan sendiri tidak memberi maklum balas mahu mengadakan perbincangan dengan pihak MTUC.
Yahudi marah Harry Potter
Oleh Adnan Ibrahim
KALANGAN perundangan Yahudi Ortodoks serta Menteri Perdagangan dan Industri Israel, Eli Yishai cukup marah dan mengecam pelancaran buku bersiri Harry Potter ke tujuh berjudul `Harry Potter and the Deathly Hallows’ pada hari suci agama Yahudi iaitu Sabbath.
Buku tersebut dilancarkan seluruh dunia pada 21 Julai iaitu hari Sabtu pukul 2 petang di Israel. Bahkan Israel akan mengenakan tindakan atau denda kepada mana-mana kedai buku yang membuka dan turut ikut melancarkan pada hari tersebut.
Buku yang dikatakan siri terakhir itu karya penulis Inggeris, J. K Rowling. Undang-undang di Israel mengarahkan semua kegiatan perniagaan pada hari Sabbath.
Bagaimanapun penerbit buku terbesar di Israel 'Steimatzky' tetap memastikan waktu pelancaran sama dengan tempat lain di seluruh dunia. Ini bermakna masa pelancaran di Israel tidak diubah kerana mereka menerima puluhan ribu pesanan yang sudah dibayar pendahuluan.
Orang Asli di negeri maju tiada elektrik
Oleh Adnan Ibrahim
BARU ini Siasah ada menyiarkan cerita tentang Orang Asli dan ada yang bertanyakan apa relevannya dengan tabloid ini dan politik negara. Mereka berpendapat Orang Asli adalah sebilangan kecil terutama di Terengganu. Dan ia bukanlah menjadi harapan sangat kepada pembangkang.
Memang kalau dikira undi ia bukanlah menjadi sasaran kepada parti politik kecuali yang boleh diambil kira Parlimen Gua Musang dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan itu. Ia boleh menjadi undi penentu pada sesetengah kawasan.
Kita tidak boleh pandang sebelah mata. Sekiranya kita masih menganggap mereka rakyat kelas dua maka kerugian kepada kita serta Islam kerana pihak lain telah berperanan aktif mendekatkan agama mereka kepada Orang Asli.
Sebenarnya kita telah terlepas pandang masyarakat ini sehingga ramai daripada mereka yang memeluk agama Kristian. Namun begitu boleh dikatakan 60 peratus masih lagi beragama Anamisme atau tradisi asal mereka.
Sebaliknya pendakwah Islam tidak berperanan aktif menarik mereka supaya mencintai Islam. Kita perlu ada pendekatan yang sesuai dengan cita rasa serta memahami budaya mereka sebelum berceramah kepada masyarakat tersebut.
Sebaik langkah ialah orang Islam yang mempunyai akhlak baik mendekatkan diri kepada mereka. Mesti membina perhubungan dan menjadi pendengar setia kepada mereka selain kita secara beransur-ansur menerangkan apa dia Islam. Tetapi apa yang penting adalah akhlak.
Ini kerana mereka juga mempunyai akhlak dan budaya yang unit. Ada tingkah laku tertentu pada diri kita yang dilihat oleh mereka tidak bersopan walaupun pada tanggapan kita perkara itu biasa dalam amalan. Hal ini yang mesti dipelajari supaya kita dilihat menghormati mereka.
Dalam soal memberi buah tangan adalah perkara kedua. Tetapi bagi mereka yang memahami secara luaran tentang masyarakat ini akan membuat tanggapan Orang Asli kalau diberi rokok atau minum keras mudah untuk dibuat kawan. Memang perkara ini tidak boleh dinafi kerana sifat keutamaan pada diri. Buah tangan seperti ini adalah didikan penjajah terhadap mereka.
Oleh yang demikian amalan ini perlu diubah secara beransur-ansur. Lagi pun setengah mereka sudah terdidik dan mampu berfikir untuk kepentingan masyarakat Orang Asli. Sebagaimana Tok Batin, Hussein Ngah Yin di Kampung Orang Asli, Bukit Kala, Kilometer 24, Gombak. Beliau non muslim tetapi bukan sebarangan pendakwah boleh mendekati beliau kerana hujahnya yang kemas dan berilmu.
Mendekati Orang Asli cukup seronok. Umpamanya penglibatan saya dan beberapa kawan dalam pembelaan Orang Asli, Mustafa dan kawan-kawannya di Bukit Lanjan pada tahun 1999 sehingga memperolehi banglo, rumah berkembar dan teres.
Walaupun terdapat Orang Asli sendiri memandang lekeh usaha kami tetapi sebahagian Orang Asli yang bersama Mustafa mengakui tekanan dan desakan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) menyebabkan kerajaan bersedia berunding dengan Orang Asli.
Memorandum dihantar kepada kerajaan dan juga Parlimen. Hasilnya beliau menikmati kehidupan yang bertambah baik dengan sebuah rumah dan wang pampasan. Saya sudah lama tidak mendengar kabar Mustafa. Menurut cerita beliau telah berpindah ke Perak dan mengusahakan ternakan ikan kolam hasil daripada wang pampasan tersebut. Rumahnya di Bukit Lanjan dikatakan anaknya yang duduk.
Bagaimana pula nasib Orang Asli di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, sampai sekarang mereka masih belum menikmati elektrik. Anak mereka membaca berpelita ayam. Suasana gelap tak ubah era 60 an. Kenapa nasib mereka sampai zaman sekarang masih jauh ketinggalan. Ini kerana tidak ada pembelaan politik terutama daripada parti pembangkang. `Pembangkang tidak bising, kerajaan buat senyap’. Inilah nasib golongan minoriti.
Daripada hubungan dengan Mustafa, saya turut mengenali Presiden Persatuan Orang Asli dan timbalannya iaitu Majid dan Arif Embong. Persatuan ini dikatakan yang mendapat projek kerajaan bagi membangunkan masyarakat Orang Asli.
Mereka ini senang dibawa berbincang tetapi agak mengelak dalam perkara politik. Sebab itu, baik Mustafa umpamanya lebih senang berbincang dengan kami dan NGO lain.
Namun begitu Majid dan Arif inilah yang membawa saya ke alam yang lebih jauh dalam masyarakat Orang Asli. Setiap kali program keraian dan perayaan budaya Orang Asli baik di Sepang atau di Perak mereka tidak pernah ketinggalan menjemput supaya turut serta. Kerana itu setiap kali pertemuan dengan Orang Asli peristiwa bersama mereka memang sukar dilupa malah mula timbul keinginan untuk kembali aktif melakukan kerja kesedaran dan perubahan membentuk minda mereka ke arah yang lebih dinamik.
Kita hanya mampu lahirkan rasuah bukan kepakaran
Oleh ADNAN IBRAHIM
ADA beberapa perkara besar yang menunjukkan Malaysia masih jauh ketinggalan hikmah daripada peristiwa Nuri terhempas di Genting Sempah, Genting Highlands, pada 13 Julai lalu.
Namun sebelum itu, saya dan rakyat Malaysia sungguh sedih dan hanya mampu menzahirkan takziah kepada keluarga ke enam anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat helikopter Nuri di Genting Sempah, Genting Highlands yang berjaya dikesan, 17 Julai itu.
Setelah 18 siri Nuri terhempas, baru Kabinet pada Rabu lalu bersetuju membeli pesawat baru bagi menggantikan helikopter tersebut yang sudah digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hampir 40 tahun lalu.
Sementara menunggu pesawat baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam masa dua setengah hingga tiga tahun, tentera akan terus menggunakan Nuri.
Kita sering dihebahkan bahawa banyak kemajuan yang dicapai sebagaimana pelancaran setelit dan lain-lain sehingga rakyat cukup kagum dengan hasil pencapaian pemimpin yang membawa Malaysia ke arah negara maju.
Sebaliknya pada hakikat sebenar peristiwa Nuri itu mendedahkan kepada kita segala-galanya tidak lebih hanya merupakan propaganda pemerintah yang bertujuan mengekalkan kuasa mereka pada setiap kali pilihan raya.
Apa yang jelas ialah pencarian pesawat terhempas tersebut sehingga lima hari menunjukkan kepada kita betapa lemah sistem satelit yang selama ini dihebahkan pelancarannya berkali-kali.
Apakah satelit kita hanya setakat untuk hiburan atau cuma mengesan kenderaan kecurian? Bukan itu sahaja kita berbelanja besar dengan Maxis melancarkan satelit tetapi apa hasilnya?
Jika inilah hasil satelit kita kerajaan kena teliti boya yang kita habiskan berjuta ringgit pasang ditengah laut sebagai alat mengesan thunami selepas negara kita turut merasa kesannya pada 2004 itu sama ada berfungsi atau sebaliknya.
Jika tidak sekali lagi kita menghabiskan wang dan sombong dengan kehebatan sebaliknya teknologi kejuruteraan kita tidak sehebat mana.
Kerajaan kena ingat peristiwa banjir 10 Jun mendedahkan kepada kita bahawa projek RM2 bilion yang dikatakan mampu mengurangkan 50 peratus masalah banjir di Kuala Lumpur sebaliknya hujan lebat pada hari tersebut menceritakan segalanya.
Bagi saya usia Nuri itu bukan sangat menjadi faktor untuk kita bertekak dengan Timbalan Menteri tetapi sejauh mana ATM berjaya melahirkan kepakaran kejuruteraan dalaman sebagaimana Iran mampu membaik pulih pesawat lama mereka walaupun Amerika Syarikat tidak membekalkan alat ganti pesawat pejuang Northrop.
Pesawat ini juga dikatakan masih digunakan tentera Singapura tetapi negara ini masih mendapat alat ganti daripada Amerika.
Tentera Udara Iran semasa rejim Shah Iran mempunyai 166 buah pesawat F-5E/F tersebut tetapi selepas Iran diisytiharkan Republik Islam pada 1979, Amerika Syarikat menyekat bekalan alat ganti kepada negara itu.
Sebaliknya Iran secara berdikari mampu melahirkan teknologi dan kepakaran kejuruteraan dalaman. Mereka sendiri mengubahsuai pesawat yang berusia lebih 30 tahun itu dan sehingga sekarang ia masih boleh digunakan lagi.
Kepakaran mereka mengubahsuai itu sehingga berjaya menghasilkan jet pejuang yang lebih hebat daripada F-18 Amerika Syarikat, dinamakan Saegheh atau kilat.
"Pesawat pengebom Saegheh itu sama seperti F-18 tetapi jauh lebih kuat. Reka bentuk dan keupayaannya dipertingkatkan oleh pakar Iran sendiri. Kami yang merekabentuk dan menghasilkannya dengan usaha sendiri. Tiada negara asing terbabit membantu usaha itu,” kata pegawai kanan tentera Iran, Jeneral Attollah Salehi sebagaimana dilaporkan Irna.
Dimana kehebatan negara kita yang kita heboh dan jaja ke ceruk kampung dan dunia.
Pernah alim ulama kita secara tidak bermaruah mengatakan bahawa negara Islam mundur tidak mampu merekacipta jet pejuang malah mahu naik haji pun menaiki kapal terbang yang dicipta oleh negara maju (Barat) ketika Amerika memerangi Iraq sebagai dalih kepada seruan umat Islam supaya berjihad.
Sebaliknya negara yang dilaungkan oleh ulama ini sampai sekarang tidak mampu melahirkan kepakaran sama ada mengubahsuai apalagi mahu merekacipta. Apa yang nyata negara ini sering diselubungi rasuah dan korupsi atau apakah kepakaran kita hanya mampu mencipta payung untuk Nuri atau pesawat lain supaya ia tidak terhempas maka jatuhlah ia seperti penerjun udara?
Luar minda baru cegah tabiat merokok
>> Jumaat, Ogos 03, 2007
Pasal itu hujah menaikkan harga rokok bagi menghentikan tabiat itu sukar untuk diterima. Kebiasaan mereka yang berhenti merokok kerana dapat penyakit hingga doktor nasihatkan jangan merokok.
Walaupun mereka ada knowledge bahaya merokok, kesan kepada orang lain dan keluarga tetapi masih juga merokok. Tahu bahaya kepada kanak-kanak tetapi ketagihan memusnahkan perasaan kemanusiaan kepada insan lain.
Kenapa Allah mengharamkan? Apa salahnya buat sekali? Inilah hikmat yang jarang kita nampak. Kebiasaan manusia sekiranya sudah mula melakukan maksiat perasaan ketagih akan datang menyerang.
Semua pihak mahu naik harga
Oleh Adnan Ibrahim
NAMPAKNYA sendiwara menaikkan harga barangan keperluan harian semakin menjadi-jadi. Rakyat semacam dipertololkan pihak berkuasa. Selepas kejayaan tepung gandum menaikkan harga sebanyak 15 sen kepada RM1.35 syarikat monopoli beras pula mahu bersilap mata.
Polemik kali ini mendedahkan bagaimana golongan peniaga baik konglomorat dan peniaga kecil mengambil kesempatan menaikkan harga dengan apa cara sekalipun malah termasuk muslihat tertentu. Anda boleh memberi maklum balas tersebut melalui SMS 0133354513, e-mail adnanbrahim@hotmail.com atau fax 03-40253307 dalam anggaran 450 perkataan. Catatkan polemik pada sebelah atas.
Sebelum itu gula juga berjaya naikkan selepas berlaku tarik tali antara pengeluar dan kerajaan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal tetap lawan dengan tindakan pengeluar menyorok gula. Beliau import gula dikatakan sampai ke Brazil tetapi akhirnya harga gula tetap juga naik.
Nasib sama turut berlaku kepada minyak kelapa sawit bungkusan sekilo. Agaknya cara ini mungkin menjadi langkah terbaik bagi pengilang mahu menaikkan harga barangan mereka. Beri tekanan kepada kerajaan.
Ada yang mempersoalkan benarkah kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan gaji kakitangan perkhidmatan awam? Mungkin ada kebenaran kerana peniaga sudah tentu mengambil kesempatan. Kenaikan gaji itu sudah tentu boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka. Caranya menaikkan harga barang. Baru dikatakan berlaku pengagihan pendapatan.
Saya baru-baru ini minum di restoran dekat Masjid Jamek Sungai Mulia. Apabila membayar teh tarik yang kebiasaannya berharga RM1 tetapi diminta membayar RM1.05. Saya hairan kerana selalu juga minum di restoran Haslam yang pada pendapat saya lebih hebat daripada kedai minum tersebut cuma dibayar RM1. Dalam hati saya adakah teh di sini sudah naik 5 sen. Oleh kerana ada desakan halus suruh bertanya, saya terpaksa luahkan juga: “Harga teh tarik RM1.05?” “Ya,” jawab juruwang. “Naik lima sen?” tanya saya balik. “Caj...cukai,” balasnya ringkas.
Peristiwa ini menyebabkan saya terfikir apakah peniaga restoran tidak ada taraf bintang sudah pandai mengenakan caj hasil daripada pengetahuan mereka apabila syarikat besar memperdayakan pelanggan dengan pelbagai caj bila mahu menaikkan harga barang dan perkhidmatan.
Seperti perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi dinaikkan sebanyak RM2 menjadikan RM20. Bila ada bantahan mereka berkata tambang tidak naik tetapi dikenakan surcaj sebanyak RM2.
Jadi tidak hairanlah kalau peniaga kecil pun sudah pandai bermain seloka dengan harga kerana pada mereka orang besar lagi hebat caj yang dikenakan.
Surcaj sebanyak RM2 dikenakan itu atas alasan bagi menampung kos berikutan kenaikan harga diesel baru-baru ini. Ketua Bahagian Pengurusan (Kuala Kedah) syarikat Line Ventures, Hussin Hassan berkata surcaj itu bagi menampung kenaikan harga diesel dan alat ganti feri.
“Keputusan mengenakan surcaj itu keputusan para pengusaha feri dan bukan atas arahan kerajaan. Hasil perbincangan antara pengusaha, kami sepakat mengenakan surcaj itu kerana kos operasi yang tinggi,” katanya
Bagi kakitangan awam, alasan Hussin itu menjadi hujah kepada mereka bahawa kenaikan harga barang dan perkhidmatan bukan kerana kenaikan gaji sebaliknya ia berpunca daripada kenaikan harga diesel.
“Dah jelas punca kenaikan harga berpunca dari kenaikan harga diesel. Cuma kerajaan sengaja menyalahkan peniaga sedangkan banyak peniaga yang menggunakan diesel sebagai bahan asas perniagaan mereka merungut sejak dua tahun ini kerana masalah kos operasi yang tinggi.
Kita diputar belitkan dengan alasan bahawa kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan gaji kakitangan awam dan sesungguhnya alasan itu tidak munasabah langsung...” kata seorang pekerja kerajaan.
Berhubung cubaan menaikkan harga beras tadi, alasan yang diberikan sama dengan cara harga tepung naik.
Kalau tepung kononnya negara pengeksport tepung, New Zealand dan Australia dilanda kemarau menyebabkan berlaku kenaikan harga tepung di pasaran dunia.
Tambah pulak Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abdul Rahman dalam satu siaran televisyen pada sebelah pagi seolah memperakui kenaikan tepung kerana sudah lama tidak dinaikkan sejak 1998.
Apakah kita boleh mengharap harga tepung turun apabila bencana dan harga tepung pulih di pasaran?
Kenapa Yusuf langsung tidak mengambil kira keuntungan yang diperolehi pengeluar akibat daripada pertambahan penduduk rakyat Malaysia dari 1998 hingga sekarang. Keuntungan kecil daripada produk tetapi kuantiti jualan bertambah tetap memberi margin keuntungan kepada pengeluar.
Alasan yang sama juga digunakan oleh Bernas. Khamis (5 Julai) lalu, Bernas mengumumkan kenaikan harga beras putih tempatan, wangi dan basmati yang diimport antara 5 hingga 10 sen sekilogram serta 20 sen bagi beras pulut dengan alasan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa meningkat sejak 2005.
Bagaimanapun pandai pula Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab mempertahankan hak pengguna tidak seperti kes tepung itu. Katanya, soal kenaikan harga beras di pasaran global adalah perkara biasa dan tidak seharusnya menjadi faktor utama untuk menaikkan harga beras.
Kerajaan kemudiannya mengumumkan membatalkan kenaikan tersebut.

