PADA penghujung bulan Rejab mengingatkan kita tentang peristiwa Israk dan Mikraj. Walaupun peristiwa itu tidak ada yang menyaksikannya tetapi akhlak Nabi yang tidak pernah berbohong dapat menyakinkan Abu Bakar serta para sahabat walaupun cuba ditemplak oleh kaum Quraish.
Cerita Nabi saw tentang israk dan mikrajnya hanya sekitar apa saja yang diperlihatkan Allah SWT kepada beliau, juga cerita tentang bertemunya beliau dengan para nabi sebelumnya, termasuk neraka dan surga, serta yang paling penting adalah bertemunya beliau dengan Allah SWT di Sidratil Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu.
Sebelum kita menyambut Ramadan secara besar-besaran dengan amal ibadah, Rasulullah saw turut mengingatkan kita kepada Syabaan.
Dari Usamah bin Zaid ra katanya: “Ya Rasulullah, kelihatannya tidak satu bulan pun yang lebih banyak anda puasakan dari bulan Syabaan!” Jawab Nabi: “Bulan itu sering dilupakan orang kerana letaknya antara Rejab dan Ramadan, sedangkan pada bulan itulah diangkatkan amalan-amalan kepada Tuhan Rabbul alamin. Maka saya ingin amalan saya dibawa naik selagi saya dalam berpuasa.” (Riwayat Abu Daud dan Nasa’i dan dinyatakan sah oleh Ibnu Khuzaimah).
Dalam masalah puasa di bulan Syaban, kita hanya mendapatkan hadis sahih atau hasan yang menceritakan bahawa secara umum Rasulullah saw memang banyak melakukan puasa di kedua bulan Rejab dan Syabaan.
Namun tidak ada riwayat yang kuat menyebutkan bahawa Rasulullah saw melakukan puasa sebulan penuh di bulan Rejab atau Syabaan.
Berkata Imam as-Syawkani dalam Nailool Awthor, jumhur ulama mengharuskan puasa sunat selepas 15 Syabaan kerana larangan berbuat demikian datang dari hadis dhaif.
Bagaimanapun ada juga ulama mengkhususkan ibadah nisfu Syaban berdasarkan dalil dhaif (lemah) dengan alasan bahawa hadis tersebut tidak terlalu cacat atau teruk kelemahannya maka masih boleh digunakan sebagai ibadah yang bersifat keutamaan.
Manakala sebahagian ulama pula agak berhati-hati dan ada juga yang tegas dalam mengambil keputusan berdasarkan dalil hadis dhaif.
Kerana itu terdapat para ulama berbeza pendapat berikutan kekuatan darjat periwayatannya.
Di antara dalil yang dianggap lemah itu misalnya hadis berikut ini: Sesungguhnya Allah SWT bertajalli (menampakkan diri) pada malam nisfu Syabaan kepada hambaNya serta mengabulkan doa mereka, kecuali sebagian ahli maksiat.
Al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi mengatakan bahawa tidak ada satu hadis sahih pun mengenai keutamaan malam nisfu syabaan.
Begitu juga Ibnu Katsir telah mendhaifkan hadis yang menerangkan tentang bahawa pada malam nisfu syabaan itu, ajal manusia ditentukan dari bulan pada tahun itu hingga bulan Syabaan tahun depan.
Sebagaimana kita tahu, sebahagian dari umat Islam banyak yang mengkhususkan malam itu untuk membaca surah Yasin atau melakukan solat sunat dua rakaat dengan niat minta dipanjangkan umur atau niat agar menjadi kaya dan seterusnya.
Memang amalan seperti ini ada di banyak negeri, bukan hanya di Malaysia bahkan di Indonesia, Mesir, Yaman dan negeri lain.
Sering kita dapati bahawa sebahagian umat Islam memanjatkan doa khusus pada malam nisfu syabaan. Dalam doa itu mereka meminta agar Allah SWT menghapuskan takdir yang buruk yang telah tertulis di Loh Mahfuz.
Banyak pendapat ulama besar mengatakan amalan nisfu Syabaan adalah suatu perayaan yang direka berdasarkan nas yang lemah dan mardud (tertolak).
Ini adalah pendapat majoriti mujtahid hari ini antaranya Prof Dr Yusuf Qardhawi (Fatawa Mu'asirat), Prof Mutawalli Sya'rawi (anta Tasal), Dr Abdul Karim Zaidan (al-Mufassal) dan Prof TM Hasbi as-Siddiqui (Sunnah dan Bid'ah).
Juga dalam kajian laman web antaranya: Islam Online, Lujnah Daimah Arab saudi, Lujnah fatwa al-Azhar, Ustaz Basri Ibrahim dan Kusza.
Amalan ini lebih merupakan adat Melayu dan ia bukan peristiwa yang disyariatkan.
Yusuf Qardhawi berpendapat para pengkaji sunnah mengesahkan fadhilat malam nisfu syabaan ini tiada dasar dalam Islam iaitu tidak ada dalil bersumberkan nas al-Quran dan hadis sahih. Kata beliau malam yang diagung-agungkan itu sebenarnya lailatul Qadr sahaja.
Mereka yang mengamalkan malam nisfu syabaan itu juga berpendapat segala catitan amal untuk tahun lalu akan dibawa ke langit dan buku yang baru akan dibuka bagi amalan yang datang.
Pendapat ini juga menurut ulama adalah dhaif dan terdapat dalam beberapa kitab para ulama tetapi sumber atau nasnya tidak sahih.
Tiada ditemui sumber sahih berkaitan perkara di atas setelah dilakukan kajian mendalam oleh berbagai pihak.

.jpg)
.jpg)






.jpg)

