Beras hak rakyat miskin tetap dirampas selagi kerajaan tidak tegas

>> Khamis, Mei 15, 2008

Adnan Ibrahim

Dahulu beras digredkan dengan nama premium, standart dan super. Harga beras bagi kedua gred itu dikawal kerajaan untuk menjamin kehidupan golongan rakyat berpendapatan rendah.
Ini bermakna rakyat berpendapatan RM1 ribu kebawah boleh hidup dalam keadaan agak selesa kerana makanan ruji bukanlah suatu yang membebankan.
Akan tetapi itu kenangan lebih sepuluh tahun dahulu. Dalam tempoh tersebut krisis beras sudah berlaku pada 1996. Pembekal padi mengambil kesempatan menaikkan harga beras gred super yang tidak dikawal kerajaan.
Beras premium dan standart yang dikawal pula tidak ada di pasaran kerana golongan tersebut mengambil kesempatan meraih keuntungan daripada krisis itu.
Walaupun Perintah Beras (Kawalan Harga dan Gred) 1995 mensyaratkan kilang mengeluarkan beras gred kawalan dengan menetapkan kepada pihak pengilang mengeluar 30 peratus beras gred premium dan standard tetapi gred tersebut tetap juga tidak ada di pasaran.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika itu Ahli Parlimen Marang turut menyuarakan kepada kerajaan supaya meningkatkan hasil pengeluaran padi negara. Sebaliknya jawapan yang diperolehi daripada kerajaan ialah ia tidak menguntungkan kerana kosnya lebih tinggi daripada import.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama persatuan pengguna ketika itu turut mengingatkan kerajaan supaya meningkat pengeluaran beras negara memandangkan ia makanan ruji dan keselamatan pemakanan negara.
Kawalan kerajaan bukanlah satu yang pelik bagi pengilang beras. `Kalau pemimpin boleh pulas rakyat, mereka boleh pulas pemimpin’. Tanpa rakyat sedari jenama gred beras telah berlaku rebranding.
Kesannya dua jenama gred yang harga dikawal kerajaan sebelum itu iaitu premium dan standart tetapi sekarang hanya tinggal satu gred iaitu gred Super Tempatan 15 peratus.
Penjenamaan semula itu menguntungkan pengilang beras kerana harga diapung bagi kedua gred Super Special Tempatan (SST) 10 peratus dan 5 peratus, sedangkan sebelum itu mereka hanya menguasai satu jenama gred Super.
Sekarang krisis beras berulang kembali, keadaan yang sama berlaku iaitu beras harga kawalan RM1.80 tidak ada di pasaran. Tekanan amat terasa bagi rakyat berpendapatan RM1 ribu sebulan ke bawah.
Beras SST 10 peratus naik mendadak sehingga RM3.50 sekilo. Disebalik kenaikan itu, petani yang menanam padi tetap miskin. Padi dijual kepada pengilang dengan harga rendah sebaliknya mereka membeli beras dengan harga mahal.
Dalam keadaan seperti ini, mungkin petani boleh membuat reformasi iaitu menjual sendiri hasil pengeluaran di pasar tani yang dianjurkan Fama. Masyarakat petani boleh kembali kepada sistem era 60 an dan 70 an menubuhkan koperasi untuk mendirikan kilang.
Walaupun kilang bukan jenis termoden yang boleh mengilap beras sehingga putih berkilat tetapi pengeluaran beras yang masih berselaput keperangan lebih baik untuk kesihatan.
Usaha petani ini secara tidak langsung menghapuskan sistem monopoli dan rakyat boleh mendapat hak yang terbaik. Kenapa perlu pengilang menjadi kaya diatas keringat dan keperitan petani membanting tulang dipanas matahari yang terik?
BN perlu letak jawatan
Sekiranya kawalan harga beras dan perubahan tersebut masih gagal dilakukan, kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyerah kerajaan secara terhormat kerana masih ada pemimpin yang boleh membela rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan harga siling bagi beras SST ditetapkan RM2.70 dan RM2.80 bagi memastikan bekalan beras mencukupi dan juga untuk membendung kenaikan harga yang berterusan ekoran kenaikan beras mendadak di pasaran baru-baru ini.Selain itu kerajaan terus mengekalkan beras Super Tempatan 15 peratus sebagai beras yang dikawal harga antara RM1.65/kg hingga RM1.80/kg mengikut zon, bagaimanapun beras ini dipercayai berkurangan dipasaran berikutan aktiviti mengaut keuntungan.
Menaikkan Harga Minimum Terjamin (GMP) daripada RM650 satu tan metrik kepada RM750/tan metrik bagi memelihara kebajikan pengguna dan pesawah padi dalam isu kenaikan harga padi dan beras.
Pengumuman Perdana Menteri itu sebenarnya mengiktiraf kenaikan harga beras di pasaran kerana kedua gred tersebut boleh didapati dengan harga RM2 sekilo sebelum krisis beras.
Sebelum ini pada Julai 2007 kerajaan mengumumkan tidak menaikkan harga beras apabila Bernas membuat desakan. Sebaliknya kerajaan gagal mengawal kenaikan harga beras selepas pilihan raya umum lalu.
Mungkin alasan kenaikan bagi harga beras import boleh diterima tetapi kenaikan harga beras tempatan jelas menunjukkan pihak pembekal mengambil kesempatan.
Kerajaan BN terutama Umno yang goyah selepas pilihan raya lalu dilihat lebih seronok bercakar sesama mereka daripada mengawal harga beras yang dimanipulasi oleh pihak konglomerat.
Kesempatan itu diambil sepenuhnya oleh pengeluar beras dan pengumuman Abdullah itu secara tidak langsung merupakan kejayaan mereka sejak Julai 2007 apabila kerajaan menolak kenaikan itu.
Pengumuman itu sebenarnya bukanlah berbaloi pada rakyat yang mahukan pembelaan kerajaan. Setiap harga yang naik tidak akan turun. Hakikatnya jelaslah bahawa BN lebih mementingkan kroni mereka dalam pilihan raya umum lalu daripada menjaga hak dan kepentingan rakyat.
Sepatutnya pemimpin boleh mengelak terjebak dengan pihak berkepentingan sekiranya terdapat mekanisme dan nilai mulia yang tidak mengambil kesempatan diatas keperitan hidup rakyat.
Kerajaan juga perlu mengkaji pengswastaan Bernas kerana 30 peratus sahamnya terjual kepada pihak asing. Beras ada sangkut paut soal keselamatan pemakanan negara dan pihak asing sepatutnya tidak mudah campur tangan yang boleh menentukan harga beras.Pengumuman itu tidak bermakna beras hak rakyat miskin terbela kerana apa yang jelasnya beras Super Tempatan 15 peratus tidak ada di pasaran. Apakah langkah kerajaan untuk tidak menafikan hak rakyat miskin ini?

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP