Ustaz Nasharuddin pengundang fitnah anti kerajaan perpaduan

>> Isnin, Januari 04, 2010

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan penggunaan nama Allah oleh Kristian kerana mungkin mereka mempunyai maksud tertentu atau mungkin disalahgunakan.

(Gambar: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima memorandum agar rayuan terhadap keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dipercepatkan daripada Timbalan Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia, Amidi Abdul Manan (bersongkok) di Pekan, Pahang hari ini. - Gambar RUSHDI SALLEH)

Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddin juga melahirkan perkara sama di Parlimen pada satu ketika isu itu kecoh dibawa ke mahkamah oleh akhbar mingguan Herald – The Catolic weekly.

Begitu juga bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan hal yang sama dan menjelaskan ia bukan berkait hukum tetapi soal berpendapat. Ia bukan juga menyalahi akidah. Dalam posting awal saya bertajuk Jangan tidur lagi... para ulama perlu buat kajian sebelum ini juga turut menyatakan perkara yang sama.

Bagaimanapun kebimbangan itu tidak mengubah hukum kecuali ulama berpendapat ia boleh ia boleh mendatangkan masalah dan mengelirukan kepada umat Islam hasil daripada penggunaan nama Allah oleh Kristian. Ini bermakna ia adalah pendapat ulama bagi menjaga kepentingan Islam terutama dalam keadaan undang-undang Islam tidak didaulatkan di negara ini.

Oleh kerana hukum harus dan bukan soal akidah maka kenyataan kalangan pimpinan PAS baik Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dengan pimpinan PAS lain tidak bercanggah. Jadi Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin, jangan jadi batu api.

Perkara ini mungkin juga boleh disamakan dengan muamalat dengan Yahudi. Dari segi hukum urusniaga tersebut harus tetapi bila dalam keadaan tertentu kerana kezaliman Yahudi kepada umat Islam di Palestin maka sebaiknya umat Islam menunjukkan penyatuan iaitu memboikot barangan Yahudi.

Sekiranya umat Islam boleh menyelidiki dan mengkaji ada perancangan tertentu pihak Kristian mahu menggunakan nama Allah maka para ulama boleh bincang dan mengkaji. Sebab itu saya tulis tajuk `jangan tidur lagi' dalam posting sebeum ini.

Tulisan saya menyentuh kenyataan Ustaz Nasharuddin Mat Isa berdasarkan laporan utusan. Sejauh mana kebenaran laporan tersebut kena tanya Ustaz Nasharuddin sendiri tetapi dalam keadaan pihak Umno berpolitik mengambil kesempatan maka pemimpin yang sering dikait dengan kerajaan perpaduan mesti berhati-hati.

Jika tidak pandangan serong terhadap beliau tetap berterusan. Dengan sebab itu beliau boleh tergolongan sebagai manusia yang sering melahirkan fitnah dalam PAS seperti isu menantu Tok Guru Nik Abdul Aziz, Ariffahmi.

Ustaz Nasharuddin perlu mengelak terjebak dalam membuat fitnah. Bukan saya hendak mengaitkan beliau dengan isu kerajaan perpaduan tetapi tindak tanduk beliau memberi ruang kepada musuh politik beliau untuk mengambil kesempatan. Beliau sepatutnya lebih peka dalam isu lain yang lebih memberi keuntungan kepada pakatan rakyat dan PAS.

Bagaimanapun dalam hal ini untuk menuduh beliau mungkin perlu juga berlapik kerana kebiasaan media menyiarkan kenyataan pemimpin PAS jika sekiranya ia menguntungkan Umno dan mengelapkan berita bila terkena batang hidung sendiri.

Jadi tuduhan penulis blog terhadap Ustaz Nasharuddin bahawa beliau tidak membuat kenyataan dalam isu lain seperti judi misalnya, mungkin boleh dipertikai. Jawapan yang jelas boleh bertanya kepada Ustaz Nasharuddin sendiri.

Ustaz Nasharuddin juga berkata penggunaan nama Allah adalah masalah akidah. Kita harap Ustaz Nasharuddin boleh mengemukakan nas hasil kenyataan beliau itu.

Oleh kerana itu saya lebih setuju dengan pandangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan Dr Asri tadi, iaitu dalam soal hukum ia jelas perkara harus dan bukan masalah akidah tetapi dalam mengambil kira mudhorat maka kajian terhadap kesan kepada Islam akibat penggunaan nama Allah oleh Kristian perlu dikaji.

Berikut dibawah tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman:

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal".

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini

SUDUT HUKUM

Berikut di atas tadi adalah petikan berita Malaysiakini bertarikh 31 Disember 2009.

Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu.

TETAPI ..

Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap agar rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN Berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP