Mensuci Chow Kit dengan kuliah ilmu

>> Isnin, Jun 18, 2007

Sempena perasmian bangunan PAS 21 Mei lalu

Oleh Adnan Ibrahim

KALAU anda menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Star dari stesen Titiwangsa menghala ke bandar dan selepas stesen PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) palingkan muka anda ke sebelah kiri sekiranya badan anda menghadap haluan depan LRT.Sekiranya anda dari stesen Masjid Jamek menghala ke stesen Sentul selepas stesen Jalan Sultan Ismail palingkan muka anda ke sebelah kanan kalau tubuh anda menghadap stesen PWTC.Tumpukan perhatian anda dicelah bangunan tinggi dan anda akan terpegun dengan panorama bangunan Pejabat Agung PAS sambil anda tersenyum puas melihat perkataan jawi dan rumi terpampang gah dengan lambang bulan.Tulisan berwarna hijau itu nampak timbul kerana berlatarbelakangkan warna putih pada bangunan menambah terserlah huruf dan lambang tersebut.Tulisan jawi yang disifatkan kolumis Siasah, Haji Subky Latif sebagai mati, ada juga satu generasi baru di bangunan itu. Perkataan PAS bertuliskan jawi disebelah kanan manakala sebelah kirinya rumi dan lambang bulan ditengah kedua tulisan tersebut.Inilah bangunan pejabat PAS yang baru dirasmikan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 21 Mei lalu. Bangunan berwarna putih bercerminkan biru gelap tersebut hasil sumbangan orang ramai bertempat di Jalan Raja Laut.Di sini terdapat tulisan jawi pada bangunan baru yang sukar kita temui dalam zaman kemajuan ini. Selain itu kita hanya dapati keturunan jawi daripada akhbar Utusan Zaman yang masih hidup. Itupun seminggu sekali dalam sisipan akhbar utama dan dua minggu sekali dalam satu muka Harakah.Mahu mengenali tulisan jawi ditengah kota raya ini memang sukar sekarang. Generasi awal jawi sudah lama meninggalkan kita. Kalau ada tinggal pun tulisan jawi di bangunan sudah tua, kedai lama perniagaan orang Cina dan pawagam lama yang mungkin ketika dahulu menyiarkan filem P Ramlee.Ketika anda dalam LRT dan sedang memperhati kemegahan bangunan PAS tersebut dicelah bangunan tinggi hingga menutup terus minda anda tentang apa disebalik dan dicelah bangunan PAS itu.Sebenarnya keindahan yang anda saksikan itu terselindung gelagat manusia yang berbagai ragam di Lorong Haji Taib atau juga dikenali `Belakang Mati’ di Chow Kit. Cuba anda gagahkan kaki melalui lorong tersebut, mungkin anda akan temui sesuatu yang cukup memualkan. Oleh yang demikian sempena dengan perasmian itu, satu pendekatan mungkin perlu diambil bagi menangani suasana dan keadaan tersebut. PAS boleh membuat perubahan ini kerana pemuda pernah berkata PAS akan kedepan dalam segala hal.PAS juga terkenal dengan pendekatan kuliah ilmu dalam menarik orang ramai kepada Islam. Majlis ilmu di tengah Kota Bharu cukup meriah dan menjadikan bandar tersebut sebagai pusat ilmu kerohanian dan bimbingan kehidupan rakyat Kelantan. Bandar tersebut menjadikan masyarakatnya bermoral dan berakhlak tinggi sehingga mampu menilai kehidupan mana yang baik dan buruk.Sebenarnya ditengah kota raya Kuala Lumpur, banyak masjid yang boleh menjadi pusat sumber kuliah ilmu tetapi mungkin kerana tenaga pengajar tidak terdiri daripada ulama terkenal maka suasana sambutan kepada majlis ilmu kurang berkesan. Secara langsung tidak memberi impak kepada penduduk kota kepada kehebatan Islam.Saya pernah ditanya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika itu Timbalan Presiden PAS, semasa berbual konsert dari luar negara di Stadium Merdeka. Kata beliau: “Cuba bagi kita, tengok macam mana mahu buat pengisianstadium itu.” Lalu disokong Mohamad Sabu yang ada bersama.Maknanya di sini saya membayangkan PAS ada agenda besar sekiranya ada peluang menguasai kota raya. Bayangkan program ilmu itu mendapat sambutan sebagaimana di Kota Bharu, ia akan memberi kesedaran berbeza kepada budaya masyarakat kota selama ini. Penerokaan ini juga akan membawa dimensi baru kepada penduduk kota yang secara tidak langsung membersih Lorong Haji Taib daripada perkara yang memualkan kepada tempat yang indah dengan budaya ilmu. Sekurangnya Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara bersyukur kalau sumber mengatakan nama Haji Taib daripada nenek moyangnya itu benar.Mungkin sukar tetapi itulah cabaran. Namun pengalaman PAS di Kota Bharu mengadakan kuliah agama ditengah bandar boleh direalisasikan di sini. Hujung minggu Kota Bharu pada Jumaat manakala di Belakang Mati pada Ahad.Pengisian pagi Jumaat di Kota Bharu boleh dilaksanakan di pejabat ini, pada pagi Ahad. Bagi menarik kehadiran dan sambutan yang baik terhadap kuliah agama yang julung kali diadakan ditengah kota maka pemimpin tertinggi parti perlu terlibat.Jadual boleh diatur iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh menyampaikan kuliah pada hari Ahad setiap minggu pertama. Bagi Ahad minggu kedua dicadangkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan minggu ketiga Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din.Ahad minggu keempat boleh diamanahkan kepada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atau sebarang Pesuruhjaya PAS negeri. Bagi Ahad minggu kelima, boleh dicadangkan penceramah bebas terutama daripada keturunan Cina dan India hatta daripada orang asli sekalipun supaya PAS nampak lebih majmuk. Misalnya; tokoh seperti Ann Wan Seng perlu diberi peluang berdakwah untuk kaum mereka.Jika langkah seperti ini diambil, insya-Allah mungkin perubahan Belakang Mati boleh berlaku. Walaupun maksiat sukar dibendung tanpa adanya kuasa, tetapi kita perlu bertawakal kepada Allah swt supaya memberi minat dan hidayat kepada mereka untuk bersama menyertai kuliah tersebut.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP