Kerajaan kena pastikan agihan adil

>> Selasa, Julai 31, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
BANYAK pro dan kontra apabila Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket pada 25 Jun lalu bagi menuntut kenaikan gaji minima sektor swasta sebanyak RM900 dan elaun sara hidup (cola) RM300 sebulan.
Presidennya Syed Shahir Mohamad menyifatkan isu ini sudah berlarutan lapan tahun bukan lapan hari dan tidak timbul MTUC memberi tekanan kepada kerajaan dalam masa singkat sebagaimana yang dibangkitkan.
Polemik kali cuba menyelami perasaan pekerja seramai lima juta yang mendapat gaji kurang RM1,000 sebulan. Anda boleh memberi maklum balas tersebut melalui SMS 0133354513, e-mail nanbinjai@gmail.com atau fax 03-40253307 dalam anggaran 450 perkataan. Catatkan polemik pada sebelah atas.
Bermula dengan kenaikan harga minyak yang merupakan bahanapi penting menggerakkan sistem pengangkutan menyebabkan barang keperluan harian ikut naik. Berikutan barang asas naik harga makanan jadi melambung.
Pengumuman kerajaan itu pada tahun lepas menjadikan rakyat bertambah terhimpit. Mereka mula mencatu barang keperluan. Sedangkan kehidupan mereka sebelum ini pun sentiasa berjimat. Bagi mereka tidak ada masa untuk berboros kerana berbelanja tanpa dirancang boleh mengundang masalah lain terutama berhutang.
Apakah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sedar selama ini rakyat sudah berjimat apabila mengarahkan rakyat berbuat demikian? Kita rasa Najib perlu ambil posisi mereka selama sebulan. Bagaimana rasanya menjadi rakyat berpendapatan RM1,000 ke bawah?
Rakyat bukan sahaja berjimat malah terpaksa melakukan dua kerja sepertimana kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali bagi menyara kehidupan terutama di bandar.
Shahir pula mendakwa bahawa keadaan yang berpunca daripada tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel itu membawa kepada kuasa beli rakyat yang bertambah lemah.
Perkara tersebut membawa kepada kaum pekerja terpaksa melakukan tiga pekerjaan dalam satu waktu disamping mengorbankan kualiti hidup. Maka lahirlah rakyat yang kurang berilmu, mudah lemah menghadapi ugutan dan tekanan, `makan rasuah’ dianggap keperluan dan yang paling teruk kesan daripada itu ialah adanya rakyat yang boleh `dicucuk hidung’.
Kehidupan bercelaru kerana kekeluargaan menjadi renggang. Tidak ada masa bersama masyarakat, tempat sosial seperti masjid dan akhirnya lahirlah rakyat `robot’ yang hanya memenuhi selera golongan kapitalis dan konglomorat.
Berikutan tekanan dan desakan akibat harga barang naik, kerajaan baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangan awam. Golongan politik menganggap kenaikan gaji yang menandakan pilihan raya umum semakin hampir.
Kenaikan itu digunakan sepenuhnya oleh peniaga kapitalis menaikan harga barang disebalik kelemahan penguatkuasaan kerajaan menangani golongan yang mengambil kesempatan tersebut.
Akibatnya lima juta pekerja swasta berpendapatan RM1,000 ke bawah bertambah menderita. Sudahlah mereka sebelum ini ibarat `kais pagi makan pagi kais petang makan petang’ makin bertambah parah. Tersilap perkiraan menambah hutang. Senarai catu barangan terpaksa ditambah. Apakah kita tidak merasa bebanan tanggungan mereka? Sebagai orang Islam `sekiranya hujung rambut terasa sakit maka hujung kaki pun ikut sakit’ maknanya kuatnya tali persaudaraan Islam. Kalau seorang muslim lain sakit atau bermasalah maka orang Islam lain kena rasa menanggung sama.
Memandangkan tekanan kehidupan ini maka wajar bagi MTUC menuntut kerajaan mengadakan perundingan bagi mengwujudkan peraturan yang membolehkan pihak swasta membayar gaji pekerja paling minima RM900 serta cola RM300 terutama tempat yang mempunyai sara hidup tinggi.
Sebaliknya sikap kerajaan yang tidak bersungguh mahu mengatasi masalah rakyat maka MTUC terpaksa mengadakan piket. Jika kerajaan dengan sikap seumpama itu maka MTUC akan mengadakan mogok.
Di Pulau Pinang dilaporkan terdapat pekerja masih menerima gaji RM450 sebulan sedangkan kos kehidupan negeri itu antara yang tertinggi. Kita kesal kalau `taukeh’ asyik menukar kereta mewah menikmati keuntungan tetapi pekerjanya dibiarkan hidup dalam sengsara. Apakah manusia seumpama ini mahu dilahirkan pemerintah yang hanya penting diri sendiri tanpa perikemanusia hak orang lain?
Minyak kepala sawit juga naik kenapa pekerja ladang tidak boleh menikmati gaji setimpal dengan keuntungan syarikat? Amat sedih pekerja ladang masih menerima gaji RM300 sebulan berkali ganda dibawah paras kemiskinan.
Kita sering bercakap pengagihan kekayaan yang adil. Kalau sosialis agihan sama rata. Tetapi bila ada pekerja bawah menuntut kenaikan gaji kenapa ada pihak yang menentang. Mengapa kerajaan mengambil sikap tidak acuh? Apakah kerajaan lebih menjaga kepentingan golongan pelabur dan konglomorat daripada rakyat negara sendiri?
Kita sering dengar masyarakat setinggan mengeluh terhadap wakil rakyat mereka yang tidak membantu menyelesaikan masalah tanah rakyat duduki sebaliknya menjadi `wakil pemaju’ untuk menghalau rakyat. Apakah kerajaan sudah jadi seumpama wakil rakyat yang sudah jadi `wakil pemaju’?
Pemimpin pembangkang sepatut turun padang kerana ini adalah perjungan rakyat. Pembangkang sering menyebut pengagihan kekayaan yang adil dan inilah masanya membuktikan slogan tersebut. Jangan semata-mata mengharapkan undi mereka tetapi apabila mahukan sesuatu tidak ada pemimpim yang turun berpiket membantu mereka.
Ada beberapa kontra terutama bagi peniaga kecil bagaimana mereka mahu mengajikan pekerja sebanyak itu sedangkan pendapatan tidaklah banyak. Peniaga restoran misalnya, jika menggunakan tenaga kerja tempatan banyak wang terpaksa dihabiskan untuk membayar gaji mereka. Akhirnya taukeh lingkup dan pekerja hilang pekerjaan.
Oleh yang demikian majikan terpaksa mengambil pekerja asing maka akan bertambah mereka di negara ini. Mungkin inilah perlu kepada satu dailog MTUC dengan kerajaan. Jika kerajaan asyik dengan sikapnya tidak bersedia bertemu dengan MTUC keadaan ini tidak akan menjadi penyelesaian.

Read More...

Bola dilanda kroni?

>> Isnin, Julai 30, 2007

Pemain tertekan satu setengah jam terasa 10 jam dalam perlawanan riwayat terakhir
Oleh Adnan Ibrahim
ROMBAKAN besaran dalam persatuan bola sepak negara perlu dilakukan jika sekiranya Malaysia mahu mengembalikan era keagungannya seperti tahun 70 an dan awal 80 an.
Ini kerana ada pihak berpendapat bahawa bermula liga profesional diperkenalkan dalam arena bola sepak Malaysia sejak itulah pasukan kebangsaan mula merudum.
Liga profesional memberi kelebihan kepada pemain bola menikmati gaji secara kontrak dan ia dikatakan cukup lumayan untuk dibanding sebagai pemain dalam liga Malaysia.
Pendapatan tetap dan stabil ini menjadi rebutan kepada belia kerana itu timbul kroni atau kalangan yang rapat dengan pihak persatuan dan tertentu terpilih mewakili kelab atau persatuan bola sepak negeri untuk bermain dalam liga Malaysia. Kepandaian `membodek’ setengah pemain juga walaupun tidak berbakat juga dikatakan mendapat tempat dalam bola sepak negeri.
Sebaliknya mereka mempunyai bakat dalam bola sepak yang sepatutnya digilap sehingga cemerlang, terpinggir dan akhirnya negara kerugian apabila tiada bermain yang benar-benar berkebolehan serta berskil tinggi berada dalam kesebelasan pemain.
Pada era kegemilangan bola sepak Malaysia, pemain tidak bergaji kerana itu tidak berlaku kroni atau berkepentingan. Pemilihan pemain dibuat secara ikhlas berdasarkan bakat semulajadi mereka. Hasilnya negara mampu melahirkan pemain yang mempunyai skil tinggi berbanding sekarang.
Oleh yang demikian bukan sahaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sahaja yang perlu dirombak bahkan persatuan negeri juga perlu diambil tindakan serupa bagi memastikan mereka mampu melahirkan pemain berkualiti.
Banyak pihak telah mendengar sungutan belia bahawa terdapat pemain yang mempunyai bakat dan skil tetapi tidak terpilih mewakili negeri. Sebab itulah sebahagian mereka menyertai rancangan realiti sukan untuk membuktikan bakat mereka.
Bagaimanapun rancangan ini lebih bersifat komersil dan masa yang singkat sudah tentu sukar mengenal pasti mereka yang benar-benar berskil tinggi. Hanya melalui pembangunan sukan kerajaan boleh mengesan mereka ini diceruk-ceruk kampung.
Sehubungan itu dalam perlawanan terakhir menentang Iran, pemain Malaysia yang sudah terkeluar daripada saingan sepatutnya boleh bermain cantik dan releks sebaliknya truma 10 gol menyebabkan permainan mereka amat tertekan. Perlawanan berlangsung selama satu setengah jam itu terasa amat panjang seperti 10 jam.

Read More...

Hanya sekadar bukan kaki bangku

DIMANA masalah pada pasukan bola sepak Malaysia sehingga kini belum mampu pulih daripada keagungan di era Mokhtar Dahari dahulu. Apakah kerana persatuan bola sepak tersebut atau tidak ada rakyat yang berbakat dalam bola sepak.
Pemain bola sepak Malaysia hanya sekadar bukan kaki bangku. Tidak ada bakat semula jadi yang boleh meletakkan mereka setaraf dengan pemain Malaysia di era 70 an dan awal 80 an.
Kehebatan mereka di era tersebut boleh mengundang ramai penonton ke stadium sehingga Stadium Merdeka dirasakan sempit. Sebaliknya sekarang stadium penuh dengan kerusi yang menjadi penyokong setia pasukan bola sepak Malaysia.
Walaupun begitu kecintaan kepada pasukan bola Malaysia masih tetap wujud sekalipun banyak perlawanan menyaksikan mutu pasukan Malaysia yang turun naik. Perasaan tidak berkeyakinan untuk menang mengatasi Cina dan pasukan lain memang ada tetapi hati kecil tetap mahukan keajaiban.
Pada 10 Julai, perlawanan pembukaan bagi pasukan negara mengharungi temasya Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, bertemu dengan China.
Pengulas 'rasmi' Haji Hasbullah Awang seperti biasa banyak mengutarakan info pemain kedua-dua negara. Beliau turut berkata kepada tetamunya di studio, nampaknya bila melihat kepada Akmal Rizal, Indra Putra Mahayudin dan Hairuddin Omar negara masih memerlukan Mokhtar Dahari.
"Sesuatu harus dibuat untuk mencari ganti Mokhtar Dahari" kata Hasbullah dan beliau menyambung lagi, ia harus berlaku dalam perlawanan peringkat liga.
Hasbullah sebagai pengulas sukan tersohor pula mengatakan Mokhtar perlu dicari ganti, ini bermakna selama dua abad berlalu, sukan bolasepak negara gagal melahirkan pemain yang boleh dibanggakan.
Beliau juga menyebut beberapa pemain China yang melalui skim pinjaman pemain, dan mereka dipanggil balik setelah beraksi dalam Liga Inggeris.
China, pasukan yang pernah layak ke Piala Dunia 2002 itu mempunyai pemain berstatus bintang termasuk Dong Fangzhuo (Manchester United), Sun Jihai (Manchester City), Li Tie (Sheffield United), Shao Jiayi (Energie Cottbus) dan ketua pasukan Zheng Zhi, yang pernah beraksi secara pinjaman dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Charlton Athletic.
Negara juga pernah menghantar pemain muda ke kelab luar negara, tetapi ke mana mereka sekarang?
Negara pernah gah apabila Proton berjaya menaja jersi pasukan Norwich City. Antara pendekatan China dan Proton mana lebih berjaya?
Memakai baju tajaan Malaysia rasanya kita berjaya memberi pakai baju kepada pemain handalan luar, kalau tak pakai baju tajaan Proton pun mereka tetap handal, tetapi China tidak menghantar jersi sebaliknya menghantar anak watannya memakai jersi kelab luar, hasilnya China berjaya memakaikan anak watannya dengan jersi pasukan handalan seperti Manchester United.
China boleh dan telah membawa pulang pemain itu untuk beraksi dan hasilnya amat membanggakan serta bertaraf Manchester United, tetapi jika kita membawa balik jersi Norwich City itu ke sini, siapa pakai pun persembahannya tetap sama seperti biasa.
Nampaknya, skuad negara setelah berpuluh tahun dan dalam alaf baru ini hanya layak lahirkan jersi bertaraf dunia, bukannya pemain seperti yang dinantikan oleh seluruh peminat bolasepak!

Read More...

Runtuh, bocor: Apakah sudah jadi budaya?

>> Sabtu, Julai 28, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
ISU runtuh dan bocor cukup panas sejak akhir ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja akhbar melaporkan seolah-olah semacam menjadi budaya di negara ini.
Terbaru Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang menelan belanja RM468 juta tetapi siling di bilik penyusuan di bangunan itu yang baru siap Julai tahun lalu didapati runtuh.
Kejadian siling runtuh turut berlaku di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dan bangunan kerajaan di Putrajaya. Bangunan retak, paip air pecah dan bumbung bocor menjadi laporan harian kepada akhbar utama negara.
Apa yang paling memalukan ialah bila bangunan Parlimen yang baru sahaja diubahsuai pada 2005 menelan belanja RM90 juta turut bocor. Kerja ubah suai turut dilakukan pada 2003.
Pembangkang turut membawa usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1p) iaitu membabitkan hak dan kebebasan ketika kejadian, semasa Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) membahaskan Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang 2007. Usul itu dibawa Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching).
Bagaimanapun, usul Chong dipertikai oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Lim Si Cheng kerana tidak relevan dengan peraturan mesyuarat yang diguna Chong.Tambahan pula, kata Lim, perkara itu sedang diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab.
Pembangkang yang tidak berpuas hati cuba membantah dan berlaku “perang mulut” dengan penyokong kerajaan yang menyokong keputusan Lim.
“Ini membabitkan keselamatan anggota Parlimen dan mesti dibincang,” kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menyebabkan suasana semakin riuh apabila penyokong kerajaan beramai-ramai menempelak Kit Siang.
Apa yang melucukan beberapa ahli Parlimen membahaskan perbelanjaan yang berkait Parlimen pada akhir tahun 90 an turut menegur masalah kebocoran dan keselamatan bangunan Parlimen. “Ha! Tu atas kepala Yang Dipertua, kalau jatuh tu boleh bawa meninggal, naya tak pasal-pasal.” Ucapan seorang ahli Parlimen itu ditunjukkan kepada bentuk kun seumpama stalagmit pada gua batu kapur di atas tempat terletaknya kerusi Speaker Parlimen.
Persoalannya bagaimana ubah suai bangunan tersebut yang menelan belanja RM90 juta tetapi tidak sampai lima tahun berlaku kebocoran. Kalau atap daun nipah diguna oleh orang Melayu ketika dahulu mampu bertahan dua tahun dengan kos yang kecil mengapa perbelanjaan besar itu tidak mampu memberi ketahanan berpuluh-puluh tahun?
Apakah kejuruteraan Kementerian Kerja Raya hanya setanding orang kampung buat atap daun nipah? Cat ICI boleh memberi jaminan ketahanan produknya hingga lima tahun dalam iklan di televisyen. Apakah ICI lebih baik kejuruteraannya daripada Kementerian Kerja Raya?
Keadaan ini cukup membimbangkan rakyat Malaysia. Kita hidup dalam suasana yang sentiasa berwaspada. Berhati-hati di jalan raya kerana takut berlaku kemalangan atau dilanggar kenderaan. Sentiasa berwaspada dijalanan kerana dibimbangi menjadi mangsa ragut dan perompak.
Di bangunan juga kita perlu berhati-hati apabila berjalan kerana dibimbangi terjatuh disebabkan air boleh melimpah di lantai bila-bila masa. Mata dan telinga kita mesti sentiasa cergas untuk menangkap bunyi keruntuhan.
Budaya berwaspada dan berhati-hati sudah cukup menekan rakyat kita ditambah lagi dengan budaya keruntuhan dan kebocoran bangunan serta jalan raya dan jambatan.
Apakah keruntuhan dan kebocoran kepada bangunan serta jambatan di negara ini sudah menjadi budaya?
Sekiranya ia menjadi budaya kepada negara kita tentu akan menjadi satu masalah kerana keruntuhan dan kebocoran boleh berlaku kerana adanya penyelewengan, rasuah dan kecuaian dalam projek yang berbelanja besar.
Namun begitu kita mengharapkan supaya tidak berlaku malapetaka sebagaimana keruntuhan kondominium Highland Tower, di Ampang pada 11 Disember 1993 yang menyebabkan 53 orang maut.
Kita juga tidak mahu kejadian seumpama keruntuhan jambatan di Korea Selatan pada 22 Oktober 1994 sehingga 32 orang terbunuh. Bagaimanapun sikap menteri berkaitan meletak jawatan kerana mengambil tanggungjawab sepatutnya diambil contoh oleh menteri di negara ini.
Kita mengharapkan siasatan bebas dalam masalah keruntuhan dan kebocoran ini kerana keruntuhan pasaraya di Korea yang menyebabkan 100 orang mati pada 30 Jun 1995 terdapat unsur penyelewengan dan rasuah.

Read More...

Lebih separuh pekerja swasta bergaji RM1,000 kebawah

Oleh Adnan Ibrahim
PENGUMUMAN kerajaan mengenai kenaikan gaji kakitangan awam yang cukup mengembirakan itu sebaliknya diterima berlainan kepada pekerja swasta terutama bebanan barangan keperluan turut naik harga.
Memandangkan demikian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan mengambil langkah segera cadangan formula gaji minimum RM900 bagi pekerja swasta.
Setiausaha Agungnya, G. Rajasekaran berkata, ia sebagai langkah mengimbangi taraf hidup rakyat di negara ini kerana terdapat pekerja swasta masih memperolehi pendapatan RM200 sebulan.
Sementara itu, pekerja ladang termasuk kontrak akan menikmati kenaikan gaji sebanyak sembilan peratus mengikut kadar yang dipersetujui dalam Perjanjian Bersama (CA) antara Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn.
Seramai 4,800 penoreh getah, 25,200 pekerja padang dan pekerja am yang bertugas di 384 ladang dan 115 kilang di Semenanjung.
Bagaimanapun aktivis masyarakat, S Arutchelvam menyifatkan kenaikan itu bukanlah peningkatan drastik dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan pekerja.
“Kenaikan itu hanyalah sebanyak RM1.40 sehari, iaitu jika dihitung dengan hari bekerja sebanyak 26 hari, maka jumlahnya baru RM36.40. “Itupun tidak tentu kerana kerja peladang dan penoreh getah bergantung kepada faktor cuaca, jika hujan mereka tidak boleh bekerja,” katanya. Sebelum ini rakyat menghadapi kenaikan minyak kelapa sawit sehingga paket satu kilogram sukar didapti di pasaran. Ini bermakna permintaan minyak ini cukup tinggi di pasaran dunia. Begitu juga kenaikan harga getah.
Dalam masa sama peneroka mencatat keuntungan yang tinggi terutama peneroka kelapa sawit berbanding getah. Sektor kelapa sawit cukup menguntungkan pihak perladangan.
Bagaimanapun tanpa disedari kenaikan tersebut sebenarnya tidak menyumbang kepada pekerja ladang. Terutama mereka yang dibayar gaji hari langsung tidak menikmati faedah daripada kenaikan harga kelapa sawit. Hendak merasai bonus jauh sekali kerana mereka pekerja yang tidak dikira pekerja tetap.
Kalau mereka yang bergaji bulan mungkin boleh menikmati faedah bonus daripada keuntungan syarikat tetapi kita tidak dengar pekerja mereka memperolehi bonus sebagaimana yang dinikmati pekerja Petronas enam kali gaji apabila harga minyak mentah tinggi di pasaran.
Apakah keuntungan daripada kenaikan harga kelapa sawit tidak boleh disalurkan juga kepada pekerja ladang yang berpendapatan cukup menyedihkan kerana inilah masa yang sepatutnya dirasai mereka?
Ini kerana apabila harga kelapa sawit turun, jauh sama sekali untuk menikmatinya.
Menurut Timbalan Presiden MTUC, Mohamed Shafie BP Mammal pula dianggarkan kira-kira lima juta pekerja swasta di negara ini hidup dalam kesusahan berikutan pendapatan bulanan mereka di bawah RM1,000.
Kumpulan ini ialah pekerja bawahan seperti pengawal keselamatan, pekerja kilang, tukang cuci dan pekerja ladang.
Menurutnya, gaji paling rendah yang direkodkan pada masa ini ialah pengawal keselamatan dengan pendapatan bulan sebanyak RM180, pekerja kilang dalam lingkungan RM300, pekerja ladang (RM450) serta tukang cuci (RM450).
‘‘MTUC mahu cadangan formula gaji minimum RM900 diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak kerajaan,’’ katanya mengulas saranan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar supaya lebih 578,000 majikan swasta di negara ini mempertimbangkan kenaikan gaji terutama bagi kakitangan peringkat bawahan selaras dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji sektor awam baru-baru ini.
Berdasarkan rekod Kementerian Sumber Manusia, jumlah keseluruhan pekerja swasta ialah 10.38 juta orang.

Read More...

Pak Lah mengamuk sakan banjir di Kuala Lumpur

Adakah kerana ganggu berbulan madu atau dekat pilihan raya?
Oleh Adnan Ibrahim
BELUM hilang negara menghadapi masalah keruntuhan dan kebocoran bangunan kali ini Kuala Lumpur dilanda banjir pula. Ada yang kata banjir berlainan dengan isu bocor dan runtuh kerana ia bencana alam. Malah ada yang tambah: “Apa kena mengena dengan kerajaan... banjirkan kerana hujan lebat.”
Kali ini polemik cuba membawa isu banjir di Kuala Lumpur, 10 Jun lalu untuk dibahaskan bersama pembaca Siasah. Anda boleh memberi maklum balas tersebut dalam anggaran 450 perkataan hantar ke e-mail nanbinjai@gmail.com atau fax 03-40253307 dengan mencatatkan polemik pada sebelah atas.
Bagaimanapun menjawab persoalan yang berlegar itu, mungkin ada beberapa kemusyiklan yang boleh dibincang. Apakah guna projek Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) yang menelan belanja RM2 bilion kalau tidak mampu mengatasi banjir di bandar raya?
Apakah Terowong Smart lebih berfungsi sebagai jalan raya bagi memudahkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu `buat duit’ mengutip tol yang akan dikenakan RM2 pada 16 Jun ini? Apakah Samy ini pakar reka cipta projek kutip tol? Kalau kutip tol tempat lain kurang kuantiti kenderaan atas jalan. Jadi cipta laluan tengah bandar raya terutama jalan paling sibuk walaupun terpaksa korek perut bumi. Kemudian berpakat dengan Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar katakan ini projek Smart salirkan air dari bandar raya ke satu tempat untuk mengelak berlaku banjir.
Terowong Smart membabitkan kos yang ditanggung kerajaan sebanyak RM1.3 bilion dan RM633 juta oleh Gamuda dan Malaysia Mining Corporation (MMC). Menurut maklumat awal projek tersebut untuk mengatasi masalah banjir di pusat bandar raya tetapi sebahagian laluan itu akhirnya ditambah untuk memaksimumkan penggunaan terowong itu. Ini mungkin kena mengena dengan tol kerana kalau setakat laluan banjir daripada mana wang mahu diambil bagi menampung perbelanjaan RM2 bilion.
Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar, Datuk Azmi Khalid pula membisu bila rakyat mempertikaikan projek bilion ringgit tetapi banjir tetap berlaku di Kuala Lumpur yang membawa kemusnahan teruk. Kenapa beliau hanya muncul ketika mahu merasmikan Terowong Smart sahaja? Apabila banjir, lepas tangan dan serah kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Datuk Paduka Ir Keizrul Abdullah sahaja yang menjawab?
Sebelum ini Keizrul berkata: “Laluan air itu dibina untuk mengatasi banjir kilat yang sering menganggu pusat bandar raya dengan mengalirkan lebihan isipadu air dari Sungai Klang dan Sungai Ampang.”
Selepas banjir Ahad lalu pula beliau berkata Terowong Smart hanya mengalirkan air banjir dari Sungai Klang ke Sungai Kerayong untuk disimpan di kolam khas, tetapi ia tidak dapat mengatasi masalah lebihan air ketika hujan lebat di Sungai Gombak.
Sungai Gombak bergabung dengan Sungai Batu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kemudiannya bercantum di Sungai Klang di bawah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek.
Secara logik apabila isupadu air berkurang di Sungai Klang bermakna aliran dari Sungai Gombak terus lancar ke tersebut. Maka air tidak melimpah di bandar raya Kuala Lumpur. Mesti ada yang tidak kena dengan projek RM2 bilion sehingga tidak mampu membuat aliran sungai itu lancar menyebabkan banjir berlaku sama teruk pada 2003 sebelum Terowong Smart siap.
Ini bertentangan kenyataan Pengurus Besar Projek Terowong Smart, Ooi Boon Keng, semasa pembinaan itu laksanakan. Beliau berkata terowong 9.7 kilometer itu akan membantu mengurangkan kira-kira 50 peratus banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur.
Sementara itu, dalam tinjuan pendapat ramai sebuah akhbar harian mengatakan banjir di Kuala Lumpur dapat diatasi dengan membersih dan membesarkan sungai iaitu sebanyak 46.1 peratus berbanding undi lima peratus kepada pendapat lebih banyak Terowong Smart dikorek. Itulah kekecewaan yang ditunjukkan rakyat hasil daripada keangkuhan projek RM2 bilion dan membesarkan perut kroni pihak yang terbabit.
Dalam dunia siber pula ada yang sempat bergurau mungkin hujan turun lebat meraikan perkahwinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi kerana kebiasaannya orang kampung berkahwin musim hujan. Kalau sebelah Pantai Timur pada musim tengkujuh. Orang kampung tiada kipas atau penyaman udara jadi musim tersebut jadi sasaran.
Bagaimanapun Pak Lah tidak mengira itu semua kerana mahligai di Putrajaya penuh dengan air-con. Sebaliknya ada pulak berbisik hujan tersebut mungkin memujuk hati Pak Lah supaya merasai dan menjiwai budaya orang kampung berkahwin.
Namun yang pastinya nasib Pak Lah kurang baik kali ini kalau hujan yang diharap banjir yang datang. Sudah diberitakan majlis kahwin asyik tertangguh, hari meraikan bulan bermadu pun jadi pahit. Beliau dikatakan marah sungguh dan terpaksa turun ke bandar raya membelakangkan dahulu kenangan indah semata-mata hendak menjaga hati rakyat memandangkan banjir di Kuala Lumpur dekat dengan tarikh pilihan raya umum berlainan banjir di Johor beliau boleh bersenang di Australia.

Read More...

Tudung Jeanne sendiwara Islam Hadhari Pak Lah

>> Jumaat, Julai 27, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
SAYA cukup gelabah bila diberitahu isteri baru Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah sudah memakai tudung sebagaimana yang disiarkan akhbar. Tudung yang dipakai pula cukup kemas (tudung lingtup) tidak selebeh macam Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan wanita Umno lain yang menampakkan jambul.
Dilaporkan Abdullah Ahmad Badawi sekembali dari lawatan ke Itali sempat singgah di Mekah, menunaikan umrah. Gambar menutup aurat itu disiar pada Khamis, 28 Jun lalu ketika dead line Siasah.
Rakan saya, Faizul bahagian teknikal, bising bagaimana dengan artikal Subky sedangkan isteri PM sudah tutup aurat. “Kemas lagi. Bukan macam berselendang,” katanya. Saya jadi gelabah dan mencari akhbar tersebut lalu menghubungi Subky.
Artikal di ruangan Terkenang menceritakan pengalaman Subky melihat isteri pemimpin tinggi negara tidak bertudung. Katanya: “Amat malang bagi umat Islam Malaysia yang rata-rata sudah bertudung tetapi isteri PMnya tidak bertudung.”
Saya gelabah bukan kerana bimbang disaman tetapi amat takut pemakaian tudung isteri PM itu terus lekat yang mengambarkan beliau telah membuat perubahan pada dirinya. Jadi amat bimbang bagi saya sekiranya tulisan itu menganggu seorang insan yang cuba membuat perubahan pada dirinya.
Apa lagi kalau tulisan tersebut boleh dianggap meremukkan hatinya sehingga mencetus pemberontakan dan tujuannya mahu kepada perubahan kearah kebaikan akhirnya musnah hasil daripada kerja kita. Inilah yang menakutkan saya.
Saya memandangkan berat hal ini kerana takut kes ini boleh berlaku seumpama artis yang mendapat hidayah dan membuat perubahan dengan menutup aurat tiba-tiba tersasar kerana beliau tidak dijadikan kawan rapat oleh wanita soleh.
Kambing kalau seekor mudah dicekup serigala. Begitulah Islam mementingkan berjemaah untuk menjaga kepentingan insannya. Kalau artis tersebut sentiasa didekati wanita soleh mungkin ruang untuknya tersasar daripada kebenaran tentu sukar.
Saya akui wanita soleh sukar rapat dengan artis tersebut kerana kerajaan tidak mahu penglibatan artis itu dalam kumpulan wanita soleh tadi akan menguatkan pengaruh parti mirip Islam.
Namun begitu kita tidak boleh mengalah kepada halangan atau kesukaran. Mungkin ustaz-ustaz telah menanam dalam jiwa para pendakwah supaya tidak berputus asa kerana ia adalah sifat yang boleh membawa haram. Kita harap kesilapan lalu dijadikan iktibar untuk terus buat perubahan.
Memang sepatutnya mereka yang memperolehi hidayah dengan cara mudah patut bersyukur kerana ia biasanya datang dari hati yang berusaha mencari kebenaran. Setelah mendapat hidayah setiap insan perlu mencari ilmu bagi menguatkan hidayah tersebut. Sekiranya ilmu kurang ia boleh mengoncangkan jiwa kerana kehidupan seterusnya akan melalui mehnah dan ujian. Sebab itu ramai yang terkandas dan kembali kepada perangai asal setelah melalui kebaikan.
Pada hari seterusnya saya lihat isteri PM di akhbar. Tidak pula bertudung. Saya perhatikan betul-betul, kalau gambar yang disiarkan itu gambar lama. Rupanya meleset, memang sah isteri Pak Lah belum mahu tutup aurat. Maka membenarlah saya akan kata-kata Subky.
Malah menambah lagi kebenaran bahawa Islam Hadhari yang dipimpin PM itu satu kepalsuan dan penipuan. Perbuatan sekejap memakai tudung sekejap tidak sebagai isteri pemimpin Islam Hadhari benar-benar satu sendiwara terhadap hukum hakam Islam.
Nas al-Quran jelas memerintahkan wanita menutup aurat takkan PM sebagai cucu ulama tersohor tidak menjumpai surah An-Nur, ayat 31: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;”
Kita harap sayugialah pemimpin sebagai pembimbing rakyat jangan mempermainkan Islam nanti ia merosakkan fahaman rakyat yang sudah jahil.
Rakyat bukan sahaja celaru dalam syariat dan perundangan Islam, malah perkara yang berkait dengan amal Islami yang umum seperti amar makruf dan nahi mungkar tidak lagi diendahkan.
Kerana itulah maksiat makin menjadi-jadi dan draf jenayah makin meningkat. Kesusahannya menimpa pada rakyat. Hidup tidak lagi temteram kerana keadaan sekeliling penuh jenayah.
Kalau Subky mengimpikan isteri Perdana Menteri bertudung, apa lagi rakyat terutama wanita Umno yang bertudung. Bagaimana sukarnya wanita Umno bertudung berkempen Islam Hadhari dalam pilihan raya umum ini kerana isteri PM sendiri sekejap bertudung sekejap tidak.
Apa yang jelas pada mereka banyak masa tak bertudung. Kalau artis tersebut boleh bertahan lama bertudung maka hebat jugalah iman beliau berbanding isteri PM yang kelihatan bertudung hanya balik dari umrah.
Bagi orang Islam itu ada bezanya dengan bukan Islam. Bagi wanita yang tampak jelas berbeza dengan bukan Islam ialah tudung. Itulah hebatnya orang Islam kerana kelainannya. Sebaliknya kita bimbang ada hati-hati yang tidak mahu menunjukkan dia Islam dan hendak dilihat sama dengan bukan Islam. Malu dilihat dia digolongan Islam. Kita harap ia tidaklah sampai begitu sekali. Minta berlindunglah dengan Allah.

Read More...

Mahathir bahan bukti, Anwar ada bukti

Oleh Adnan Ibrahim
KETIKA pemerhatian rakyat tertumpu kepada pembicaraan kes bunuh Altantuya tiba-tiba Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir membebaskan Tan Sri Eric Chia, bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd dari tuduhan pecah amanah RM76.4 juta pada 1994 tanpa perlu membela diri selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Perwaja bukanlah skandal main-main. Oleh kerana kerugian Perwaja ketika itu berpusat di Kemaman ia menjadi perbincangan hangat di Terengganu terutama daerah tersebut. Kerugian yang dialami Perwaja bukan sedikit iaitu RM10 bilion tetapi perbicaraan hanya sebahagian kecil kes yang melibatkan perjanjian bantuan teknikal (TAA) berhubung projek loji `beam and section’ yang dikendalikan Perwaja Rolling Mill Development Sdn Bhd (PRMD).
Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu Lim Guan Eng yang mula mencetus isu kerugian Perwaja sering menimbulkan persoalan di Parlimen yang menyukarkan kerajaan menjawab. Sikap kerajaan ketika itu dan Menteri Kewangannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih mengelak dan menyelamatkan Perwaja.
Bagaimanapun ada sumber memberitahu saya bahawa Guan Eng banyak mendapat maklumat daripada `orang dalam’ untuk memprovokasikan isu rasuah, penyelewengan dan kerugian Perwaja di Dewan Rakyat. Tidak dapat dipastikan siapa. Bagaimanapun melihat hubungan Anwar dengan pembangkang terutama DAP ia bolehlah diagak.
Pada 1995 hingga 1997 skandal Perwaja bertambah hangat di Parlimen. Malah Anwar sendiri melaporkan kepada Parlimen pada 1996 betapa Perwaja sudah muflis dengan kerugian besar disebabkan salah urus dan pembayaran yang boleh dipersoalkan.
Selepas itu, banyak laporan polis mengenai pelbagai aspek salah urus oleh Perwaja telah dikemukakan oleh parti pembangkang, yang paling penting sekali ialah laporan Anwar Ibrahim pada 22 Julai 1999, bernombor 19625/1999. Ini adalah petikan sebahagian daripada laporan itu: “Sebenarnya Eric Chia telah membuat dakwaan berulang-ulang bahawasanya tindakan beliau telah direstui dan mengikut arahan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir. Dakwaan itu disokong oleh beberapa keping surat yang ditulis tangan oleh Perdana Menteri itu sendiri. Dengan mandat semacam itu, Lembaga Syarikat telah diketepikan, peraturan pengeluaran tender sengaja diabai dan tentunya boleh dipersoal, bayaran yang tidak telus telah dikeluarkan kepada pihak tertentu.” Laporan ini sudah memadai untuk menjelaskan kenapa pihak berkuasa telah sengaja berlagak tidak kisah terhadap skandal kewangan yang paling besar dalam sejarah negara kita.
Tun Mahathir sendiri mengaku semasa sesi dialog dengan pelajar di London pada Februari 2002 bahawa kejatuhan Perwaja adalah disebabkan salah urus dan penipuan besar.
Nah! Anwar mempunyai bukti dan Mahathir adalah bahan bukti utama. Kenapa pendakwa tidak melakukan siasatan keatas mereka ini?
Bagaimanakah kita boleh meyakinkan rakyat jelata bahawa Pak Lah memang berniat ikhlas dan telus dalam menyelesaikan kemelut Perwaja sedangkan punca dan tonggak skandal itu, yakni Mahathir, tidak pun disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR)?
Rakyat cukup kesal banyak wang dihabis untuk perbicaraan mengambil masa hingga tiga tahun. Rakyat juga masih ingat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil kesempatan keatas pendakwaan ini sebelum pilihan raya umum 2004.
Akhirnya ia banyak memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan rakyat ketika itu bahawa pendakwaan tersebut lebih merupakan kesempatan Pak Lah untuk memulih imej beliau yang banyak bercakap tentang rasuah tetapi tidak ada pendakwaan yang dilakukan keatas kes rasuah berprofil tinggi apalagi tindakan tersebut dilakukan menjelang pilihan raya umum tersebut.
Memang dijangkakan ia menjadi modal besar Barisan Nasional (BN) ketika itu. Rakyat cukup hangat memberi kepujian kepada Pak Lah. Malah ada yang lebih terlajak mengatakan akan ada pendakwaan yang lebih hebat selepas itu melihat daripada tindakan Pak Lah.
Bagaimanapun apa yang pastinya hanya bilis yang tersangkut dijaring sebaliknya jerung tetap terlepas.

Read More...

Palestin aman dibawah Hamas jika tiada pengacau

>> Selasa, Julai 24, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
DALAM pada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menubuhkan kerajaan darurat dengan memecat Hamas daripada kerajaan perpaduan Palestin, kumpulan Hak Asasi Manusia Antarabangsa melalui seorang aktivisnya, Raji Surani mengeluarkan kenyataan bahawa Palestin lebih aman dibawah Hamas.
Malah beliau berpendapat keputusan Abbas itu menyalahi peraturan dan undang-undang pemerintahan Palestin.
Katanya, apa yang diumum Abbas itu melanggar pasal 65,66,67 undang-undang dasar Palestin dan peraturan Parlimen. Oleh yang demikian Abbas seharusnya berdailog dengan Hamas bagi mengwujudkan keamaman.
Sebaliknya Abbas berkata beliau tidak akan berbincang dengan Hamas kerana menuduh kumpulan itu sebagai pengganas dan mahu membunuhnya.
Malah beliau secara terangan lebih suka berbincang dengan Amerika dan Israel bagi menyelesaikan konflik dalam negeri sendiri.
Hamas yang membuat tawaran berdailog ditolak Abbas mentah-mentah. Dalam pidato Abbas itu beliau mengkritik Hamas yang dinilainya menyerang simbol pemerintahan negara sejak mengambil alih pemerintahan di Gaza.
Abbas berkata kepada semua pemimpin Fatah di Tebing Barat bahawa tidak akan ada dialog dengan Hamas yang disebutnya sebagai `teroris pembunuh dan merancang membunuhnya.’
Hamas menguasai Semenanjung Gaza bukan baru malah sejak setahun setengah lalu selepas menang besar dalam pilihan raya. Sejak pemerintahan itu kumpulan hak asasi tersebut tidak menemui tindakan yang menyalahi peraturan antarabangsa.
“Tidak ada perubahan yang menyalahi peraturan berhubung dengan kebebasan awam. Gerakan Hamas adalah sebahagian daripada sistem politik Palestin yang memiliki ideologi dan pemikiran yang tidak menunjukan keburukan kepada kebebasan umum,” ujar Surani.
Malah Surani dilaporkan terkejut bila tiba-tiba terdapat kumpulan yang kembali mencetus suasana tidak aman di sini.
“Sejak tahun 1994 saya tidak menemukan kumpulan bersenjata yang jumlah menurun seperti keadaan sekarang,” katanya.
Ia juga menolak tindakan Fatah kerana melakukan kekerasan di Tebing Barat yang melanggar peraturan hak asasi manusia.
Kalau pertubuhan yang berkait dengan hak asasi merasa lebih senang dengan pemerintahan Hamas kenapa Fatah sengaja mencetus keadaan yang tidak tenteram di Palestin? Apakah Fatah dan Liga Arab mula curiga dengan kemampuan Hamas memerintah yang boleh mengembalikan keamanan di rantau itu atau mereka bimbang bahawa Islam akan menyinar di bumi Palestin?
Hamas dikatakan telah mengenal pasti mereka yang mencetus keganasan itu sehingga ada yang menganggap mereka ini lebih teruk daripada Israel kerana memainkan peranan daripada dalam bagi mencetus suasana yang tidak aman kepada rakyat Palestin.
Bagaimanapun dalam kes penangkapan yang dilakukan oleh gerakan Hamas mengikut peraturan dan membebaskan mereka setelah soal siasat dilakukan dan ini diakui oleh pertubahan hak asasi itu bahawa Hamas lebih menjaga hak awam.

Read More...

Benarkah DAP memperjuangkan hak asasi kebebasan manusia?

Oleh Adnan Ibrahim
DALAM forum Malaysia After Lina Joy di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini, ia memberi gambaran DAP parti yang memberi hak kebebasan kepada manusia. Pada malam itu DAP dilihat mewakili golongan pembela kepada hak asasi kebebasan manusia bila membicarakan kisah Lina Joy.
Malah pendapat DAP turut mendapat sokongan orang Melayu, Prof Fakulti Perundangan Universiti Malaya (UM), Dr Azmi Sharom mengatakan apa yang beliau tahu tidak ada hukuman dunia dalam al-Quran untuk mereka yang murtad.
Saya tidak berminat membicarakan hukum murtad kerana perkara tersebut lebih baik diserah kepada pihak yang arif mengenainya. Bagaimanapun DAP perlu diingatkan jangan hanya `kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tidak nampak’. Kalau orang ada yang tidak faham mereka boleh bertanya Naib Pengerusinya, Zulkifli Mohd Noor.
Memang kebebasan beragama pada setengah kaum Cina seumpama tukar baju atau seluar. Ini diakui sendiri oleh Ronnie Liu Tian Khiew sekarang Ahli Jawatankuasa DAP, dalam satu majlis penerangan Kanun Jenayah Syariah Kelantan di hotel yang sama di sini. Ketika itu PAS bersama Parti Semangat 46.
Menurut beliau, bagi masyarakat Cina menukar agama tidak menjadi satu kesalahan dan ia boleh bertukar bila-bila masa dan mengikut kehendak masing-masing. Seingat saya beliau salah seorang panel pada malam tersebut yang juga Setiausaha Publisiti ketika itu. Pandangan beliau dihormati para hadirin yang terdiri ramai orang Melayu. Tidak ada yang membantah dan membuat bising semasa beliau memberikan hujah. Tidaklah berlaku sebagaimana dalam Dailog: Malaysia Selepas Lina Joy, pada 7 Jun lalu itu, bila ada yang tidak menghormati dan membuat bising dengan laungan: “Tidak benar....tidak benar,” apabila Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Yusri Mohamad salah seorang panel mengatakan bahawa Malaysia mempunyai toleransi, hubungan baik antara agama dan keharmonian yang terbaik di dunia.
Mungkin hak kebebasan beragama inilah yang cuba diterapkan kepada orang Islam. Sedangkan Islam mempunyai hukum dan kepercayaan tersendiri yang tidak boleh campurtangan pihak asing. Kalau negara ada kewibawaan tersendiri tanpa perlu atau tidak mahu kepada campurtangan asing apalagi dengan agama yang sehebat Islam.
Pegangan seumpama ini juga sebenarnya terdapat dalam DAP. Walaupun dakwaan DAP mengatakan mereka memperjuangkan hak asasi kebebasan manusia tetapi peristiwa bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Che Keong mengingatkan saya tentang betapa kerasnya DAP menyekat hak asasi kebebasan berpolitik.
DAP tidak patut campurtangan urusan Wee mahu memilih parti politik mana yang mahu disertainya setelah beliau isytihar keluar DAP. Sebaliknya DAP membuat beberapa peraturan yang melangkaui partinya ketika bersama Barisan Alternatif (BA) iaitu tidak membenarkan mana-mana parti dalam BA mengambil mana-mana bekas ahli DAP.
Disebabkan peraturan tersebut, Wee terpaksa menubuhkan parti pembangkang lain. Nasib Wee bertambah malang apabila parti baru beliau juga dihalang DAP menyertai BA.
Akhirnya pada pilihan raya umum 1999, Wee terpaksa bertanding empat penjuru iaitu Barisan Nasional (BN), DAP, parti beliau dan bebas di Bukit Bintang. Akibat daripada itu juga politik beliau sekarang tenggelam tidak timbul-timbul. Semasa di Parlimen, anak kelahiran Kelantan ini rapat dengan Mohamad Sabu ketika itu Ahli Parlimen Nilam Puri.
Mungkin DAP kena diperingatkan bahawa tidak semua perkara ada kebebasan. Mesti ada peraturan yang boleh membentuk kebebasan kearah kebaikan. Jika kebebasan tanpa peraturan ia akan menjadi seekor lembu hidup bebas tanpa gangguan tuannya.
Maka sudah tentu lembu tadi membuat perkara kesukaannya terutama tidur di atas jalan raya pada waktu malam kerana hawa tar panas dan cukup menyeronokkan bagi lembu yang kedinginan.
Apakah berlaku pada malam dan laluan digunakan lembu tersebut. Tentu DAP boleh fikir, nyawa lembu atau pengguna jalan raya melayang ataupun kedua-duanya sekali.
Jadi apa langkah terbaik? Tuan lembu tadi sepatutnya membuat peraturan kepada lembu untuk menjaga kepentingan umum.
Sudah tentu tuan lembu buatkan pagar dan kandung waktu tidur atau dengan bahasa jelasnya pagar dan kandang tempat lembu tidur itulah yang seumpama peraturan bagi manusia supaya kita tidak menuntut kebebasan sebagaimana lembu tadi.
Kalau negara ada peraturan tidak mahu campurtangan asing. Bagaimana naluri setiap bapa termasuk Kit Siang menghalang anaknya, Lim Guan Eng semasa kecil bergerak bebas kerana mahu memastikan anaknya terus hidup tanpa cedera dan patah. Kalau beliau sayangkan anaknya, apalagi dengan agama yang maha suci ini kerana kecintaan Allah kepada makhluknya itu maka peraturan dikenakan kepada manusia.

Read More...

Maklumat alternatif berkesan sekiranya ahli PAS berperanan

Oleh Adnan Ibrahim
PEMBANGKANG dikatakan tidak mempunyai media yang pantas dan berkesan menjadikan salah satu faktor kekalahan mereka dalam pilihan raya. Televisyen merupakan media yang paling berkesan kerana boleh dikatakan setiap rumah memilikinya.
Orang tua tidak perlu keluar rumah untuk mendapat maklumat. Sudah tentu saluran pertama daftar pemilih mudah digulakan kerajaan.
Sebahagian besar pengundi pula adalah penduduk luar bandar yang sama sekali jauh mengenali internet. Kalau penduduk bandar dan orang politik tidak melayari internet sebagai sumber maklumat apa lagi bagi orang kampung. Oleh yang demikian satu pendekatan perlu diambil bagi pembangkang supaya maklumat dalam internet disebarluaskan kepada rakyat.
Tidak lain, peranan itu mesti dimainkan ahli PAS dan pembangkang. Tuntutan kepada pengorbanan terutama wang sudah semestinya dalam hal ini sebagaimana firman Allah dalam al-Baqarah, ayat 272: “Dan apa jua harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
Ahli PAS kena membeli sejumlah akhbar alternatif untuk disebarkan kepada orang ramai terutama di kedai kopi dan sebagai hadiah kepada masyarakat. Maklumat daripada internet boleh dijadikan VCD dan disebarkan. Ini menjadi lebih bermakna dan berkesan supaya PAS memastikan maklumat sampai kepada sasaran sebagaimana apa yang disuarakan bekas Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang dalam muktamar lalu di Putik, Kota Bharu.
Katanya dalam memperkasakan media penerangan parti dan menyebarkan maklumat tepat tentang perjuangan PAS, pemimpin dan ahli disaran komited membantu dan menyokong media rasmi parti. Beliau kesal banyak usaha dijalankan tidak mendapat sambutan menggalakkan.
Apa yang disuarakan oleh ustaz itu memang benar dan itulah yang dirasakan oleh penerbit akhbar altenatif. Mungkin ahli PAS memandang ia hanya menguntungkan penerbit tetapi hakikatnya berapalah penerbit yang dapat sekiranya dicampur dengan jumlah pengedar yang tidak berbayar.
Penerbitan alternatif sbelum ini baik yang ada permit atau tidak banyak di pasaran tetapi disebabkan kurang sokongan tadi maka usaha murni itu musnah begitu sahaja.
Pengarang Harakah, Saudara Lutfi Othman sudah berpengalaman dalam hal ini. Saya juga pernah menerbit tabloid tidak berpermit dan mengisi perbahasan wakil rakyat di Parlimen dimana ketika itu pembangkang lebih 30 orang tetapi sikap dingin Ahli Parlimen serta pengedar tidak bertanggungjawab maka penerbitan seumpama itu berkubur tanpa nisan.
Hanya Ahli Parlimen yang faham terutama dari Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Harun yang menempah dalam kuantiti banyak setiap kali diterbitkan untuk diedar ke kawasan beliau. Pada saya, kalaulah komited Abdul Fatah itu turut ada pada Ahli Parlimen lain, saya rasa penerbitan seperti itu mungkin boleh terus bernafas.
Semasa PAS memerintah Terengganu turut menerbitkan bahan maklumat tetapi cukup mendukacitakan akhbar dibawah kerajaan negeri itu pun terperok dalam markaz malah ikatan bundle masih suci dan tidak teragut. Apa yang dirasai Ustaz Ahmad Awang itulah yang telah dirasai penerbit alternatif.
Kita harap pengalaman itu tidak perlu diulang. Apa yang penting memastikan rakyat memperolehi maklumat. Apa cara sekalipun terletak atas bahu pembangkang bagi memastikan ia sampai kepada sasaran.
Kalau kita boleh keluarkan duit minyak untuk pergi mendengar ceramah kenapa tidak boleh berbelanja untuk sebarkan akhbar alternatif kepada masyarakat. Kenapa tidak boleh mengeluarkan belanja mencetak bahan dalam Harakahdaily untuk disebarkan kepada rakyat?

Read More...

Mengambil kebijaksaan daripada pecah belah musuh

Oleh Adnan Ibrahim
“YA Allah, kacau-bilaukanlah persatuan mereka, pecah belahlah kesatuan mereka dan jadikanlah mereka ghanimah bagi kaum muslimin.” Ini antara doa yang sering diminta oleh pejuang Islam dalam menghadapi musuh sama ada dalam peperangan mahupun politik.
Sebaliknya apabila Allah memperkenankan doa mereka yang mengaku pejuang Islam, tidak mengambil kesempatan keadaan porak poranda Umno.
Pembangkang kena ingat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih orang Umno begitu juga dengan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaliegh Hamzah.
Apabila Mahathir berkata sebagai ahli Umno dan bekas pemimpin tertinggi Umno, beliau tidak rela melihat Umno tumbang di tangan PAS atau mana-mana parti pembangkang. Tetapi, sekiranya ketewasan Umno adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan kepimpinan Umno sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka rakyat Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara Malaysia tercinta. Inilah pecah belah dalam Umno dan serangan bekas pemimpin terhadap pemimpin mereka mendedahkan senario politik Umno sekarang.
Bagaimanapun sejauh mana kebijaksanaan ini diambil daripada kacau-bilau dalam Umno? Tidak perlu ada usaha membawa mereka ke dalam PAS atau mana-mana parti pembangkang. Tidak perlu juga untuk menilai dan menghukum Mahathir. Sebaliknya aktor inilah yang boleh dipergunakan bagi menambah haru-biru Umno.
Sikap tidak berpuas hati Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah hak beliau sebagaimana dalam ucapannya di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) pada 30 Mac lalu, bahawa dalam politik pun ada mazhab.
“Mazhab yang ada sekarang mungkin berbeza sama sekali” katanya merujuk kepada peseteruan beliau dengan Pak Lah.
Kalau pemusuhan ini tidak diambil kesempatan, sebaliknya menuduh Mahathir, ada kepentingan, orang yang kecewa dan lain-lain bererti pembangkang berseteru dengan musuh politik yang tidak bertaring.
Sepatutnya pembangkang mesti mengenali musuh mereka dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun sedar dimana hala peluru mereka sekiranya mahu mengubah Malaysia.
Disebalik kita berbahas, apa yang pasti bekas Timbalan Menteri, Datuk Ibrahim Ali cepat menghidu peluang politik. Mungkin kelahiran beliau di Kelantan tempat tumbuh wayang kulit memerlukan `tok dalang’ maka peluang ini diambil kesempatan sepenuhnya.
Ibrahim selepas dipecat daripada Umno menjelang pilihan raya umum 2004 dilihat sudah hilang sengat politik walaupun beliau cuba menempek disebalik pengaruh Anwar.
Populariti `katak’ dan `lompat’ seakan melekat pada beliau yang sukar ditanggal sebaliknya watak baru dibelakang tabir itu berperanan mempertemukan Mahathir dan Ku Li. Secara tidak langsung menguntungkan pihak lawan Umno.
Ibrahim bagaimanapun kena fikir dua kali kalau ada rancangannya mahu mempertemukan Mahathir dengan Anwar. Dalam politik tidak mustahil kata Mahathir apabila merujuk kesediaan beliau menghadiri program mempertemukannya dengan Ku Li yang membentangkan kertas pemikiran Razak di Ceramah Agung Tahunan Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM).
Saya kenal Ibrahim sebagai orang yang tidak serik berpolitik dan ada kalanya ramalan politik beliau lebih ke depan. Semasa bersama beberapa wakil rakyat di kantin Parlimen berbual dengan Ibrahim yang ketika itu beliau lebih dahulu melompat daripada Parti Semangat 46 masuk Umno. Kata Ibrahim: “Aku dah baca awal dalam politik ni, 46 tak boleh pergi jauh, kerana itu aku sertai Umno dulu,” merujuk kepada ura-ura pimpinan parti itu akan masuk Umno.
Biasalah orang politik akan ada musuh dan kawan. Dahulu kawan menjadi lawan dan lawan balik menjadi kawan.
Politik Malaysia tidak boleh elak daripada membicarakan ketokohan orang tertentu kerana sejarah buktikan bahawa tidak berlaku perubahan politik hanya semata-mata kerana isu atau sebagainya.
Sebaliknya dua kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) jatuh hanya kerana ketokohan Ku Li dan Anwar. Hakikat ini kita kena akui kerana pemikiran politik rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dan mereka tidak mampu mengubah nasib melalui kuasa undi yang ada pada mereka kerana lebih terpedaya dengan wang dan material.

Read More...

Demontrasi ganti kempen pilihan raya?

Oleh ADNAN IBRAHIM
MELIHAT kepada laporan akhbar tentang pelancaran jentera pilihan raya Umno serta jawaban `ya’ Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kenaikan gaji 1.2 juta kakitangan perkhidmatan awam walaupun yang pastinya sehingga kini ia masih diperingkat kajian, memperlihatkan pilihan raya akan diadakan tahun ini juga.
Paling awal kemungkinan dalam bulan Julai dan ada berpendapat September ini. Umno mengumumkan penangguhan pemilihan pemimpin kali ini dan diikuti parti pembangkang DAP. Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Ijok menambah lagi khabar angin pilihan raya akan diadakan awal.
Walaupun cadangan awal gaji kakitangan awam telah dikemukakan namun kerajaan hanya menjawab sedang mengkaji. Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan semakan semula gaji kakitangan awam dengan kenaikan antara 10 dan 40 peratus memandangkan kali terakhir semakan dibuat adalah pada 1992.Cuepacs mencadangkan kenaikan 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1 hingga 16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam manakala 30 peratus bagi kumpulan sokongan I (Gred 17 hingga hingga 40).Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41 hingga 54), Cuepacs mencadangkan kenaikan sebanyak 20 peratus manakala bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) pula sebanyak 10 peratus.Walaupun ada cadangan dan saranan itu, Pak Lah masih menunggu laporan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan belum mampu mengumumkan secara detail.
DAP pula mengumumkan akan bertanding di 54 kerusi Parlimen manakala 115 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan memberi tumpuan kepada Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.Itu kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
Malaysia mempunyai 219 kerusi parlimen. Pada pilihan raya 2004 yang lepas, hanya kerusi negeri di Semenanjung dan Sabah yang dipertandingkan iaitu 567 kesemuanya. Pilihan raya negeri Sarawak diadakan berasingan.Pada pilihan raya umum 2004 itu, DAP bertanding bagi 44 kerusi parlimen dan 104 kerusi negeri dan menang 12 kerusi parlimen serta 15 kerusi negeri.Pembangkang akan terus menyertai pilihan raya umum kali ini walaupun mengetahui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan perubahan dan tidak ada janji daripada SPR bahawa pilihan raya akan dijalankan secara telus sebagaimana amaran pembangkang kepada SPR ketika memboikot pilihan raya kecil Dun Batu Talam.
Pembangkang mungkin teruja dengan perkembangan politik di Thailand. Sebaliknya boikot di Thailand adalah pilihan raya umum. Ini menunjukkan pembangkang Thailand tidak ada kepentingan politik tetapi mahu memastikan survival politik Thailand selamat daripada pemimpin rasuah Thaksin.
Sebaliknya pembangkang di negara ini seolah ada kepentingan yang dipertahankan dalam masa menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa pemerintahan Umno.
Inilah yang mungkin menyukarkan pembangkang untuk bertindak lebih drastik memboikot pilihan raya umum.
Namun begitu ada perancangan sepakat pembangkang terutama PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebalik gagal boikot pilihan raya iaitu menyertai pilihan raya dan juga berdemontrasi di jalanan.
Kemungkinan ini satu perkembangan menarik selepas bertahun pembangkang asyik mengalah dan asyik kena tipu dalam menyertai pilihan raya.
Sebelum ini petugas parti diingatkan jangan melakukan kekacauan dan huru-hara takut dibimbangi kerajaan mengisytiharkan darurat yang hasilnya pembangkang menggigit jari.
Malah tahun lepas pembangkang ditipu SPR yang membuat peraturan kesalahan pilihan raya tetapi akhirnya pembangkang tertipu.
Mungkin boikot tidak berjaya tetapi diharap strategik ini memberi keuntungan kepada pembangkang walaupun pengisytiharan darurat boleh berlaku.
Bagaimanapun sejauhmana demontrasi jalanan itu boleh membawa kepada darurat? Apakah pembangkang sudah bersedia kearah itu? Bagaimana pelaksanaannya? Apakah demontrasi jalanan ganti kempen pilihan raya? Dan banyak lagi persoalan yang akan timbul. Tunggu dan lihat perkembangannya.

Read More...

Hishamuddin membentuk pemuda ganas

Oleh Adnan Ibrahim
DALAM kempen pilihan raya kecil Ijok, kita dapat lihat pemuda Umno begitu agresif sehingga mengwujudkan suasana tegang dan ketakutan orang awam di sini. Lagak Khairy Jamaluddin dan pemuda gempur mengwujudkan budaya `siapa kuat aku berkuasa’.
Manakala pula mengwujudkan budaya kemewahan dan material. Boleh beli apa sahaja. `Siapa kaya dia berkuasa’.
Umno boleh beli pengundi Ijok dengan RM2 ribu atau lebih. Umno juga boleh beli petugas Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga RM1 ribu. Bagi Umno kuasa boleh dibeli. Sebab itu kita tidak hairan dalam negara ini semua boleh dibeli dengan wang kerana Umno telah mendidik rakyat sedemikian rupa.
Jadi tidak hairan kalau kita dengar ijazah boleh dibeli. Phd boleh dibeli. Doktor pun boleh beli. Malah pangkat juga kemungkinan boleh dibeli.
Pemuda Umno pula membentuk anak muda dengan gaya samseng. Melintas sahaja boleh pukul. Orang bantah dengan hujah dibalas dengan kayu pemukul, dengan penumbuk dan buku lima. Tidak boleh ditegur naik penampau. Cukup samseng. Seolah tidak ada undang-undang. Kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, `undang-undang rimba’.
Mereka timbulkan suasana cukup gerun. Orang kampung tengok ketakutan. Ceramah PKR dikacau. Mereka boleh arahkan penceramah PKR berhentikan ceramah. Kalau tidak ikut arahan mereka, bergaduh. Pukul, tumbuk, sepak, terajang semua lengkap ada pada pemuda Umno.
Mana ada pemuda Umno masuk hospital kena pukul tetapi yang ada ialah orang PAS dan PKR. Empat orang PAS dimasukkan ke hospital kerana dipukul 20 pemuda Umno. Orang lain tidak berani hendak tolong kerana terlalu samsengnya Umno. Malah polis pun tidak berani bertindak kerana ganasnya Umno.
Kita tidak tahu siapa yang ajar pemuda Unmo sehingga sanggup begitu sekali pukul orang sedangkan mereka rakyat Malaysia tinggal dibawah berpelembagaan. Masing-masing ada kebebasan hak keselamatan keatas tubuh badan mereka bukan mahu dibelenggu pemuda Umno.
Apa yang jelas Ketua Pemudanya, Datuk Hishamuddin Hussein sering kali keluarkan keris. Apakah budaya ini telah menjadi ikutan pemuda Umno. Begitu juga dengan gaya samseng Khairy.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang ketika membahaskan Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat, cuba menegur tingkah laku Hishamuddin yang sering membuka keris.
Kita pun lihat budaya ini bukan satu yang baik. Sebaiknya Hishamuddin membuka al-Quran membentuk pemuda Umno bagi menghayati amanah Allah atas dunia ini.
Bukan menjadi samseng tidak menentu. Melintas sahaja pukul tanpa ada usul periksa. Silap sikit pukul sedangkan kesilapan itu hanya perkara kecil.
Bentuklah pemuda yang sabar bukan pemuda yang pungoh, menerkam tidak tentu pasal. Kalau kita kuat dan kaki pukul, cuba kita fakir sampai saat nanti kita lemah dan orang pula boleh pukul kita. Kalau kita kuat keluarga kita tidak semua kuat. Bagaimana perasaan kita kalau keluarga kita kena pukul.
Jadi sebaiknya didik jiwa pemuda Umno supaya mencintai orang lain sayangkan orang lain sebagaimana sayangkan diri sendiri. Hanya ini boleh melahirkan insan yang mengambil berat masalah orang lain. Mengambil sikap ambil tahu halo rang lain demi kebaikan.

Read More...

Skandal Najib: Isu rakyat bukan peribadi

>> Isnin, Julai 16, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
AKHIRNYA nipis juga telinga Najib. Tidak tahan, panas telinga dibuat Anwar. Barangkali tawaran pedas Anwar tetap menusuk lubang telinga Najib hingga jantungnya berdenyut pada skala 8 richter sebagaimana tsunami melanda Acheh.
Berlainan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walau teruk diserang sekalipun tetap dingin. Macam tidak ada apa-apa berlaku. Ini yang melemahkan semangat pembangkang yang mudah kendur.
Pembangkang pula tidak boleh bertahan lama, cepak lentuk walaupun isu yang dibawa panas dan berkepentingan awam. Tengok sahaja isu tol dan minyak. Bantahan hanya kerja sekerat jalan. Kata sahaja demo sampai turun tetapi minyak dan tol tidak turun sebaliknya yang malas turun demo ialah pembangkang.
Pak Lah pun teruk juga dilanyak pembangkang seperti Perdana Menteri lemah, dikontrol kroni, bermewah dengan jet dan kapal layar, gagal tangani rasuah berprofil tinggi serta banyak lagi tetapi kerana telinga tebal, akhirnya pembangkang tipis semangat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas Timbalan Perdana Menteri, bukan calang orang malah berani menggunakan peledak C4 hingga mengemparkan Malaysia menuduh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, 28, rasuah pembelian kapal selam Scopean dari Perancis serta jet Sukhoi dari Rusia.
Orang lain hanya berani tuduh tetapi lain pada Anwar sehingga sanggup mencabar Najib supaya mendakwa beliau di mahkamah kerana tuduhan itu. Lagi Najib jawab bertambah garang Anwar cabar Najib supaya mengheret beliau ke mahkamah.
Ini tempat yang Najib tidak boleh tahan. Makin Najib jawab bertambah jelas menampakkan penyelewengan.
Menurut Anwar beliau mempunyai bukti berupa dokumen mengenai komisen RM400 juta pembelian pesawat dari Russia, Sukhoi yang diberi kepada bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Adip Adam dan komisen sejumlah RM520 juta (100 juta Euro) kepada Abdul Razak dalam pembelian dua kapal selam untuk Kementerian Pertahanan.

BPR dipelawa

Malah Anwar pelawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) suruh siasat beliau terhadap dakwaannya mengenai penglibatan Najib dalam skandal komisyen pembelian senjata bernilai RM920 juta. Namun ramai maklum BPR takut dengan jerung dan tidak berani berbuat demikian.
Harimau dari Jelutong iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugur, Karpal Singh pun tidak seberani Anwar. Karpal boleh mengaum di Parlimen minta Najib datang buat pengakuan di Dewan Rakyat tetapi tidak berani minta Najib seret beliau ke mahkamah walaupun mahkamah sudah menjadi tempat lali bagi beliau.
Beliau yang juga seorang peguam mencabar Najib datang ke Dewan Rakyat untuk menafikan tuduhannya mengatakan Najib terbabit dalam kes Altantuya berdasarkan penggunaan bahan letupan C4 dan pembabitan Unit Tindakan Khas (UTK) bertugas dibawah Timbalan Perdana Menteri.
“Jika tidak bersalah, saya cabar TPM datang ke Dewan Rakyat untuk menafikan tuduhan itu. Sehingga kini walaupun saya dah nyatakan tuduhan ini sebelum ini di Dewan Rakyat tetapi TPM tidak hadir bagi menafikan tuduhan itu,” ujarnya ketika meminta penjelasan semasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menggulung perbahasan Perbekalan Tambahan dibawah kementeriannya.
Bermakna bukan Anwar seorang yang perlu Najib jawab, bahkan tuduhan Karpal juga beliau kena ambil kira. Najib juga harus ingat bahawa tuduhan tersebut bukan atas sifat peribadi semata-mata tetapi lebih kepada moral beliau sebagai orang nombor dua negara.

Tidak jawab

Apakah benar telinga Najib nipis atau sekadar menepis silat Anwar. Ini kerana apa yang dijawab Najib hanya sekadar amaran terhadap Anwar. Itu pun barangkali terpaksa apabila diasak pertanyaan wartawan.
Mungkin Najib juga belajar daripada Anwar yang mengambil sikap berdiam ketika dituduh melakukan liwat dalam buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.
Di Ijok, Najib mahu bangkit tuduhan Anwar mengikut lunas undang-undang. “Saya akan jawab soalan yang ditimbulkan… Saya dah mula jawab malam tadi,” katanya apabila ditanya pemberita semasa penamaan calon Khamis lalu.
Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ketika masuk ke tempat penamaan calon disambut dengan jeritan Altantuya dan Mongolia oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan mukanya kelihatan merah. Isterinya pula berkaca mata hitam menunjukkan isyarat orang tidak betul kepada penyokong PKR.
Kata Najib: ‘‘Jangan hendak main tipu, jangan main politik kotor. Polis tahu, Peguam Negara tahu dan Perdana Menteri pun tahu.’’
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau juga boleh menggunakan kaedah yang sama untuk membongkar segala rahsia peribadi pemimpin pembangkang (Anwar) tersebut.
“Kalau saya hendak bongkar saya pun boleh buat macam itu tetapi saya tidak mahu kerana memikirkan dia mempunyai isteri dan anak.
“Jika nak lawan lawanlah, jangan sentuh soal peribadi, kita pun boleh bongkar rahsia,” katanya.
Menurutnya, Anwar yang pernah menjadi Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap kejatuhan ekonomi negara pada tahun 1998 kerana mengikut telunjuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ekoran tindakan itu, tambahnya, kerajaan terpaksa campur tangan bagi mengelakkan daripada negara menjadi bangkrap.
Dalam ucapan yang lain, Najib berkata beliau tidak pernah bertemu Altantuya. Katanya: “Saya hanya lihat gambarnya yang disiar oleh akhbar.”
Apa yang menambah kegusaran Najib ialah Anwar tidak takut dengan amarannya.

Read More...

Anwar buatkan Najib gundah, Pak Lah senyum

Oleh adnanbrahim@hotmail.com
BOIKOT pilihan raya sebagai tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti pemerintah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Talam awal tahun ini dilihat makin tidak berkesan apabila barisan pembangkang berpecah dan tidak sepakat dalam isu pilihan raya kecil Dun Machap.
DAP bertanding di Machap dan kemungkinan KeAdilan akan meletakkan calonnya di Dun Ijok. Akhirnya isu boikot pilihan raya yang dibuat pembangkang tenggelam dan tidak sampai kemana. Hilanglah teka-teki pembangkang mahu boikot pilihan raya umum.
Lagipun Umno sudah jangka PAS tidak akan boikot pilihan raya umum untuk terus memerintah Kelantan. Umno tidak perlu bersusah payah menjawab isu boikot kerana PAS sendiri akan memberitahu rakannya KeAdilan bahawa boikot tidak relevan dengan Kelantan.
Jangkaan pilihan raya umum diadakan tahun ini juga memecah-belahkan penyatuan boikot pilihan raya. Mungkin pada pembangkang, penyertaan pilihan raya kecil untuk menguji jentera pilihan raya dan menilai sejauh mana persediaan dan percapaian yang boleh diukur dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
Dalam pilihan raya kecil Machap mungkin malap bagi DAP tetapi pemerhatian mungkin lebih tertumpu kepada pilihan raya kecil Dun Ijok. Umno dikatakan tidak berpuas hati jika calon terus diberi kepada MIC.
Ada kalangan Umno berpendapat sekiranya MIC mahu terus bertanding mereka akan memberi undi kepada pembangkang. Umno di situ cukup kesal kerusi tersebut diberikan kepada MIC sedangkan India hanya 28 peratus berbanding Melayu lebih 50 peratus.
Hanya dengan cara ini sahaja kata mereka, kerusi itu boleh kepada Umno, walaupun tidak dalam pilihan raya kecil ini tetapi peluang dalam pilihan raya umum nanti.
Ini jelas merupakan ugutan kepada Barisan Nasional (BN) yang cuba menjaga hubungan dalam parti. MIC pula dikatakan tetap mahu kan kuota kepada calon mereka.
KeAdilan pula cuba mengambil kesempatan daripada isu ini dengan meletakkan calon berpengaruh dan bergelar Tan Sri.

Selesa

Bagi BN isu tersebut tidak banyak menggugat kedudukan sebagai parti yang mewakili kerajaan. Ramai yang meramalkan BN sukar dicabar dalam pilihan raya kecil ini dan dijangka terus memerintah negara selepas pilihan raya umum nanti.
Pandangan mereka berdasarkan hasil reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meningkatkan hasil dagangan negara sehingga mencapai trillion. Beliau juga berjaya meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar melalui program pertanian satu perniagaan bagi mengimbangi jurang pemisahan pendapatan penduduk bandar.
Satu lagi sifat yang ada pada Pak Lah yang menyukarkan pihak lawan ialah tidak suka menghentam pembangkang. Tidak sebagaimana yang sering dilakukan secara terangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui negara.
Bagaimana pun Umno perlu beringat penampilan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa isu dilihat boleh menggugat kerajaan. Keberanian beliau masih menonjol sebagaimana sebelum beliau dicekup ke penjara.
Isu yang dibawa oleh beliau boleh mengancam kejayaan Umno selama ini dan menjatuhkan pemimpin nombor dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat agak sukar mengelak serangan Anwar. Malah Anwar membuat tawaran bersedia disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Polis berhubung tuduhan beliau terhadap Najib.
Kata Anwar, Najib mesti disiasat segera berhubung kes Altantuya dan pembelian dua buah kapal selam Perancis yang melibatkan komisyen RM500 juta demi mempertahankan imej negara.

Jangan buang masa

“Tapi jangan buang masa saya, jika sekadar datang ambil kenyataan dan dokumen, lepas itu tutup kes, simpan fail," katanya sewaktu berucap di Majlis Makan Malam KeADILan, Jumaat lalu merupakan acara sambutan ulang tahun ke-8 parti tesebut semenjak ditubuhkan pada 4 April 1999.
Sebaliknya Pak Lah dijangka mengambil langkah selamat apalagi minat beliau sejak dari awal mengambil alih pemerintahan lebih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Mahyuddin Yassin. Pak Lah boleh senyum. Najib keseorangan dalam gundah. Tindakan Pak Lah ini boleh menyelamatkan Umno daripada menerima tamparan hebat dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun begitu kedudukan Pak Lah masih belum tentu selamat, kalau Anwar dilihat menyerang rusuk kanan Umno, Pak Lah juga terpaksa berdepan dengan Mahathir. Keadaan ini cukup melelahkan Pak Lah.
Apa lagi PAS pula boleh menyerang melalui rusuk kiri dalam isu agama kerana Umno dilihat gagal mempertahankan mufti daripada serangan parti Gerakan.
Agenda bersama pembangkang terutama dalam isu minyak dan tol naik hingga memberi kesan kepada kenaikan harga barang menjadi bebanan kepada golongan berpendapatan rendah antara isu yang boleh diteruskan pembangkang.
Bagaimanapun setiap kali demokrasi pembangkang mengenai isu terbabit yang cuba diadakan seminggu sekali tetapi bukan kerajaan yang penat.
Sikap dingin Pak Lah menangani isu itu akhirnya menguntungkan beliau apabila para demokrasi akhirnya jemu dengan sendirinya untuk turun berdemo.
Tidak dapat dipastikan para pendemo yang jemu atau kepala demo yang tidak larat. Sekali lagi Pak Lah senyum menang hasil daripada pembangkang yang mudah putus semangat.

Jeling sebelah

Namun senyum Pak Lah kena jeling juga dekat Mahathir. Mahathir sekarang sudah boleh bercakap dalam satu majlis dengan musuh lamanya bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau ketika mengulas ceramah tahunan Pemikiran dan Visi Tun Abdul Razak Dalam Pembinaan Negara-bangsa Malaysai Merentas Sempadan Etnik, oleh Tengku Razaleigh, di Universiti Malaya (UM), 30 Mac lalu, beliau mengingatkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) boleh tergadai kepada orang asing sebagaimana terlepasnya Singapura.
Tidak pula diketahui sejauh mana serangan Ku Li terhadap Pak Lah atau mungkin mengambil kesempatan tikam belakang.
Mahathir sejak keluar hospital kelihatan rimas tinggal di rumah walaupun diarah berehat oleh doktor. Semasa beliau di hospital pembangkang di negeri Kedah terutama PAS susah hendak senyum.
Bagaimanapun sejak melihat Mahathir aktif kembali, mereka boleh mimpi indah, senyum melerek ke telinga dan mula berangan kalau PAS Kelantan boleh memerintah Kelantan kerana adanya Ku li, PAS Terenganu berpeluang kecap kemenangan kerana Anwar, apakah ini tidak boleh berlaku di Kedah kerana adanya Mahathir?

Read More...

Binjai...nanbinjari

>> Isnin, Julai 09, 2007

Nok tanya: Itu kenalah ada, hak keluarga.... Tanya sikit...binjari tu merujuk pada apa?

Jawab:Nanbinjari (nama pengguna yahoo massenger). Binjar tu rujuk tempat ana Binjai...

Nok tanya: Terengganu...

Jawab: Kemaman...

Nok tanya: Ooo... gitu.

Jawab: Emak ana orang kampung Padang Air, Kuala Nerus.

Nok tanya: Dekat rumah ustaz Bakar Abdullah?

Jawab: Dengan rumah ustaz Abu Bakar Chik dekat la. Sekolah dia di Tok Jiring tu jiran dengan kampung Padang Air.

Nok tanya: Sekarang dok kat mana?

Jawab: Gombak, kampung Padang Balang....Ustaz ni belum cukup satu muka

Read More...

Kalau mahu jaga kesihatan rakyat, haramkan terus rokok

>> Rabu, Julai 04, 2007

Oleh Adnan Ibrahim

SAYA rasa Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, perlu ikhlas mahu tangani rakyat negara ini bersih daripada rokok. Jadi langkah paling awal yang perlu diambil Soi Lek ialah jumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Ahmad Badawi.
Sebagai menteri bertanggungjawab dengan masalah penyakit rakyat dan sentiasa berpegang kepada prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati jadi apa salahnya nasihatkan Pak Lah haramkan sahaja jualan rokok.
Selagi kita kempen itu kempen ini kempen `tak nak’. Akhirnya duit daripada cukai rokok pun habis tang tu juga. Kita penaik cukai rokok, duit habis mengalir kat kempen tambah kerajaan kena beli ubat kerana hendak jaga kesihatan rakyat yang ramai merokok.
Sakit paru-paru, sakit barah, sakit dada dan macam-macam lagi penyakit hingga dok jangkit ke anak bini kerana suami merokok. Ini tidak akan menyelesaikan masalah negara kerana tidak mahu mengambil pendekatan ikhlas menangani perokok.
Naik harga rokok memang Pak Lah untung duit kerajaan bertambah tetapi sedar ke karajaan bahawa secara tak langsung kerajaan restui penyakit timpa ke rakyat.
Orang dah gian rokok dia tidak kira harga naik. Yang dia berkira asal dapat hisap kerana bekalan rokok ada. Kalau rokok tiada, semua orang tidak hisap rokok. Jadi hendak mengecek rokok sebatang dengan kawan, kawan pun tidak hisap rokok. Masing-masing tidak boleh hisap. Jadi masing-masing boleh berhenti.
Tapi kalau rokok ada jual walaupun harga naik, yang mana tidak ada duit masih boleh minta dekat kawan sebatang. Lepas gian sekejap. Esok kalau tidak ada duit lagi hendak beli rokok, boleh cari besi buruk timbang jual.
Orang yang tidak ada duit hendak beli macam mana pun dia akan usaha cari biar sampai dapat lepas gian. Kes inilah yang menyebabkan berlaku kecurian dan seluk pokek, menipu dan lain-lain semata-mata hendak cari duit dapatkan rokok.
Bila bertambah masalah sosial yang salahnya siapa? Kerajaanlah kerana kesan sosial itu berpunca daripada menaikkan harga rokok.
Kerajaan juga kena ingat duit kita dapat cukai daripada hasil kemusnahan rakyat tidak berkat.
Sebab itu kerajaan perlu tengok sejarah Islam bagaimana Allah mengharamkan arak yang sebelum itu orang arak dok tonggang.
Bila dah tahu arak lebih banyak buruk daripada baik, Allah tidak arahkan nabi naikkan cukai, supaya kerajaan Muhammad.s.a.w. untung besar hendak bangunkan negara.
Tetapi Allah secara beransur dan bertoleransi mendidik umat Islam pada peringkat permulaannya hendaklah meninggalkan arak ketika hendak solat.
Begitulah seterusnya apabila didapati imam sahabat makin kukuh, Allah haramkan arak dan itulah yang menyebabkan tempayang arak pecah bertebaran kerana menyahut seruan Allah.
Umat Islam ketika itu boleh terima arahan haramkan arak, kenapa sekarang tidak boleh berlaku. Sebabnya ialah pemimpin ketika itu ikhlas bukan asyik hendak perkena rakyat. Mereka dididik sehingga kental imam walaupun tidak ada universiti.
Ini yang pelik sekarang banyak universiti tetapi masalah akhlak lebih teruk. Cuma tunggu masa sahaja lagi untuk sama macam negara Barat.
Jadi kita harap kerajaan haram terus rokok, jangan dok nak tuduh itu, ini. Hendak salahkan syarikat rokok pula bila mereka perang harga.
Satu lagi yang akan saya terima komen hasil daripada tulisan ini ialah kalau haram pun mereka boleh dapat rokok secara seludup.
Memang betul tetapi macam juga dadah masuk seludup hisap pun kena seludup. Macam juga arak orang Islam memang tidak minum. Cuma yang minum tu pasal dia rasa dia orang Barat.

Read More...

Bukan Islam jangan cuba hina Islam

>> Isnin, Julai 02, 2007

JOHOR BAHRU: Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria menyifatkan orang bukan Islam sekarang sudah berani menghina Islam akibat daripada pendekatan umat Islam sendiri yang secara terangan menghina Islam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak berwajib supaya mengambil berat perkara yang berkait dengan Islam agar ia tidak mudah dipermainkan dan dihina.
“Kalau dahulu orang Islam hina Islam tetapi sekarang orang bukan Islam pun sudah berani hina Islam,” ujarnya ketika berceramah di Majlis Maulidurasul di Masjid al-Faizun, Taman Kempas di sini, Ahad lalu.
Dalam majlis ceramah yang dihadiri lebih 1,000 orang itu, beliau banyak menceritakan perjuangan Nabi SAW disamping perjuangan sahabat sehingga umat dunia sekarang boleh mengecapi Islam sama ada daripada kesedaran atau keturunan.
Bagaimanapun, kata beliau sejak akhir ini, umat Islam sendiri tidak berapa yakin dengan Islam dan mula ramai meninggalkannya kerana tidak ada kawalan undang-undang yang boleh menyekat orang Islam bertindak mudah keluar daripada Islam.
Ceramah beliau mendapat sambutan ramai berikutan The Star sebelum ini menyiarkan kononnya Konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan telah meluluskan satu resolusi agar Mufti Perak dipecat kerana terlibat dengan kes penyebaran SMS yang menyatakan Datuk Azhar Mansor telah murtad.
“Semasa negara kita dijajah Inggeris selama 400 tahun lebih tidak ramai yang murtad sebaliknya setelah kita memerintah 50 tahun, ramai orang Islam telah murtad,” katanya.
Beliau juga turut kesal dengan program televisyen yang melalaikan dianjur dan disambut seolah-olah pada pemikiran orang Islam ia halal.
“Daripada `Sure Heboh’ ditukar kepada `Jom Heboh’ tetapi pengisiannya tetap sama ia melalaikan orang Islam, tetap haram,” katanya.
Sepatutnya kata beliau media elektronik lebih banyak menyiarkan program berbentuk kebaikan dan pendidikan jika sekiranya mahu melahirkan umat yang mulia serta bertamadun.

Read More...

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP