Insiden Batu Burok untungkan siapa?

>> Jumaat, Oktober 05, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
TRAGEDI berdarah Batu Burok pada 8 September lalu, banyak menimbulkan spekulasi terutama menjelang pilihan raya umum yang dikatakan semakin hampir. Pembangkang cuba menunjukkan bukti berikutan dakwaannya bahawa tragedi tersebut merupakan perancangan Umno serta polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Parti pemerintah seperti biasa menuding jari dan meletakkan kesalahan tersebut kepada pembangkang kerana didakwa melanggar arahan polis. Malah pemerintah mengambil kesempatan sepenuhnya berikutan kejadian itu melalui media elektronik dan cetak bagi kepentingan partinya.
Setiap hari televisyen menyiarkan iklan propaganda bagi menggambarkan pembangkang ganas. Parti pemerintah mengambil kesempatan sepenuhnya walaupun insiden tersebut masih dalam siasatan.
Malah tragedi ini mampu mengejut harimau dari tidur. Kalau Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini asyik berdiam apabila diajukan masalah rasuah, penyelewengan, hartanah di Australia, jet mewah, penyelewengan dalam laporan audit, kronisme dan lain-lain tetapi kali ini beliau pantas membuat kenyataan kesal dengan apa yang berlaku.
Bagaimanapun Perdana Menteri tidak menjawab pertanyaan Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih), pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap desakan supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kejadian tersebut berikutan dakwaan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali selaku tuan rumah program ceramah anjuran Bersih bahawa tragedi tersebut merupakan perancangan Umno dan polis.
Pak Lah juga tidak menjawab kenapa polis menembak orang awam dengan peluru hidup seolah-olah mahu membunuh rakyat sendiri? Itu belum dibandingkan lagi dengan operasi babi di Melaka yang tidak ada seekor pun cedera.
Boleh dikatakan pemerintah cukup tidak selesa kejadian tembak tersebut sama ada disengajakan atau tidak memandangkan ceramah anjuran Bersih itu melibatkan NGO seluruh Malaysia yang menuntut keadilan dalam pilihan raya umum.
Ini bermakna sebarang usaha pihak musuh memerangkap PAS selaku tuan rumah majlis ceramah Bersih itu supaya dilihat pihak penganas tidak memberi kesan kerana kali PAS tidak keseorangan. Kaum lain juga terlibat dalam majlis itu baik Cina atau India.
Kalau serangan terhadap World Trade Centre dan Pentagon pada 11 September 2001 (tragedi 911) di Amerika Syarikat turut diambil kesempatan oleh Umno untuk memukul canang dituduh PAS ganas sehingga DAP memutuskan hubungan kerjasama dengan PAS dalam pilihan raya umum 2004 tetapi kali ini jelas propaganda muruhan RTM cukup tidak berkesan kalau mahu dikaitkan dengan keganasan PAS.
Parti pemerintah sebelum ini melihat masyarakat Cina mula memberi sokongan kepada pembangkang dalam pilihan raya umum kali ini berikutan kelemahan ketara kerajaan dalam menangani masalah negara yang disebutkan tadi.
Sebagai langkah menyelamatkan pengaruh mereka perancangan tragedi 911 perlu dilaksanakan untuk memburukkan PAS dan PKR. Sebaliknya semua rancangan propaganda parti pemerintah tersebut bagi menarik sokongan bukan Melayu dan membenci PAS akhirnya tidak mencapai sasaran apabila orang bukan Melayu dikatakan masih menyokong pembangkang.
Masyarakat Cina bukan sahaja kecewa dengan kegagalan kerajaan bahkan melahirkan keresahan berikutan peningkatan jenayah. Pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan pemimpin negara cukup memberi kebimbangan betapa jenayah di Malaysia sudah cukup terancang dan melibatkan orang atasan yang boleh menutup segala bukti.
Orang Cina kuat berpegang dengan pepatah mereka `ikan busut bermula di kepala’. Jika sekiranya pemimpin atasan terlibat dalam jenayah apa lagi dalam masyarakat bawahan.
Sebab itu jenayah yang dilaporkan boleh dikatakan setiap hari malah kebimbangan ini telah disuarakan dalam Perhimpunan MCA. Ini bermakna tidak semudah itu bagi Umno menanam propaganda supaya kaum lain menolak PAS dan PKR.
Sementara kalangan pembangkang menyifatkan peristiwa tersebut merupakan gelombang politik di Terengganu yang boleh membawa angin perubahan sehingga terdapat maklumat mengatakan pembangkang mampu meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
Walaupun sumber tersebut berdasarkan orang tertentu sebagaimana yang diberitahu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu mudah mendapatkan maklumat terkini mengenai sesuatu kejadian kerana ia mempunyai ahli dan penyokong di semua agensi kerajaan, termasuk di kalangan anggota dan pegawai di Bukit Aman serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM)."Kita telah mendapat maklumat lebih awal bahawa akan berlaku provokasi awam di tempat ceramah anjuran Bersih di Pantai Batu Buruk dan Jalan Sultan Mahmud itu pada malam 8 September itu.” Katanya.
Bagaimanapun pembangkang perlu meningkatkan mekanisme maklumat supaya ia sampai kepada sasaran terutama rakyat di kampung dan pendalaman.
PAS dan Parti Keadilan Terengganu (PKR) Terengganu mungkin tidak boleh lena kerana Umno Terengganu akan mengambil kesempatan sepenuhnya terhadap isu terbabit dengan mengadakan road show ke seluruh pelusuk negeri tersebut atau mungkin juga jelajah itu berikutan keadaan Umno yang semakin tersempit akibat cubaan bunuh pihak polis yang sukar diterima rakyat.

1 comments:

Unknown 10 Oktober 2007 pada 5:43 PG  

Salam 'Aidil Fitri kpd Nang sekeluarga dari bakaq a.k.a. ~penarik beca a.k.a. sang kutu sekeluarga.. من العائدين والفائزين

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP