Siapa yang malang jika ibu didakwa kerana cuai?

>> Rabu, Oktober 10, 2007

Oleh Adnan Ibrahim

RAKYAT Malaysia terkejut besar apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Aziz berkata bahawa ibu bapa Nurin boleh didakwa atas kecuaian.
Begitu juga dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan tindakan mahkamah boleh diambil terhadap ibu bapa yang hilang anak kerana cuai.
Maka ramai mencadangan supaya dipinda Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001 bagi membolehkan ibu bapa di hukum kerana cuai.

Kalau cuai itu diukur mengikut bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil, 33, membiarkan anaknya keseorangan ke pasar malam, ini bererti ramai ibu bapa yang berbuat sedemikian.

Mengikut lokasi pasar malam yang tidak berapa jauh dari rumah Jazimin menunjukkan bahawa kawasan tersebut merupakan tempat permainan Nurin. Ia bukanlah kawasan yang asing. Tetapi kenapa hari tersebut jatuh malang kepada Nurin?

Bagi rakyat bawahan atau marhaen setiap masa penuh dengan kesibukan mencari rezeki. Kerja sampingan atau dua tiga kerja dalam satu masa menjadi rutin bagi rakyat yang tinggal di bandar besar terutama Kuala Lumpur. Jika tidak pembiayaian kewangan keluarga akan terganggu.

Kesibukan ini mengurangkan masa untuk ibu bapa mengawal pergerakan anak-anak mereka. Malah setengahnya tidak ada masa langsung.

Setengahnya bergantung kepada saudara yang lebih tua menjaga adik-adik mereka.
Mereka tidak mampu menyediakan orang gaji atau pegawai keselamatan bagi mengawal pergerakan anak mereka.

Berlainan bagi keluarga menteri dan ketua polis yang boleh menyediakan pegawai khas. Setiap inci pergerakan anak mereka diteliti. Bagi orang kaya, ada pemandu atau orang gaji yang boleh melihat perkembangan serta keselamatan anak-anak mereka.

Ini bererti cadangan pindaan undang-undang tersebut makin membebankan keluarga miskin. Mereka perlu mengubah kehidupan menyekat pergerakan anak-anak.

Ibu bapa yang takut dihukum cuai, tentu sekali akan menyekat dan mengokong pergerakan anak-anak. Ini bererti anak-anak tidak boleh diberikan kebebasan.

Maka nanti timbul pula isu anak-anak tidak bebas, dikongkong ibu bapa. Makin pening kepala ibu bapa.

Bagaimana mahu menyekat pergerakan anak-anak kalau ibu bapa sibuk dengan kerja? Apakah anak-anak ini akan dikurung dalam rumah seharian? Bagaimana dengan pandangan pihak hak asasi manusia bila anak di kurung dalam rumah?

Sekiranya langkah ini dianggap jalan penyelesaian kepada jenayah kanak-kanak ia bukanlah suatu yang terbaik. Cara ini sebenarnya lupa tentang asal-usul kejadian. Kita lupa siapa berkuasa yang mencipta.

Kalau kuasa pencipta boleh mereka bentuk tubuh manusia dengan sebaik kejadian mengapa kita tidak terfikir bahawa ada sesuatu yang diberikan kepada manusia untuk menikmati hidup dengan sebaik keadaan.

Kita ada panduan. Buat apa Allah turun al-Quran dibaca tiap malam terutama Ramadan. Takkan hanya sekadar baca tetapi mesti ada sesuatu disebalik suruhan membaca.

Kalau membaca buku sekali pun kita akan ambil panduan daripada pembacaan tersebut. Apa lagi al-Quran. Jadi jalan penyelesaian jenayah hendaklah kembali kepada al-Quran. Jadikan ulama tempat rujukan kerana mereka lebih arif tentang pengertian dan hukum hakam al-Quran.

Hanya melalui keinsafan ini merupakan langkah terbaik untuk mengatasi jenayah. Jika tidak kes jenayah akan terus meningkat.

Kemera litar tertutup (cctv) bukan langkah terbaik dan kerajaan mengeluarkan belanja besar untuk prasarana tersebut apabila perhimpunan MCA membangkitkan kegagalan pemerintah mengatasi jenayah yang semakin meningkat.

Peruntukan tambahan cctv itu sebenarnya hanya dinikmati golongan kaya bukan untuk dipasang di kawasan perumahan biasa atau flat. Sedangkan kita maklum jenayah sering berlaku di kawasan rakyat bawahan.

Sudahlah pindaan akta kerana kecuaian ibu bapa tidak menguntungkan rakyat bawahan, cctv juga bukan untuk mereka.

Jadi jelas kenyataan ketua polis dan menteri tadi merupakan cara mudah menutup kelemahan pasukan keselamatan. Menyembunyikan kegagalan kerajaan dalam mengatasi masalah jenayah yang semakin meningkat.

Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menunjukkan peningkatan kadar jenayah. Pengarah JSJ, Datuk Christopher Wan Soo Kee memberitahu, bagi tahun 2006 sebanyak 43,220 kes membabitkan jenayah kekerasan dilaporkan berlaku di negara ini.

Menurut beliau, antara jenayah yang dikategorikan di bawah jenayah kekerasan ialah samun, bunuh, mencederakan manusia, rogol, cabul, ugutan jenayah, peras ugut, merusuh, pencerobohan jenayah dan pencerobohan rumah.Sementara Persekutuan Tionghua Johor Bahru mengumpul 100,000 tandatangan kerana tidak puas hati dengan peningkatan kes jenayah di Johor Bahru.

Tindakan persekutuan ini yang dilakukan pada Jun lalu adalah kerana ingin menyatakan bahawa kadar jenayah dan gejala sosial yang mereka dakwa semakin meningkat di bandar raya Johor Bahru setiap hari.

Hasrat Persekutuan Tionghua Johor Bahru ini disokong oleh beberapa persatuan yang lain seperti Persatuan Hokkien, Persatuan Teochew, Persatuan Hakka, Persatuan Kantonis dan Persatuan Hainan, Johor Bahru dan mereka menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Johor dan PDRM Johor.

Kes jenayah di Johor dilaporkan agak meruncing sejak akhir-akhir ini. Pada 15 Jun, Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail memberitahu bagaimana tertangkapnya 13 lelaki dan seorang gadis disekitar bandaraya Johor Bahru bagi membantu siasatan kes samun dan rogol pada 22 Mei 2007 dan 11 Jun 2007 yang lalu.

Begitu juga dengan berita yang disiarkan pada 3 Jun 2007 bagaimana Polis Johor telah menahan seramai 158 rakyat Indonesia dan 2 lelaki rakyat tempatan dalam operasi jenayah bersepadu selama tiga hari di Permas Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru semua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30-an dipercayai pernah melakukan jenayah pecah masuk rumah di sekitar Permas Jaya.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP