Padang Balang menunggu warta Kampung Warisan

>> Ahad, Januari 16, 2011

TERDAPAT dua versi bagaimana Kampung Padang Balang mendapat nama. Mengikut pendapat Pengerusi Masjid Saidina Ali, Kampung Padang Balang, Zainal Abidin Ma’as nama tersebut mengambil sempena kawasan padang yang terdapat pokok lalang daunnya berbelang di Kampung Padang Balang Hilir.

(gambar: Rumah didirikan sejak 1925 masih utuh sampai sekarang)

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Penduduk Kampung Padang Balang, berkata mengikut loghat Minangkabau, belang disebut balang.

Oleh itu penempatan ini pada asalnya di panggil Kampung Padang Lalang Daun Berbelang-belang. Apabila diringkaskan disebut Kampung Padang Balang.

Satu versi lagi pendapat daripada keluarga Mahmod Binok mendakwa kampung tersebut mengambil nama sempena datuk beliau yang dikenali Tok Balang.

Menurut cerita, Tok Balang dengan lima saudara merantau dan membuka kawasan tersebut lalu lekat dengan nama beliau sebagai orang yang tersohor sejak dari Minangkabau lagi.

Rumah mereka sampai sekarang masih utuh dibina sejak 1925 tanpa perubahan ketara di sebelah luarnya. Tiang konkrit dikatakan berasal daripada batu sungai di zaman penjajahan British. Rasuknya tidak mengguna paku tetapi tanggam kemahiran orang dahulu.

Tok Sati, Tok Johan dan Tok Samang juga antara nama hebat dan mempunyai pengikut tersendiri datang ke kampung itu secara berasingan.

Peneroka tersebut telah menubuhkan dua buah penempatan yang dikenali sebagai Kampung Paya Rumput terletak disekitar Masjid Jamek Kampung Padang Balang Ulu dan Kampung Padang Balang Hilir, sekitar surau Jumaeah.

Melayu tradisi

Kampung Padang Balang yang terletak sembilan kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur merupakan satunya kampung Melayu tradisi yang masih tinggal di pinggir metropolitan tersebut.

Pelbagai adat resam dan budaya orang Melayu beragama Islam seperti bergotong royong, berzanji dan marhaban bersempena upacara gunting rambut bayi, pencak silat, berkhatan beramai, khatam al-Quran dan berkompang menyambut tetamu masih diamalkan di kampung tersebut.

Terdapat juga kerja tangan secara tradisi seperti membuat batik, keropok lekor dan membuat serta membaikpulih kompang diusahakan di sini.

Luas kampung sekitar 240 ekar atau enam kilometer persegi, berstatuskan Tanah Rizab Melayu yang diwartakan pada 10 Januari 1916 merupakan beberapa rizab Melayu yang masih bertahan di Kuala Lumpur.

Terletak dalam mukim Setapak, di daerah Gombak, sebelum wujud Wilayah Persekutuan, pemilik tanahnya mempunyai `geran merah’ berstatus pertanian.

Sempadan kampung ini dengan jirannya adalah, di bahagian Utara, Taman Koperasi Polis Fasa 1, Taman Rowther dan Taman Melewar; di bahagian Timor pula, Kampung Changkat dan Sungai Gombak di seberang sungai adalah Kampung Sungai Mulia dan Kampung Bandar Dalam dan di bahagian Selatan Kampung Chubadak Hulu dan Lebuhraya Duke dan di bahagian Barat Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Masjid Jamek

Kampung Paya Rumput dan Kampung Padang Balang Hilir bersepakat mendirikan Masjid Jamek Kampung Padang Balang secara gotong royong ditapak madrasah Kampung Paya Rumput.

Lantai asal bangunan masjid ini terbahagi dua, sebahagian dibina oleh kumpulan Batang Kapas dan sebahagian lagi oleh kumpulan Kuantan.

Kayu untuk mendirikan masjid itu telah diambil dari hutan sekitar kampung itu. Mereka menggunakan gergaji, kapak dan beliong untuk membuat tiang masjid. Sebanyak 12 tiang utama atau tiang seri masjid itu yang diramu daripada pokok hutan masih kekal hingga ke hari ini.

Masjid itu dibina sekitar 1910. Permufakatan itu juga telah menggugurkan nama Kampung Paya Rumput dan keseluruhan kampung itu dikenali sebagai Kampung Padang Balang.

Masa berubah, masjid ikut berubah. Sebab itu ia sudah jauh berbeza daripada asalnya, dan yang kekal adalah tiang seri sahaja.

Pada 2010, genap usia masjid 100 tahun. Mengikut sejarah masjid ini merupakan ketiga tertua disekitar Badaraya Kuala Lumpur.

Pada tahun 1970 an Kampung Padang Balang mencatat pertambahan penduduk, ini disebabkan ramai orang Melayu dari seluruh Malaysia berhijrah dengan membeli tanah dan mendirikan rumah di sini atau yang menyewa.

Maka Masjid Jamek tidak lagi dapat menampung jemaah. Oleh demikian usaha dilakukan untuk mendapatkan masjid baru. Usaha tersebut terhasil dengan terbinanya Masjid Saidina Ali dan beroperasi pada tahun 1983.

Kedatangan rakyat Semenanjung

Jumlah penduduk kampung ini sekitar 10,000 orang dan 100 peratus adalah orang Melayu. 30 peratus daripadanya adalah cucu, cicit, piut merupakan anak watan. Manakala 70 peratus lagi adalah mereka yang berhijrah dari negeri di Semenanjung Malaysia dan memilih Kampung Padang Balang sebagai kampung halaman mereka.

Kampung Padang Balang menjadi kampung `Melting Pot’ kepada orang Melayu dari seluruh Semenanjung. Oleh itu terdapat pelbagai dialek dituturkan dan pelbagai budaya diamalkan, berasal dari negeri kelahiran mereka.

Kampung ini mendapat kemudahan bekalan elektrik dan air pada awal tahun 70 an. Jalan di kampung ini dibuat diatas tanah yang diwakafkan oleh tuan tanah.

Setelah Jepun kalah dalam Perang Dunia Ke 2 dan penjajah Inggeris memerintah semula di Tanah Melayu, khususnya di negeri Selangor, pada tahun 1945, pihak Inggeris telah memerintahkan supaya penempatan perkampungan Melayu sama ada yang telah mempunyai nama dan yang belum mempunyai nama kampung, mempunyai Ketua Kampung.

Mereka diminta mendaftar dengan menamakan kampung mereka dan melantik Ketua Kampung. Kampung yang telah didaftarkan dan Ketua Kampung mereka diberi `elaun’.

Justeru itu lahirlah Kampung Sungai Mulia (Batu Lima), Kampung Bandar Dalam (Batu 4 ¼), Kampung Sungai Merali dan beberapa buah perkampungan lagi merupakan jiran kepada Kampung Padang Balang.

Ketua Kampung Padang Balang ketika kampung ini didaftarkan ialah Datuk Empat Abdullah (Ketua Kampung Ke 11) dan Kampung Bandar Dalam ialah Datuk Empat Duamin (Ketua Kampung Pertama). Ketua Kampung Padang Balang terakhir (Ketua Kampung Ke 12 ) ialah Datuk Empat Abdul Manaf Binok.

Kampung haram

Terdapat dua perkampungan `haram’ dalam Kampung Padang Balang iaitu Kampung Bandar Dalam dan Kampung Lembah Melewar.

Kampung berkenaan tubuhkan selepas 1970 an oleh mereka yang berkepentingan diri dan buta sejarah perihal Kampung Padang Balang.

Kampung Bandar Dalam adalah jiran (di seberang Sungai Gombak) kepada Kampung Padang Balang. Akan tetapi puncanya apabila ada individu opportunis (kepentingan politik peribadi) telah menubuhkan cawangannya di Kampung Padang Balang, dan menamakan cawangan itu Kampung Bandar Dalam.

Oleh demikian Kampung Bandar Dalam telah melebarkan perkampungannya dengan merampas sebahagian daripada Kampung Padang Balang. Demikian juga bagi Kampung Lembah Melewar.

Suasana perkampungan Melayu itu masih kekal dengan kehijaun alam sekitar, kicauan burung dan mergastua. Sikap bergotong royong dikalangan penduduknya masih lagi diamalkan, khususnya apabila ada kenduri kerja kahwin, keraian, kematian dan membersih masjid atau surau.

Di kampung ini terdapat Pusat Pengajian Islam, Tahfiz Darul Furqan, yang menawarkan pengajian menghafal al-Quran dan kelas akademik bagi Tahun Satu hingga Tingkatan Tiga.

Ketika ini, pusat pengajian yang ditubuhkan pada tahun 1988 telah melahirkan ramai Hafiz dan Hafzah. Ramai juga bekas pelajarnya melanjutkan pelajaran dan berkelulusan ijazah dari Jordan, Mesir, Turki dan Syria.

Kampung Padang Balang terletak pinggir Kuala Lumpur turut merasa kesan limpahan pembangunan bandar tersebut. Tanahnya dilihat mendatangkan hasil lumayan kepada mereka berkepentingan.

Kampung tersebut bersama dengan Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia, Kampung Chubadak, Kampung Puah antara yang termasuk dalam projek Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020.

Dianggarkan 80 peratus daripada keseluruhan lot tanah di kampung ini terlibat dalam pembangunan prasarana dan kemudahan berikut iaitu pembinaan stesen dan zon perancangan transit (ZPT), laluan LRT, jalan baru (service-road), perluasan jalan sedia ada, pembinaan pusat kesihatan, pembinaan pusat komuniti dan koridor persisiran Sungai Gombak.

Sehingga kini penduduk membantah pembangunan tersebut kerana ia memberi kesan `displacement’ atau penyahan orang Melayu Islam dan memecahbelahkan sistem kekeluargaan penduduk kampung ini.

Penduduk asal kampung ini adalah generasi ketiga dan keempat peneroka dan mereka telah mendirikan rumah di tanah pusaka nenek moyang mereka.

Ramai diantara mereka ini adalah adik-beradik, saudara mara yang tinggal berjiran. Oleh itu proses pembangunan ini akan memisahkan mereka dari keluarga mereka.

Pembangunan ini juga menghapuskan adat dan warisan orang Melayu, sebuah kampung Melayu tradisional.

Menurut Zainal hanya mewartakan kampung Melayu sebagai Kampung Warisan mampu menyelamatkan tanah dan kampung orang Melayu daripada tergadai.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP