Pengerusi Felda: Memo politik wang Isa kepada Agong

>> Ahad, Januari 16, 2011

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) akan menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong dan membuat bantahan keras kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Mohd Isa dilantik Pengerusi Felda bakal mengambil alih jawatan tersebut daripada Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang akan tamat kontrak pada 31 Disember ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata pihaknya akan mengadakan kempen mengutip tandatangan terutama masyarakat peneroka untuk sebagai tanda protes terhadap perlantikan Isa itu.

“Mengapa Najib pusing 360 darjah kebelakang melantik orang sudah expired dan terlibat dengan politik wang… rasuah menerajui antara badan terbesar dunia,” ujarnya.

Mohd Isa, 61, menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004. Beliau juga merupakan bekas Naib Presiden Umno dan digantung keahliannya selama tiga tahun pada 24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008.

Tindakan disiplin itu diputuskan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail kerana mendapati beliau bersalah melakukan amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung Umno 2004 selepas menangi jawatan naib presiden itu.

Beliau didapati bersalah dengan lima daripada sembilan pertuduhan politik wang, antaranya membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Semua jawatan beliau dalam parti, termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang digantung. Pada 6 Julai 2005, Majlis Tertinggi (MT) Umno menolak rayuan Mohd Isa tetapi mengurangkan hukuman penggantungan daripada 6 tahun kepada 3 tahun sahaja. Pada 23 Jun 2008, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghantar surat kepada Isa Samad.

Kes Isa Samad ini berkait dengan kenyataan oleh Datuk Seri Rais Yatim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian kehakiman ketika itu) tentang 18 kes rasuah berprofil tinggi yang akan ditahan untuk disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu.

Berikutan daripada digantung keahlian, Mohd Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Oktober 2005

Bagaimanapun nama Isa Samad kembali bersinar dalam arena politik apabila terpilih menjadi calon Umno dan menang di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 menentang calon Pas, Zulkefly Mohd Omar.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara orang yang menentang Mohd Isa sebagai calon kerana Lembaga Disiplin Umno sendiri memutuskan Isa terbabit dalam rasuah.

Pada 27 Disember 2010, menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri, Mohd Isa dilantik sebagai pengerusi Felda berkuatkuasa pada 1 Januari 2011, menggantikan Mohd Yusof yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP