Membaca cerita isteri mangsa tahanan ISA, kita jadi tidak mampu menulis. Kita hanya menulis berdasarkan lahiriah apa yang kita tengok sedangkan hati dan perasaan isteri mangsa tahanan ISA hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu bertapa sengsara mereka menjalani hidup yang berubah secara mendadak.
Sebab itu ISA memang sah zalim walaupun ada pihak seperti Perkasa yang mempertahankan ISA. Walaupun mereka bukan warga kita tetapi naluri kemanusia sepatutnya ada setiap insan dan pemerintah. Kita tidak akan layak digelar pemerintah Islam selagi kita tunduk kepada tekanan negara kuffar Barat.
Maka sebaiknya bagi pemerintah Islam jangan aniaya orang Islam. Kalau mereka benar-benar bersalah, dakwalah mereka. Mengurung dan menyekat hak kebebasan sesama muslim adalah haram dan pemerintah yang bertanggungjawab menahan mereka tanpa dibuktikan bersalah maka hukumnya berdosa besar. Apakah pemerintah Umno tidak takut azab Allah SWT?
Berikut laporan Malaysiakini: 'Tolong bebaskan suami saya'
Salhan K Ahmad 19 Feb, 10 6:55pm
Dengan berlinangan air mata, Bashirah Abdul Salam - seorang rakyat Nigeria - merayu kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam supaya membantu membebaskan suaminya yang kini ditahan bawah ISA.
Bashirah, 27, (foto - berpurdah) berkata suaminya itu, Luqman Abdul Salam, tidak bersalah dan oleh itu, pelajar warga Nigeria itu tidak wajar ditahan.
"Tolonglah, bebaskan suami saya supaya dia dapat meneruskan pengajian dan menjaga kami sekeluarga," katanya yang hadir bersama Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang menghantar memorandum bantahan kepada Suhakam pagi ini.
Luqman adalah antara 12 orang yang ditahan pada 21 Januari lalu selepas serbuan dilakukan ke atas sekumpulan 50 orang yang sedang mengikuti satu kuliah agama di sebuah apartmen di Gombak, Selangor. Tiga puluh lapan daripadanya sudah dibebaskan.
"Saya harap pihak berkuasa dapat mengembalikannya semula. (Luqman) perlu diberi peluang untuk meneruskan pengajiannya dan mempertahankan diri (di mahkamah)," kata Bashirah yang memangku anak perempuannya.
Sementara itu, Abdul Ghani Luqman (kanan) - adik ipar Hassan Barudi dari Syria - berkata dia sendiri tidak pasti mengapa saudaranya itu ditahan di bawah ISA sedangkan mereka hanya menghadiri satu kuliah agama.
"Kami sedang berkumpul selepas solat Isya di ruang tamu apartmen ketika diserbu sepasukan polis," kata Abdul Ghani. Hassan adalah pelajar sebuah kolej swasta di Petaling Jaya.
"Saya juga ditahan tapi dibebaskan semula pada pukul 3 pagi. Sehingga sekarang kami tidak diberitahu apakah sebab kami ditahan.
"Kami hanya mengikuti kuliah berdasarkan kitab Imam Al-Bukhary, tiada langsung kaitan dengan pengganas," katanya lagi.
Tambahnya, kuliah di premis yang dinamakan Darul Ilmu itu disampaikan oleh Sheikh Aiman Al Dakkak, seorang pelajar peringkat ijazah kedoktoran di sebuah universiti tempatan, yang turut ditahan di bawah ISA.
"Setakat ini belum ada mana-mana pihak berkuasa yang menghubungi kami. Semasa kami ditahan, itulah kali terakhir saya bertemu dengan Hassan. Saya mahu tahu apa yang berlaku kepada dia sekarang," kata Abdul Ghani lagi.
'Tolong bebaskan suami saya'
>> Jumaat, Februari 19, 2010
Guna ISA dakwa Wahabi bila tidak mampu berhujah
Kuala Lumpur 19 Feb: Ada pihak tertentu gagal berhujah dengan mereka yang dituduh membawa fahaman Wahabi mendesak diambil tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa, ada di kalangan 12 orang yang ditahan di Gombak di bawah ISA bulan lalu, mungkin dikaitkan dengan gerakan Wahabi.
“Tidak mustahil juga ia berkaitan dengan dakwaan bahawa tahanan merupakan anggota kumpulan yang dikaitkan dengan gerakan Wahabiah, yang kononnya ejen keganasan antarabangsa.
“Ada pihak yang mahu tindakan diambil terhadap kumpulan tersebut,” kata pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh dalam aduannya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pagi ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah tahanan tersebut yang dikaitkan dengan fahaman itu.
Diminta mengulas lanjut tentang pendekatan agama tersebut, Syed Ibraim berkata: “Kaedah pembelajaran (Wahabi) berbeza tetapi tidak menyalahi Islam. Mereka bukan ajaran sesat.”
Dua belas tahanan tersebut adalah antara 50 orang yang ditahan di Sungai Cincin, Gombak bulan lalu.
Bagaimanapun, 38 daripadanya telah dibebaskan tidak lama kemudian.
Muhyiddin: Hukuman sebatan hukum syarak ‘agak jauh ringan’
PUTRAJAYA, Feb 19 — Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat hukuman sebatan yang dikenakan di bawah undang-undang Syariah adalah “agak jauh ringan” berbanding perundangan sivil dan beliau yakin ia tidak akan menjejaskan imej negara.
Sehubungan itu timbalan perdana menteri berkata, pendekatan yang digunakan oleh Islam adalah lebih kepada mendidik dan menginsafkan mereka yang melakukan kesalahan.
“Jadi, berbeza sekali. Sekiranya ada penjelasan sebegitu, maka tidak akan timbul tanggapan bahawa kita membuat sesuatu berbeza, malahan daripada segi hukuman yang dilakukan itu, ia agak jauh ringan.
“Kalau yang hukum bunuh itu, berbeza sekali,” kata selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan di sini hari ini.
Muhyddin yang juga timbalan presiden Umno berkata Jabatan Agama Islam negeri perlu memainkan peranan daripada segi memberi pendidikan dan pemahaman berhubung hukuman sebatan yang telah dilaksanakan terhadap tiga pesalah wanita.
Beliau berkata langkah itu penting bagi perkara itu difahami bukan sahaja masyarakat di dalam negara tetapi juga masyarakat antarabangsa agar tidak timbul tanggapan serong tentang apa yang berlaku di negara ini.
Baca selanjutnya di The Malaysian Insider
Patologi mengatakan tidak ada bukti Hock Beng dicekik
TERKINI Kuala Lumpur, 19 Feb: Seorang ahli patologi kerajaan yang melakukan bedah siasat mayat Teoh Beng Hock kali kedua pada bulan November lalu, mendakwa kematian Beng Hock kerana jatuh dan membantah kesimpulan Dr Pornthip Rojanasunand bahawa Beng Hock telah dicekik atau dubur ditembusi objek sebelum ia jatuh.
Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, juga mengatakan bahawa beliau bersetuju dengan penemuan hasil bedah siasat pertama.
Beliau membantah kesaksian Dr Pornthip yang mengatakan Beng Hock meninggal sebelum ditemui jatuh pada tahun lalu. Dr Pornthip pakar forensik mewakili ahli keluarga Beng Hock yang ditawarkan kerajaan Selangor.
Dr Shahidan mengatakan bahawa mengikut pendapatnya kecederaan di leher Teoh adalah hasil daripada jatuh dan bahawa tidak ada bukti kelemasan (asphyxia).
Laporan The Malaysian Insider: Tiada kesan Beng Hock mati dicekik
Oleh Shazwan Mustafa Kamal
KUALA LUMPUR, Feb 19 — Pakar patologi kerajaan yang mengendalikan bedah siasat kali kedua ke atas mayat Teoh Beng Hock akhir November lalu memberitahu inkues hari ini, bekas setiausaha politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor itu meninggal dunia kerana jatuh dari bangunan tinggi.
Sehubungan itu, Ketua Jabatan Patologi Hospital Sungai Buloh Dr Shahidan Md Noor juga menafikan rumusan pakar forensik dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa kemungkinan wujud tanda-tanda dicekik ataupun duburnya ditembusi benda tertentu sebelum mendiang jatuh dari Plaza Masalam, Shah Alam.
Dr. Shahidan berkata beliau bersetuju dengan kandungan laporan bedah siasat pertama yang dikemukakan oleh Dr.Khairul Azman Ibrahim dan Dr. Prashant Naresh Samberkar.
“Saya berpendapat Dr. Khairul dan Dr. Prashant telah menjalankan tugas mereka dengan sangat baik. Adalah sukar untuk mendapatkan laporan yang sebaik seperti itu. Saya bersetuju dengan pandangan mereka,” kata Dr. Shahidan pada inkues yang disambung pagi ini.
Dr. Shahidan menambah beliau juga bersetuju dengan penemuan hasil bedah siasat pertama yang dijalankan oleh hospital kerajaan pertengahan tahun lalu.
Beliau mempertikaikan keterangan Dr. Pornthip yang khidmat kepakarannya diperoleh oleh kerajaan negeri Selangor dalam inkues ini.
Jelas Dr Shahidan, pada pandangannya kesan-kesan luka di bahagian leher Teoh adalah kerana terjatuh dan tiada bukti wujudnya elemen asfiksia.
Inkues kini berlangsung setelah Teoh ditemui mati pada 16 Julai lalu di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas ditemu siasat oleh pegawai SPRM Selangor di tingkat 14, bangunan itu berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri.
Pada akhir November lalu mayat Teoh digali semula atas permintaan keluarganya ekoran keterangan Dr Porntip bahawa 80 peratus kemungkinan menunjukkan beliau dibunuh, bukannya membunuh diri.
Laporan bedah siasat yang dikemukakan oleh Hospital Sungai Buloh menunjukkan bahawa mendiang meninggal dunia disebabkan “kecederaan yang pelbagai akibat jatuh dari tempat yang tinggi.”
Laporan bedah mayat Beng Hock didedahkan hari ini
Kuala Lumpur 19 Feb: Rakyat Malaysia terutama keluarga Teoh Beng Hock berharap mendapatkan keputusan akhir tentang punca kematian Beng Hock sama ada pembunuhan politik atau bunuh diri.
Ahli Patologi Dr Shahidan Md Noor, yang melakukan pemeriksaan kedua keatas mayat Teoh di Hospital Sungai Buloh menyifatkan salah satu negara paling banyak membicarkan kes misteri diharap membentangkan hasil pemeriksaan beliau
Satu salinan laporan itu telah disampaikan kepada semua pihak yang bersangkutan dan hasil penemuan akhir bedah siasat mayat pada 22 November lalu akan didedahkan kepada awam hari ini.
Shahidan melakukan pemeriksaan di bawah penyeliaan yang dilantik kerajaan Selangor, Ahli Forensik, Dr Pornthip Rojanasunand manakala Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (SPRM) melantik Dr Peter Venezis.
Sebelum itu, Pornthip, seorang pengarah Central Institute of Forensic Science di Bangkok, yang merupakan bahagian daripada Kementerian Kehakiman Thailand, mendedahkan hasil daripada pemeriksaan beliau bahawa 80 peratus punca kematian Teoh adalah pembunuhan bukan bunuh diri.
Pornthip dan saksi Venezis
Hasil keputusan Pornthip ditunda sementara menunggu penemuan ahli forensik, Venezis, yang terkenal terlibat dengan penyiasatan kematian Putri Diana, akan buat presentasikan.
Baik Pornthip dan Venezis cenderung memuat berdiri selepas Shahidan.
Coroner, Azmil Muntapha Abas memerintahkan bedah siasat keatas mayat Teoh kali kedua pada 9 Nov lalu apabila Pornthip membuat laporan yang mengejutkan semua pihak.
Teoh meninggal pada 16 Julai, ketika ditemui di Plaza Masalam, Shah Alam selepas disiasat pihak SPRM atas dakwaan rasuah. Pihak SPRM mendakwa kematian Teoh kerana bunuh diri.
Namun keluarga Teoh tidak dapat menerima tuduhan itu dan menduga terdapat unsur jenayah politik.
Selepas pemeriksaan kedua, media Suara Keadilan pula melaporkan punca kematian Teoh dibunuh.
SPRM kemudiaannya membuat laporan polis keatas Suara Keadilan itu dan menuduh Pornthip telah bocor laporan kepada media, menyebabkan kemungkinan ahli forensik terkenal Thailand itu menolak untuk menjadi saksi.
Hal ini menyebabkan Peguam Negara Abdul Gani Patail meminta Pornthip jelas dari setiap kesalahan.
Peguam keluarga Teoh - Karpal Singh dan Gobind Singh Deo, pula mahukan pegawai SPRM yang membuat laporan polis didakwa kerana menghina.
Keputusan pendengaran akan dibuat pada pukul 10 pagi hari ini.
Ada pemimpin Umno yang faham tinggal lagi Mahyuddin, Pak Lah dan pentaksudnya
>> Khamis, Februari 18, 2010
Jerat makan tuan. Pada Pak Lah sebagai orang yang lurus mungkin tanggapannya perarakan memberi makna besar sambut Maulidur Rasul tetapi berlainan bagi Mahyuddin dan kalangan Umno yang reti Islam menjadikan isu perarakan sebagai bahan politik mereka untuk menimbulkan suasana yang sentiasa tegang kepada kerajaan negeri pakatan rakyat (PR) terutama di Pulau Pinang.
Bagaimanapun kali jerat mereka mengena diri sendiri. Ternyata banyak juga negeri pemerintahan Umno tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Jadi apa pasal Pulau Pinang yang menjadi sasaran sangat kepada Mahyuddin dan Pak Lah serta kuncunya.
Selepas ini kita dengar apa kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta pengikut taksud tanpa usul periksa.
Laporan Malaysiakini: Maulidur Rasul: Tiada perarakan di Johor, Pahang, Perlis
Salhan K Ahmad Feb 18, 10 5:14pm
Johor, Pahang dan Perlis tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, umumnya kerana ia tidak dituntut oleh Islam.
Di Pahang, negeri itu hanya akan mengadakan satu ceramah di auditorium RTM Kuantan, tanpa perarakan besar seperti yang diadakan beberapa tahun lalu, kata pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman.
"Kita tidak buat perarakan, tapi sambutan dalam bentuk ceramah sahaja. Seingat saya kita cuma pernah adakan perarakan sekali saja pada tahun 2008, yang lain lebih banyak kita adakan ceramah," kata Abdul Manan ketika dihubungi.
Jelasnya, keputusan untuk tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini diambil setelah mengambil kira keselesaan orang ramai yang akan hadir dan tidak melibatkan hukum ke atas penganjuran perarakan.
"Kita tidak anjurkan perarakan tahun ini bukan sebab hukum tetapi kerana mengutamakan keselesaan orang ramai yang akan hadir kerana ia dibuat waktu malam.
"Kita takut nanti akan hujan, dan perlu juga ambil kira masalah kesesakan," katanya dan menjelaskan belum ada lagi fatwa yang dikeluarkan berhubung penganjuran perarakan seperti itu.
"(Pahang) belum ada lagi fatwa yang katakan tidak boleh (buat perarakan), pandangan ini juga belum diutarakan lagi. Kalau ada (ulama) yang kata tidak boleh, ia perlu dibawa ke dalam Majlis Fatwa Kebangsaan," tambahnya.
Di Johor pula, sambutan tahun ini dijangka tetap meriah walau diadakan tanpa perarakan, kata pengarah Jabatan Agama Islam Johor A Rahman Jaffar.
Katanya, sambutan kali ini akan berlangsung sepanjang bulan dengan aktiviti yang dijadualkan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan juga di masjid-masjid jamek di setiap daerah.
Program di masjid negeri yang akan dihadiri Sultan Johor itu antaranya akan meliputi titah sultan, ceramah dan majlis berzanji.
"Dahulu kita pernah buat perarakan tapi sekarang tidak ada lagi, lagipun acara perarakan ini tidak dituntut oleh Islam" katanya.
Tambahnya, beberapa kumpulan tetap memohon supaya diadakan perarakan tahun ini, namun cadangan itu ditolak oleh Majlis Agama Islam Johor.
Juga difahamkan, negeri itu tidak pernah mengeluarkan apa-apa fatwa berkaitan penganjuran perarakan bagi menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"Kita fokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan masjid dan juga kawasan kubur. Kalau tidak, kita bersihkan kubur waktu hari raya sahaja.
"Kalau perarakan pun cuma sekali saja, lepas itu habis. Kalau kita buat aktiviti kemasyarakatan kita boleh buat secara berterusan," katanya lagi.
Sementara itu, Perlis juga tidak akan mengadakan perarakan bagi sambutan kali ini, seperti juga tahun-tahun sebelumnya.
Ini disahkan oleh exco agama Islam negeri Jefri Othman yang berkata, Perlis sememangnya tidak pernah menyambut Maulidur Rasul secara besar-besaran
"Kita memang dari dulu lagi tidak sambut Maulidur Rasul secara besar-besaran seperti negeri lain," katanya.
Tiada PAS lagi untuk Ibrahim Ali - PRU-13
Besar sungguh jiwa Ustaz Ismail Noh, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas bersedia beri laluan kepada Ibrahim Ali bertanding kerana keputusan jemaah. Kalau sebarangan orang sudah tentu buat kacau tetapi alhamdulillah jiwa dan hati beliau amat zuhud tidak terpengaruh dengan duniawi.
The Malaysian Insider melaporkan: PRU-13: Tiada simbol PAS buat Ibrahim tanding di Pasir Mas
[Ibrahim bertanding dalam pilihan raya 2008 menggunakan lambang PAS. — Gambar pinkturtle.wordpress.com]
KUALA LUMPUR, Feb 18 — PAS tidak akan memberi laluan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk bertanding semula di kubu kuatnya di bahagian Parlimen Pasir Mas, Kelantan atas lambang parti itu pada pilihan raya umum akan datang.
“Tidak, kami tidak akan membenarkan Ibrahim Ali bertanding atas tiket PAS lagi... apa yang diputuskan pada tahun 2008 bersifat sekali sahaja, itu adalah keputusan ‘one-off’,” kata ahli jawatankuasa PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Kota Baru itu berkata pihaknya sudah memutuskan dari dahulu lagi bahawa ruang yang diberikan kepada Ibrahim dua tahun lalu hanya bersifat “sekali sahaja”.
“Keputusan ini bukan yang baru, memang dari dulu lagi kami sudah memutuskan demikian. Pada pilihan raya umum akan datang PAS akan meletakkan calon di kerusi Pasir Mas, sama ada Ibrahim Ali tanding atau tidak, PAS tetap akan meletakkan calon sendiri,” kata bekas pengarah pilihan raya PAS Kelantan ini.
“Keadaan 2008 tidak akan berulang, sebaliknya jika PAS letak calon, BN letak calon, Ibrahim juga mahu bertanding, maka akan ada saingan tiga penjuru... balik kepada keadaan asal seperti tahun 2004 di mana beliau kalah teruk,” kata Wan Abdul Rahim yang juga Yang Dipertua PAS Kota Baru.
Sebelum ini Ibrahim, ahli Parlimen Bebas pernah berkata bahawa walaupun beliau telah memutuskan kerjasama dengan PAS tetapi “hubungan di segi sahabat, berkongsi maklumat dan cita-cita politik masih macam biasa”.
“Saya kekal sebagai calon Bebas, maknanya, saya boleh berkawan dengan sesiapa, boleh bertegur sapa dengan sesiapa, kritik sesiapa, dan semuanya boleh kritik dan hentam saya.
“Maksudnya (saya) tidak memihak pada mana-mana pihak tetapi bebas,” katanya.
Ibrahim menjadi ahli Umno sejak 1981 tetapi telah dipecat pada 2003.
Ekoran tindakan itu, Ibrahim bertanding di kawasan Pasir Mas pada 2004 sebagai calon Bebas tetapi gagal.
Pada tahun 2008, Ibrahim bertanding menggunakan simbol PAS tetapi duduk di Dewan Rakyat atas kapasiti sebagai calon Bebas.
PAS menawarkan Ibrahim untuk menggunakan simbolnya.
Pada tahun 2004 kerusi Pasir Mas dimenangi calon PAS iaitu Ismail Noh yang memperoleh 17,526 undi manakala calon BN, Abd Rahim Abd Rahman mendapat 16,275 dan Ibrahim pula 6,198.
Dua tahun lalu, Ibrahim menerima 28,673 undi manakala calon BN, Ahmad Rosdi Mahmud 19,682.
“Permusuhan” antara PAS dan Ibrahim mula tercetus awal tahun lalu selepas wakil rakyat itu dilihat mengkritik semua pihak tidak kira parti termasuk Pakatan Rakyat.
Situasi itu menyebabkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta beliau meletakkan jawatan dan bertanding semula di kerusi berkenaan.
Ibrahim kemudian menubuhkan Majlis Bertindak Rakyat Kelantan (MTRK) dan yang terbaru Perkasa.
Wan Rahim juga berkata berdasarkan maklumat yang beliau terima kemungkinan Umno juga akan meletakkan calonnya Pasir Mas dalam pilihan raya umum akan datang.
Walaupun Perkasa dikatakan menjadi pertubuhan bukan kerajaan yang mencabar peranan Umno tetapi parti dominasi BN itu menganggap Ibrahim sebagai rakan mereka.
Peraturan Kawal Industri Burung Walit Ke Kabinet Minggu Depan
Oleh Syed Azwan Syed Ali
KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Selepas bertahun-tahun menunggu, Garis Panduan Industri Burung Walit atau 1GP akan dibentangkan ke Kabinet minggu depan.
Jika ia diguna pakai, Malaysia akan maju selangkah dalam industri itu berbanding negara pengeluar sarang burung walit lain seperti Indonesia dan Thailand.
"Ini kerana 1GP akan menjadi garis panduan industri burung walit yang pertama di dunia," kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin kepada Bernama di sini.
Dengan kata lain, industri yang bermula dengan migrasi besar-besaran spesies burung itu dari Indonesia ke negara ini sejak 2000 yang kini bernilai RM1.5 bilion setahun itu akan mempunyai "piawaian" tersendiri.
1GP akan menjadi garis panduan untuk mengawal selia pembangunan industri itu secara holistik daripada aspek perlesenan, persampelan, pengeluaran hingga ke pengeksportan sarang burung walit ke pasaran luar khususnya China.
Abdul Aziz berkata 1GP akan dibawa ke Kabinet selepas ia mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Kesihatan selaku kementerian terakhir membuat ulasan mengenai garis panduan itu.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata 1GP akan dibentang ke Kabinet awal tahun ini selepas ia mendapat maklumat balas daripada kementerian terbabit seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kesihatan.
Sarang burung walit adalah antara sektor bukan makanan berimpak tinggi diberikan perhatian oleh kementerian terbabit selain ikan hiasan dan rumpai laut sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.
Namun masalah perlesenan premis burung yang dibina di kawasan bandar terutamanya di lot-lot rumah kedai seperti di Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak menimbulkan dilema dalam kalangan pemilik dan pedagang sarang burung.
Terdapat juga segelintir pihak khususnya penduduk kawasan sekitar yang khuatir risiko penyakit selain masalah bau dan bunyi dari premis burung yang "diubah suai" itu.
Selanjutnya di Bernama.com
Karpal dakwa PM, isteri dalangi kes liwat Anwar
Oleh Shazwan Mustafa Kamal
KUALA LUMPUR, Feb 18 — Peguam pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendalangi kes liwat yang dihadapi oleh ketua pembangkang kali ini.
“Sebagaimana saya katakan, adanya tangan ajaib dalam perbicaraan ini, dan ia adalah tangan Perdana Menteri sekarang... ada dua tangan dan satu lagi tangan isteri beliau,” kata beliau di mahkamah hari ini.
Anwar menyambut dakwaan Karpal itu dari kandang tertuduh dengan berkata “konspirasi, pembohongan besar.”
Selanjutnya baca di The Malaysian Insider
PKR nafi hantar Zul ke Korea, patut bela diri
Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Feb 18 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang sepatutnya menghadap lembaga disiplin hari ini, memilih untuk “lebih mementingkan urusan peribadi” dengan berada di Korea Selatan, kata Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali.
“Zulkifli memilih untuk lebih mementingkan urusan pribadinya ke Korea daripada hadir di hadapan lembaga disiplin untuk penyiasatan dan membela diri.
“Beliau tidak harus menyalahkan mana-mana pihak,” kata Syed Husin (gambar) menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi hasil perbincangan mesyuarat Biro Politik parti itu malam tadi.
Kata beliau biro telah membincangkan beberapa perkara termasuk kes-kes disiplin.
“Berhubung kes Zulkifli, Biro menyerahkan kepada lembaga disiplin untuk membuat keputusan dan menyampaikannya kepada parti dengan seberapa segera.
Berita selanjutnya di The Malaysian Insider
