Peraturan Kawal Industri Burung Walit Ke Kabinet Minggu Depan

>> Khamis, Februari 18, 2010

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Selepas bertahun-tahun menunggu, Garis Panduan Industri Burung Walit atau 1GP akan dibentangkan ke Kabinet minggu depan.

Jika ia diguna pakai, Malaysia akan maju selangkah dalam industri itu berbanding negara pengeluar sarang burung walit lain seperti Indonesia dan Thailand.

"Ini kerana 1GP akan menjadi garis panduan industri burung walit yang pertama di dunia," kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin kepada Bernama di sini.

Dengan kata lain, industri yang bermula dengan migrasi besar-besaran spesies burung itu dari Indonesia ke negara ini sejak 2000 yang kini bernilai RM1.5 bilion setahun itu akan mempunyai "piawaian" tersendiri.

1GP akan menjadi garis panduan untuk mengawal selia pembangunan industri itu secara holistik daripada aspek perlesenan, persampelan, pengeluaran hingga ke pengeksportan sarang burung walit ke pasaran luar khususnya China.

Abdul Aziz berkata 1GP akan dibawa ke Kabinet selepas ia mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Kesihatan selaku kementerian terakhir membuat ulasan mengenai garis panduan itu.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata 1GP akan dibentang ke Kabinet awal tahun ini selepas ia mendapat maklumat balas daripada kementerian terbabit seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Kesihatan.

Sarang burung walit adalah antara sektor bukan makanan berimpak tinggi diberikan perhatian oleh kementerian terbabit selain ikan hiasan dan rumpai laut sebagai penyumbang kepada ekonomi negara.

Namun masalah perlesenan premis burung yang dibina di kawasan bandar terutamanya di lot-lot rumah kedai seperti di Pulau Pinang, Melaka dan Sarawak menimbulkan dilema dalam kalangan pemilik dan pedagang sarang burung.

Terdapat juga segelintir pihak khususnya penduduk kawasan sekitar yang khuatir risiko penyakit selain masalah bau dan bunyi dari premis burung yang "diubah suai" itu.

Selanjutnya di Bernama.com

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP