Membaca cerita isteri mangsa tahanan ISA, kita jadi tidak mampu menulis. Kita hanya menulis berdasarkan lahiriah apa yang kita tengok sedangkan hati dan perasaan isteri mangsa tahanan ISA hanya mereka dan Allah SWT sahaja yang tahu bertapa sengsara mereka menjalani hidup yang berubah secara mendadak.
Sebab itu ISA memang sah zalim walaupun ada pihak seperti Perkasa yang mempertahankan ISA. Walaupun mereka bukan warga kita tetapi naluri kemanusia sepatutnya ada setiap insan dan pemerintah. Kita tidak akan layak digelar pemerintah Islam selagi kita tunduk kepada tekanan negara kuffar Barat.
Maka sebaiknya bagi pemerintah Islam jangan aniaya orang Islam. Kalau mereka benar-benar bersalah, dakwalah mereka. Mengurung dan menyekat hak kebebasan sesama muslim adalah haram dan pemerintah yang bertanggungjawab menahan mereka tanpa dibuktikan bersalah maka hukumnya berdosa besar. Apakah pemerintah Umno tidak takut azab Allah SWT?
Berikut laporan Malaysiakini: 'Tolong bebaskan suami saya'
Salhan K Ahmad 19 Feb, 10 6:55pm
Dengan berlinangan air mata, Bashirah Abdul Salam - seorang rakyat Nigeria - merayu kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Siva Subramaniam supaya membantu membebaskan suaminya yang kini ditahan bawah ISA.
Bashirah, 27, (foto - berpurdah) berkata suaminya itu, Luqman Abdul Salam, tidak bersalah dan oleh itu, pelajar warga Nigeria itu tidak wajar ditahan.
"Tolonglah, bebaskan suami saya supaya dia dapat meneruskan pengajian dan menjaga kami sekeluarga," katanya yang hadir bersama Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang menghantar memorandum bantahan kepada Suhakam pagi ini.
Luqman adalah antara 12 orang yang ditahan pada 21 Januari lalu selepas serbuan dilakukan ke atas sekumpulan 50 orang yang sedang mengikuti satu kuliah agama di sebuah apartmen di Gombak, Selangor. Tiga puluh lapan daripadanya sudah dibebaskan.
"Saya harap pihak berkuasa dapat mengembalikannya semula. (Luqman) perlu diberi peluang untuk meneruskan pengajiannya dan mempertahankan diri (di mahkamah)," kata Bashirah yang memangku anak perempuannya.
Sementara itu, Abdul Ghani Luqman (kanan) - adik ipar Hassan Barudi dari Syria - berkata dia sendiri tidak pasti mengapa saudaranya itu ditahan di bawah ISA sedangkan mereka hanya menghadiri satu kuliah agama.
"Kami sedang berkumpul selepas solat Isya di ruang tamu apartmen ketika diserbu sepasukan polis," kata Abdul Ghani. Hassan adalah pelajar sebuah kolej swasta di Petaling Jaya.
"Saya juga ditahan tapi dibebaskan semula pada pukul 3 pagi. Sehingga sekarang kami tidak diberitahu apakah sebab kami ditahan.
"Kami hanya mengikuti kuliah berdasarkan kitab Imam Al-Bukhary, tiada langsung kaitan dengan pengganas," katanya lagi.
Tambahnya, kuliah di premis yang dinamakan Darul Ilmu itu disampaikan oleh Sheikh Aiman Al Dakkak, seorang pelajar peringkat ijazah kedoktoran di sebuah universiti tempatan, yang turut ditahan di bawah ISA.
"Setakat ini belum ada mana-mana pihak berkuasa yang menghubungi kami. Semasa kami ditahan, itulah kali terakhir saya bertemu dengan Hassan. Saya mahu tahu apa yang berlaku kepada dia sekarang," kata Abdul Ghani lagi.
-
0 comments:
Catat Ulasan