Papa Gomo bawa cerita lumrah dalam Umno. Kalau masuk Umno atau rakan sewaktu dalam BN maka selamatlah mereka daripada tindakan undang-undang walaupun sejahat dan sebensar mana jahatnya sama ada rasuah, rogol atau menamatkan nyawa orang sekalipun.
Mahu bukti? Tanya Datuk Jeffry Ketingan. Tak cukup lagi? Tanya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas di Perak. Dahulu mereka ini Adun PKR. Hak ni semua kes rasuah.
Kalau kes rogol anda boleh tanya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana dia ada sejarah hitam kes rogol bawah umur orang Umno. Samapi sekarang perogol tu happy manjang. Hak sengsaranya nenek budak perempuan kena rogol.
Kali ini Papa Gomo buat cerita pensyarah perogol Universiti Industri Selangor bila dibawah kerajaan negeri Selangor tetapi semasa kejadian dua tahun lalu di Universiti Putra Malaysia, tidak pula dia lapor kepada kerajaan Umno.
Atau Papa Gomo rasa kalau bawak kepada kerajaan Umno kes tu senyap begitu lah. Bila perogol tu duduk kat universiti bawah kerajaan negeri Selangor maka boleh buat isu konon nak pelekeh kerajaan Selangor.
Kalau kes itu betul polis kena siasat atau polis pun nak ikut stail Umno?
Laporan Malaysiakini berkaitan:
Blogger dakwa 'perogol' di universiti
Feb 25, 10 7:55pm
Seorang pegawai kanan Universiti Industri Selangor, yang didakwa sebagai 'perogol' dikatakan menjadi ancaman di kalangan mahasiswa di unviversiti berkenaan.
Papa Gomo, yang mengaku sebagai seorang blogger yang pro-Barisan Nasional menimbulkan isu berkenaan dalam blognya dan menggesa kerajaan negeri Selangor supaya segera bertindak.
"Menteri Besar Khalid Ibrahim mesti segera bertindak berhubung perkara itu. Bagaimana seseorang yang didakwa sebagai perogol boleh dibiarkan bergaul dengan pelajar?” soalnya ketika dihubungi menerusi email.
Secara sinisnya, beliau berkata individu yang dilantik awal tahun lalu, tidak sepatutnya dibenarkan memegang jawatan berkenaan meskipun beliau merupakan kroni menteri besar.
Pegawai kanan itu didakwa merogol seorang pelajar berusia 26 tahun ketika beliau mengajar di Universiti Putra Malaysia, dua tahun lalu.
Menurut laporan polis bertarikh 11 Mac 2009 yang diterbitkan di laman sesawang Papa Gomo, pelajar itu dirogol sebanyak tiga kali di pejabat pegawai berkenaan pada Disember 2008.
“Beliau mahu saya menjadi isteri ketiga, tetapi apabila saya enggan, dia merogol saya sambil mendakwa cara itu sahaja yang akan membuatkan saya berkahwin dengannya. Tetapi sehingga sekarang, beliau masih tidak mahu bertanggungjawab,” dakwa mangsa itu yang namanya telah dipadamkan dalam laporan polis berkenaan.
Balai polis Dengkil mengesahkan laporan polis telah dibuat. Bagaimanapun, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim tidak mahu mengulas.
Bukan sahaja rasuah, perogol pun selamat kalau Umno
>> Jumaat, Februari 26, 2010
Perlu mekanisme pembangunan Kampung Baru elak perpindahan skala besar
>> Khamis, Februari 25, 2010
Perpindahan penduduk buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan dijalankan itulah yang sukar diterima penduduk Kampung Baru.
Memang tidak dinafikan perpindahan terpaksa berlaku tetapi ia bukan pada skala yang besar bagi keseluruhan penduduk Kampung Baru.
Oleh kerana itu kerajaan perlu ada satu mekanisme bagi memastikan tidak berlaku perpindahan keseluruhan penduduk Kampung Baru.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berjanji pembangunan Kampung Baru tidak akan memindahkan penduduk kampung itu serta kebajikan mereka akan terpelihara, semasa membuat lawatan ke kampung tersebut.
Kalau kerajaan boleh mengwujudkan zon pembangunan kepada kampung disebelah Setapak, Sentul dan Gombak, kenapa ia tidak boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian pembangunan di Kampung Baru?
Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam dan kampung Sungai Mulia di Gombak dilaporkan akan dibangunkan mengikut zon bagi mengelak pemgambilan tanah penduduk.
Begitu juga bagi Kampung Chubadak dan Kampung Puah Seberang di Sentul serta Kampung Sungai Murali di Setapak.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata demikian ketika menggulung perbahasan dan memberi jawapan kepada perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang (Tian Chua) dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pada sidang Dewan Rakyat, 7 Disember lalu.
Menurut Raja Nong, pelan struktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (Draf Pelan DBKL 2020) telah mengenal pasti kampung tradisi tersebut sebagai kawasan khusus dan akan dibangunkan mengikut penyusunan semula serta infrastruktur dan kemudahan untuk masyarakat.
Selaras itu kata beliau, Draf Pelan DBKL 2020 mencadangkan pengezonan semula kampung tradisi sebagai zon kediaman kepadatan dan meningkatkan potensi nilai ekonomi tanah.
Tambah beliau, pengezonan itu tidak melibatkan pengambilan tanah walaupun digunakan untuk awam dan infrastruktur dan ia terpulang kepada pemilik tanah sendiri untuk membangunkan lot mereka mengikut zon yang dicadangkan pelan tersebut.
"Kita bagi ruang untuk mereka bila kita mengeluarkan draf pelan ini, supaya kalau mereka hendak bangunkan, mereka ada ruang untuk membangunkan. Akan tetapi, soal pihak kerajaan ataupun DBKL mengambil tanah dengan paksa, tidak timbul langsung," ujar Raja Nong.
Sebaliknya dalam kenyataan beliau mengenai pembangunan Kampung Baru, ia menjadi kerisauan kembali kepada penduduk kampung tradisi.
Raja Nong dilaporkan Bernama berkata: “Tapi kalau ada yang masih menahan, kita terpaksa cari kaedah undang-undang dan sebagainya.”
Ia seolah-olah membuat satu paksaan atau ugutan awal kepada penduduk Kampung Baru jika enggan setuju dengan pembangunan kampung itu.
Raja Nong berkata kerajaan mungkin mengkaji satu undang-undang mengikut majoriti, iaitu jika 80 peratus penduduk di sesuatu kawasan bersetuju dengan projek pembangunan, maka 20 peratus lagi terpaksa menurut atau akur dengan keputusan membangunkan kawasan itu.
“Kita sedang kaji undang-undang itu bukan hanya untuk pembangunan di Kampung Baru, malah di kawasan lain yang juga tertahan pembangunannya,” kata beliau dalam rancangan bual bicara Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam tadi.
Dalam laporan sama Raja Nong Chik berkata jika cadangan pembangunan semula Kampung Baru itu terlaksana, pemindahan sementara sebahagian penduduknya mungkin akan dilakukan.
"Mereka mungkin terpaksa dipindahkan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan Kampung Baru dijalankan dan kajian berhubung perkara itu sedang dilakukan," katanya.
Bagaimanapun sebelum ini, Najib dilaporkan berjanji penduduk Kampung Baru tidak akan dipindahkan dan kebajikan mereka akan terpelihara.
Kenyataan yang tidak selari ini amat membimbangkan penduduk. Apalagi kerajaan mempunyai tred rekod pengambilan tanah secara paksa yang amat buruk semata-mata membangunkan Kuala Lumpur malah melanggarkan perjanjian Ganeva dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kekenduran kerajaan dengan penduduk kampung sejak akhir ini dilihat setelah pakatan rakyat (PR) menguasai kesemua kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.
Malah sejarah juga menyaksikan Kuala Lumpur sebelum dikuasai PR, ahli parlimen daripada Umno, Gerakan dan MCA lebih terkenal sebagai wakil pemaju kerana mereka tidak membela rakyat dalam pengambilan tanah secara paksa keatas penduduk.
Ketika itu sering dilihat di televisyen dan media, rumah penduduk diroboh secara paksa dengan kawalan Polis Persekutuan (FRU).
Apakah fobia penduduk kampung mengenai pembangunan dan truma jentera jengkaut dengan kawalan polis yang siap sedia menangkap penduduk menghalang perobohan rumah akan berterusan?
Namun begitu ada kesan yang baik sekurang-kurangnya kepada penduduk kampung setelah kemenangan PR, apabila mereka dibela oleh wakil rakyat mereka sempena dengan perubahan rakyat yang mahukan politik baru.
Kemenangan PR bukan menyekat pembangunan tetapi biarlah penduduk yang sudah lama tinggal dan meneroka tanah bandar dengan keizinan kerajaan Perikatan ketika itu turut diberi hak menikmati pembangunan, bukan dihalau begitu sahaja umpama anjing kurap.
Ketika kerajaan memerlukan tenaga penduduk kampung untuk membangunkan negara mereka ditatang dengan penuh hormat tetapi apabila tidak diperlukan mereka dihalau seolah tidak ada langsung jasa mereka kepada negara.
Apa yang menyedihkan lagi ialah penduduk kampung yang sangat setia dengan Umno sering dijanjikan untuk diberi geran milik tanah yang diteroka tetapi sehingga sekarang tidak pernah tertunai. Umno jadikan janji geran milik tanah sebagai senjata setiap kali menjelang pilihan raya.
Oleh yang demikian pengalaman dan sejarah itu, maka sukar untuk penduduk Kampung Baru menerima bulat-bulat kenyataan menteri selagi kerajaan tidak mendedahkan pelan dan perancangan pembangunan kepada penduduk.
Dalam ucapan penggulungan yang sama di parlimen, Raja Nong Chik sempat mengeluarkan perkataan menghina penduduk kampung tradisi iaitu mengatakan masyarakat sedia ada yang usang.
Amat menghinakan terpancul daripada mulut menteri yang dikatakan mahu membangunkan orang Melayu dan kampung tradisi serta Kampung Baru. Apa yang menyedihkan tiada seorang ahli parlimen Melayu yang membantah ucapan beliau itu.
Mungkin kerana pengalaman itu dan yang lalu maka perpindahan penduduk keluar dari Kampung Baru untuk membangunkan kampung itu amat sukar diterima. Oleh yang demikian kerajaan perlu terlebih dahulu membangunkan pelan penempatan penduduk sama ada kondominium atau apartment di Kampung Baru.
Pembangunan perumahan itu hanya melibatkan beberapa bahagian pembangunan di Kampung Baru. Jika ini diberi keutamaan diusahakan terlebih dahulu maka perpindahan penduduk Kampung Baru pada skala besar dapat dikurangkan.
Apabila projek perumahan Kampung Baru siap maka ia boleh digunakan sebagai tempat pemindahan sementara disamping menempatkan kembali penduduk Kampung Baru yang dipindahkan ke tempat lain semasa projek perumahan dibangunkan.
Hanya niat suci bersih menteri mampu melunakkan penduduk Kampung Baru. Jika sebaliknya kerajaan ada motif mengambil kesempatan diatas penduduk Kampung Baru maka kemungkinan politik Melayu sendiri akan menjadi tsunami pada pilihan raya umum akan datang setelah bangsa lain membuat perubahan pada pilihan raya umum lepas.
Ku Li: Iklan isu royalti keliru, cetus implikasi baru
>> Isnin, Februari 22, 2010
Oleh G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Feb 22 — Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah (picture) hari ini.
Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.
Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.
“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.
“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).
“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan hari ini.
Pada 28 Jan lalu beliau menegaskan pada satu ceramah perdana bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus.
Pun begitu kata beliau, pada tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah.
Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini menambah, oleh itu ada pihak tertanya-tanya atas dasar apa bayaran itu dibuat memandangkan petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.
Oleh itu tegas beliau, hujah untuk menafikan hak Kelantan daripada memperoleh bayaran tunai lima peratus atas dasar minyak berada di kawasan tiga batu nautika sebenarnya “satu penghinaan kepada kebijaksanaan” seseorang.
Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Tengku Razaleigh dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.
Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.
Tengku Razaleigh, bekas pengerusi dan pengasas Petronas, menambah bahawa pembayaran wang tunai lima peratus adalah manfaat dinikmati rakyat tetapi telah dinafikan oleh Umno Kelantan selepas 34 tahun bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.
Katanya, tiada pihak dengan fikiran waras akan melakukan ini sebagai satu tindakan, yang kononnya akan memanfaatkan kedudukan jangka panjang Umno di Kelantan, malah di mana-mana sahaja orang memerhatikan perbuatan seperti ini.
“Saya dituduh meletakkan kepentingan negeri berbanding kepentingan parti. Bagaimanapun isu ini melangkaui (kepentingan) Kelantan.
“Hujah yang diletakkan dalam iklan semalan mengetepikan hak semua negeri dalam soal sumber alam semula jadi, yang merupakan hak kedaulatan mereka,” katanya.
Ia juga menafikan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit dan mengetepikan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut, kata beliau.
“Salah satu implikasi segera diturunkan dalam iklan penjelasan rasmi oleh Kementerian Penerangan semalam ialah Terengganu juga tidak layak untuk mendapatkan bayaran minyak (tunai).
“Ini bermakna selepas memotong kesemua bayaran apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang (pada 1999) dan digantikan dengan wang ihsan, tiada asas sama sekali bagi janji kerajaan untuk kembali kepada bayaran tunai.
“Kesemua minyak Terengganu ditemui jauh di kawasan pesisir pantai,” katanya.
Disebabkan itu menurut beliau, apa yang terpakai kepada Kelantan juga diguna pakai ke atas Terengganu.
“Pada akhirnya, ia bukan persoalan politik ataupun personaliti.
“Ia bukannya pasal saya atau sesiapa berkata, ataupun di mana PAS dan Umno berdiri,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, ia sebenarnya berkaitan dengan pematuhan kerajaan dengan perjanjian bertulis yang diluluskan oleh Parlimen dan sama ada menghormati prinsip demokrasi berparlimen.
Tegas beliau, sama ada hak orang ramai dipenuhi ataupun tidak ia bergantung kepada siapa mereka mengundi.
“Melayan Terengganu dan Kelantan dengan cara ini, kita menafikan hak mereka kepada wang yang mereka berhak untuk memiliki, menafikan hak kedaulatan negeri mereka dan mengikis demokrasi berparlimen,” katanya.
Orang Kampung Bantah Belanjawan Pendidikan Dipotong
Lebih 500 penduduk berhimpun di perkarangan Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda, Permatang Pauh di Pulau Pinang hari ini membantah tindakan pemerintah Umno-BN memotong belanjawatan Kementerian Pelajaran sehingga 20 peratus menyebabkan kesengsaraan kepada pelajar dan ibu-bapa miskin.
Penduduk memilih untuk berhimpun di sekolah ini, yang disalahguna kerajaaan BN untuk program politik Juara Rakyat.
Ibu-bapa marah kerana pemotongan belanjawan itu telah menyebabkan pendidikan anak-anak mereka terencat. Skim Bantuan Tuisyen Pelajar Miskin, Bantuan Seragam Unit Beruniform, Bantuan Makanan Asrama, Rancangan Makanan Tambahan, elaun murid berkeperluan khas dan bantuan sukan dan ko-kurikulum telah dimansuh atau dikurangkan.
Namun tiada seorang wakil Umno turun menemui warga miskin ini. Sebaliknya kedatangan mereka disambut oleh ketumbukan Unit Simpanan Persekutuan.
Desakan kuat daripada Pakatan Rakyat menyebabkan Umno akhirnya akur dan terpaksa membatalkan program tersebut apabila penyokong melaungkan 'Umno bukan juara rakyat, Umno juara penipu".
"Umno dah lama kalah tapi masih tak sedar diri dan cuba adakan program yang hanya dihadiri beberapa kerat orang saja. Kami tak puas hati mereka dengan senang guna sekolah yang sepatutnya tidak boleh digunakan sebagai tempat politik," kata seorang penduduk Abdul Manap Osman.
Letupan besar di Petronas Methanol Labuan
Satu letupan besar berlaku di cerowong pembuangan gas terkawal (S1001 Flare Tip) Petronas Methanol Labuan (PML) hari ini, memaksa operasi di tapak loji minyak bernilai RM511 juta itu dihentikan.
Seramai 82 pekerja kontrak dan 46 petugas Petronas Methanol Labuan sedang bekerja di situ ketika letupan berlaku pada pukul 11.37 pagi tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Dua jentera bomba, masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan dan unit bomba penyelamat PML dikerah mengawal kebakaran akibat letupan itu, dan berjaya mengawal keadaan 30 minit kemudian.
Bercakap kepada satu sidang akhbar, Ketua Produksi PML, Mohd Kamis Abdul Manap berkata siasatan terperinci akan dibuat bagi mengenal pasti punca letupan.
"Kita akan buat siasatan menyeluruh sebelum kerja-kerja dapat diteruskan di tapak loji ini. Ini adalah kejadian pertama berlaku di cerowong pembuangan gas asli terkawal ini.
"Kita akan mengenal pasti sama ada wujudnya kepincangan dalam aspek keselamatan," kata Mohd Kamis.
Petronas Methanol Labuan memiliki loji methanol yang dibina pada 1984 dan mampu menghasilkan 60,000 methanol setahun.
Pelanggan terbesar PML adalah loji propilena Methyl Tertiary Butyl Ether (MTBE) di Kuantan, Pahang dengan keperluan tahunan sebanyak 110,000 tan.
Pasaran lain termasuklah Jepun, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Korea, Taiwan dan China.
Pada 2007, dua pekerja sub-kontrak Petronas cedera parah terbakar dalam satu letupan ketika melaksanakan kerja pengimpalan di plant PML di Rancha-Rancha. Bernama.
Amaran Anwar: Rakyat akan tolak BN
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan UMNO Barisan Nasional bahawa rakyat akan menolak parti itu dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata rakyat tetap akan menepis dakyah kolot parti itu walaupun konspirasi jahat pemerintah memenjarakan beliau dibalik jeriji besi akan berjaya sedikit masa lagi.
Katanya, rakyat sudah begitu bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan kerajaan pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat.
Bercakap kepada hadirin yang membanjiri rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, Anwar berkata, BN, Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah isterinya Datin Seri Rosman mansor "tidak seharusnya hidup dalam ilusi palsu'.
Katanya, adalah merugikan jika mereka masih menyangka rakyat akan kembali menyokong BN sekiranya beliau dipenjarakan.
Anwar merujuk kepada perbicaraan tuduhan kes liwat terhadapnya yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebaliknya, kata beliau, rakyat akan bangun menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau di dalam penjara ataupun tidak.
Beliau berkata, rakyat sudah lama hilang kepercayaan kepada Umno dan BN kerana "rasuah telah menjangkiti pentadbiran Putrajaya hingga ke akar umbinya".
Anwar mendakwa dibawah pemerintahan BN, Malaysia telah jauh ketinggalan dalam bidang ekonominya, termasuk di rantau Asean.
Malaysia, katanya, kini ketinggalan di belakang Singapura, Thailand, Indonesia, malah Vietnam di segi pertumbuhan ekonomi dan daya saing.
"Kita hanya baik sedikit daripad Burma dan Zimbabwe," kata Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.
Sebatan syarie lebih baik dari hukuman penjara
Membantah pelaksanaan hukuman sebatan syarie terhadap beberapa wanita Islam yang mengaku bersalah mengadakan persetubuhan haram dianggap adalah tidak wajar.
Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata sebatan hukuman syariah dalam kes-kes maksiat peribadi seperti zina dan meminum arak adalah sebatan yang tidak mencederakan.
Sebaliknya, menurut beliau sebatan itu dibuat dalam keadaan yang tidak bertujuan memberikan kesakitan yang melampau tetapi sekadar memberi pengajaran.
Bahkan, katanya dalam hadis, ada pesalah yang hanya dipukul dengan kain atau tangan sahaja.
Menurut Dr Asri, sebatan syarie amat berbeza dengan tindakan merotan yang biasa diamalkan bawah mahkamah sivil.
Justeru, katanya hukuman itu mempunyai unsur-unsur islamik, dan ia lebih baik daripada memenjarakan pesalah berbulan atau bertahun lamanya yang lebih memberikan penderitaan kepada mereka.
Menulis dalam blognya, Dr Asri juga berkata proses yang membawa mereka didakwa dan seterusnya dihukum juga perlu diambil kira.
“Jika kesalahan itu mereka lakukan di tempat terbuka, atau didedahkan kepada orang lain seperti di pusat-pusat hiburan, aktiviti pelacuran yang mencari pelanggan dan seumpamanya, maka mereka layak untuk dihukum.
“Namun, jika mereka itu ditangkap setelah pihak berkuasa agama mengintip dan menceroboh masuk ke kawasan persendirian yang tertutup, maka proses itu bercanggah dengan nas-nas Islam,” katanya lagi.
Dr Asri berkata hukuman bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil.
Tauke perlu diheret sama
“Masyarakat akan memandang serong kepada setiap hukuman yang hanya menghukum anak bilis dan membiarkan jerung. Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi tauke-tauke atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak di kalangan umat Islam patut di bawa ke pengadilan.
Ini termasuk mana-mana individu muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Empunya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan,” katanya.
Dr Asri juga meminta pihak berkuasa agama supaya berrlaku jujur dengan rakyat, dan berani mengheret pemilik ataupun pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabit individu muslim sekalipun kelompok itu dianggap 'kebal' di negara ini.
Bekas mufti Perlis itu juga berkata kecenderungan Islam bukanlah menghukum, tetapi mendidik. Katanya, jika terdapat jalan keluar agar mereka tidak dihukum disebabkan maksiat peribadi (zina dan arak), maka itulah yang paling utama.
Operasi khalwat kejam
“Banyak rakaman-rakaman yang tersiar dalam internet yang menunjukkan bagaimana operasi 'tangkap khalwat' begitu kejam dan sengaja mendedahkan keaiban mangsa. Ini seperti diambil gambar mangsa dalam keadaan bogel, disuruh mangsa mempamerkan pakaian dalamnya kepada kamera dan seumpamanya”.
Dr Asri juga menuntut pegawai-pegawai yang terbabit dalam operasi seperti itu juga dikenakan tindakan kerana mencemarkan maruah agama Islam dan maruah orang lain.
Beliau juga menasihatkan beberapa NGOs yang cuba mengkritik perlaksanaan hukuman sebatan itu supaya berhati-hati.
“Jika mereka muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau perlaksanaan semasa? Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka. Jika mereka membantah perlaksanaan semasa, mereka hendaklah tumpukan kepada proses perlaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikaikan hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah.”
Bagi golongan bukan muslim, Dr Asri menasihatkan mereka pula supaya jangan mempertikaikan al-Quran dan Nabi orang Islam, kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara di Malaysia.
Awal bulan ini, tiga pesalah wanita dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar nikah.
Selangor anjur “Forum Awam: Implikasi GST Kepada Rakyat”
Kerajaan negeri Selangor mengalu- alukan kehadiran orang awam ke Forum Implikasi Cukai Perkhidmatan Dan Barangan (GST) kepada rakyat 24 Februari ini di Auditorium MBSA Shah Alam.
Acara yang dijadualkan bermula jam 8 malam akan memperinci dan menganalisa implikasi yang terpaksa dihadapi rakyat akibat perlaksanaan cukai yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap pasaran tempatan, khususnya kehidupan rakyat secara umum.
Antara ahli panel yang bakal mencanai minda di forum ini ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pualu Pinang, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua Kiam Wee, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad dan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat, Mohd Rafizi Ramli.
MP Australia jawab tuduhan Abdul Hadi campur tangan
Anas ra, berkata, Rasulullah saw bersabda: "Berikanlah pertolongan saudara mu itu, baik ia sebagai orang melakukan kezaliman atau sebagai orang yang dizalimi."
Para sahabat bertanya: "Apabila ia tergolongan orang yang dianiaya, kita lalu menolongnya, maka hal ini telah kita maklumi tetapi bagaimanakah kita akan memberi pertolongan kepada saudara yang justeru sebagai orang yang menganiaya?"
Nabi saw bersabda: "Kita ambil diatas kedua tangannya" (Kata ini adalah suatu kiasan yang maksudnya: Kita wajib melarang ia untuk meneruskan kezalimannya dengan perbuatan, apabila tidak dapat berbuat demikian cegahlah kezalimannya dengan ucapan atau nasihat yang baik dan jika cara ini pun tidak kita lakukan, maka sebaiknya kita melaporkannya kepada yang berautoriti menyelesaikan persoalan itu)
Jika diamati hadis sahih Bhukari dalam bab memberi pertolongan kepada orang yang melakukan kezaliman dan orang yang dizalimi, maka ada sandaran yang benar protes 50 ahli parlimen (MP) Australia desak kerajaan Malaysia gugurkan dakwaan liwat keatas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selalu menyebut hadis ini dalam ceramah beliau tetapi kenapa protes MP Australia sebagai sikap beliau menegur kerajaan Malaysia tidak dipersetujui Abdul Hadi.
Dalam kenyataan terbaru MP dan Senator negara itu mendesak agar kes liwat kedua Anwar digugurkan atas semangat Malaysia sebagai “rakan dan negara jiran” seolah menjawab kenyataan Abdul Hadi sebelum ini.
Seolah ada penghayatan MP Australia terhadap hadis diatas tadi. Soal MP itu bukan Islam. Itu perkara lain kerana kita hendaklah memegang konsep Islam untuk sekelian alam.
Lagipun sama ada demontrasi atau bantahan MP Australia sekalipun ia bukan menceroboh kedaulatan negara.
Kita pun berdemontrasi dan membantah negara yang melakukan kezaliman keatas rakyatnya dan rakyat negara jirannya seperti demontrasi membantah tindakan Mesir tidak membuka laluan kepada konvoi untuk selamatkan Palestin.
Memang kita akui PAS ada prinsip tidak boleh campur tangan tentang kedaulatan negara. Seperti pencerobohan Amerika keatas Iraq dan Afghanistan. PAS tetap dengan pendiriannya membantah pencerobohan tersebut.
PAS juga berperinsip bahawa Amerika tidak boleh campur tangan di Iran kerana ia mendedahkan kekuatan keselamatan negara itu dan akhirnya boleh mengancam nyawa rakyatnya serta penjajahan keatas Iran boleh berlaku.
Dalam soal ini PAS adalah benar dan bersedia bersama dengan pihak lain untuk keamanan dunia terutama daripada kuasa besar yang sentiasa mengintai peluang menakluki negara lemah.
Bagaimanapun dalam soal bantahan 50 MP Australia itu, ia bukanlah ancaman malah nasihat mereka sebagai kawan.
Sebab itu Abdul Hadi kena betulkan statement beliau yang menyebut tidak setuju MP Australia campur tangan kes liwat Anwar.
Berikut laporan Malaysian Insider:
Danby: ‘MP Australia protes kerana Malaysia rakan dan jiran’
KUALA LUMPUR, Feb 22 — Pengerusi jawatankuasa kecil hal ehwal luar Parlimen Australia, Michael Danby menjelaskan, ahli-ahli Parlimen dan Senator negara itu mendesak agar kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan atas semangat Malaysia sebagai “rakan dan negara jiran.”
Kata beliau seramai 60 Ahli Parlimen dan Senator dari parti Buruh, Liberal, Green dan bebas menandatangani surat yang diserahkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kerana prihatin dengan perkembangan di Malaysia selaku rakan dan negara jiran yang amalkan prinsip demokrasi.
“Mengapa Ahli Parlimen Australia harus mengheret hidung mereka ke dalam hal ehwal sebuah negara seperti Malaysia, yang merupakan rakan dan negara jiran?
“Saya boleh berkata ia kerana Malaysia adalah rakan dan jiran yang kami ambil berat dengan apa yang berlaku di sana.
“Tidak ada sesiapa yang terkejut dengan perbicaraan dan pendakwaan politik di Korea Utara ataupun di Myanmar.
“Tetapi apabila ia berlaku di sebuah negara yang merupakan di negara yang berjaya di rantau kami, kami terperanjat,” katanya.
Surat ini ditandatangani antara lain oleh Laurie Ferguson, Malcolm Turnbull, Greg Hunt, Bob Brown, Nick Xenophon, Duncan Kerr, Deputy Speaker Anna Burke, Jennie George, Gary Gray dan Mark Dreyfus QC.
“Ia disusuli dengan ucapan yang saya berikan di Dewan Perwakilan pada 3 Feb, yang mana menarik perhatian Dewan Perwakilan berhubung perbicaraan kes liwat kedua Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.
“Saya terharu dengan langkah Ahli Parlimen dan Senator yang menandatangani surat ini. Saya tidak boleh ingat inisiatif sedemikian rupa dalam tempoh terdekat ini,” kata beliau dalam tulisannya di bawah tajuk “Why Australian MPs protested the Anwar trial”.
Kata beliau, memang ramai yang pernah bercakap mengenai nasib pejuang prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, tetapi ia menarik perhatian apabila berlaku di negara demokrasi seperti Malaysia membabitkan Anwar.
Pendakwaan ke atas Anwar tidak menyumbang kepada imej baik Malaysia kata beliau lagi.
Kata Danby, usaha berterusan parti pemerintah dengan mengenakan tuduhan palsu terhadap Anwar adalah sesuatu yang memalukan.
Rabu lalu, Pemuda BN menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan ahli-ahli parlimen Australia didakwanya cuba campur tangan dalam hal ehwal sistem kehakiman negara ini.
Mereka menuntut agar Danby menarik balik surat yang dihantar oleh ahli Parlimen dan Senat negara itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia serta menuntut permohonan maaf Danby bagi pihak mereka.
Memorandum itu juga menggesa Perdana Menteri Australia Kevin Rudd menyatakan dengan jelas pendirian kerajaan Australia tidak sama dengan pendirian wakil rakyat terbabit.
20,000 Hadiri Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Selangor
>> Ahad, Februari 21, 2010
BANTING, Feb 20 — Kira-kira 20,000 orang menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran kerajaan Selangor di Tokong FGS Dong Zen di Jenjarom di sini malam ini.
Majlis yang bermula pukul 6 petang dan dihadiri exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Anggota Parlimen Selangor itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan naga.
Turut hadir ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta negeri itu.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata majlis berkenaan dianjur bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu.
“Kita mahu semua rakyat di negeri ini mengenali lebih dekat budaya dan perayaan masyarakat Tionghua,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata majlis pada tahun ini lebih meriah kerana Tokong FGS Dong Zen sedang menganjurkan Festival Bunga-bungaan dan Tanglung yang bermula sejak 12 Feb hingga 28 Feb. — Bernama
Sementara laporan Malaysiakini:
BN-Pakatan bersaing anjur sambutan Tahun Baru Cina
Lim Zhi Bin 20 Feb 10, 10:00pm
BN dan Pakatan Rakyat bersaing untuk mendapatkan sokongan pengundi kaum Cina sewaktu sambutan Tahun Baru dengan menganjurkan majlis sambutan masing-masing malam ini.
(Najib di Pandamaran dikatakan tidak dapat sambutan orang Cina)
Malah, majlis Perbandaran Klang (MPK), di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Selangor, telah menurunkan sebuah papan iklan yang dipasang oleh BN dan juga menolak permohonan mereka untuk menutup jalan, yang dilihat sebagai "balas dendam" terhadap tindakan kerajaan pusat menghalang majlis anjuran kerajaan negeri sewaktu sambutan Thaipusam bulan lalu.
Kedua-dua pihak bersaing untuk mendapat sokongan kaum India sewaktu perayaan tersebut bulan lalu, dengan masing-masing menganjurkan sambutan di Batu Caves, tetapi pihak polis telah merobohkan pentas kerajaan negeri.
Dalam pusingan kedua ini, BN dan Pakatan memilih untuk mengadakan sambutan mereka di lokasi strategik yang terletak 20km antara satu sama lain, pada hari ketujuh sambutan Tahun Baru Cina.
Kerajaan Selangor mengadakan sambutannya di Kuil Buddha Dong Zen, Jenjarom, yang terkenal dengan pesta bunga dan tanglung. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid merasmikan sambutan tersebut.
Kira-kira 20km di utara Jenjarom, di Kampung Batu Pandamaran - kampung baru Cina kedua terbesar di Malaysia - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan sambutan rumah terbuka BN peringkat nasional.
Wakil Rakyat BN Selangor menuduh Pakatan menghalang sambutan rumah terbuka mereka melalui MPK, manakala Pakatan mereka mengkritik kerajaan pusat kerana tidak mematuhi prosedur sepatutnya.
Kerajaan Selangor menegaskan bahawa BN tidak sepatutnya menyalahkan mereka, dengan menambah bahawa tiada keistimewaan bagi Najib dan beliau juga perlu mematuhi peraturan.
MPK telah menolak permohonan kerajaan pusat untuk menutup Jalan Chan Ah Choo di Pandamaran, kerana ia adalah jalan utama dan akan menyebabkan kesesakan lalulintas.
MPK juga telah menurunkan papan iklan yang dipasang cawangan parti komponen BN di situ untuk mengalukan kedatangan perdana menteri, kerana tidak mendapat permit.
Hanya sebilangan kecil poster dibiar dinaikkan.
Sambutan rumah terbuka BN itu adalah anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Dilaporkan, timbalan menterinya, Heng Seai Kie telah mengaku berlaku kecuaian di pihak mereka kerana salahfaham.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masalah permit tersebut telahpun diselesaikan.
Namun begitu, BN menjalankan promosinya melalui media arus perdana untuk mengumumkan program mereka itu.
