Perlu mekanisme pembangunan Kampung Baru elak perpindahan skala besar

>> Khamis, Februari 25, 2010

Perpindahan penduduk buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan dijalankan itulah yang sukar diterima penduduk Kampung Baru.

Memang tidak dinafikan perpindahan terpaksa berlaku tetapi ia bukan pada skala yang besar bagi keseluruhan penduduk Kampung Baru.

Oleh kerana itu kerajaan perlu ada satu mekanisme bagi memastikan tidak berlaku perpindahan keseluruhan penduduk Kampung Baru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berjanji pembangunan Kampung Baru tidak akan memindahkan penduduk kampung itu serta kebajikan mereka akan terpelihara, semasa membuat lawatan ke kampung tersebut.

Kalau kerajaan boleh mengwujudkan zon pembangunan kepada kampung disebelah Setapak, Sentul dan Gombak, kenapa ia tidak boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian pembangunan di Kampung Baru?

Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam dan kampung Sungai Mulia di Gombak dilaporkan akan dibangunkan mengikut zon bagi mengelak pemgambilan tanah penduduk.

Begitu juga bagi Kampung Chubadak dan Kampung Puah Seberang di Sentul serta Kampung Sungai Murali di Setapak.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata demikian ketika menggulung perbahasan dan memberi jawapan kepada perkara yang dibangkitkan Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang (Tian Chua) dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pada sidang Dewan Rakyat, 7 Disember lalu.

Menurut Raja Nong, pelan struktur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (Draf Pelan DBKL 2020) telah mengenal pasti kampung tradisi tersebut sebagai kawasan khusus dan akan dibangunkan mengikut penyusunan semula serta infrastruktur dan kemudahan untuk masyarakat.

Selaras itu kata beliau, Draf Pelan DBKL 2020 mencadangkan pengezonan semula kampung tradisi sebagai zon kediaman kepadatan dan meningkatkan potensi nilai ekonomi tanah.

Tambah beliau, pengezonan itu tidak melibatkan pengambilan tanah walaupun digunakan untuk awam dan infrastruktur dan ia terpulang kepada pemilik tanah sendiri untuk membangunkan lot mereka mengikut zon yang dicadangkan pelan tersebut.

"Kita bagi ruang untuk mereka bila kita mengeluarkan draf pelan ini, supaya kalau mereka hendak bangunkan, mereka ada ruang untuk membangunkan. Akan tetapi, soal pihak kerajaan ataupun DBKL mengambil tanah dengan paksa, tidak timbul langsung," ujar Raja Nong.

Sebaliknya dalam kenyataan beliau mengenai pembangunan Kampung Baru, ia menjadi kerisauan kembali kepada penduduk kampung tradisi.

Raja Nong dilaporkan Bernama berkata: “Tapi kalau ada yang masih menahan, kita terpaksa cari kaedah undang-undang dan sebagainya.”

Ia seolah-olah membuat satu paksaan atau ugutan awal kepada penduduk Kampung Baru jika enggan setuju dengan pembangunan kampung itu.

Raja Nong berkata kerajaan mungkin mengkaji satu undang-undang mengikut majoriti, iaitu jika 80 peratus penduduk di sesuatu kawasan bersetuju dengan projek pembangunan, maka 20 peratus lagi terpaksa menurut atau akur dengan keputusan membangunkan kawasan itu.

“Kita sedang kaji undang-undang itu bukan hanya untuk pembangunan di Kampung Baru, malah di kawasan lain yang juga tertahan pembangunannya,” kata beliau dalam rancangan bual bicara Soal Jawab yang disiarkan TV3 malam tadi.

Dalam laporan sama Raja Nong Chik berkata jika cadangan pembangunan semula Kampung Baru itu terlaksana, pemindahan sementara sebahagian penduduknya mungkin akan dilakukan.

"Mereka mungkin terpaksa dipindahkan buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembangunan Kampung Baru dijalankan dan kajian berhubung perkara itu sedang dilakukan," katanya.

Bagaimanapun sebelum ini, Najib dilaporkan berjanji penduduk Kampung Baru tidak akan dipindahkan dan kebajikan mereka akan terpelihara.

Kenyataan yang tidak selari ini amat membimbangkan penduduk. Apalagi kerajaan mempunyai tred rekod pengambilan tanah secara paksa yang amat buruk semata-mata membangunkan Kuala Lumpur malah melanggarkan perjanjian Ganeva dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kekenduran kerajaan dengan penduduk kampung sejak akhir ini dilihat setelah pakatan rakyat (PR) menguasai kesemua kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan.

Malah sejarah juga menyaksikan Kuala Lumpur sebelum dikuasai PR, ahli parlimen daripada Umno, Gerakan dan MCA lebih terkenal sebagai wakil pemaju kerana mereka tidak membela rakyat dalam pengambilan tanah secara paksa keatas penduduk.

Ketika itu sering dilihat di televisyen dan media, rumah penduduk diroboh secara paksa dengan kawalan Polis Persekutuan (FRU).

Apakah fobia penduduk kampung mengenai pembangunan dan truma jentera jengkaut dengan kawalan polis yang siap sedia menangkap penduduk menghalang perobohan rumah akan berterusan?

Namun begitu ada kesan yang baik sekurang-kurangnya kepada penduduk kampung setelah kemenangan PR, apabila mereka dibela oleh wakil rakyat mereka sempena dengan perubahan rakyat yang mahukan politik baru.

Kemenangan PR bukan menyekat pembangunan tetapi biarlah penduduk yang sudah lama tinggal dan meneroka tanah bandar dengan keizinan kerajaan Perikatan ketika itu turut diberi hak menikmati pembangunan, bukan dihalau begitu sahaja umpama anjing kurap.

Ketika kerajaan memerlukan tenaga penduduk kampung untuk membangunkan negara mereka ditatang dengan penuh hormat tetapi apabila tidak diperlukan mereka dihalau seolah tidak ada langsung jasa mereka kepada negara.

Apa yang menyedihkan lagi ialah penduduk kampung yang sangat setia dengan Umno sering dijanjikan untuk diberi geran milik tanah yang diteroka tetapi sehingga sekarang tidak pernah tertunai. Umno jadikan janji geran milik tanah sebagai senjata setiap kali menjelang pilihan raya.

Oleh yang demikian pengalaman dan sejarah itu, maka sukar untuk penduduk Kampung Baru menerima bulat-bulat kenyataan menteri selagi kerajaan tidak mendedahkan pelan dan perancangan pembangunan kepada penduduk.

Dalam ucapan penggulungan yang sama di parlimen, Raja Nong Chik sempat mengeluarkan perkataan menghina penduduk kampung tradisi iaitu mengatakan masyarakat sedia ada yang usang.

Amat menghinakan terpancul daripada mulut menteri yang dikatakan mahu membangunkan orang Melayu dan kampung tradisi serta Kampung Baru. Apa yang menyedihkan tiada seorang ahli parlimen Melayu yang membantah ucapan beliau itu.

Mungkin kerana pengalaman itu dan yang lalu maka perpindahan penduduk keluar dari Kampung Baru untuk membangunkan kampung itu amat sukar diterima. Oleh yang demikian kerajaan perlu terlebih dahulu membangunkan pelan penempatan penduduk sama ada kondominium atau apartment di Kampung Baru.

Pembangunan perumahan itu hanya melibatkan beberapa bahagian pembangunan di Kampung Baru. Jika ini diberi keutamaan diusahakan terlebih dahulu maka perpindahan penduduk Kampung Baru pada skala besar dapat dikurangkan.

Apabila projek perumahan Kampung Baru siap maka ia boleh digunakan sebagai tempat pemindahan sementara disamping menempatkan kembali penduduk Kampung Baru yang dipindahkan ke tempat lain semasa projek perumahan dibangunkan.

Hanya niat suci bersih menteri mampu melunakkan penduduk Kampung Baru. Jika sebaliknya kerajaan ada motif mengambil kesempatan diatas penduduk Kampung Baru maka kemungkinan politik Melayu sendiri akan menjadi tsunami pada pilihan raya umum akan datang setelah bangsa lain membuat perubahan pada pilihan raya umum lepas.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP