Sebatan syarie lebih baik dari hukuman penjara

>> Isnin, Februari 22, 2010

Membantah pelaksanaan hukuman sebatan syarie terhadap beberapa wanita Islam yang mengaku bersalah mengadakan persetubuhan haram dianggap adalah tidak wajar.

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata sebatan hukuman syariah dalam kes-kes maksiat peribadi seperti zina dan meminum arak adalah sebatan yang tidak mencederakan.

Sebaliknya, menurut beliau sebatan itu dibuat dalam keadaan yang tidak bertujuan memberikan kesakitan yang melampau tetapi sekadar memberi pengajaran.

Bahkan, katanya dalam hadis, ada pesalah yang hanya dipukul dengan kain atau tangan sahaja.

Menurut Dr Asri, sebatan syarie amat berbeza dengan tindakan merotan yang biasa diamalkan bawah mahkamah sivil.

Justeru, katanya hukuman itu mempunyai unsur-unsur islamik, dan ia lebih baik daripada memenjarakan pesalah berbulan atau bertahun lamanya yang lebih memberikan penderitaan kepada mereka.

Menulis dalam blognya, Dr Asri juga berkata proses yang membawa mereka didakwa dan seterusnya dihukum juga perlu diambil kira.

“Jika kesalahan itu mereka lakukan di tempat terbuka, atau didedahkan kepada orang lain seperti di pusat-pusat hiburan, aktiviti pelacuran yang mencari pelanggan dan seumpamanya, maka mereka layak untuk dihukum.

“Namun, jika mereka itu ditangkap setelah pihak berkuasa agama mengintip dan menceroboh masuk ke kawasan persendirian yang tertutup, maka proses itu bercanggah dengan nas-nas Islam,” katanya lagi.

Dr Asri berkata hukuman bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu kelihatan adil.

Tauke perlu diheret sama

“Masyarakat akan memandang serong kepada setiap hukuman yang hanya menghukum anak bilis dan membiarkan jerung. Maka, bukan sahaja peminum arak patut dihukum, tetapi tauke-tauke atau mereka yang terlibat dalam pengedaran arak di kalangan umat Islam patut di bawa ke pengadilan.

Ini termasuk mana-mana individu muslim yang memegang saham-saham arak dalam negara ini. Empunya pusat-pusat hiburan yang menggalakkan aktiviti tidak bermoral ini mestilah dibawa ke pengadilan,” katanya.

Dr Asri juga meminta pihak berkuasa agama supaya berrlaku jujur dengan rakyat, dan berani mengheret pemilik ataupun pemegang-pemegang saham arak dan judi yang membabit individu muslim sekalipun kelompok itu dianggap 'kebal' di negara ini.

Bekas mufti Perlis itu juga berkata kecenderungan Islam bukanlah menghukum, tetapi mendidik. Katanya, jika terdapat jalan keluar agar mereka tidak dihukum disebabkan maksiat peribadi (zina dan arak), maka itulah yang paling utama.

Operasi khalwat kejam

“Banyak rakaman-rakaman yang tersiar dalam internet yang menunjukkan bagaimana operasi 'tangkap khalwat' begitu kejam dan sengaja mendedahkan keaiban mangsa. Ini seperti diambil gambar mangsa dalam keadaan bogel, disuruh mangsa mempamerkan pakaian dalamnya kepada kamera dan seumpamanya”.

Dr Asri juga menuntut pegawai-pegawai yang terbabit dalam operasi seperti itu juga dikenakan tindakan kerana mencemarkan maruah agama Islam dan maruah orang lain.

Beliau juga menasihatkan beberapa NGOs yang cuba mengkritik perlaksanaan hukuman sebatan itu supaya berhati-hati.

“Jika mereka muslim, mereka hendaklah memastikan dalam diri mereka; apakah mereka membantah hukuman Islam yang asal, atau perlaksanaan semasa? Jika mereka membantah hukuman asal, maka itu memberi implikasi akidah mereka. Jika mereka membantah perlaksanaan semasa, mereka hendaklah tumpukan kepada proses perlaksanaan semasa sahaja, jangan dipertikaikan hukuman Islam asal yang adil yang ada dalam al-Quran dan al-Sunnah.”

Bagi golongan bukan muslim, Dr Asri menasihatkan mereka pula supaya jangan mempertikaikan al-Quran dan Nabi orang Islam, kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara di Malaysia.

Awal bulan ini, tiga pesalah wanita dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar nikah.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP