MP BN bantah usul orang awam kena pukul di Cheras

>> Sabtu, Mei 31, 2008

SIAPA yang memilih mereka sehingga boleh dapat kerusi parlimen? Bukankah rakyat? Tetapi bila mahu membincangkan masalah rakyat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bangun menentang.
Usul 18 (1) untuk membincangkan orang awam kena pukul oleh polis dan samseng di Bandar Mahkota Cheras (BMC) sehingga berdarah ditolak oleh speaker dewan dalam kamar lagi. Ahli Parlimen DAP Serdang, Puan Teo Nie Ching tidak berpuas hati dan membangkitkan semula dalam Dewan Rakyat, bagaimanapun tetap ditolak speaker.
Malah Ahli Parlimen BN terutama Umno ikut turut sokong speaker menolak mentah-mentah usul tersebut. Tidak fikrkah kamu wahai MP BN kamu menang kerana rakyat? kamu duduk di situ kerana rakyat?
Ikuti perbahasan di Dewan Rakyat, 29 Mei lalu:
Puan Teo Nie Ching [DAP-Serdang]: Tuan Pengerusi, saya telah mengemukakan
satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 pada hari Selasa yang lepas dan telah
terima satu surat daripada Tuan Pengerusi pagi tadi bahawa usul saya telah ditolak.
Pada pendapat saya, usul saya adalah tentang peristiwa yang berlaku di Bandar
Mahkota Cheras dan isu ini telah menjadi berita utama dalam beberapa surat khabar
bukan hanya hari esok tetapi juga hari ini. Jadi pada pendapat saya, saya memohon
Tuan Pengerusi boleh mempertimbangkan usul saya sekali lagi supaya Dewan yang
mulia ini boleh membahaskan isu ini.
Apa yang berlaku pada dua hari yang lalu ada orang kena pukul. Ada pemberita
yang kena pukul. Tengok gambar ini... [Menunjukkan keratan akhbar] Orang yang
berdarah macam ini, bagaimana boleh Dewan ini cakap kami tak perlu bahaskan usul ini.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik, Yang
Berhormat. Sila duduk. Saya tidak mahu membuat ceramah Peraturan Mesyuarat 18(1). Sudah banyak disebut oleh Tuan Pengerusi di Dewan ini. Yang pertama, dalam 18(2), Tuan Pengerusi mesti berpuas hati tetapi ini Tuan Pengerusi tak berpuas hati perkara ini perlu disegerakan. Itu yang pertama Yang Berhormat.
Jadi satu lagi ialah bahawa kes-kes yang ada hubung kait dengan perkara ini
telah dibawa ke mahkamah. Di bawah peraturan, perkara-perkara yang telah dibawa ke
mahkamah tidak boleh dibincangkan dalam Dewan sebagai subjudice Yang Berhormat.
Jadi dalam keadaan sedemikian, saya tak mahu lagi Yang Berhormat berdiri, tunggu ya.
Perkara ini dibincangkan pun tak boleh, oleh sebab perkara ini telah ditetapkan di
mahkamah.
Tuan Pua Kiam Wee [DAP-Petaling Jaya Utara]: Tuan Yang di-Pertua, kalau katakan seorang dipukul oleh polis sampai macam itu, belum masuk mahkamah lagi. Masih boleh dibahaskan dalam Dewan ini.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya tahu Yang
Berhormat. Jangan ganggu peraturan. Kita banyak perkara yang penting. Saya tahu
perkara ini penting, tapi peraturan kita ada. Jadi kita kena buat keputusan dalam Dewan
ini mengikut peraturan. Kita adalah Ahli Yang Berhormat yang membuat undang-undang
negara. Jadi kita sendiri kena akur dengan peraturan kita sendiri dan akur dengan
peraturan negara.
Puan Teo Nie Ching [DAP-Serdang]: Tuan Pengerusi, dengan segala hormatnya, saya tidak bersetuju dengan pendapat Tuan Pengerusi dalam perkara ini. Kes mahkamah sekarang adalah di antara Grand Saga dengan Narajaya tetapi sekarang kita berbincang tentang penyalahgunaan kuasa yang mungkin telah berlaku oleh pihak polis kerana menurut berita-berita ini pihak polis berada di sana pada malam itu. Mereka tidak...
Tuan Haji Salleh bin Haji Kalbi [BN-Silam]: Point of order Tuan Pengerusi.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [BN-Batu Pahat]: [Bangun]
Datuk Abdul Ghapur bin Salleh [BN-Kalabakan]: [Bangun]
Puan Teo Nie Ching [BN-Serdang]: ...Ambil apa-apa tindakan. Jadi sekarang
perkara ini belum dibawa ke mahkamah lagi.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik Yang
Berhormat. Saya dah dengar Yang Berhormat. Keputusan telah dibuat. Duduk dulu Yang
Berhormat, saya belum habis bercakap. Keputusan telah dibuat. Alasan kita kukuh,
peraturan kita melarang. Jadi apa lagi yang kita nak bantahkan? Saya tak kira sama ada
Yang Berhormat setuju ataupun tidak. Ini pendapat peribadi Yang Berhormat. Saya tak
kira siapa Yang Berhormat bersetuju ataupun tidak.
Kalau seluruh Dewan ini tak setuju, Peraturan 18 memberikan keputusan yang
muktamad kepada Tuan Pengerusi.
Tuan M. Kula Segaran [BN-Ipoh Barat]: Point of order 18(3). “Jika Majlis Mesyuarat tidak memberi izin, tetapi sekurang-kurangnya 15 orang ahli berdiri di tempatnya menyokong permintaan itu...”. Saya pohon agar Tuan Pengerusi menimbangkan lagi perkara ini kerana Parlimen menjadi irrelevant. Jikalau kita tidak membahaskan sesuatu perkara yang sangat urgent yang kita bincangkan.
Boleh saya mendapat sokongan daripada 15 orang ahli dulu sebelum Tuan Pengerusi membuat satu keputusan. Saya berpendapat perkara ini sangat urgent dan saya ingat sekurang-kurangnya 15 orang akan berdiri sekarang Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menyokong apa yang saya kata. Can I get 15 people to stand up please?
Beberapa Ahli Pembangkang: [Bangun]
Dato’ Seri Tiong King Sing [BN-Bintulu]: Cannot abuse point of order.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Okey, duduk,
duduk semua. Dah banyak dah, lebih daripada 15 orang. Saya setuju lebih daripada 15
orang. Saya ingat ada 20 orang yang berdiri. Sila duduk Yang Berhormat, tetapi Yang
Berhormat sila duduk dulu. Saya buat ruling okey. Duduk Yang Berhormat, Ahli-ahli yang
lain sila duduk.
Yang Berhormat Ipoh Barat peguam, saya juga peguam. Jadi kita berbincang
soalan undang-undang Yang Berhormat. Bacakan Peraturan 18(2) dulu. Jadi di bawah
yang (3) mengatakan “Jika Tuan Yang di-Pertua berpuas hati...” di bawah Peraturan
18(2), “...yang demikian dan sama ada”, baru perenggan tiga boleh dipakai. Pertama,
Speaker mesti berpuas hati di bawah 18(2) dahulu. Di bawah perundangan mengatakan
conjunctively dua-dua dibaca sekali.
Pertama, Tuan Yang di-Pertua mesti berpuas hati dan kedua, barulah kalau
Majlis bersetuju ada bantahan daripada sesiapa atau Majlis tidak bersetuju, 15 orang
berdiri menyokong usul itu baru boleh dibawa ke pukul 4.30 petang. Namun Speaker
mesti bersetuju dulu. Tiga ciri tadi:
(i) perkara tertentu;
(ii) kepentingan orang ramai; dan
(iii) perlu disegerakan
Namun Speaker kata ini tidak perlu disegerakan. Bantahan berlaku, oleh kerana
ini kes sub judice Yang Berhormat. Jadi Speaker belum berpuas hati, maknanya 18(3)
it’s not applicable Yang Berhormat dengan izin. Tidak terpakai! Ini keputusan saya.
Puan Chong Eng [DAP-Bukit Mertajam]: Tuan Pengerusi, peraturan. Tadi alasan
yang mengatakan bahawa tidak perlu disegerakan kerana sub judice .
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [BN-Batu Pahat]: Tuan Pengerusi, sudah buat
keputusan tidak payah layan lagilah.
Tuan Haji Salleh bin Haji Kalbi [BN-Silam]: Tidak payah layan sudah buat
keputusan.
Puan Chong Eng [BN-Bukit Mertajam]: Yang Berhormat Serdang sudah
memberitahu Tuan Pengerusi bahawa kes di mahkamah bukan sama dengan kes yang
berlaku yang dia pernah bawa ialah kes di antara developer dan kompeni dan bukan...
Dato’ Haji Lilah Yasin [BN-Jempol]: Memang tidak boleh dibahaskan.
Puan Chong Eng [DAP-Bukit Mertajam]: Ini kerana kalau sekiranya dia sekarang
seolah-olahnya tidak ada undang-undang lagi. Di mana-mana pihak yang buat boleh
menguasai keadaan di sana.
Dato’ Seri Tiong King Sing [BN-Bintulu]: Tuan Pengerusi, ini kes di dalam
mahkamah pun sudah buat keputusan.
Puan Chong Eng [DAP-Bukit Mertajam]: Jadi saya rasa yang penting ialah untuk
Dewan ini membincang satu penyelesaian.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik, baik
duduk semua Yang Berhormat. Sekarang suara Yang Berhormat tidak boleh didengar
lagi dah. Saya dah tutup ini. Saya seorang sahaja yang boleh dengar. Saya sudah buat
keputusan di bawah Peraturan 43, Yang Berhormat. Apa sahaja keputusan saya adalah
muktamad kalau tidak puas hati, buat satu usul bagi notis dua hari. Itu keputusan saya
Yang Berhormat... [Dewan riuh] Yang Berhormat Shah Alam, apa pula?
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [PAS-Shah Alam]: Tuan Pengerusi, hendak minta penjelasan berhubung dengan bahawa ianya tidak perlu disegerakan. Seperti mana yang kita hendak faham apa yang akan memuaskan hati Tuan Pengerusi bahawa ianya perlu disegerakan. Rakyat jelata dipukul, sekarang ini dipukul, ada cedera, bawa masuk hospital. Kes ini merupakan satu kes yang melibatkan nyawa manusia. Sekiranya ia tidak...
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik, duduk
Yang Berhormat. Terima kasihlah, saya sudah dengar Ipoh Barat, saya sudah dengar
Shah Alam. Keputusan saya tetap tidak boleh bahas Yang Berhormat. Kita punya
keputusan kalau tiap-tiap kali Yang Berhormat buat itu, peraturan dibuat sebegitu rupa
untuk membantu Speaker boleh membuat keputusan Yang Berhormat.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [PAS-Shah Alam]: Saya faham itu tetapi kita
hendak tahu, ciri-ciri apa yang perlu ada yang akan memuaskan Speaker untuk perkara
ini disegerakan....
Dato’ Haji Lilah Yasin [BN-Jempol]: Subjektif.
Tuan N. Gobalakrishnan [PKR-Padang Serai]: Ciri-ciri yang...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [PAS-Shah Alam]: Ciri-ciri macam mana yang perlu...
Tuan N. Gobalakrishnan [PKR-Padang Serai]: ...Mereka dipukul dihambat, diheret. Berbagai-bagai berlaku.....Gangster-gangster upahan.
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik, sudah,
sudah! Sudah semua. Tolong, tolong. Tidak ada dah.
Tuan N. Gobalakrishnan [PKR-Padang Serai]: ...Boleh kehilangan nyawa...
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Semua, semua
minta tolong Yang Berhormat, minta tolong Yang Berhormat.
Beberapa Ahli: [Bangun][Dewan riuh]
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Okey, duduk.
Sila duduk, Bintulu duduk, Putatan duduk, Shah Alam duduk, Ipoh Barat duduk. Sudah,
sudah! Saya tak nak dengar Yang Berhormat. Sudah, sudah! Semua duduk Yang
Berhormat.
Saya sedih Yang Berhormat tengok, orang kat belakang sana tengok inikah
perangai-perangai Ahli-ahli Yang Berhormat?...[Dewan riuh] Jikalau budak-budak
sekolah boleh dengar kata-kata guru dia, kenapa pula tidak boleh dengar kata Speaker?
Keputusan ini berlandaskan undang-undang, peraturan kita sendiri Yang Berhormat.
Minta tolonglah, dalam keadaan sedemikian saya minta Yang Berhormat...
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [PAS-Shah Alam]: [Bangun]
Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Shah Alam
tidak payah lagilah. Penjelasan boleh dibuat tetapi bukan di sini Yang Berhormat. Minta
tolong, minta tolong. Sudah teruskan. Terima kasih Yang Berhormat.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP