Usul bahas pendudukan haram Israel ditolak, berperikemanusiaankah kita?

>> Sabtu, Mei 17, 2008

APAKAH perasaan kita terhadap umat Islam Palestin sehingga sedikit pun tiada rasa kemanusiaan sehingga menolak usul supaya dibincangkan penjajahan 60 tahun Israel keatas negeri tersebut.
Kenapa kita masih menaruh harapan yang tidak kesampaian dengan rundingan damai tajaan Amerika Syarikat sekutu Israel.
Sebaliknya sekutu Barat ini seperti Australia boleh meluluskan usul merayakan kelahiran Israel di Parlimen mereka. Malah usul itu di sokong pembangkang.
Sebaliknya usul pembangkang yang dibawakan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) menyentuh kepentingan umat Islam Palestin tidak dapat sambutan kerajaan yang dikatakan negara Islam.
Cukup sedih.... Mana ukhwah yang dikatakan kalau hujung rambut terasa sakit hujung kaki pun ikut sama sakit.
Wahai pemimpin negara Malaysia, mana penyatuan yang kamu laungkan berdegar-degar di sidang OIC tetapi kosong.
Inilah golongan manusia yang pandai bermain dengan kata-kata. Cakap dan tutur kata yang mengasyikan tetapi hakikatnya mereka sebenarkan tiada prihatin dengan kemanusiaan.
Berikut usul Abdul Hadi di bawah 18(1) bantahan sambutan ulang tahun ke 60 pendudukan haram Israel di Palestin.
Abdul Hadi [Marang]: Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, saya Abdul Hadi Awang mohon mencadangkan bahawa Mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan berkaitan bantahan sambutan ulang tahun ke-60 pendudukan haram Israel di bumi Palestin pada 15 Mei 2008.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Tuan Yang di-Pertua bahawa 15 Mei
2008 ini adalah genap 60 tahun hari Nakba, bencana yang menyayat hati yang merupakan
sejarah pencerobohan Israel ke atas tanah air Palestin.
Ini bermakna semenjak 60 tahun yang lalu, telah bermula sejarah kezaliman yang berpanjangan di mana pembersihan etnik pada 1948 itu oleh tentera Zionis yang mengakibatkan 750,000 rakyat Palestin dihalau keluar. 3/4 populasi Palestin dari kampung halaman dan rumah mereka.
Kini mereka menjadi pelarian di negara jiran yang sudah mencecah bilangan seramai 4.5 juta orang.
Keadaan kehidupan mereka adalah di luar perikemanusiaan, kemiskinan tegar, penafian keperluan asas tanpa makanan mencukupi, tempat berteduh, pekerjaan, pendidikan dan rawatan kesihatan.
Nasib mereka telah tidak diendahkan oleh kononnya komuniti antarabangsa yang didominasi oleh Amerika Syarikat.
Israel kini menguatkuasakan sekatan ekonomi dan pada musim panas 2006 telah melancarkan serangan bom di Gaza yang telah memusnahkan jambatan, kemudahan awam, bekalan air bersih dan tenaga elektrik, ratusan rakyat awam telah terbunuh.
Kami dengan ini mencadangkan dan merayu agar Tuan Yang di-Pertua dapat menerima usul khas di Parlimen mengenai bantahan Malaysia terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin.
Kami berpendapat usul khas itu akan memberi mesej yang penting kepada Israel dan Amerika Syarikat serta seluruh kuasa Barat dan dunia amnya bahawa Ahli Parlimen Malaysia sangat tegas menentang kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.
Kami percaya usul ini dapat memberi mesej yang kuat kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional dan rakyat Malaysia bersama pendirian Pakatan Rakyat dalam hal ini adalah jelas.
Untuk pengetahuan Tuan Yang di-Pertua, pada 12 Mac 2008 yang lalu, Parlimen Australia telah meluluskan usul merayakan kelahiran Israel yang disokong pula oleh Ahli Parlimen pembangkang mereka.
Ahli Parlimen Malaysia seharusnya mengutuk usul itu dan mengusulkan supaya Malaysia menyatakan bantahan kepada Kerajaan Australia. Saya mohon mencadangkan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Terima kasih. Ahli-ahli Yang berhormat, saya telah menerima satu pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1)
daripada ahli Yang Berhormat Marang pada hari Selasa, 13 Mei tahun 2008.
Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Yang Berhormat itu sebentar tadi.
Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat hari ini.
Saya sebagai Tuan Yang di-Pertua, hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh ahli Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat iaitu:
(i) bahawa perkara itu tertentu;
(ii) bagi kepentingan orang ramai; dan
(iii) ia berkehendak disegerakan.
Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa syarat pertama tertentu, perkara ini adalah perkara yang tertentu.
Syarat kedua kepentingan orang ramai, ianya adalah bagi kepentingan orang ramai.
Syarat ketiga ia berkehendakkan untuk disegerakan.
Pendapat saya perkara ini tidak perlu disegerakan. Malaysia amat bersimpati dengan nasib dan kesengsaraan yang menimpa rakyat Palestin dan sentiasa menggesa Israel meneruskan rundingan damai ke arah penyelesaian yang menyeluruh.
Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah peraturan mesyuarat 18(2)

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP