Benarkah sudah ada bahang politik?

>> Jumaat, September 21, 2007

Oleh IBNU IBRAHIM

ADA berpendapat bahawa suasana politik sekarang mula membahang. Ini kemungkinan berdasarkan pilihan raya umum ke 12 dijangka tidak lama lagi. Bagi penulis buku, inilah peluang menceriakan dunia informasi.
Begitu juga dengan mereka yang berminat menerbitkan jurnal serta makalah berbentuk semasa dan politik. Inilah masanya. Benarkah suasana sekarang mengizinkan?

Polemik sekali lagi mengajak anda menyelami perkembangan politik Malaysia. Apakah sudah ada kehangatan politik sehingga mendidih jiwa anda untuk bersama-sama berekspresi? SMS 013-3354513 dan e-mail nanbinjai@gmail.com pendapat anda tidak lebih 450 perkataan dengan mencatat polemik.

Minggu lalu polemik ada menyentuh tentang penggunaan dakwat dalam pilihan raya umum nanti sebagaimana diberitahu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Hasil maklum balas menunjukkan rakyat masih lagi sangsi dengan SPR sebagaimana SMS yang dihantar oleh 013-983xxxx, katanya dengan menggunakan dakwat, pilihan raya Malaysia masih lagi kotor.

Ini kerana Umno akan berjuang habis-habisan bagi mempertahan kemenangan yang dimiliki kerana kemenangan bagi Umno adalah segala-galanya.

Masih banyak lagi cara –cara penipuan yang mampu dan akan lakukan. Bagaimana dengan pembelian kertas undi diluar pusat mengundi? Mampukah kita mengawalnya?

“Katakan seseorang pengundi pembangkang diberi kertas undi yang telah siap di pangkah dan kertas undi yang diterima di bawa keluar dan dibayar dengan RM...apa yang mampu kita buat?
Saya syorkan setiap wakil calon diminta sediakan satu chop (rubber stamp) untuk chop kertas undi dalam bilik mengundi. Dengan ini kertas undi luar tidak akan boleh masuk dan kita akan selamat. Dari segi pembelian undi Melayu tidak akan lupa wang, percayalah.”

Berbalik kepada bahang politik tadi. Apa kena mengena panas atau sejuk perkembangan politik tanah air? Mengikut pengalaman lalu suasana bahang menunjukkan kepada rakyat mengambil tahu hal politik dan semasa pemerintahan negara. Ini menunjukkan tahap dan kesedaran politik tinggi sudah tentu boleh menguntungkan pembangkang sebaliknya merugikan parti pemerintah.

Jika politik menunjukkan keadaan sebaliknya maka sukarlah meramal pertambahan kerusi kepada pembangkang. Ini menunjukkan parti Umno bersama Barisan Nasional akan menang selesa. Bagaimanapun tidak dapat dipastikan mood rakyat sama ada mahu perubahan secara terangan atau senyap. Inilah kebimbangan yang Umno sukar ramalkan.

Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan semasa ia terasa ada bahang. Sebaliknya ia semacam tidak disedari oleh kebanyakan rakyat negara ini. Dingin dan tidak bermaya. Berlainan rasanya dalam pilihan raya umum 1999 kerana semua ceruk berbicara politik.
Banyak isu boleh mengejutkan rakyat daripada terus lena tetapi dalam masa yang sama pembangkang tersepit dengan masalah perpecahan dalaman hingga gagal membentuk penyatuan yang kukuh untuk memberi kesedaran kepada rakyat.

Dalil yang kuat menolak hujah bahawa suasana politik semakin membahang ialah jualan akhbar alternatif tidak meningkat. Malah ada ketikanya ia merosot.

Kita harus ingat semasa isu politik yang cukup membara dan membahang bermula 1997 iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, jualan akhbar alternatif terutama Harakah lebih daripada 300 ribu satu keluaran yang diterbitkan dua kali seminggu ketika itu. Mengatasi jualan akhbar terlaris Sin Chew Jit Poh.

Eksklusif yang baru diterbit juga menerima kesan pemanasan politik glokal mampu menjual lebih 100 ribu. Suatu yang pelik bagi akhbar yang mempunyai kandungan berat dan baru terbit boleh membuat jualan setinggi itu. Bagaimanapun akhbar itu dimatikan permit. Lutfi Othman dengan penerbitan majalah dan akhbar juga mendapat sambutan luar biasa dan menggalakkan.
Bagaimaanpun pemanasan itu hanya seperti lava gunung berapi, lalu dan hilang. Sekarang ia bukanlah suasana yang menceriakan untuk menerbit majalah dan juga akhbar politik.

Tidaklah diketahui lauhan tersebut berdasarkan kepada faktor apa. Kalau kepada blogger ia mungkin sesuatu yang panas. Tetapi apakah mereka sedar bahawa kegairahan itu hanya dalam lengkongan mereka.

Kemungkinan ada rasa `syok sendiri’ apalagi ada tindak balas kerajaan dalam isu alam siber. Sementara Khairy Jamaluddin mengakui Umno kalah dalam dunia siber walaupun diupah ramai petugas muda untuk menangani blogger yang kritikal.

Apa yang jelas usaha petugas muda ini bukan menjawab isu yang dilontar tetapi sebagai pengodam atau pendakyah disebalik komen terbuka dalam laman dan blog kritikal. Seperti peranan special branch (SB) melakukan provokasi dalam demontrasi aman reformasi begitu jugalah peranan mereka terhadap blogger.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP