Pemandu berakhlak begitu sepatutnya pemimpin

>> Jumaat, September 28, 2007

Oleh Adnan Ibrahim

BERMULA nahas bas membabitkan 20 orang terbunuh dikatakan paling buruk dalam sejarah negara di KM 229 Lebuh Raya Utara-Selatan, di Bukit Gantang maka bertimpa-timpa pula laporan kemalangan membabitkan bas tersiar di akhbar.
Ini bukan bermakna sebelum itu tidak ada berlaku kemalangan membabitkan bas tetapi kerana nahas tersebut hangat dibincangkan jadi ia merupakan isu besar dan keutamaan kepada akhbar untuk membuat laporan walaupun bas tercabut tayar sekalipun turut mendapat tempat.
Kesannya amat besar, tidak cukup dengan kenderaan perdagangan yang diwajibkan menjalani pemeriksaan setiap enam bulan sekali di Puspakom malah agensi penguatkuasa kerajaan turut turun padang membuat siasatan mengejut mengenal pasti status kenderaan dan pemandu. Maka tidak hairanlah syarikat pengangkutan juga mengambil tindak balas menghentikan operasi bas.
Akibatnya pengguna bas menjadi mangsa. Ada suara sumbang menyaran jangan guna bas bertukar kepada pengangkutan lain. Sedangkan semua rakyat memahami pengangkutan awam paling murah adalah bas. Jadi suara sumbang itu kena menyelami rakyat berpendapatan rendah terlebih dahulu.
Umur bas yang sudah uzur juga disuarakan mendedahkan kemana pergi Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) dengan peruntukan RM4.4 bilion. Wang tersebut merupakan hasil kenaikan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 30 sen sekilogram berkuat kuasa 28 Februari tahun lalu.
Dana itu, dikatakan akan digunakan bagi membiayai projek meningkatkan mutu pengangkutan awam seperti menambah baik sistem integrasi pengangkutan awam termasuk bas, sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan komuter.Penubuhan KWAPA itu diluluskan pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
“Ini secara langsung akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri. Berbalik laporan nahas bas yang menjadi-jadi dan dikaitkan pemandu dengan pengambilan pil kuda bagi menguatkan tenaga serta menghilangkan mengantuk untuk mengejar trip atau perjalanan tanpa henti dan tiada pengganti, ia cukup memberi kesan kebimbangan kepada pengguna bas.
Masyarakat pengguna mula membuat penilaian syarikat pengangkutan sebelum membeli tiket sebagai langkah keselamatan menggunakan perkhidmatan awam tersebut. Sebagai pengguna muslim pemilihan berdasarkan kriteria syarikat pengangkutan bas yang lebih menonjolkan ciri keislaman.
Ini berdasarkan setiap syarikat yang mempunyai ciri tersebut akan memastikan pemandu berdisiplin dalam syariah serta mengamalkan sunnah sebelum memulakan perjalanan. Pemandu yang berakhlak dengan didikan syariah ini secara tidak langsung menolak menggunakan pil peransang seperti pil kuda kerana ia diketegorikan salah guna dadah yang diijtihadkan haram oleh para ulama.
Kriteria kedua yang diambil kira pengguna ialah pemandu itu sendiri mesti seorang yang juga berwatakkan Islamaik. Ini kerana setiap individu yang memahami Islam sudah semestinya menjaga kepentingan terutama nyawa orang lain. Tidak akan melakukan perkara yang bercanggah dengan syariah yang boleh membawa bala kepada orang lain walaupun perbuatan mengambil pil kuda tidak siapa yang tahu. Tetapi kerana keimanan bahawa Allah melihat apa yang dilakukannya maka orang seperti ini akan menolak perbuatan yang tidak bermoral.
Dengan adanya ciri seperti ini maka sudah semestinya pengguna merasa ketenangan setiap kali menaiki pengangkutan awam ini. Pengguna tidak perlu risau kerana disiplin keimanan mengawal tingkah laku pemandu supaya tidak melakukan perkara yang tidak bersopan di jalan raya.
Ciri pemandu seperti ini juga jauh daripada berwatak sombong yang sering mengundang padah di jalan raya. Kesombongan yang melahirkan sikap penting diri, mengejar trip kerana tamak dan sentiasa mahu menunjukkan orang yang hebat di jalan raya. Kesombongan tidak hairan degan kesalahan kerana ia boleh dibeli dengan wang ringgit.
Begitulah cermat pengguna sekarang membuat pemilihan menaiki bas supaya tidak mengundang padah di jalan raya. Kenapa? Kerana kecelakaan itu boleh berlaku dalam masa pengguna bas tidak sedar kerana tertidur dan tidak diketahui takdir yang akan datang.
Kalau menaiki bas betapa cermatnya pengguna membuat pilihan memerhati syarikat dan pemandu maka kenapa tidak cermat dalam pemilihan ketua negara. Jika mahukan kesejahteraan, keamanan dan ketenangan serta jauh daripada bala bencana dan jenayah sudah tentu pemilihan ketua berasaskan kepada faktor seumpama memilih pemandu tadi.
Sekiranya moral dan akhlak pemimpin negara tinggi maka sudah tentu membawa kedamaian kepada rakyatnya. Pemimpin yang berakhlak tinggi akan memastikan kerajaannya tidak terlibat dalam rasuah dan penyelewengan. Jika tidak ia boleh membawa bencana dan malapetaka kepada negara sebagaimana pemandu bas tadi yang boleh bawa kecelakaan kepada penumpangnya.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP