Oleh Adnan Ibrahim
KEMATIAN membabitkan sekeluarga di Kampung Tengah, Kluang minggu lalu jelas membuktikan bahawa rakyat negara ini makin terhimpit dengan bebanan sosial ekonomi yang semakin meningkat.
Kasmuri Jasman, 49 merupakan orang yang cekal bekerja. Namun begitu perbelanjaan keluarganya terpaksa juga dibantu isteri, Supiah Abdul Karim, 41. Jika tidak mereka akan menghadapi bebanan yang makin parah.
Dalam kejadian tersebut suami dan isteri bersama tiga anaknya maut dalam kebakaran di kampung tersebut.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahril Mohamad pernah membangkitkan bahawa keadaan rakyat sekarang terpaksa melakukan dua atau tidak kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Shahir mendakwa bahawa keadaan yang berpunca daripada tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel itu membawa kepada kuasa beli rakyat yang bertambah lemah.Perkara tersebut membawa kepada kaum pekerja terpaksa melakukan tiga pekerjaan dalam satu waktu disamping mengorbankan kualiti hidup.
Maka lahirlah rakyat yang kurang berilmu, mudah lemah menghadapi ugutan dan tekanan, `makan rasuah’ dianggap keperluan dan yang paling teruk kesan daripada itu ialah adanya rakyat yang boleh `dicucuk hidung’.Kehidupan bercelaru kerana kekeluargaan menjadi renggang. Tidak ada masa bersama masyarakat, tempat sosial seperti masjid dan akhirnya lahirlah rakyat `robot’ yang hanya memenuhi selera golongan kapitalis dan konglomorat.
Berikutan tekanan dan desakan akibat harga barang naik, kerajaan baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangan awam. Golongan politik menganggap kenaikan gaji yang menandakan pilihan raya umum semakin hampir.
Akibat daripada itu juga ketidakmampuan tersebut boleh membawa kesan sosial sebagaimana kebakaran di Kampung Tengah, Kluang yang dikatakan berpunca daripada api lilin.
Rumah yang diduduki mangsa terbabit dikatakan dipotong bekalan elektrik berikutan tidak mampu membayar bil kerana mahu mengutamakan pembelanjaan pembelajaran anaknya.
Ini contoh yang jelas tanggungan dan bebanan keluarga dalam masyarakat sekarang menyukarkan mereka hidup selesa.
Kehidupan sentiasa dalam tekanan untuk mencari kewangan. Tekanan untuk menyelesaikan hutang. Tekanan untuk menjelaskan bil api.
Kalau kebakaran ini berpunca daripada api lilin bagaimana dengan nasib Orang Asli yang belum mendapat bekalan elektrik dalam negara gemilang menyambut merdeka.
Nasib Orang Asli di Jalan Sungai Tua, Ulu Yam, sampai sekarang mereka masih belum menikmati elektrik. Anak mereka membaca berpelita ayam. Suasana gelap tak ubah era 60 an. Kenapa nasib mereka sampai zaman sekarang masih jauh ketinggalan. Ini kerana tidak ada pembelaan politik terutama daripada parti pembangkang. `Pembangkang tidak bising, kerajaan buat senyap’. Inilah nasib golongan minoriti.
Timbalan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Syed Husin Ali pernah menyatakan bagi menyara kehidupan terutama di bandar perlu melakukan dua kerja.Sudah tiba masanya kerajaan kena memikirkan kebajikan rakyat. Kerajaan hendaklah memastikan pendapatan yang diperolehi rakyat dibawah naungannya hasil daripada titik peluh mereka bersesuaian bagi menampung nafkah seorang isteri, keperluan tempat tinggal dan pakaian.
Nabi bersabda: “Sesiapa yang bekerja dengan kami, sekiranya ia belum lagi beristeri maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu beristeri, sekiranya ia belum lagi mempunyai seorang pembantu maka ia akan dibayar gaji sehingga ia mampu mendapatkan seorang pembantu dan sekiranya ia belum lagi mempunyai sebuah rumah maka dimampukannya (melalui pembayaran gaji) memiliki sebuah rumah.” Riwayat daripada al-Auzai, daripada al-Harith bin Zaid, daripada Jubair bin Nafir daripada al-Mustaurad bin Syaddad. Hadis ini boleh dilihat dalam Abu Daud al-Musnad.
Gaji atau upah adalah sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seorang pekerja. Ia adalah sumber pendapatan setiap insan golongan pekerja sama ada mewakili satu atau dua pekerjaan yang dilakukannya.Jadi amat wajar gaji tersebut boleh menampung perbelanjaan hidupnya dan orang dalam tanggungannya, sama ada untuk mendapatkan barang asas serta keperluan.
Memandangkan Malaysia diwar-warkan dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi maka sudah sepatutnya golongan pekerja mendapat perlindungan yang sewajarnya. Perlindungan di sini dimaksudkan peraturan atau undang-undang bagi memastikan golongan pekerja mendapat pembelaan pendapatan mereka sesuai dengan taraf sosial ekonomi negara ini.
Walau pekerja tukang sapu sekalipun kerana mereka hidup dalam negara Malaysia yang sudah semestinya tanggungjawab pemerintah memastikan mereka memperolehi pendapatan melepasi daripada taraf kemiskinan. Sekiranya kerajaan gagal untuk memberi keyakinan tersebut bermakna negara ini tidak ada keberkatan.
Negara Islam itu rahmat dan berkat menjadikan rakyatnya aman dan damai. Aman kerana tidak ada kejadian kecurian, rompakan dan pembunuhan.Kecurian dan rompakan berlaku dalam negara yang tidak ada keseimbangan pendapatan. Ia bukan sahaja melahirkan rakyat miskin bahkan warganegara berhutang yang boleh menimbulkan desakan serta tekanan hidup hingga membawa kepada gejala tersebut.
-
0 comments:
Catat Ulasan