Negara kebajikan sukar Umno rampas Kelantan

>> Jumaat, September 28, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
PELANCARAN `PAS Untuk Semua’ akan digunakan sebagai slogan PAS kepada semua rakyat yang meliputi pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Sebelum itu PAS mahu menjadikan Malaysia negara kebajikan sebagai tawaran dalam manifesto pilihan raya umum nanti.
Polemik kali ini membicarakan tawaran PAS kepada rakyat Malaysia dalam manifesto pilihan raya umum yang dijangka November ini. Hantarkan kurang daripada 450 perkataan kepada e-mail nanbinjai@gmail.com atau SMS 013-3354513 dengan mencatatkan polemik.
Tawaran negara kebajikan sebenarnya telah direalisasikan di Kelantan sejak awal pemerintahan PAS selepas mengambil alih pemerintahan daripada Umno pada pilihan raya umum 1990.
PAS membuat perubahan yang banyak memberi manafaat kepada rakyat. PAS yang mempelopori kemudiannya diikuti Umno seperti cuti lima hari, cuti bersalin dan yang terbaru Skim Takaful Kifalah.
Umno Kelantan juga cuba meniru skim tersebut tetapi tawaran dibuat kepada yang berumur 60 tahun ke bawah sedangkan dibawah kerajaan negeri skim tersebut ditawarkan kepada mereka yang tidak dapat membeli insuran.
Selain daripada itu banyak lagi nikmat yang diperolehi rakyat sehingga mereka dikatakan akan terus menyokong PAS memerintah kerajaan negeri.
Anak perantau yang pulang ke Kelantan, turut terperanjat dengan perkembangan tersebut kerana mengikut maklumat yang diperolehi semasa berada di ibu kota bahawa kedudukan kerajaan PAS di Kelantan sukar untuk dipertahankan.
Beliau mahu dikenali penyokong PAS ini berkata cuma apa yang membimbangkan ialah pengundi hantu yang mungkin dibawa masuk oleh Umno apabila mereka terdesak untuk merampas Kelantan sebagaimana yang berlaku keatas PAS Terengganu dalam pilihan raya umum 2004.
“Jika sekiranya ini berlaku, alangkah kecewanya rakyat kerana dapat pemerintah bukan pilihan mereka sebaliknya pilihan orang luar yang tidak ada kena mengena dengan Kelantan.
Orang luar tidak tahu apa yang diperolehi rakyat Kelantan. Mereka tidak tahu pilihan rakyat Kelantan. Jadi rancangan Umno mahu bawa masuk beratus ribu pengundi luar akan mengecewakan rakyat Kelantan,” ujarnya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad turut meramalkan PAS kekal memerintah Kelantan. Bagi beliau imej Mr Clean Pak Lah belum cukup kuat merampas Kelantan kerana banyak isu rasuah yang tidak dapat ditangani.
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yakin PAS mampu menjadikan Malaysia sebagai negara kebajikan sekiranya diberi mandat untuk memerintah.
Malaysia mempunyai sumber ekonomi yang banyak seperti minyak, gas dan sebagainya tetapi kekayaan tersebut tidak dimanfaatkan untuk kebajikan rakyat sebaliknya diguna untuk tujuan lain.
Petronas untung berbilion ringgit setahun tetapi keuntungan itu dibelanja kepada projek yang tidak memberi faedah secara langsung kepada golongan miskin seperti membina gelanggang lumba kereta dan menganjurkan perlumbaan kereta dunia Formula 1, menaja rombongan ekspedisi keluar negara dan sebagainya.
Kata Nasharudin: "Hasil minyak Petronas yang banyak itu mampu memberi kebajikan kepada rakyat malah menurut satu kajian jika Petronas membayar zakat ia mampu menampung kos pembelajaran untuk semua pelajar di negara ini, ertinya rakyat akan mendapat pendidikan percuma."
Makna jika berkuasa PAS akan mengwujudkan 'Tabung Pendidikan' khusus yang akan menyediakan biasiswa bukan pinjaman kepada pelajar.
Sementara polemik menerima SMS dari 019-745XXXX menyifatkan parti kaum lain mewakili Barisan Nasional boleh bergabung dengan pembangkang yang juga mewakili kepentingan bangsa mereka dalam menghadapi isu secara bersama. Ini berlainan dengan parti politik orang Melayu.
“Bagi saya MCA dan DAP pandai main wayang hanya orang Melayu yang menang sorak kampung tergadai. Kesian bangsa ku kebodohan tiada kesudahan.”
Beliau berkata demikian mengulas DAP dan MCA serta Gerakan boleh bersama menghalang orang Islam mendirikan negara Islam sebagaimana polemik mendedahkan Umno hanya menjadikan Islam sebagai umpan untuk menghadapi pengaruh PAS.
SMS 019-363XXXX berkata keadaan perpaduan antara kaum di Malaysia sekarang ini amat membimbangkan.
“Sifat tolak ansur pemimpin Melayu yang keterlaluan membuatkan sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan yang mendatangkan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Melayu,” ujarnya.
Malangnya kata beliau pihak Umno, MCA dan MIC menjadikan isu yang sensitf ini sebagai kepentingan politik mereka untuk meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu. Akibatnya isu sensitif ini tidak pernah selesai dan sentiasa hangat diperdebatkan.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP