Di bawah Umno Melayu kelas dua

>> Jumaat, September 28, 2007

Oleh Adnan Ibrahim

ADA perbandingan antara perobohan rumah penduduk setinggan kampung Berembang, Ampang terdiri daripada ramai Melayu dengan operasi babi di Paya Mengkuang, Ayer Molek dan Bukit Beruang, Melaka.
Kalau di Berembang, penduduk setinggan ramai yang ditangkap, dihalau macam anjing kurap, tiada pembelaan daripada wakil rakyat dan mereka yang mempertahankan kampung tersebut dibiar hidup dalam kedhaifan beratap dan berdindingkan khemah plastik.

Tetapi operasi babi di Melaka tidak seekor pun babi tertangkap walaupun ramai polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) serta pihak penguatkuasa lain dan Rela.

Benteng manusia pertahan babi tidak kena pukul malah layanan nampak lunak. Kereta yang dilaporkan sebagai penghalang laluan operasi tersebut tidak pula diambil tindakan.
Terdapat laporan mengatakan ada bom botol petrol tetapi tidaklah menjadi isu tetapi kalaulah orang Islam sudah tentu isu pengganas jadi tajuk utama akhbar.

Bukan maksud kita supaya penternak babi ini diambil tindakan sebagaimana penduduk Berembang tetapi kelunakan operasi babi itulah sepatutnya ditangani keatas penduduk setinggan di Berembang.

Oleh yang demikian, orang Melayu sering tertanya di mana silap kita kaum Melayu berada dalam negara sendiri dan dibawah pemerintahan bangsa sendiri lebih tertindas daripada kaum lain.

Kita tidak membicarakan perkauman tetapi perbandingan penguatkuasaan pihak atasan ke atas Melayu berbanding babi. Apakah babi di Melaka cukup mulia daripada Melayu di Selangor?
Apa yang pastinya operasi babi adalah arahan kerajaan negeri untuk mengurangkan populasi babi sejak 30 tahun lalu di Melaka dari 120,000 ekor kepada 48 ribu.

Manakala tanah kampung Berembang dikatakan milik perseorangan tetapi tidakkah sesama Melayu boleh ada pertimbangan? Pemilik tanah ketika berbincang dengan penduduk mengakui kerajaan Selangor mengarahkan kampung itu dikosongkan untuk pembangunan, jika tidak tindakan kekerasan akan diambil.

Mereka yang mempertahankan hak dan pampasan yang sesuai hanya mampu berlinangan air mata melihat rumah hancur musnah angkara kerajaan negeri Umno.

Tidak ada perbincangan yang saling menghormati sebaliknya perundingan lebih kepada arahan supaya penduduk keluar sahaja dari kawasan tersebut. Terima sahaja apa yang diputuskan kerajaan walaupun sekadar dua, tiga ribu ringgit pampasan.

Dimana silap Melayu bila melihat dua perbandingan ini? Melayu langsung tidak ada kekuatan politik. Wakil rakyat sudah jadi `wakil pemaju’ langsung tidak mahu berbincang dengan penduduk setinggan apa lagi mahu membela.

Tidak sebagaimana operasi babi bila keadaan tegang, penternak tidak mahu mengaku kalah akhirnya pasukan polis dan Rela bergerak meninggalkan tempat tersebut, jam 4 petang, ekoran hasil rundingan antara pemimpin MCA, kerajaan negeri, Umno pada tengahari.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa Melaka, Datuk Abdul Rahman Palit memberitahu, mesyuarat tersebut diadakan atas arahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya, mesyuarat tersebut diadakan jam 12 tengahari tadi di Pejabat Umno Masjid Tanah, dengan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusof yang juga ketua Umno bahagian Alor Gajah. Mereka yang menghadiri mesyuarat itu ialah Exco Pertanian dan Pembangunan Desa, Datuk Hamdin Abdullah; Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah juga Pengerusi MCA Melaka, Timbalannya, Datuk Tan Boon Tau, serta dua ahli exco kerajaan negeri dari MCA - Koh Nai Kwang dan Datuk Siah Kwai Tong, dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee.
Sempat Ali Rustam arahkan mesyuarat tetapi Menteri Besar Selangor, Datuk Mohd Khir Toyo langsung tidak endahkan suara penduduk.

Betullah sebagaimana kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa orang Melayu bacul kerana akan mengundi Umno dalam pilihan raya walaupun parti itu meletakkan `tunggul’ sebagai calon.

Kelemahan politik Melayu itu kerana meletakkan ketaatan tidak kena pada tempat. Orang Melayu langsung tidak berani membuat perubahan untuk menunjukkan mereka ada kuasa politik dan mampu bertindak menjatuhkan mana-mana pemimpin yang tidak membela nasib bangsa mereka.

Orang Melayu ada alternatif untuk memilih sama ada PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain Umno. Banyak parti Melayu bukanlah menunjukkan perpecahan orang Melayu sebaliknya peluang kepada pengundi Melayu membuat pilihan yang terbaik untuk bangsa mereka.

Kalau kita tengok Cina pun tiga parti mewakili bangsa mereka iaitu MCA, Gerakan dan DAP. Hasilnya orang Cina mendapat pembelaan sewajarnya. Sekiranya MCA dan Gerakan mengambil sikap seperti Umno alamatnya MCA jadi pembangkang DAP menguasai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi kerusi majoriti Cina.

Dimana kekuatan penternak babi di Melaka? Di situlah kekuatan mereka boleh membuat perubahan kepimpinan untuk bangsa mereka bila-bila masa.

Kata Mahathir lagi: Sekarang kesetiaan kepada pemimpin lebih daripada setia kepada raja. Kalau tak sanggup menentang itulah nasib kita...kalau tak berani menentang, kita akan jadi kuli di negara kita sendiri.”

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP