Orang Melayu mangsa kapitalis Melayu

>> Jumaat, September 21, 2007

Mangsa kapitalis
Oleh Adnan Ibrahim
SIAPA yang mahu kita salahkan bila ramai siswazah Melayu kita menganggur? Ada dakwaan mengatakan hingga 80 ribu orang. Mereka dikatakan tidak berpeluang memohon kerja di sektor swasta terutamanya, berikutan iklan jawatan kosong memerlukan mereka menguasai bahasa Mandarin.
Selain Cina kaum mana di Malaysia ini yang mampu berbahasa Mandarin? Ini bermakna syarikat yang banyak melahirkan peluang pekerjaan ini milik bukan Melayu. Apakah orang Melayu sudah tidak pandai berniaga sehingga tidak ada syarikat Melayu yang menawarkan peluang pekerjaan kepada siswazah penganggur?
Kenapa Melayu sudah tidak ada konglomorat atau korporat untuk mengambil belia Melayu yang tidak bekerja? Sedangkan kita diwar-warkan ke arah negara maju. Pemimpin Umno akui sudah berjaya melahirkan jutawan Melayu hasil pemerintahan 50 tahun. Tetapi kenapa belia Melayu tidak ada kerja?
Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke 54, baru-baru ini menyentuh tender kerajaan. Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting, meminta kerajaan melaksanakan tender terbuka tanpa mengira kaum bagi membolehkan syarikat bukan bumiputera turut berpeluang memenangi tender kerajaan.
“Tidak kisah golongan mana asalkan yang berpendapatan rendah kita bantu. Oleh itu kita mahu ruang yang membolehkan peluang ini (tender secara terbuka) dinikmati bersama. Saya percaya pengagihan tender kerajaan atau syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) kepada kaum bukan bumiputera akan dapat menjana pelbagai aktiviti ekonomi yang akhirnya memberi faedah kepada kaum bumiputera,’’ katanya.
Keluhan Ka Ting ini menunjukkan tender kerajaan banyak diperolehi oleh bumiputera. Tetapi kenapa ramai siswazah Melayu menganggur? Apakah syarikat Melayu ini mengiklankan peluang pekerjaan mesti berbahasa Mandarin?
Tambah Ka Ting lagi, beliau yakin dengan dilaksanakan langkah itu amalan ‘ali baba’ dapat dihapuskan dan ia akan mewujudkan persaingan yang lebih sihat dalam ekonomi.
Sahlah rupanya orang Melayu yang boleh projek ini mengalibabakan projek mereka kepada bukan Melayu.
Jadi syarikat bukan Melayu inilah yang menawarkan peluang pekerjaan. Barangkali untuk menolong bangsa diiklankan mesti boleh berbahasa Mandarin. Pastinya Melayu sudah tentu tidak boleh berbahasa Mandarin. Ada iklan yang menunjukkan hebatnya nasionalis Cina mesti fasih bahasa Mandarin. Tambah jauh lagi peluang Melayu walaupun boleh Mandarin kerana bersekolah Cina.
Akhirnya Melayu merempat di bumi sendiri kerana siapa? Angkara kapitalis Melayu. Tamak, mahu keuntungan singkat. Jual projek kepada bukan Melayu. Tidak ada hati perut untuk menolong memberikan peluang pekerjaan kepada anak bangsa sendiri.
Inilah jutawan buatan Umno yang diagung-agungkan selama ini. Apa hebat, gemilangnya Umno kalau melahirkan jutawan yang mencampak pasir dalam periuk belia Melayu.
Jutawan kelahiran Umno yang tidak ada insan semasa manusia. Langsung tidak memikirkan nasib anak bangsa mereka sendiri. Apa yang difikirkan hanya membuncitkan perut dan membela beberapa perut supaya projek terus diperolehi.
Maka jadilah cerita, tinggallah belia Melayu terpaksa mencari kerja. Meminta sedekah di bumi sendiri dan bergantung harap kepada syarikat bukan Melayu. Belia Melayu ini tinggal di bumi pemerintahnya orang Melayu.
Kata sendeloka belia kita: “Wahai pemimpin Melayu, kenapa kamu gagal menyediakan periuk untuk kami.” Kata pemimpin Melayu: “Kerana kami bersengkongkol dengan `jutawan ali baba’ Melayu yang kami ingin dan lahirkan.
Tanya lagi belia Melayu: “Kenapa pemimpin Melayu tidak boleh elak daripada mereka itu? Jawab pemimpin Melayu: “Kerana mereka ini banyak membantu parti Umno.”
Kalau pemimpin dan jutawan Melayu sendiri `tikam belakang orang Melayu’. Apa lagi orang Melayu boleh harapkan daripada duduk dibawah pemerintahan orang Melayu yang dikatakan gemilang setelah perintah selama 50 tahun? Sudahlah dibawah pemerintahan orang asing seperti Singapura dan Pulau Pinang, sosial ekonomi orang Melayu bertambah teruk tetapi dalam pemerintahan orang Melayu sendiri pun anak bangsa hidup merempak.
Malang nasib Melayu boleh pemerintah yang tidak ada kekuatan politik. Disuruh ubah pemerintah Melayu ini kepada pemimpin Melayu lain tetapi pemerintah Melayu ini cukup cerdik, digunakan wang hasil sumbangan `jutawan ali baba’ tadi untuk ditabur kepada orang Melayu.
Tidak cukup dengan itu berpakat dengan parti bukan Melayu kerana dikatakan kuasa demokrasi Melayu tidak lagi sekuat dahulu. Para pemimpin Melayu sendiri mengakui keadaan ini apabila mereka berkata bahawa orang Melayu terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk terus berkuasa atau berkongsi kuasa di negara ini.
Dalam Barisan Nasional hanya ada parti Umno sahaja, tidak ada parti Melayu lain. Ini bererti, lemah Umno lemahlah kuasa politik dan kuasa pemerintahan Melayu. Apakah ada alternatif lain? Sebenarnya ada dalam negara demokrasi. Apakah anda tidak melihat PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)?

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP