Adnan Ibrahim
Rakyat Selangor beruntung kerana memberi mandat kepada PKR memerintah negeri ini dalam pilihn raya umum lalu. Baru 100 hari pemerintahannya rakyat boleh menikmati perubahan dasar yang berlaku secara sedar atau tidak.
Hari ini kerajaan PKR Selangor menganjurkan sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan negeri itu di Stadium Utama, Shah Alam.
Apa yang menarik bagaimana pengacara Selangor FM iaitu sebuah stesen radio negeri dibawah siaran kerajaan pusat, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menwar-warkan program sambutan tersebut.
Pengacara radio tersebut meminta orang ramai menghadiri untuk bersolat maghrib dan hajat serta seterusnya bersama mendengar taklimat pemimpin negeri itu.
Mungkin maklumat saya tidak tepat tetapi sejauh pengetahuan saya sejak PAS memerintah Terengganu amat jauh sekali kerjasama yang diberikan siaran radio Terengganu dibawah RTM apa lagi untuk menolong mempromosikan program kerajaan PAS.
Selangor FM sebelum ini beroperasi di Aras 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam bagaimanapun berpindah ke Wisma Radio, Angkasapuri Kuala Lumpur pada Mei lalu kerana tidak bersedia memberikan slot khas kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sebaliknya kali ini sifat yang ditunjukan oleh Selangor FM lebih profesional mungkin terpaksa mengakui bahawa rakyat Selangor cukup sayang kepada kerajaan mereka dan tindakan radio itu cuba memulaukan kerajaan PKR Selangor akan merugikan siaran mereka sendiri.
Baru-baru ini saya menghadiri pertemuan antara penduduk Pangsapuri Bistari Seri Perantau dengan anak syarikat kerajaan negeri Selangor iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Program perjumpaan tersebut turut melibatkan MPK, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan kontraktor Rimbun Kukuh Sdn. Bhd.
Bagaimanapun wakil daripada pihak bank tidak hadir sebagaimana yang diatur oleh Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Selat Klang, Dr Halimah Ali.
Tujuan pertemuan tersebut bagi menyelesaikan masalah tidak puas hati penduduk terhadap agensi terbabit.
Bagaimanapun bukan maksud saya menyampaikan kandungan perbincangan kerana ia telah pun dilaporkan oleh Isu Khas keluaran Harakah sebelum ini.
Sebaliknya saya ingin melahirkan rasa terharu yang boleh dikongsi bersama dengan rakyat terhadap kerajaan Selangor yang bersedia memberi ruang secara terbuka untuk berbincang dengan agensi terbabit.
Langkah ini secara tidak langsung meningkatkan martabat dan kemuliaan rakyat. Rakyat diberi ruang bersuara dan bersemuka secara terus tanpa melalui pihak ketiga atau orang tengah.
Perbincangan yang diadakan di dewan bulat tersebut diatur seumpama sidang dewan undangan negeri dan dipengerusi sendiri oleh wakil rakyat, Dr Halimah.
Dengan cara ini penduduk boleh bersemuka secara langsung dengan pihak agensi dan meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap agensi terbabit.
Dr Halimah bersikat orang tengah dan mereka tidak lagi menjawab bagi pihak agensi tersebut sebagaimana yang sering diamalkan oleh kerajaan BN.
Dengan ini menjadi tanggungjawab agensi terbabit menjawab dan menyelesaikan masalah penduduk secara terbuka sehingga mendatangkan kepuasan kepada rakyat yang selama ini terbuku dengan perasaan kecewa.
Amalan perbincangan terbuka seperti ini tidak pernah berlaku dalam pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Pengalaman saya menyertai penduduk setinggan untuk menyelesaikan masalah dengan pihak pemaju sering kali dinafikan kerajaan BN untuk mengadakan pertemuan tiga penjuru.
Saya masih ingat penduduk setinggan Kampung Chubadak Tambahan dalam parlimen Batu, mahu mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat dan bersemuka sekali dengan pemaju.
Sebaliknya Ahli Parlimen Batu, Datuk Alex Lee telah mengadakan pertemuan awal dengan pemaju.
Semasa hari pertemuan penduduk dengan wakil rakyat sebagaimana dijanjikan, wakil rakyat tersebut telah bersuara sebagaimana pemaju bersuara. Beliau secara terangan mewakili pemaju sehingga menimbulkan ketidakpuasan penduduk.
Perbuatan tersebut dianggap penduduk sebagai melindungi pemaju. Amalan ini juga menjadi salah satu faktor masalah setinggan tidak boleh diselesaikan dengan baik. Akibatnya seringkali rumah penduduk setinggan diroboh dan dimusnah tanpa bermaruah.
Amalan menyekat kebebasan bersuara dan berbincang itu juga telah diamalkan oleh pemerintah BN Selangor.
Sebagaimana yang saya dengar perbualan kakitangan agensi terbabit di luar dewan MPK, meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan Dr Halimah membuat pertemuan tersebut membabitkan penduduk dan agensi mereka.
Kata mereka: “Sepatutnya wakil rakyat (Halimah) jumpa kita orang (agensi kerajaan) dahulu dapatkan maklumat dan kemudian beliau boleh adakan pertemuan dengan penduduk dan menjawab bagi pihak kita sebagaimana yang kerajaan (BN) dahulu buat.”
Inilah suara-suara pihak agensi yang tidak bersedia bersemuka dengan rakyat sedangkan mereka diamanahkan bertugas untuk rakyat.
Amalan seperti ini bukan sahaja tidak menyelesaikan keseluruhan perkara yang dibangkitkan rakyat bahkan ia boleh mendatangkan dendam serta pemusuhan antara penduduk dengan agensi.
Sebagaimana tindakan penduduk membakar lif pangsapuri, dimana pihak agensi menyalahkan penduduk atas perbuatan merosakkan harta awam.
Sebaliknya penduduk pula menyalahkan agensi kerana lambat bertindak bila berlaku kerosakan yang menyusahkan mereka.
Bagaimanapun mungkin banyak perkara yang perlu diperbetulkan dalam perbincangan tersebut bagi menghasil satu mesyuarat yang tersusun dan teratur supaya perkara yang sudah dibangkit tidak lagi ditimbulkan berulang kali menyebabkan berlaku pembaziran masa.
Wakil yang diamanahkan penduduk juga jangan mengambil kesempatan berselindung disebaliknya pertemuan itu untuk mendapatkan projek sehingga lupa matlamat asal untuk menyelesaikan masalah penduduk bukan kepentingan peribadinya.
-
0 comments:
Catat Ulasan