Beras ST15 masih tiada di pasaran, 70 % rakyat makin miskin

>> Khamis, Jun 19, 2008

Oleh Adnan Ibrahim
DALAM tinjuan rambang di kedai runcit dan pasar raya kecil serta besar sekitar Gombak mendapati beras hancur 15 peratus atau gred super tempatan 15 peratus (ST15) langsung tiada di pasaran. Malah beras gred super special tempatan (SST) 10 peratus yang dijual dengan harga RM2.70 sekilo juga tidak boleh didapati di pasaran.
Hanya beras gred SST 5 peratus yang boleh didapati di kedai dan pasar raya dengan harga RM28 bagi bungkusan 10 kilogram manakala paket 5 kilogram masih sukar didapati dan hanya terdapat di beberapa pasar raya tertentu.
Keadaan ini amat menyulitkan rakyat golongan miskin yang membeli beras di kedai runcit persekitaran lokasi kediaman mereka terutama golongan kurang upaya (OKU) dimana pergerakan mereka cukup terbatas.
Bukan sahaja beras hancur 15 peratus sukar didapati malah gandum harga kawalan kerajaan RM1.45 sekilo juga tidak ada di pasaran baik kedai runcit mahupun pasar raya.
Sebelum ini kerajaan dilaporkan telah mengarah Padi beras Nasional Berhad (Bernas) mengeluarkan stok simpanan beras ST15 sebanyak 180,000 tan metrik bagi memastikan bekalan di seluruh negara mencukupi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, langkah itu dilakukan kerana permintaan terhadap beras ST15 yang berharga RM1.80 sekilogram meningkat antara 50 sehingga 70 peratus sejak akhir-akhir ini.
Kata Mustapa, sebelum ini peratusan permintaan untuk beras jenis ini cuma 10 peratus. Apabila kerajaan membuat keputusan mengawal harga beras, adalah menganggarkan akan berlaku peningkatan permintaan antara 15 hingga 25 peratus, namun permintaannya di luar jangkaan.
Laporan peningkatan permintaan beras ST15 sehingga 70 peratus sebagaimana didedahkan Mustapa itu menunjukkan rakyat telah beralih kearah berjimat sebelum kerajaan seru kawal perbelanjaan berikutan kenaikan harga minyak lagi.
Kenaikan harga beras dalam bulan Mei iaitu sebelum kenaikan harga minyak pada 4 Jun lalu. Ini bererti kenaikan harga minyak makin menambah desakan ekonomi hidup golongan yang berpendapatan rendah. Laporan itu juga menunjukkan rakyat Malaysia semakin miskin sehingga 70 peratus.
Kalau dahulu beras ST15 tidak mendapat sambutan kerana ia bukanlah nasi yang boleh membangkitkan selera tetapi akibat desakan hidup rakyat tiada pilihan dan makanan tidak lagi diambil kira berdasarkan kualiti atau mengikut keenakan selera sebaliknya lebih kepada keperluan mengisi perut bagi menahan lapar.
Beras ST15 ditetapkan kerajaan dengan harga RM1.65 hingga RM1.80 mengikut lokasi. Walaupun penetapan harga serendah RM1.65 bagaimanapun pengguna baik dilokasi mana sekalipun tidak pernah mendapat bekalan beras itu dengan harga bawah RM1.80 sekilogram.
Kerajaan mungkin berjaya membuat penetapan harga siling beras tersebut tetapi gagal memasti ia berada di pasaran dan mudah dibeli oleh rakyat miskin terutama yang tidak ada kemudahan pengangkutan.
Bekalan beras tersebut yang hanya ada di pasar raya dan kedai runcit tertentu hanya menambah beban golongan miskin yang mahu mendapatkan bekalan tersebut tetapi terpaksa mengeluarkan belanja lebih bagi pengangkutan. Ini bermakna bekalan beras itu belum lagi mencapai sasaran kepada rakyat miskin.
Semasa mengumumkan kawalan harga beras, kerajaan begitu bersungguh memberi jaminan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan barangan tersebut tidak putus bekalan di pasaran sebaliknya ketiadaan beras tersebut jelas membukti kerajaan semakin lemah.
Pemerhati politik menyifatkan selain daripada kenaikan harga minyak, keadaan politik kerajaan yang tidak kuat juga antara lain memainkan peranan sehingga berlaku kenaikan harga barang.
Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya lebih menumpukan bagaimana menguatkan barisan pemerintahan mereka akibat tekanan langsung daripada PAS, PKR dan DAP yang boleh menjatuhkan kerajaan pada bila-bila masa.
Tumpuan yang lebih dan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terutama di Sabah dan Sarawak telah menyebabkan kerajaan gagal mengatasi keperluan dan keutamaan rakyat sehingga beliau sanggup menaikan harga minyak.
Niat Abdullah dilihat sebagai menyelamatkan Sabah dan Sarawak dengan janji tambahan wang ke negeri tersebut sebaliknya tindakan menaikkan harga minyak untuk menambah dana itu mengakibatkan seluruh rakyat menanggung beban.
Beras hancur 15 peratus dan gandum harga siling sebelum ini boleh didapati di kedai tertentu bagaimanapun sejak kenaikan harga minyak ia langsung tidak ada di pasaran.
Para peniaga kedai runcit memberitahu pengedar tidak berminat membawa beras hancur 15 peratus dan gandum tersebut kerana keuntungan kecil daripada barangan itu menyebabkan perniagaan mereka rugi disebabkan kos minyak sudah meningkat.
Taktik biasa digunakan untuk menaikkan harga seperti mengecil kuantiti barangan malah menghentikan langsung pengedaran di pasaran semakin ketara berlaku terutama keatas beras dan gandum serta barangan harga siling.
Kata suri rumah, Noraini Ibrahim, kenaikan harga barang akibat kenaikan harga minyak makin berturutan dan selepas ini dijangka gas asli cecair (LPG) ikut turut naik.
“Pekedai memberitahu gas memasak akan naik harga kerana pengedar rugi akibat harga minyak naik tinggi,” ujarnya.
Walaupun LPG dilaporkan tidak naik tetapi kos pengangkutan penghantaran selinder gas tersebut telah meningkat berikutan kenaikan diesel.
Menurut Noraini, rakyat menunggu apakah tindakan penguatkuasaan kerajaan selepas atau tetap mengulangi meminta rakyat berjimat dan ubah cara hidup.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP