Rakyat bersedia mou `win-win situation’ dengan PM

>> Khamis, Jun 12, 2008

Oleh Adnan Ibrahim
ARTIKAL dalam harakahdaily sebelum ini mencadangkan elaun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipotong 70 peratus. Begitu juga menteri dan timbalan menteri lain. Saranan ini dipetik daripada suara seorang pemanggil dalam siaran televisyen swasta negara ini.
Selepas itu, pemuda PAS Pusat dalam sidang akhbar mesyuarat exconya turut mencadangkan elaun yang dinikmati menteri dipotong. Jangan hanya menyuruh rakyat berjimat sebaliknya pemimpin tidak berbuat demikian.
Saranan kerajaan meminta rakyat berjimat mesti ada timbal balas. Bukan rakyat sahaja didesak berjimat sedangkan pemimpin bermewah. Pemimpin tidak merasa kesempitan akibat kenaikan harga minyak kerana pendapatan dan elaun mereka tinggi.
Belum pun ada respon daripada Abdullah berhubung saranan memotong elaun itu, beliau berharap supaya rakyat negara ini mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berhubung fenomena kenaikan harga minyak agar mereka benar-benar memahami apa yang sedang dihadapi oleh negara.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pengurniaan pingat serta darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di Kuala Lumpur, semalam.
Kata perdana menteri: "Setiap dari kita ada peranan dan tanggungjawabnya dalam menghadapi suasana getir seumpama ini."Justeru, marilah kita bersama-sama mengharungi dugaan ini dengan tabah, demi kesejahteraan kita bersama dan demi masa depan negara ini dan generasi seterusnya."Rakyat masih ingat kata-kata perdana menteri mengajak “kerja bersama saya”. Kali ini dengan lunaknya Abdullah berkata: “Kita bersama mengharungi dugaan”.
Rakyat menyeru perdana menteri supaya dibuka minda kerana siapa sebenarnya yang karam dalam dugaan bersama itu? Abdullah janganlah lagi bersendiwara dengan kata-kata tetapi situasainya berlainan.
Sebagaimana Menteri Luar, Datuk Dr Rais Yatim menggunakan istilah `win-win situation’, begitulah juga yang rakyat mahu. Walaupun istilah yang digunakan Rais itu sangat tidak bertepatan dengan kejatuhan Pulau Batu Putih kepada Singapura sepertimana diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sebaliknya rakyat bukan pihak yang tertipu dengan propaganda seperti itu dan mahukan `sama-sama menang’ antara pemimpin dan rakyat benar-benar realiti.
Kalau perdana menteri berkata “kita bersama mengharungi dugaan”, Abdullah perlu bersedia menerima saranan rakyat yang mahu beliau memotongkan 70 peratus elaunnya. Langkah pertama ini menunjukkan sama-sama menang.
Kedua, Abdullah berharap supaya rakyat negara ini mendapatkan maklumat yang betul dan sahih berhubung fenomena kenaikan harga minyak agar mereka benar-benar memahami apa yang sedang dihadapi oleh negara.
Bagi rakyat tetap bersedia menerima maklumat betul dan sahih malah pemimpin tidak perlu pertikai kesetiaan rakyat kepada pemimpin sebaliknya sejauh mana keikhlasan pemimpin terhadap rakyat dalam memberi maklumat yang betul dan sahih.
Kerajaan perlu dedahkan perolehan keuntungan Petronas hasil daripada jualan minyak terutama harga petroleum meningkat naik. Abdullah perlu bentangkan kepada umum laporan kewangan Petronas yang selama ini tidak diketahui rakyat.
Rakyat juga mahu tahu kemana pergi RM500 bilion wang keuntungan Petronas yang hilang. Perdana Menteri kena jelaskan sebab beliau bertanggungjawab kepada Petronas yang tidak perlu auditnya dibentangkan di Parlimen?
Jika sekiranya Abdullah boleh terima tawaran ini, rakyat tidak akan keberatan memahami keadaan fenomena kenaikan harga minyak dunia. Ini boleh dikatakan `sama-sama menang’. Boleh juga dibuat memorandum persefahaman (mou) bersama tangani kenaikan minyak secara adil.
Dalam kenyataan yang sama Abdullah juga berkata, pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia telah meningkat daripada RM3,249 pada tahun 2004 kepada RM3,686 pada tahun 2007."Peratusan kemiskinan telah berkurangan daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007 manakala golongan miskin tegar pula telah berkurangan daripada 1.2 peratus pada tahun 2004 kepada hanya 0.7 peratus pada tahun 2007," kata Abdullah.
Mungkin kenyataan Abdullah ini dijawab Parti Maju Sabah (Sapp), iaitu parti kompenan Barisan Nasional (BN). Presidennya, Datuk Yong Teck Lee berkata, golongan berpendapatan sederhana dengan gaji antara RM4,000 hingga RM5,000 akan mengalami kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak.
Yong menambah, orang ramai akan terus bertanya sebab Malaysia sebagai pengeluar bersih petroleum hingga 2014 turut mengalami dampak negatif susulan peningkatan harga minya dunia.
“Orang biasa bingung mengapa mereka terpaksa menanggung beban padahal Petronas mendapat untung yang banyak,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP