Usul minyak jadi usul politik PM

>> Selasa, Jun 24, 2008

Oleh Adnan Ibrahim
USUL kenaikan harga petroleum dan harga barangan yang sepatutnya menjadi medan untuk kepentingan rakyat sebaliknya menjadi usul politik mempertahankan kedudukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
Akhbar, media elektronik dan internet aliran kerajaan melaporkan kedudukan Perdana Menteri belum tergugat hasil daripada keputusan usul tersebut jelas mengambarkan usul itu semata-mata berkepentingan politik bukan kerana rakyat.
Usul tersebut dibentangkan secara tiba-tiba oleh kerajaan melalui Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Shahril Abdul Samad, di Dewan Rakyat yang mula bersidang semalam.
Tindakan Perdana Menteri mencadangkan usul tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat sebagai langkah menutup malu apabila terdapat anggota ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sendiri yang akan membuat usul undi tidak percaya kepada beliau dalam sesi sidang Parlimen kali ini.
Bagaimanapun dua ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) tidak hadir pada sidang semalam kerana didakwa diugut pihak tertentu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Usul tersebut mendapat sokongan 129 undi setuju dan 78 membantah setelah dibuat undi belah bahagian.
Sokongan terhadap usul tersebut tidak memberi gambaran jelas bahawa ia merupakan keputusan rakyat kerana wakil rakyat BN mengundi berdasarkan sokogan kepada pemimpim mereka bukan untuk kepentingan rakyat.
Wakil rakyat BN ketika itu menjadi ahli Parlimen kepada BN dan bukan bertindak membuat keputusan atas kapasiti mereka sebagai wakil rakyat kawasan mereka.
Sekiranya hendak mencapai keputusan yang adil terhadap usul tersebut kerajaan sepatutnya memberi tempoh seminggu sebelum usul itu dibentangkan.
Wakil rakyat pula perlu membuat referendum di kawasan mereka. Keputusan pungutan suara itu yang perlu dibawa oleh wakil rakyat tersebut ke sidang Dewan Rakyat dan menjadikan keputusan tersebut sebagai undi ahli Parlimen kepada usul kenaikan harga minyak dan harga barang.
Keputusan tersebut lebih adil demi menjaga kepentingan rakyat bukan undi menyokong berdasarkan mereka sebagai wakil rakyat BN dan menjadi peraturan tetap menyokong apa yang diputuskan kerajaan walaupun dalam hati dikalangan mereka ada yang tidak bersetuju.
Oleh yang demikian keputusan undi terhadap usul kenaikan harga minyak dan barangan merupakan keputusan politik Abdullah bukan usul kepentingan rakyat.
Selain itu rakyat mempersoalkan kenapa usul tersebut dibentangkan selepas kerajaan menaikkan harga minyak?
Sekiranya benar kerajaan BN amat prihatin dengan rakyat sepatutnya usul tersebut dibentangkan sebelum kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga minyak.
Sebagaimana yang disuarakan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menyifatkan usul tersebut sudah terlambat.
Sambil melahirkan kekesalan terhadap usul yang lewat itu beliau berkata bahawa kerajaan sepatutnya membawa usul itu sebelum pengumuman harga minyak dibuat (4 Jun).
“Dewan Rakyat jadi 'rubber stamp' untuk mengiakan apa sahaja yang diputuskan oleh kerajaan sedangkan sebarang keputusan kerajaan ini sebenarnya keperitannya ditanggung oleh rakyat,” ujar Presiden PAS itu.
Sebelum itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (DAP Bagan) turut menyelar tindakan kerajaan mengemukan usul tersebut selepas kerajaan menganiaya rakyat terlebih dahulu dengan kenaikan harga minyak.
“Langkah kerajaan ini sebenarnya menghumban rakyat kepada kemiskinan yang melampau, malah pendekatan yang dikatakan untuk mengurangkan beban rakyat ini adalah satu langkah 'ad hoc' dan terdesak.
"Kenapa tidak kerajaan memikirkan langkah ini dahulu sebelum mengumumkan kenaikan harga minyak," ujarnya.
Usul tersebut dibentangkan selepas sesi soal jawab dan dibahaskan selama enam jam. Undi belah bahagian dibuat pada pukul 7 malam.
Rakyat bagaimanapun tidak mendapat maklumat penuh berhubung perbahasan tersebut sama ada ucapan wakil rakyat kerajaan atau pembangkang untuk dinilai tentang kebenaran berpihak kepada kerajaan ataupun pembangkang.
Kalau kerajaan boleh mengadakan siaran langsung temu bual Pengerusi Petronas malah dibuat siaran ulang tayang berkali-kali sama ada televisyen kerajaan mahupun swasta sepatutnya sebagai memenuhi kepentingan rakyat perbahasan tersebut sebaiknya disiar di televisyen walaupun secara rakaman.
Bagaimanapun rakaman tersebut tidak perlu diedit atau dipotong mana-mana hujah yang kuat daripada pihak pembangkang. Apakah kerajaan bersedia berbuat demikian?
Jika kerajaan bersedia berbuat demikian barulah usul tersebut boleh didakwa untuk kepentingan rakyat sebaliknya ia dimanipulasi demi survival politik Abdullah sebagaimana laporan media tempatan lebih kepada keputusan undi usul itu tetapi bukan kandungan perbahasan.
BN mempunyai 140 ahli Dewan Rakyat, termasuk dua timbalan yang dipertua, sementara pembangkang mempunyai 82 wakil.
Empat ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir antara yang dikenal pasti ialah Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dan Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong).
Ahli Parlimen BN yang tidak hadir seramai 11 orang termasuk dua wakil BN daripada SAPP, Chua Soon Bui (Tawau) dan Eric Enchin Majimbun (Sepanggar).
Sembilan lagi wakil rakyat BN ialah Raime Unggi (Umno-Tenom), James Dawos Mamit (PBB-Mambong), Tiong Thai King (Supp-Lanang), Zulhasnan Rafique (Umno-Setiawangsa), Ahmad Zahid Hamidi (Umno-Bagan Datoh), Dr Rais Yatim (Umno-Jelebu), Rafidah Aziz (Umno-Kuala Kangsar), Radzi Sheikh Ahmad (Umno-Kangar) dan Tengku Azlan Abu Bakar (Umno-Jerantut).

0 comments:

Catat Ulasan

Blog Archive

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP