Anwar buatkan Najib gundah, Pak Lah senyum

>> Isnin, Julai 16, 2007

Oleh adnanbrahim@hotmail.com
BOIKOT pilihan raya sebagai tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti pemerintah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Talam awal tahun ini dilihat makin tidak berkesan apabila barisan pembangkang berpecah dan tidak sepakat dalam isu pilihan raya kecil Dun Machap.
DAP bertanding di Machap dan kemungkinan KeAdilan akan meletakkan calonnya di Dun Ijok. Akhirnya isu boikot pilihan raya yang dibuat pembangkang tenggelam dan tidak sampai kemana. Hilanglah teka-teki pembangkang mahu boikot pilihan raya umum.
Lagipun Umno sudah jangka PAS tidak akan boikot pilihan raya umum untuk terus memerintah Kelantan. Umno tidak perlu bersusah payah menjawab isu boikot kerana PAS sendiri akan memberitahu rakannya KeAdilan bahawa boikot tidak relevan dengan Kelantan.
Jangkaan pilihan raya umum diadakan tahun ini juga memecah-belahkan penyatuan boikot pilihan raya. Mungkin pada pembangkang, penyertaan pilihan raya kecil untuk menguji jentera pilihan raya dan menilai sejauh mana persediaan dan percapaian yang boleh diukur dalam menghadapi pilihan raya umum nanti.
Dalam pilihan raya kecil Machap mungkin malap bagi DAP tetapi pemerhatian mungkin lebih tertumpu kepada pilihan raya kecil Dun Ijok. Umno dikatakan tidak berpuas hati jika calon terus diberi kepada MIC.
Ada kalangan Umno berpendapat sekiranya MIC mahu terus bertanding mereka akan memberi undi kepada pembangkang. Umno di situ cukup kesal kerusi tersebut diberikan kepada MIC sedangkan India hanya 28 peratus berbanding Melayu lebih 50 peratus.
Hanya dengan cara ini sahaja kata mereka, kerusi itu boleh kepada Umno, walaupun tidak dalam pilihan raya kecil ini tetapi peluang dalam pilihan raya umum nanti.
Ini jelas merupakan ugutan kepada Barisan Nasional (BN) yang cuba menjaga hubungan dalam parti. MIC pula dikatakan tetap mahu kan kuota kepada calon mereka.
KeAdilan pula cuba mengambil kesempatan daripada isu ini dengan meletakkan calon berpengaruh dan bergelar Tan Sri.

Selesa

Bagi BN isu tersebut tidak banyak menggugat kedudukan sebagai parti yang mewakili kerajaan. Ramai yang meramalkan BN sukar dicabar dalam pilihan raya kecil ini dan dijangka terus memerintah negara selepas pilihan raya umum nanti.
Pandangan mereka berdasarkan hasil reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meningkatkan hasil dagangan negara sehingga mencapai trillion. Beliau juga berjaya meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar melalui program pertanian satu perniagaan bagi mengimbangi jurang pemisahan pendapatan penduduk bandar.
Satu lagi sifat yang ada pada Pak Lah yang menyukarkan pihak lawan ialah tidak suka menghentam pembangkang. Tidak sebagaimana yang sering dilakukan secara terangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui negara.
Bagaimana pun Umno perlu beringat penampilan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa isu dilihat boleh menggugat kerajaan. Keberanian beliau masih menonjol sebagaimana sebelum beliau dicekup ke penjara.
Isu yang dibawa oleh beliau boleh mengancam kejayaan Umno selama ini dan menjatuhkan pemimpin nombor dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat agak sukar mengelak serangan Anwar. Malah Anwar membuat tawaran bersedia disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Polis berhubung tuduhan beliau terhadap Najib.
Kata Anwar, Najib mesti disiasat segera berhubung kes Altantuya dan pembelian dua buah kapal selam Perancis yang melibatkan komisyen RM500 juta demi mempertahankan imej negara.

Jangan buang masa

“Tapi jangan buang masa saya, jika sekadar datang ambil kenyataan dan dokumen, lepas itu tutup kes, simpan fail," katanya sewaktu berucap di Majlis Makan Malam KeADILan, Jumaat lalu merupakan acara sambutan ulang tahun ke-8 parti tesebut semenjak ditubuhkan pada 4 April 1999.
Sebaliknya Pak Lah dijangka mengambil langkah selamat apalagi minat beliau sejak dari awal mengambil alih pemerintahan lebih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Mahyuddin Yassin. Pak Lah boleh senyum. Najib keseorangan dalam gundah. Tindakan Pak Lah ini boleh menyelamatkan Umno daripada menerima tamparan hebat dalam pilihan raya umum akan datang.
Namun begitu kedudukan Pak Lah masih belum tentu selamat, kalau Anwar dilihat menyerang rusuk kanan Umno, Pak Lah juga terpaksa berdepan dengan Mahathir. Keadaan ini cukup melelahkan Pak Lah.
Apa lagi PAS pula boleh menyerang melalui rusuk kiri dalam isu agama kerana Umno dilihat gagal mempertahankan mufti daripada serangan parti Gerakan.
Agenda bersama pembangkang terutama dalam isu minyak dan tol naik hingga memberi kesan kepada kenaikan harga barang menjadi bebanan kepada golongan berpendapatan rendah antara isu yang boleh diteruskan pembangkang.
Bagaimanapun setiap kali demokrasi pembangkang mengenai isu terbabit yang cuba diadakan seminggu sekali tetapi bukan kerajaan yang penat.
Sikap dingin Pak Lah menangani isu itu akhirnya menguntungkan beliau apabila para demokrasi akhirnya jemu dengan sendirinya untuk turun berdemo.
Tidak dapat dipastikan para pendemo yang jemu atau kepala demo yang tidak larat. Sekali lagi Pak Lah senyum menang hasil daripada pembangkang yang mudah putus semangat.

Jeling sebelah

Namun senyum Pak Lah kena jeling juga dekat Mahathir. Mahathir sekarang sudah boleh bercakap dalam satu majlis dengan musuh lamanya bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau ketika mengulas ceramah tahunan Pemikiran dan Visi Tun Abdul Razak Dalam Pembinaan Negara-bangsa Malaysai Merentas Sempadan Etnik, oleh Tengku Razaleigh, di Universiti Malaya (UM), 30 Mac lalu, beliau mengingatkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) boleh tergadai kepada orang asing sebagaimana terlepasnya Singapura.
Tidak pula diketahui sejauh mana serangan Ku Li terhadap Pak Lah atau mungkin mengambil kesempatan tikam belakang.
Mahathir sejak keluar hospital kelihatan rimas tinggal di rumah walaupun diarah berehat oleh doktor. Semasa beliau di hospital pembangkang di negeri Kedah terutama PAS susah hendak senyum.
Bagaimanapun sejak melihat Mahathir aktif kembali, mereka boleh mimpi indah, senyum melerek ke telinga dan mula berangan kalau PAS Kelantan boleh memerintah Kelantan kerana adanya Ku li, PAS Terenganu berpeluang kecap kemenangan kerana Anwar, apakah ini tidak boleh berlaku di Kedah kerana adanya Mahathir?

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP