Bukan Islam jangan cuba hina Islam

>> Isnin, Julai 02, 2007

JOHOR BAHRU: Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria menyifatkan orang bukan Islam sekarang sudah berani menghina Islam akibat daripada pendekatan umat Islam sendiri yang secara terangan menghina Islam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak berwajib supaya mengambil berat perkara yang berkait dengan Islam agar ia tidak mudah dipermainkan dan dihina.
“Kalau dahulu orang Islam hina Islam tetapi sekarang orang bukan Islam pun sudah berani hina Islam,” ujarnya ketika berceramah di Majlis Maulidurasul di Masjid al-Faizun, Taman Kempas di sini, Ahad lalu.
Dalam majlis ceramah yang dihadiri lebih 1,000 orang itu, beliau banyak menceritakan perjuangan Nabi SAW disamping perjuangan sahabat sehingga umat dunia sekarang boleh mengecapi Islam sama ada daripada kesedaran atau keturunan.
Bagaimanapun, kata beliau sejak akhir ini, umat Islam sendiri tidak berapa yakin dengan Islam dan mula ramai meninggalkannya kerana tidak ada kawalan undang-undang yang boleh menyekat orang Islam bertindak mudah keluar daripada Islam.
Ceramah beliau mendapat sambutan ramai berikutan The Star sebelum ini menyiarkan kononnya Konvensyen Gerakan Wilayah Persekutuan telah meluluskan satu resolusi agar Mufti Perak dipecat kerana terlibat dengan kes penyebaran SMS yang menyatakan Datuk Azhar Mansor telah murtad.
“Semasa negara kita dijajah Inggeris selama 400 tahun lebih tidak ramai yang murtad sebaliknya setelah kita memerintah 50 tahun, ramai orang Islam telah murtad,” katanya.
Beliau juga turut kesal dengan program televisyen yang melalaikan dianjur dan disambut seolah-olah pada pemikiran orang Islam ia halal.
“Daripada `Sure Heboh’ ditukar kepada `Jom Heboh’ tetapi pengisiannya tetap sama ia melalaikan orang Islam, tetap haram,” katanya.
Sepatutnya kata beliau media elektronik lebih banyak menyiarkan program berbentuk kebaikan dan pendidikan jika sekiranya mahu melahirkan umat yang mulia serta bertamadun.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP