Benarkah DAP memperjuangkan hak asasi kebebasan manusia?

>> Selasa, Julai 24, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
DALAM forum Malaysia After Lina Joy di sebuah hotel di Petaling Jaya, baru-baru ini, ia memberi gambaran DAP parti yang memberi hak kebebasan kepada manusia. Pada malam itu DAP dilihat mewakili golongan pembela kepada hak asasi kebebasan manusia bila membicarakan kisah Lina Joy.
Malah pendapat DAP turut mendapat sokongan orang Melayu, Prof Fakulti Perundangan Universiti Malaya (UM), Dr Azmi Sharom mengatakan apa yang beliau tahu tidak ada hukuman dunia dalam al-Quran untuk mereka yang murtad.
Saya tidak berminat membicarakan hukum murtad kerana perkara tersebut lebih baik diserah kepada pihak yang arif mengenainya. Bagaimanapun DAP perlu diingatkan jangan hanya `kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tidak nampak’. Kalau orang ada yang tidak faham mereka boleh bertanya Naib Pengerusinya, Zulkifli Mohd Noor.
Memang kebebasan beragama pada setengah kaum Cina seumpama tukar baju atau seluar. Ini diakui sendiri oleh Ronnie Liu Tian Khiew sekarang Ahli Jawatankuasa DAP, dalam satu majlis penerangan Kanun Jenayah Syariah Kelantan di hotel yang sama di sini. Ketika itu PAS bersama Parti Semangat 46.
Menurut beliau, bagi masyarakat Cina menukar agama tidak menjadi satu kesalahan dan ia boleh bertukar bila-bila masa dan mengikut kehendak masing-masing. Seingat saya beliau salah seorang panel pada malam tersebut yang juga Setiausaha Publisiti ketika itu. Pandangan beliau dihormati para hadirin yang terdiri ramai orang Melayu. Tidak ada yang membantah dan membuat bising semasa beliau memberikan hujah. Tidaklah berlaku sebagaimana dalam Dailog: Malaysia Selepas Lina Joy, pada 7 Jun lalu itu, bila ada yang tidak menghormati dan membuat bising dengan laungan: “Tidak benar....tidak benar,” apabila Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Yusri Mohamad salah seorang panel mengatakan bahawa Malaysia mempunyai toleransi, hubungan baik antara agama dan keharmonian yang terbaik di dunia.
Mungkin hak kebebasan beragama inilah yang cuba diterapkan kepada orang Islam. Sedangkan Islam mempunyai hukum dan kepercayaan tersendiri yang tidak boleh campurtangan pihak asing. Kalau negara ada kewibawaan tersendiri tanpa perlu atau tidak mahu kepada campurtangan asing apalagi dengan agama yang sehebat Islam.
Pegangan seumpama ini juga sebenarnya terdapat dalam DAP. Walaupun dakwaan DAP mengatakan mereka memperjuangkan hak asasi kebebasan manusia tetapi peristiwa bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Che Keong mengingatkan saya tentang betapa kerasnya DAP menyekat hak asasi kebebasan berpolitik.
DAP tidak patut campurtangan urusan Wee mahu memilih parti politik mana yang mahu disertainya setelah beliau isytihar keluar DAP. Sebaliknya DAP membuat beberapa peraturan yang melangkaui partinya ketika bersama Barisan Alternatif (BA) iaitu tidak membenarkan mana-mana parti dalam BA mengambil mana-mana bekas ahli DAP.
Disebabkan peraturan tersebut, Wee terpaksa menubuhkan parti pembangkang lain. Nasib Wee bertambah malang apabila parti baru beliau juga dihalang DAP menyertai BA.
Akhirnya pada pilihan raya umum 1999, Wee terpaksa bertanding empat penjuru iaitu Barisan Nasional (BN), DAP, parti beliau dan bebas di Bukit Bintang. Akibat daripada itu juga politik beliau sekarang tenggelam tidak timbul-timbul. Semasa di Parlimen, anak kelahiran Kelantan ini rapat dengan Mohamad Sabu ketika itu Ahli Parlimen Nilam Puri.
Mungkin DAP kena diperingatkan bahawa tidak semua perkara ada kebebasan. Mesti ada peraturan yang boleh membentuk kebebasan kearah kebaikan. Jika kebebasan tanpa peraturan ia akan menjadi seekor lembu hidup bebas tanpa gangguan tuannya.
Maka sudah tentu lembu tadi membuat perkara kesukaannya terutama tidur di atas jalan raya pada waktu malam kerana hawa tar panas dan cukup menyeronokkan bagi lembu yang kedinginan.
Apakah berlaku pada malam dan laluan digunakan lembu tersebut. Tentu DAP boleh fikir, nyawa lembu atau pengguna jalan raya melayang ataupun kedua-duanya sekali.
Jadi apa langkah terbaik? Tuan lembu tadi sepatutnya membuat peraturan kepada lembu untuk menjaga kepentingan umum.
Sudah tentu tuan lembu buatkan pagar dan kandung waktu tidur atau dengan bahasa jelasnya pagar dan kandang tempat lembu tidur itulah yang seumpama peraturan bagi manusia supaya kita tidak menuntut kebebasan sebagaimana lembu tadi.
Kalau negara ada peraturan tidak mahu campurtangan asing. Bagaimana naluri setiap bapa termasuk Kit Siang menghalang anaknya, Lim Guan Eng semasa kecil bergerak bebas kerana mahu memastikan anaknya terus hidup tanpa cedera dan patah. Kalau beliau sayangkan anaknya, apalagi dengan agama yang maha suci ini kerana kecintaan Allah kepada makhluknya itu maka peraturan dikenakan kepada manusia.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP