Lebih separuh pekerja swasta bergaji RM1,000 kebawah

>> Sabtu, Julai 28, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
PENGUMUMAN kerajaan mengenai kenaikan gaji kakitangan awam yang cukup mengembirakan itu sebaliknya diterima berlainan kepada pekerja swasta terutama bebanan barangan keperluan turut naik harga.
Memandangkan demikian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan mengambil langkah segera cadangan formula gaji minimum RM900 bagi pekerja swasta.
Setiausaha Agungnya, G. Rajasekaran berkata, ia sebagai langkah mengimbangi taraf hidup rakyat di negara ini kerana terdapat pekerja swasta masih memperolehi pendapatan RM200 sebulan.
Sementara itu, pekerja ladang termasuk kontrak akan menikmati kenaikan gaji sebanyak sembilan peratus mengikut kadar yang dipersetujui dalam Perjanjian Bersama (CA) antara Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong Chan Onn.
Seramai 4,800 penoreh getah, 25,200 pekerja padang dan pekerja am yang bertugas di 384 ladang dan 115 kilang di Semenanjung.
Bagaimanapun aktivis masyarakat, S Arutchelvam menyifatkan kenaikan itu bukanlah peningkatan drastik dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan pekerja.
“Kenaikan itu hanyalah sebanyak RM1.40 sehari, iaitu jika dihitung dengan hari bekerja sebanyak 26 hari, maka jumlahnya baru RM36.40. “Itupun tidak tentu kerana kerja peladang dan penoreh getah bergantung kepada faktor cuaca, jika hujan mereka tidak boleh bekerja,” katanya. Sebelum ini rakyat menghadapi kenaikan minyak kelapa sawit sehingga paket satu kilogram sukar didapti di pasaran. Ini bermakna permintaan minyak ini cukup tinggi di pasaran dunia. Begitu juga kenaikan harga getah.
Dalam masa sama peneroka mencatat keuntungan yang tinggi terutama peneroka kelapa sawit berbanding getah. Sektor kelapa sawit cukup menguntungkan pihak perladangan.
Bagaimanapun tanpa disedari kenaikan tersebut sebenarnya tidak menyumbang kepada pekerja ladang. Terutama mereka yang dibayar gaji hari langsung tidak menikmati faedah daripada kenaikan harga kelapa sawit. Hendak merasai bonus jauh sekali kerana mereka pekerja yang tidak dikira pekerja tetap.
Kalau mereka yang bergaji bulan mungkin boleh menikmati faedah bonus daripada keuntungan syarikat tetapi kita tidak dengar pekerja mereka memperolehi bonus sebagaimana yang dinikmati pekerja Petronas enam kali gaji apabila harga minyak mentah tinggi di pasaran.
Apakah keuntungan daripada kenaikan harga kelapa sawit tidak boleh disalurkan juga kepada pekerja ladang yang berpendapatan cukup menyedihkan kerana inilah masa yang sepatutnya dirasai mereka?
Ini kerana apabila harga kelapa sawit turun, jauh sama sekali untuk menikmatinya.
Menurut Timbalan Presiden MTUC, Mohamed Shafie BP Mammal pula dianggarkan kira-kira lima juta pekerja swasta di negara ini hidup dalam kesusahan berikutan pendapatan bulanan mereka di bawah RM1,000.
Kumpulan ini ialah pekerja bawahan seperti pengawal keselamatan, pekerja kilang, tukang cuci dan pekerja ladang.
Menurutnya, gaji paling rendah yang direkodkan pada masa ini ialah pengawal keselamatan dengan pendapatan bulan sebanyak RM180, pekerja kilang dalam lingkungan RM300, pekerja ladang (RM450) serta tukang cuci (RM450).
‘‘MTUC mahu cadangan formula gaji minimum RM900 diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak kerajaan,’’ katanya mengulas saranan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar supaya lebih 578,000 majikan swasta di negara ini mempertimbangkan kenaikan gaji terutama bagi kakitangan peringkat bawahan selaras dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan gaji sektor awam baru-baru ini.
Berdasarkan rekod Kementerian Sumber Manusia, jumlah keseluruhan pekerja swasta ialah 10.38 juta orang.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP