Mengambil kebijaksaan daripada pecah belah musuh

>> Selasa, Julai 24, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
“YA Allah, kacau-bilaukanlah persatuan mereka, pecah belahlah kesatuan mereka dan jadikanlah mereka ghanimah bagi kaum muslimin.” Ini antara doa yang sering diminta oleh pejuang Islam dalam menghadapi musuh sama ada dalam peperangan mahupun politik.
Sebaliknya apabila Allah memperkenankan doa mereka yang mengaku pejuang Islam, tidak mengambil kesempatan keadaan porak poranda Umno.
Pembangkang kena ingat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih orang Umno begitu juga dengan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaliegh Hamzah.
Apabila Mahathir berkata sebagai ahli Umno dan bekas pemimpin tertinggi Umno, beliau tidak rela melihat Umno tumbang di tangan PAS atau mana-mana parti pembangkang. Tetapi, sekiranya ketewasan Umno adalah satu-satunya cara bagi menyedarkan kepimpinan Umno sekarang tentang kelemahan pucuk pimpinan parti, maka rakyat Kelantan seharusnya memberi undi mereka kepada PAS demi kebaikan negara Malaysia tercinta. Inilah pecah belah dalam Umno dan serangan bekas pemimpin terhadap pemimpin mereka mendedahkan senario politik Umno sekarang.
Bagaimanapun sejauh mana kebijaksanaan ini diambil daripada kacau-bilau dalam Umno? Tidak perlu ada usaha membawa mereka ke dalam PAS atau mana-mana parti pembangkang. Tidak perlu juga untuk menilai dan menghukum Mahathir. Sebaliknya aktor inilah yang boleh dipergunakan bagi menambah haru-biru Umno.
Sikap tidak berpuas hati Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah hak beliau sebagaimana dalam ucapannya di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) pada 30 Mac lalu, bahawa dalam politik pun ada mazhab.
“Mazhab yang ada sekarang mungkin berbeza sama sekali” katanya merujuk kepada peseteruan beliau dengan Pak Lah.
Kalau pemusuhan ini tidak diambil kesempatan, sebaliknya menuduh Mahathir, ada kepentingan, orang yang kecewa dan lain-lain bererti pembangkang berseteru dengan musuh politik yang tidak bertaring.
Sepatutnya pembangkang mesti mengenali musuh mereka dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun sedar dimana hala peluru mereka sekiranya mahu mengubah Malaysia.
Disebalik kita berbahas, apa yang pasti bekas Timbalan Menteri, Datuk Ibrahim Ali cepat menghidu peluang politik. Mungkin kelahiran beliau di Kelantan tempat tumbuh wayang kulit memerlukan `tok dalang’ maka peluang ini diambil kesempatan sepenuhnya.
Ibrahim selepas dipecat daripada Umno menjelang pilihan raya umum 2004 dilihat sudah hilang sengat politik walaupun beliau cuba menempek disebalik pengaruh Anwar.
Populariti `katak’ dan `lompat’ seakan melekat pada beliau yang sukar ditanggal sebaliknya watak baru dibelakang tabir itu berperanan mempertemukan Mahathir dan Ku Li. Secara tidak langsung menguntungkan pihak lawan Umno.
Ibrahim bagaimanapun kena fikir dua kali kalau ada rancangannya mahu mempertemukan Mahathir dengan Anwar. Dalam politik tidak mustahil kata Mahathir apabila merujuk kesediaan beliau menghadiri program mempertemukannya dengan Ku Li yang membentangkan kertas pemikiran Razak di Ceramah Agung Tahunan Persekutuan Badan Pendidikan dan Pembangunan Melayu (PBPPM).
Saya kenal Ibrahim sebagai orang yang tidak serik berpolitik dan ada kalanya ramalan politik beliau lebih ke depan. Semasa bersama beberapa wakil rakyat di kantin Parlimen berbual dengan Ibrahim yang ketika itu beliau lebih dahulu melompat daripada Parti Semangat 46 masuk Umno. Kata Ibrahim: “Aku dah baca awal dalam politik ni, 46 tak boleh pergi jauh, kerana itu aku sertai Umno dulu,” merujuk kepada ura-ura pimpinan parti itu akan masuk Umno.
Biasalah orang politik akan ada musuh dan kawan. Dahulu kawan menjadi lawan dan lawan balik menjadi kawan.
Politik Malaysia tidak boleh elak daripada membicarakan ketokohan orang tertentu kerana sejarah buktikan bahawa tidak berlaku perubahan politik hanya semata-mata kerana isu atau sebagainya.
Sebaliknya dua kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) jatuh hanya kerana ketokohan Ku Li dan Anwar. Hakikat ini kita kena akui kerana pemikiran politik rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan dan mereka tidak mampu mengubah nasib melalui kuasa undi yang ada pada mereka kerana lebih terpedaya dengan wang dan material.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP