Kerajaan kena pastikan agihan adil

>> Selasa, Julai 31, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
BANYAK pro dan kontra apabila Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket pada 25 Jun lalu bagi menuntut kenaikan gaji minima sektor swasta sebanyak RM900 dan elaun sara hidup (cola) RM300 sebulan.
Presidennya Syed Shahir Mohamad menyifatkan isu ini sudah berlarutan lapan tahun bukan lapan hari dan tidak timbul MTUC memberi tekanan kepada kerajaan dalam masa singkat sebagaimana yang dibangkitkan.
Polemik kali cuba menyelami perasaan pekerja seramai lima juta yang mendapat gaji kurang RM1,000 sebulan. Anda boleh memberi maklum balas tersebut melalui SMS 0133354513, e-mail nanbinjai@gmail.com atau fax 03-40253307 dalam anggaran 450 perkataan. Catatkan polemik pada sebelah atas.
Bermula dengan kenaikan harga minyak yang merupakan bahanapi penting menggerakkan sistem pengangkutan menyebabkan barang keperluan harian ikut naik. Berikutan barang asas naik harga makanan jadi melambung.
Pengumuman kerajaan itu pada tahun lepas menjadikan rakyat bertambah terhimpit. Mereka mula mencatu barang keperluan. Sedangkan kehidupan mereka sebelum ini pun sentiasa berjimat. Bagi mereka tidak ada masa untuk berboros kerana berbelanja tanpa dirancang boleh mengundang masalah lain terutama berhutang.
Apakah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sedar selama ini rakyat sudah berjimat apabila mengarahkan rakyat berbuat demikian? Kita rasa Najib perlu ambil posisi mereka selama sebulan. Bagaimana rasanya menjadi rakyat berpendapatan RM1,000 ke bawah?
Rakyat bukan sahaja berjimat malah terpaksa melakukan dua kerja sepertimana kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali bagi menyara kehidupan terutama di bandar.
Shahir pula mendakwa bahawa keadaan yang berpunca daripada tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel itu membawa kepada kuasa beli rakyat yang bertambah lemah.
Perkara tersebut membawa kepada kaum pekerja terpaksa melakukan tiga pekerjaan dalam satu waktu disamping mengorbankan kualiti hidup. Maka lahirlah rakyat yang kurang berilmu, mudah lemah menghadapi ugutan dan tekanan, `makan rasuah’ dianggap keperluan dan yang paling teruk kesan daripada itu ialah adanya rakyat yang boleh `dicucuk hidung’.
Kehidupan bercelaru kerana kekeluargaan menjadi renggang. Tidak ada masa bersama masyarakat, tempat sosial seperti masjid dan akhirnya lahirlah rakyat `robot’ yang hanya memenuhi selera golongan kapitalis dan konglomorat.
Berikutan tekanan dan desakan akibat harga barang naik, kerajaan baru-baru ini mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangan awam. Golongan politik menganggap kenaikan gaji yang menandakan pilihan raya umum semakin hampir.
Kenaikan itu digunakan sepenuhnya oleh peniaga kapitalis menaikan harga barang disebalik kelemahan penguatkuasaan kerajaan menangani golongan yang mengambil kesempatan tersebut.
Akibatnya lima juta pekerja swasta berpendapatan RM1,000 ke bawah bertambah menderita. Sudahlah mereka sebelum ini ibarat `kais pagi makan pagi kais petang makan petang’ makin bertambah parah. Tersilap perkiraan menambah hutang. Senarai catu barangan terpaksa ditambah. Apakah kita tidak merasa bebanan tanggungan mereka? Sebagai orang Islam `sekiranya hujung rambut terasa sakit maka hujung kaki pun ikut sakit’ maknanya kuatnya tali persaudaraan Islam. Kalau seorang muslim lain sakit atau bermasalah maka orang Islam lain kena rasa menanggung sama.
Memandangkan tekanan kehidupan ini maka wajar bagi MTUC menuntut kerajaan mengadakan perundingan bagi mengwujudkan peraturan yang membolehkan pihak swasta membayar gaji pekerja paling minima RM900 serta cola RM300 terutama tempat yang mempunyai sara hidup tinggi.
Sebaliknya sikap kerajaan yang tidak bersungguh mahu mengatasi masalah rakyat maka MTUC terpaksa mengadakan piket. Jika kerajaan dengan sikap seumpama itu maka MTUC akan mengadakan mogok.
Di Pulau Pinang dilaporkan terdapat pekerja masih menerima gaji RM450 sebulan sedangkan kos kehidupan negeri itu antara yang tertinggi. Kita kesal kalau `taukeh’ asyik menukar kereta mewah menikmati keuntungan tetapi pekerjanya dibiarkan hidup dalam sengsara. Apakah manusia seumpama ini mahu dilahirkan pemerintah yang hanya penting diri sendiri tanpa perikemanusia hak orang lain?
Minyak kepala sawit juga naik kenapa pekerja ladang tidak boleh menikmati gaji setimpal dengan keuntungan syarikat? Amat sedih pekerja ladang masih menerima gaji RM300 sebulan berkali ganda dibawah paras kemiskinan.
Kita sering bercakap pengagihan kekayaan yang adil. Kalau sosialis agihan sama rata. Tetapi bila ada pekerja bawah menuntut kenaikan gaji kenapa ada pihak yang menentang. Mengapa kerajaan mengambil sikap tidak acuh? Apakah kerajaan lebih menjaga kepentingan golongan pelabur dan konglomorat daripada rakyat negara sendiri?
Kita sering dengar masyarakat setinggan mengeluh terhadap wakil rakyat mereka yang tidak membantu menyelesaikan masalah tanah rakyat duduki sebaliknya menjadi `wakil pemaju’ untuk menghalau rakyat. Apakah kerajaan sudah jadi seumpama wakil rakyat yang sudah jadi `wakil pemaju’?
Pemimpin pembangkang sepatut turun padang kerana ini adalah perjungan rakyat. Pembangkang sering menyebut pengagihan kekayaan yang adil dan inilah masanya membuktikan slogan tersebut. Jangan semata-mata mengharapkan undi mereka tetapi apabila mahukan sesuatu tidak ada pemimpim yang turun berpiket membantu mereka.
Ada beberapa kontra terutama bagi peniaga kecil bagaimana mereka mahu mengajikan pekerja sebanyak itu sedangkan pendapatan tidaklah banyak. Peniaga restoran misalnya, jika menggunakan tenaga kerja tempatan banyak wang terpaksa dihabiskan untuk membayar gaji mereka. Akhirnya taukeh lingkup dan pekerja hilang pekerjaan.
Oleh yang demikian majikan terpaksa mengambil pekerja asing maka akan bertambah mereka di negara ini. Mungkin inilah perlu kepada satu dailog MTUC dengan kerajaan. Jika kerajaan asyik dengan sikapnya tidak bersedia bertemu dengan MTUC keadaan ini tidak akan menjadi penyelesaian.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP