Oleh Adnan Ibrahim
SAYA cukup gelabah bila diberitahu isteri baru Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah sudah memakai tudung sebagaimana yang disiarkan akhbar. Tudung yang dipakai pula cukup kemas (tudung lingtup) tidak selebeh macam Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan wanita Umno lain yang menampakkan jambul.
Dilaporkan Abdullah Ahmad Badawi sekembali dari lawatan ke Itali sempat singgah di Mekah, menunaikan umrah. Gambar menutup aurat itu disiar pada Khamis, 28 Jun lalu ketika dead line Siasah.
Rakan saya, Faizul bahagian teknikal, bising bagaimana dengan artikal Subky sedangkan isteri PM sudah tutup aurat. “Kemas lagi. Bukan macam berselendang,” katanya. Saya jadi gelabah dan mencari akhbar tersebut lalu menghubungi Subky.
Artikal di ruangan Terkenang menceritakan pengalaman Subky melihat isteri pemimpin tinggi negara tidak bertudung. Katanya: “Amat malang bagi umat Islam Malaysia yang rata-rata sudah bertudung tetapi isteri PMnya tidak bertudung.”
Saya gelabah bukan kerana bimbang disaman tetapi amat takut pemakaian tudung isteri PM itu terus lekat yang mengambarkan beliau telah membuat perubahan pada dirinya. Jadi amat bimbang bagi saya sekiranya tulisan itu menganggu seorang insan yang cuba membuat perubahan pada dirinya.
Apa lagi kalau tulisan tersebut boleh dianggap meremukkan hatinya sehingga mencetus pemberontakan dan tujuannya mahu kepada perubahan kearah kebaikan akhirnya musnah hasil daripada kerja kita. Inilah yang menakutkan saya.
Saya memandangkan berat hal ini kerana takut kes ini boleh berlaku seumpama artis yang mendapat hidayah dan membuat perubahan dengan menutup aurat tiba-tiba tersasar kerana beliau tidak dijadikan kawan rapat oleh wanita soleh.
Kambing kalau seekor mudah dicekup serigala. Begitulah Islam mementingkan berjemaah untuk menjaga kepentingan insannya. Kalau artis tersebut sentiasa didekati wanita soleh mungkin ruang untuknya tersasar daripada kebenaran tentu sukar.
Saya akui wanita soleh sukar rapat dengan artis tersebut kerana kerajaan tidak mahu penglibatan artis itu dalam kumpulan wanita soleh tadi akan menguatkan pengaruh parti mirip Islam.
Namun begitu kita tidak boleh mengalah kepada halangan atau kesukaran. Mungkin ustaz-ustaz telah menanam dalam jiwa para pendakwah supaya tidak berputus asa kerana ia adalah sifat yang boleh membawa haram. Kita harap kesilapan lalu dijadikan iktibar untuk terus buat perubahan.
Memang sepatutnya mereka yang memperolehi hidayah dengan cara mudah patut bersyukur kerana ia biasanya datang dari hati yang berusaha mencari kebenaran. Setelah mendapat hidayah setiap insan perlu mencari ilmu bagi menguatkan hidayah tersebut. Sekiranya ilmu kurang ia boleh mengoncangkan jiwa kerana kehidupan seterusnya akan melalui mehnah dan ujian. Sebab itu ramai yang terkandas dan kembali kepada perangai asal setelah melalui kebaikan.
Pada hari seterusnya saya lihat isteri PM di akhbar. Tidak pula bertudung. Saya perhatikan betul-betul, kalau gambar yang disiarkan itu gambar lama. Rupanya meleset, memang sah isteri Pak Lah belum mahu tutup aurat. Maka membenarlah saya akan kata-kata Subky.
Malah menambah lagi kebenaran bahawa Islam Hadhari yang dipimpin PM itu satu kepalsuan dan penipuan. Perbuatan sekejap memakai tudung sekejap tidak sebagai isteri pemimpin Islam Hadhari benar-benar satu sendiwara terhadap hukum hakam Islam.
Nas al-Quran jelas memerintahkan wanita menutup aurat takkan PM sebagai cucu ulama tersohor tidak menjumpai surah An-Nur, ayat 31: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;”
Kita harap sayugialah pemimpin sebagai pembimbing rakyat jangan mempermainkan Islam nanti ia merosakkan fahaman rakyat yang sudah jahil.
Rakyat bukan sahaja celaru dalam syariat dan perundangan Islam, malah perkara yang berkait dengan amal Islami yang umum seperti amar makruf dan nahi mungkar tidak lagi diendahkan.
Kerana itulah maksiat makin menjadi-jadi dan draf jenayah makin meningkat. Kesusahannya menimpa pada rakyat. Hidup tidak lagi temteram kerana keadaan sekeliling penuh jenayah.
Kalau Subky mengimpikan isteri Perdana Menteri bertudung, apa lagi rakyat terutama wanita Umno yang bertudung. Bagaimana sukarnya wanita Umno bertudung berkempen Islam Hadhari dalam pilihan raya umum ini kerana isteri PM sendiri sekejap bertudung sekejap tidak.
Apa yang jelas pada mereka banyak masa tak bertudung. Kalau artis tersebut boleh bertahan lama bertudung maka hebat jugalah iman beliau berbanding isteri PM yang kelihatan bertudung hanya balik dari umrah.
Bagi orang Islam itu ada bezanya dengan bukan Islam. Bagi wanita yang tampak jelas berbeza dengan bukan Islam ialah tudung. Itulah hebatnya orang Islam kerana kelainannya. Sebaliknya kita bimbang ada hati-hati yang tidak mahu menunjukkan dia Islam dan hendak dilihat sama dengan bukan Islam. Malu dilihat dia digolongan Islam. Kita harap ia tidaklah sampai begitu sekali. Minta berlindunglah dengan Allah.
-
0 comments:
Catat Ulasan