Mahathir bahan bukti, Anwar ada bukti

>> Jumaat, Julai 27, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
KETIKA pemerhatian rakyat tertumpu kepada pembicaraan kes bunuh Altantuya tiba-tiba Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir membebaskan Tan Sri Eric Chia, bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd dari tuduhan pecah amanah RM76.4 juta pada 1994 tanpa perlu membela diri selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Perwaja bukanlah skandal main-main. Oleh kerana kerugian Perwaja ketika itu berpusat di Kemaman ia menjadi perbincangan hangat di Terengganu terutama daerah tersebut. Kerugian yang dialami Perwaja bukan sedikit iaitu RM10 bilion tetapi perbicaraan hanya sebahagian kecil kes yang melibatkan perjanjian bantuan teknikal (TAA) berhubung projek loji `beam and section’ yang dikendalikan Perwaja Rolling Mill Development Sdn Bhd (PRMD).
Ahli Parlimen Kota Melaka ketika itu Lim Guan Eng yang mula mencetus isu kerugian Perwaja sering menimbulkan persoalan di Parlimen yang menyukarkan kerajaan menjawab. Sikap kerajaan ketika itu dan Menteri Kewangannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih mengelak dan menyelamatkan Perwaja.
Bagaimanapun ada sumber memberitahu saya bahawa Guan Eng banyak mendapat maklumat daripada `orang dalam’ untuk memprovokasikan isu rasuah, penyelewengan dan kerugian Perwaja di Dewan Rakyat. Tidak dapat dipastikan siapa. Bagaimanapun melihat hubungan Anwar dengan pembangkang terutama DAP ia bolehlah diagak.
Pada 1995 hingga 1997 skandal Perwaja bertambah hangat di Parlimen. Malah Anwar sendiri melaporkan kepada Parlimen pada 1996 betapa Perwaja sudah muflis dengan kerugian besar disebabkan salah urus dan pembayaran yang boleh dipersoalkan.
Selepas itu, banyak laporan polis mengenai pelbagai aspek salah urus oleh Perwaja telah dikemukakan oleh parti pembangkang, yang paling penting sekali ialah laporan Anwar Ibrahim pada 22 Julai 1999, bernombor 19625/1999. Ini adalah petikan sebahagian daripada laporan itu: “Sebenarnya Eric Chia telah membuat dakwaan berulang-ulang bahawasanya tindakan beliau telah direstui dan mengikut arahan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir. Dakwaan itu disokong oleh beberapa keping surat yang ditulis tangan oleh Perdana Menteri itu sendiri. Dengan mandat semacam itu, Lembaga Syarikat telah diketepikan, peraturan pengeluaran tender sengaja diabai dan tentunya boleh dipersoal, bayaran yang tidak telus telah dikeluarkan kepada pihak tertentu.” Laporan ini sudah memadai untuk menjelaskan kenapa pihak berkuasa telah sengaja berlagak tidak kisah terhadap skandal kewangan yang paling besar dalam sejarah negara kita.
Tun Mahathir sendiri mengaku semasa sesi dialog dengan pelajar di London pada Februari 2002 bahawa kejatuhan Perwaja adalah disebabkan salah urus dan penipuan besar.
Nah! Anwar mempunyai bukti dan Mahathir adalah bahan bukti utama. Kenapa pendakwa tidak melakukan siasatan keatas mereka ini?
Bagaimanakah kita boleh meyakinkan rakyat jelata bahawa Pak Lah memang berniat ikhlas dan telus dalam menyelesaikan kemelut Perwaja sedangkan punca dan tonggak skandal itu, yakni Mahathir, tidak pun disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR)?
Rakyat cukup kesal banyak wang dihabis untuk perbicaraan mengambil masa hingga tiga tahun. Rakyat juga masih ingat bagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil kesempatan keatas pendakwaan ini sebelum pilihan raya umum 2004.
Akhirnya ia banyak memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan rakyat ketika itu bahawa pendakwaan tersebut lebih merupakan kesempatan Pak Lah untuk memulih imej beliau yang banyak bercakap tentang rasuah tetapi tidak ada pendakwaan yang dilakukan keatas kes rasuah berprofil tinggi apalagi tindakan tersebut dilakukan menjelang pilihan raya umum tersebut.
Memang dijangkakan ia menjadi modal besar Barisan Nasional (BN) ketika itu. Rakyat cukup hangat memberi kepujian kepada Pak Lah. Malah ada yang lebih terlajak mengatakan akan ada pendakwaan yang lebih hebat selepas itu melihat daripada tindakan Pak Lah.
Bagaimanapun apa yang pastinya hanya bilis yang tersangkut dijaring sebaliknya jerung tetap terlepas.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP