Maklumat alternatif berkesan sekiranya ahli PAS berperanan

>> Selasa, Julai 24, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
PEMBANGKANG dikatakan tidak mempunyai media yang pantas dan berkesan menjadikan salah satu faktor kekalahan mereka dalam pilihan raya. Televisyen merupakan media yang paling berkesan kerana boleh dikatakan setiap rumah memilikinya.
Orang tua tidak perlu keluar rumah untuk mendapat maklumat. Sudah tentu saluran pertama daftar pemilih mudah digulakan kerajaan.
Sebahagian besar pengundi pula adalah penduduk luar bandar yang sama sekali jauh mengenali internet. Kalau penduduk bandar dan orang politik tidak melayari internet sebagai sumber maklumat apa lagi bagi orang kampung. Oleh yang demikian satu pendekatan perlu diambil bagi pembangkang supaya maklumat dalam internet disebarluaskan kepada rakyat.
Tidak lain, peranan itu mesti dimainkan ahli PAS dan pembangkang. Tuntutan kepada pengorbanan terutama wang sudah semestinya dalam hal ini sebagaimana firman Allah dalam al-Baqarah, ayat 272: “Dan apa jua harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
Ahli PAS kena membeli sejumlah akhbar alternatif untuk disebarkan kepada orang ramai terutama di kedai kopi dan sebagai hadiah kepada masyarakat. Maklumat daripada internet boleh dijadikan VCD dan disebarkan. Ini menjadi lebih bermakna dan berkesan supaya PAS memastikan maklumat sampai kepada sasaran sebagaimana apa yang disuarakan bekas Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang dalam muktamar lalu di Putik, Kota Bharu.
Katanya dalam memperkasakan media penerangan parti dan menyebarkan maklumat tepat tentang perjuangan PAS, pemimpin dan ahli disaran komited membantu dan menyokong media rasmi parti. Beliau kesal banyak usaha dijalankan tidak mendapat sambutan menggalakkan.
Apa yang disuarakan oleh ustaz itu memang benar dan itulah yang dirasakan oleh penerbit akhbar altenatif. Mungkin ahli PAS memandang ia hanya menguntungkan penerbit tetapi hakikatnya berapalah penerbit yang dapat sekiranya dicampur dengan jumlah pengedar yang tidak berbayar.
Penerbitan alternatif sbelum ini baik yang ada permit atau tidak banyak di pasaran tetapi disebabkan kurang sokongan tadi maka usaha murni itu musnah begitu sahaja.
Pengarang Harakah, Saudara Lutfi Othman sudah berpengalaman dalam hal ini. Saya juga pernah menerbit tabloid tidak berpermit dan mengisi perbahasan wakil rakyat di Parlimen dimana ketika itu pembangkang lebih 30 orang tetapi sikap dingin Ahli Parlimen serta pengedar tidak bertanggungjawab maka penerbitan seumpama itu berkubur tanpa nisan.
Hanya Ahli Parlimen yang faham terutama dari Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Harun yang menempah dalam kuantiti banyak setiap kali diterbitkan untuk diedar ke kawasan beliau. Pada saya, kalaulah komited Abdul Fatah itu turut ada pada Ahli Parlimen lain, saya rasa penerbitan seperti itu mungkin boleh terus bernafas.
Semasa PAS memerintah Terengganu turut menerbitkan bahan maklumat tetapi cukup mendukacitakan akhbar dibawah kerajaan negeri itu pun terperok dalam markaz malah ikatan bundle masih suci dan tidak teragut. Apa yang dirasai Ustaz Ahmad Awang itulah yang telah dirasai penerbit alternatif.
Kita harap pengalaman itu tidak perlu diulang. Apa yang penting memastikan rakyat memperolehi maklumat. Apa cara sekalipun terletak atas bahu pembangkang bagi memastikan ia sampai kepada sasaran.
Kalau kita boleh keluarkan duit minyak untuk pergi mendengar ceramah kenapa tidak boleh berbelanja untuk sebarkan akhbar alternatif kepada masyarakat. Kenapa tidak boleh mengeluarkan belanja mencetak bahan dalam Harakahdaily untuk disebarkan kepada rakyat?

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP