Hanya sekadar bukan kaki bangku

>> Isnin, Julai 30, 2007

DIMANA masalah pada pasukan bola sepak Malaysia sehingga kini belum mampu pulih daripada keagungan di era Mokhtar Dahari dahulu. Apakah kerana persatuan bola sepak tersebut atau tidak ada rakyat yang berbakat dalam bola sepak.
Pemain bola sepak Malaysia hanya sekadar bukan kaki bangku. Tidak ada bakat semula jadi yang boleh meletakkan mereka setaraf dengan pemain Malaysia di era 70 an dan awal 80 an.
Kehebatan mereka di era tersebut boleh mengundang ramai penonton ke stadium sehingga Stadium Merdeka dirasakan sempit. Sebaliknya sekarang stadium penuh dengan kerusi yang menjadi penyokong setia pasukan bola sepak Malaysia.
Walaupun begitu kecintaan kepada pasukan bola Malaysia masih tetap wujud sekalipun banyak perlawanan menyaksikan mutu pasukan Malaysia yang turun naik. Perasaan tidak berkeyakinan untuk menang mengatasi Cina dan pasukan lain memang ada tetapi hati kecil tetap mahukan keajaiban.
Pada 10 Julai, perlawanan pembukaan bagi pasukan negara mengharungi temasya Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, bertemu dengan China.
Pengulas 'rasmi' Haji Hasbullah Awang seperti biasa banyak mengutarakan info pemain kedua-dua negara. Beliau turut berkata kepada tetamunya di studio, nampaknya bila melihat kepada Akmal Rizal, Indra Putra Mahayudin dan Hairuddin Omar negara masih memerlukan Mokhtar Dahari.
"Sesuatu harus dibuat untuk mencari ganti Mokhtar Dahari" kata Hasbullah dan beliau menyambung lagi, ia harus berlaku dalam perlawanan peringkat liga.
Hasbullah sebagai pengulas sukan tersohor pula mengatakan Mokhtar perlu dicari ganti, ini bermakna selama dua abad berlalu, sukan bolasepak negara gagal melahirkan pemain yang boleh dibanggakan.
Beliau juga menyebut beberapa pemain China yang melalui skim pinjaman pemain, dan mereka dipanggil balik setelah beraksi dalam Liga Inggeris.
China, pasukan yang pernah layak ke Piala Dunia 2002 itu mempunyai pemain berstatus bintang termasuk Dong Fangzhuo (Manchester United), Sun Jihai (Manchester City), Li Tie (Sheffield United), Shao Jiayi (Energie Cottbus) dan ketua pasukan Zheng Zhi, yang pernah beraksi secara pinjaman dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Charlton Athletic.
Negara juga pernah menghantar pemain muda ke kelab luar negara, tetapi ke mana mereka sekarang?
Negara pernah gah apabila Proton berjaya menaja jersi pasukan Norwich City. Antara pendekatan China dan Proton mana lebih berjaya?
Memakai baju tajaan Malaysia rasanya kita berjaya memberi pakai baju kepada pemain handalan luar, kalau tak pakai baju tajaan Proton pun mereka tetap handal, tetapi China tidak menghantar jersi sebaliknya menghantar anak watannya memakai jersi kelab luar, hasilnya China berjaya memakaikan anak watannya dengan jersi pasukan handalan seperti Manchester United.
China boleh dan telah membawa pulang pemain itu untuk beraksi dan hasilnya amat membanggakan serta bertaraf Manchester United, tetapi jika kita membawa balik jersi Norwich City itu ke sini, siapa pakai pun persembahannya tetap sama seperti biasa.
Nampaknya, skuad negara setelah berpuluh tahun dan dalam alaf baru ini hanya layak lahirkan jersi bertaraf dunia, bukannya pemain seperti yang dinantikan oleh seluruh peminat bolasepak!

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP