Skandal Najib: Isu rakyat bukan peribadi

>> Isnin, Julai 16, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
AKHIRNYA nipis juga telinga Najib. Tidak tahan, panas telinga dibuat Anwar. Barangkali tawaran pedas Anwar tetap menusuk lubang telinga Najib hingga jantungnya berdenyut pada skala 8 richter sebagaimana tsunami melanda Acheh.
Berlainan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi walau teruk diserang sekalipun tetap dingin. Macam tidak ada apa-apa berlaku. Ini yang melemahkan semangat pembangkang yang mudah kendur.
Pembangkang pula tidak boleh bertahan lama, cepak lentuk walaupun isu yang dibawa panas dan berkepentingan awam. Tengok sahaja isu tol dan minyak. Bantahan hanya kerja sekerat jalan. Kata sahaja demo sampai turun tetapi minyak dan tol tidak turun sebaliknya yang malas turun demo ialah pembangkang.
Pak Lah pun teruk juga dilanyak pembangkang seperti Perdana Menteri lemah, dikontrol kroni, bermewah dengan jet dan kapal layar, gagal tangani rasuah berprofil tinggi serta banyak lagi tetapi kerana telinga tebal, akhirnya pembangkang tipis semangat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas Timbalan Perdana Menteri, bukan calang orang malah berani menggunakan peledak C4 hingga mengemparkan Malaysia menuduh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, 28, rasuah pembelian kapal selam Scopean dari Perancis serta jet Sukhoi dari Rusia.
Orang lain hanya berani tuduh tetapi lain pada Anwar sehingga sanggup mencabar Najib supaya mendakwa beliau di mahkamah kerana tuduhan itu. Lagi Najib jawab bertambah garang Anwar cabar Najib supaya mengheret beliau ke mahkamah.
Ini tempat yang Najib tidak boleh tahan. Makin Najib jawab bertambah jelas menampakkan penyelewengan.
Menurut Anwar beliau mempunyai bukti berupa dokumen mengenai komisen RM400 juta pembelian pesawat dari Russia, Sukhoi yang diberi kepada bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Adip Adam dan komisen sejumlah RM520 juta (100 juta Euro) kepada Abdul Razak dalam pembelian dua kapal selam untuk Kementerian Pertahanan.

BPR dipelawa

Malah Anwar pelawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) suruh siasat beliau terhadap dakwaannya mengenai penglibatan Najib dalam skandal komisyen pembelian senjata bernilai RM920 juta. Namun ramai maklum BPR takut dengan jerung dan tidak berani berbuat demikian.
Harimau dari Jelutong iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugur, Karpal Singh pun tidak seberani Anwar. Karpal boleh mengaum di Parlimen minta Najib datang buat pengakuan di Dewan Rakyat tetapi tidak berani minta Najib seret beliau ke mahkamah walaupun mahkamah sudah menjadi tempat lali bagi beliau.
Beliau yang juga seorang peguam mencabar Najib datang ke Dewan Rakyat untuk menafikan tuduhannya mengatakan Najib terbabit dalam kes Altantuya berdasarkan penggunaan bahan letupan C4 dan pembabitan Unit Tindakan Khas (UTK) bertugas dibawah Timbalan Perdana Menteri.
“Jika tidak bersalah, saya cabar TPM datang ke Dewan Rakyat untuk menafikan tuduhan itu. Sehingga kini walaupun saya dah nyatakan tuduhan ini sebelum ini di Dewan Rakyat tetapi TPM tidak hadir bagi menafikan tuduhan itu,” ujarnya ketika meminta penjelasan semasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menggulung perbahasan Perbekalan Tambahan dibawah kementeriannya.
Bermakna bukan Anwar seorang yang perlu Najib jawab, bahkan tuduhan Karpal juga beliau kena ambil kira. Najib juga harus ingat bahawa tuduhan tersebut bukan atas sifat peribadi semata-mata tetapi lebih kepada moral beliau sebagai orang nombor dua negara.

Tidak jawab

Apakah benar telinga Najib nipis atau sekadar menepis silat Anwar. Ini kerana apa yang dijawab Najib hanya sekadar amaran terhadap Anwar. Itu pun barangkali terpaksa apabila diasak pertanyaan wartawan.
Mungkin Najib juga belajar daripada Anwar yang mengambil sikap berdiam ketika dituduh melakukan liwat dalam buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM.
Di Ijok, Najib mahu bangkit tuduhan Anwar mengikut lunas undang-undang. “Saya akan jawab soalan yang ditimbulkan… Saya dah mula jawab malam tadi,” katanya apabila ditanya pemberita semasa penamaan calon Khamis lalu.
Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ketika masuk ke tempat penamaan calon disambut dengan jeritan Altantuya dan Mongolia oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan mukanya kelihatan merah. Isterinya pula berkaca mata hitam menunjukkan isyarat orang tidak betul kepada penyokong PKR.
Kata Najib: ‘‘Jangan hendak main tipu, jangan main politik kotor. Polis tahu, Peguam Negara tahu dan Perdana Menteri pun tahu.’’
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata beliau juga boleh menggunakan kaedah yang sama untuk membongkar segala rahsia peribadi pemimpin pembangkang (Anwar) tersebut.
“Kalau saya hendak bongkar saya pun boleh buat macam itu tetapi saya tidak mahu kerana memikirkan dia mempunyai isteri dan anak.
“Jika nak lawan lawanlah, jangan sentuh soal peribadi, kita pun boleh bongkar rahsia,” katanya.
Menurutnya, Anwar yang pernah menjadi Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap kejatuhan ekonomi negara pada tahun 1998 kerana mengikut telunjuk Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ekoran tindakan itu, tambahnya, kerajaan terpaksa campur tangan bagi mengelakkan daripada negara menjadi bangkrap.
Dalam ucapan yang lain, Najib berkata beliau tidak pernah bertemu Altantuya. Katanya: “Saya hanya lihat gambarnya yang disiar oleh akhbar.”
Apa yang menambah kegusaran Najib ialah Anwar tidak takut dengan amarannya.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP