Pak Lah mengamuk sakan banjir di Kuala Lumpur

>> Sabtu, Julai 28, 2007

Adakah kerana ganggu berbulan madu atau dekat pilihan raya?
Oleh Adnan Ibrahim
BELUM hilang negara menghadapi masalah keruntuhan dan kebocoran bangunan kali ini Kuala Lumpur dilanda banjir pula. Ada yang kata banjir berlainan dengan isu bocor dan runtuh kerana ia bencana alam. Malah ada yang tambah: “Apa kena mengena dengan kerajaan... banjirkan kerana hujan lebat.”
Kali ini polemik cuba membawa isu banjir di Kuala Lumpur, 10 Jun lalu untuk dibahaskan bersama pembaca Siasah. Anda boleh memberi maklum balas tersebut dalam anggaran 450 perkataan hantar ke e-mail nanbinjai@gmail.com atau fax 03-40253307 dengan mencatatkan polemik pada sebelah atas.
Bagaimanapun menjawab persoalan yang berlegar itu, mungkin ada beberapa kemusyiklan yang boleh dibincang. Apakah guna projek Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) yang menelan belanja RM2 bilion kalau tidak mampu mengatasi banjir di bandar raya?
Apakah Terowong Smart lebih berfungsi sebagai jalan raya bagi memudahkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu `buat duit’ mengutip tol yang akan dikenakan RM2 pada 16 Jun ini? Apakah Samy ini pakar reka cipta projek kutip tol? Kalau kutip tol tempat lain kurang kuantiti kenderaan atas jalan. Jadi cipta laluan tengah bandar raya terutama jalan paling sibuk walaupun terpaksa korek perut bumi. Kemudian berpakat dengan Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar katakan ini projek Smart salirkan air dari bandar raya ke satu tempat untuk mengelak berlaku banjir.
Terowong Smart membabitkan kos yang ditanggung kerajaan sebanyak RM1.3 bilion dan RM633 juta oleh Gamuda dan Malaysia Mining Corporation (MMC). Menurut maklumat awal projek tersebut untuk mengatasi masalah banjir di pusat bandar raya tetapi sebahagian laluan itu akhirnya ditambah untuk memaksimumkan penggunaan terowong itu. Ini mungkin kena mengena dengan tol kerana kalau setakat laluan banjir daripada mana wang mahu diambil bagi menampung perbelanjaan RM2 bilion.
Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar, Datuk Azmi Khalid pula membisu bila rakyat mempertikaikan projek bilion ringgit tetapi banjir tetap berlaku di Kuala Lumpur yang membawa kemusnahan teruk. Kenapa beliau hanya muncul ketika mahu merasmikan Terowong Smart sahaja? Apabila banjir, lepas tangan dan serah kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Datuk Paduka Ir Keizrul Abdullah sahaja yang menjawab?
Sebelum ini Keizrul berkata: “Laluan air itu dibina untuk mengatasi banjir kilat yang sering menganggu pusat bandar raya dengan mengalirkan lebihan isipadu air dari Sungai Klang dan Sungai Ampang.”
Selepas banjir Ahad lalu pula beliau berkata Terowong Smart hanya mengalirkan air banjir dari Sungai Klang ke Sungai Kerayong untuk disimpan di kolam khas, tetapi ia tidak dapat mengatasi masalah lebihan air ketika hujan lebat di Sungai Gombak.
Sungai Gombak bergabung dengan Sungai Batu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kemudiannya bercantum di Sungai Klang di bawah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek.
Secara logik apabila isupadu air berkurang di Sungai Klang bermakna aliran dari Sungai Gombak terus lancar ke tersebut. Maka air tidak melimpah di bandar raya Kuala Lumpur. Mesti ada yang tidak kena dengan projek RM2 bilion sehingga tidak mampu membuat aliran sungai itu lancar menyebabkan banjir berlaku sama teruk pada 2003 sebelum Terowong Smart siap.
Ini bertentangan kenyataan Pengurus Besar Projek Terowong Smart, Ooi Boon Keng, semasa pembinaan itu laksanakan. Beliau berkata terowong 9.7 kilometer itu akan membantu mengurangkan kira-kira 50 peratus banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur.
Sementara itu, dalam tinjuan pendapat ramai sebuah akhbar harian mengatakan banjir di Kuala Lumpur dapat diatasi dengan membersih dan membesarkan sungai iaitu sebanyak 46.1 peratus berbanding undi lima peratus kepada pendapat lebih banyak Terowong Smart dikorek. Itulah kekecewaan yang ditunjukkan rakyat hasil daripada keangkuhan projek RM2 bilion dan membesarkan perut kroni pihak yang terbabit.
Dalam dunia siber pula ada yang sempat bergurau mungkin hujan turun lebat meraikan perkahwinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi kerana kebiasaannya orang kampung berkahwin musim hujan. Kalau sebelah Pantai Timur pada musim tengkujuh. Orang kampung tiada kipas atau penyaman udara jadi musim tersebut jadi sasaran.
Bagaimanapun Pak Lah tidak mengira itu semua kerana mahligai di Putrajaya penuh dengan air-con. Sebaliknya ada pulak berbisik hujan tersebut mungkin memujuk hati Pak Lah supaya merasai dan menjiwai budaya orang kampung berkahwin.
Namun yang pastinya nasib Pak Lah kurang baik kali ini kalau hujan yang diharap banjir yang datang. Sudah diberitakan majlis kahwin asyik tertangguh, hari meraikan bulan bermadu pun jadi pahit. Beliau dikatakan marah sungguh dan terpaksa turun ke bandar raya membelakangkan dahulu kenangan indah semata-mata hendak menjaga hati rakyat memandangkan banjir di Kuala Lumpur dekat dengan tarikh pilihan raya umum berlainan banjir di Johor beliau boleh bersenang di Australia.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP