Runtuh, bocor: Apakah sudah jadi budaya?

>> Sabtu, Julai 28, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
ISU runtuh dan bocor cukup panas sejak akhir ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja akhbar melaporkan seolah-olah semacam menjadi budaya di negara ini.
Terbaru Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang menelan belanja RM468 juta tetapi siling di bilik penyusuan di bangunan itu yang baru siap Julai tahun lalu didapati runtuh.
Kejadian siling runtuh turut berlaku di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dan bangunan kerajaan di Putrajaya. Bangunan retak, paip air pecah dan bumbung bocor menjadi laporan harian kepada akhbar utama negara.
Apa yang paling memalukan ialah bila bangunan Parlimen yang baru sahaja diubahsuai pada 2005 menelan belanja RM90 juta turut bocor. Kerja ubah suai turut dilakukan pada 2003.
Pembangkang turut membawa usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1p) iaitu membabitkan hak dan kebebasan ketika kejadian, semasa Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) membahaskan Rang Undang-undang Antipemerdagangan Orang 2007. Usul itu dibawa Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching).
Bagaimanapun, usul Chong dipertikai oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Lim Si Cheng kerana tidak relevan dengan peraturan mesyuarat yang diguna Chong.Tambahan pula, kata Lim, perkara itu sedang diambil tindakan oleh pihak bertanggungjawab.
Pembangkang yang tidak berpuas hati cuba membantah dan berlaku “perang mulut” dengan penyokong kerajaan yang menyokong keputusan Lim.
“Ini membabitkan keselamatan anggota Parlimen dan mesti dibincang,” kata Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menyebabkan suasana semakin riuh apabila penyokong kerajaan beramai-ramai menempelak Kit Siang.
Apa yang melucukan beberapa ahli Parlimen membahaskan perbelanjaan yang berkait Parlimen pada akhir tahun 90 an turut menegur masalah kebocoran dan keselamatan bangunan Parlimen. “Ha! Tu atas kepala Yang Dipertua, kalau jatuh tu boleh bawa meninggal, naya tak pasal-pasal.” Ucapan seorang ahli Parlimen itu ditunjukkan kepada bentuk kun seumpama stalagmit pada gua batu kapur di atas tempat terletaknya kerusi Speaker Parlimen.
Persoalannya bagaimana ubah suai bangunan tersebut yang menelan belanja RM90 juta tetapi tidak sampai lima tahun berlaku kebocoran. Kalau atap daun nipah diguna oleh orang Melayu ketika dahulu mampu bertahan dua tahun dengan kos yang kecil mengapa perbelanjaan besar itu tidak mampu memberi ketahanan berpuluh-puluh tahun?
Apakah kejuruteraan Kementerian Kerja Raya hanya setanding orang kampung buat atap daun nipah? Cat ICI boleh memberi jaminan ketahanan produknya hingga lima tahun dalam iklan di televisyen. Apakah ICI lebih baik kejuruteraannya daripada Kementerian Kerja Raya?
Keadaan ini cukup membimbangkan rakyat Malaysia. Kita hidup dalam suasana yang sentiasa berwaspada. Berhati-hati di jalan raya kerana takut berlaku kemalangan atau dilanggar kenderaan. Sentiasa berwaspada dijalanan kerana dibimbangi menjadi mangsa ragut dan perompak.
Di bangunan juga kita perlu berhati-hati apabila berjalan kerana dibimbangi terjatuh disebabkan air boleh melimpah di lantai bila-bila masa. Mata dan telinga kita mesti sentiasa cergas untuk menangkap bunyi keruntuhan.
Budaya berwaspada dan berhati-hati sudah cukup menekan rakyat kita ditambah lagi dengan budaya keruntuhan dan kebocoran bangunan serta jalan raya dan jambatan.
Apakah keruntuhan dan kebocoran kepada bangunan serta jambatan di negara ini sudah menjadi budaya?
Sekiranya ia menjadi budaya kepada negara kita tentu akan menjadi satu masalah kerana keruntuhan dan kebocoran boleh berlaku kerana adanya penyelewengan, rasuah dan kecuaian dalam projek yang berbelanja besar.
Namun begitu kita mengharapkan supaya tidak berlaku malapetaka sebagaimana keruntuhan kondominium Highland Tower, di Ampang pada 11 Disember 1993 yang menyebabkan 53 orang maut.
Kita juga tidak mahu kejadian seumpama keruntuhan jambatan di Korea Selatan pada 22 Oktober 1994 sehingga 32 orang terbunuh. Bagaimanapun sikap menteri berkaitan meletak jawatan kerana mengambil tanggungjawab sepatutnya diambil contoh oleh menteri di negara ini.
Kita mengharapkan siasatan bebas dalam masalah keruntuhan dan kebocoran ini kerana keruntuhan pasaraya di Korea yang menyebabkan 100 orang mati pada 30 Jun 1995 terdapat unsur penyelewengan dan rasuah.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP