Demontrasi ganti kempen pilihan raya?

>> Selasa, Julai 24, 2007

Oleh ADNAN IBRAHIM
MELIHAT kepada laporan akhbar tentang pelancaran jentera pilihan raya Umno serta jawaban `ya’ Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kenaikan gaji 1.2 juta kakitangan perkhidmatan awam walaupun yang pastinya sehingga kini ia masih diperingkat kajian, memperlihatkan pilihan raya akan diadakan tahun ini juga.
Paling awal kemungkinan dalam bulan Julai dan ada berpendapat September ini. Umno mengumumkan penangguhan pemilihan pemimpin kali ini dan diikuti parti pembangkang DAP. Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Ijok menambah lagi khabar angin pilihan raya akan diadakan awal.
Walaupun cadangan awal gaji kakitangan awam telah dikemukakan namun kerajaan hanya menjawab sedang mengkaji. Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan semakan semula gaji kakitangan awam dengan kenaikan antara 10 dan 40 peratus memandangkan kali terakhir semakan dibuat adalah pada 1992.Cuepacs mencadangkan kenaikan 40 peratus untuk kumpulan sokongan II (Gred 1 hingga 16) yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam manakala 30 peratus bagi kumpulan sokongan I (Gred 17 hingga hingga 40).Bagi kumpulan pengurusan dan profesional (Gred 41 hingga 54), Cuepacs mencadangkan kenaikan sebanyak 20 peratus manakala bagi Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) pula sebanyak 10 peratus.Walaupun ada cadangan dan saranan itu, Pak Lah masih menunggu laporan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan belum mampu mengumumkan secara detail.
DAP pula mengumumkan akan bertanding di 54 kerusi Parlimen manakala 115 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan memberi tumpuan kepada Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.Itu kata Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.
Malaysia mempunyai 219 kerusi parlimen. Pada pilihan raya 2004 yang lepas, hanya kerusi negeri di Semenanjung dan Sabah yang dipertandingkan iaitu 567 kesemuanya. Pilihan raya negeri Sarawak diadakan berasingan.Pada pilihan raya umum 2004 itu, DAP bertanding bagi 44 kerusi parlimen dan 104 kerusi negeri dan menang 12 kerusi parlimen serta 15 kerusi negeri.Pembangkang akan terus menyertai pilihan raya umum kali ini walaupun mengetahui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan perubahan dan tidak ada janji daripada SPR bahawa pilihan raya akan dijalankan secara telus sebagaimana amaran pembangkang kepada SPR ketika memboikot pilihan raya kecil Dun Batu Talam.
Pembangkang mungkin teruja dengan perkembangan politik di Thailand. Sebaliknya boikot di Thailand adalah pilihan raya umum. Ini menunjukkan pembangkang Thailand tidak ada kepentingan politik tetapi mahu memastikan survival politik Thailand selamat daripada pemimpin rasuah Thaksin.
Sebaliknya pembangkang di negara ini seolah ada kepentingan yang dipertahankan dalam masa menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa pemerintahan Umno.
Inilah yang mungkin menyukarkan pembangkang untuk bertindak lebih drastik memboikot pilihan raya umum.
Namun begitu ada perancangan sepakat pembangkang terutama PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebalik gagal boikot pilihan raya iaitu menyertai pilihan raya dan juga berdemontrasi di jalanan.
Kemungkinan ini satu perkembangan menarik selepas bertahun pembangkang asyik mengalah dan asyik kena tipu dalam menyertai pilihan raya.
Sebelum ini petugas parti diingatkan jangan melakukan kekacauan dan huru-hara takut dibimbangi kerajaan mengisytiharkan darurat yang hasilnya pembangkang menggigit jari.
Malah tahun lepas pembangkang ditipu SPR yang membuat peraturan kesalahan pilihan raya tetapi akhirnya pembangkang tertipu.
Mungkin boikot tidak berjaya tetapi diharap strategik ini memberi keuntungan kepada pembangkang walaupun pengisytiharan darurat boleh berlaku.
Bagaimanapun sejauhmana demontrasi jalanan itu boleh membawa kepada darurat? Apakah pembangkang sudah bersedia kearah itu? Bagaimana pelaksanaannya? Apakah demontrasi jalanan ganti kempen pilihan raya? Dan banyak lagi persoalan yang akan timbul. Tunggu dan lihat perkembangannya.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP