Semua pihak mahu naik harga

>> Jumaat, Ogos 03, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
NAMPAKNYA sendiwara menaikkan harga barangan keperluan harian semakin menjadi-jadi. Rakyat semacam dipertololkan pihak berkuasa. Selepas kejayaan tepung gandum menaikkan harga sebanyak 15 sen kepada RM1.35 syarikat monopoli beras pula mahu bersilap mata.
Polemik kali ini mendedahkan bagaimana golongan peniaga baik konglomorat dan peniaga kecil mengambil kesempatan menaikkan harga dengan apa cara sekalipun malah termasuk muslihat tertentu. Anda boleh memberi maklum balas tersebut melalui SMS 0133354513, e-mail adnanbrahim@hotmail.com atau fax 03-40253307 dalam anggaran 450 perkataan. Catatkan polemik pada sebelah atas.
Sebelum itu gula juga berjaya naikkan selepas berlaku tarik tali antara pengeluar dan kerajaan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal tetap lawan dengan tindakan pengeluar menyorok gula. Beliau import gula dikatakan sampai ke Brazil tetapi akhirnya harga gula tetap juga naik.
Nasib sama turut berlaku kepada minyak kelapa sawit bungkusan sekilo. Agaknya cara ini mungkin menjadi langkah terbaik bagi pengilang mahu menaikkan harga barangan mereka. Beri tekanan kepada kerajaan.
Ada yang mempersoalkan benarkah kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan gaji kakitangan perkhidmatan awam? Mungkin ada kebenaran kerana peniaga sudah tentu mengambil kesempatan. Kenaikan gaji itu sudah tentu boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan mereka. Caranya menaikkan harga barang. Baru dikatakan berlaku pengagihan pendapatan.
Saya baru-baru ini minum di restoran dekat Masjid Jamek Sungai Mulia. Apabila membayar teh tarik yang kebiasaannya berharga RM1 tetapi diminta membayar RM1.05. Saya hairan kerana selalu juga minum di restoran Haslam yang pada pendapat saya lebih hebat daripada kedai minum tersebut cuma dibayar RM1. Dalam hati saya adakah teh di sini sudah naik 5 sen. Oleh kerana ada desakan halus suruh bertanya, saya terpaksa luahkan juga: “Harga teh tarik RM1.05?” “Ya,” jawab juruwang. “Naik lima sen?” tanya saya balik. “Caj...cukai,” balasnya ringkas.
Peristiwa ini menyebabkan saya terfikir apakah peniaga restoran tidak ada taraf bintang sudah pandai mengenakan caj hasil daripada pengetahuan mereka apabila syarikat besar memperdayakan pelanggan dengan pelbagai caj bila mahu menaikkan harga barang dan perkhidmatan.
Seperti perkhidmatan feri dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi dinaikkan sebanyak RM2 menjadikan RM20. Bila ada bantahan mereka berkata tambang tidak naik tetapi dikenakan surcaj sebanyak RM2.
Jadi tidak hairanlah kalau peniaga kecil pun sudah pandai bermain seloka dengan harga kerana pada mereka orang besar lagi hebat caj yang dikenakan.
Surcaj sebanyak RM2 dikenakan itu atas alasan bagi menampung kos berikutan kenaikan harga diesel baru-baru ini. Ketua Bahagian Pengurusan (Kuala Kedah) syarikat Line Ventures, Hussin Hassan berkata surcaj itu bagi menampung kenaikan harga diesel dan alat ganti feri.
“Keputusan mengenakan surcaj itu keputusan para pengusaha feri dan bukan atas arahan kerajaan. Hasil perbincangan antara pengusaha, kami sepakat mengenakan surcaj itu kerana kos operasi yang tinggi,” katanya
Bagi kakitangan awam, alasan Hussin itu menjadi hujah kepada mereka bahawa kenaikan harga barang dan perkhidmatan bukan kerana kenaikan gaji sebaliknya ia berpunca daripada kenaikan harga diesel.
“Dah jelas punca kenaikan harga berpunca dari kenaikan harga diesel. Cuma kerajaan sengaja menyalahkan peniaga sedangkan banyak peniaga yang menggunakan diesel sebagai bahan asas perniagaan mereka merungut sejak dua tahun ini kerana masalah kos operasi yang tinggi.
Kita diputar belitkan dengan alasan bahawa kenaikan harga barang berpunca daripada kenaikan gaji kakitangan awam dan sesungguhnya alasan itu tidak munasabah langsung...” kata seorang pekerja kerajaan.
Berhubung cubaan menaikkan harga beras tadi, alasan yang diberikan sama dengan cara harga tepung naik.
Kalau tepung kononnya negara pengeksport tepung, New Zealand dan Australia dilanda kemarau menyebabkan berlaku kenaikan harga tepung di pasaran dunia.
Tambah pulak Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusuf Abdul Rahman dalam satu siaran televisyen pada sebelah pagi seolah memperakui kenaikan tepung kerana sudah lama tidak dinaikkan sejak 1998.
Apakah kita boleh mengharap harga tepung turun apabila bencana dan harga tepung pulih di pasaran?
Kenapa Yusuf langsung tidak mengambil kira keuntungan yang diperolehi pengeluar akibat daripada pertambahan penduduk rakyat Malaysia dari 1998 hingga sekarang. Keuntungan kecil daripada produk tetapi kuantiti jualan bertambah tetap memberi margin keuntungan kepada pengeluar.
Alasan yang sama juga digunakan oleh Bernas. Khamis (5 Julai) lalu, Bernas mengumumkan kenaikan harga beras putih tempatan, wangi dan basmati yang diimport antara 5 hingga 10 sen sekilogram serta 20 sen bagi beras pulut dengan alasan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa meningkat sejak 2005.
Bagaimanapun pandai pula Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab mempertahankan hak pengguna tidak seperti kes tepung itu. Katanya, soal kenaikan harga beras di pasaran global adalah perkara biasa dan tidak seharusnya menjadi faktor utama untuk menaikkan harga beras.
Kerajaan kemudiannya mengumumkan membatalkan kenaikan tersebut.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP