Amalan dan iklan hormat tugu syirik

>> Jumaat, Ogos 17, 2007


Oleh Adnan Ibrahim

BERDASARKAN kepada fatwa para ulama bahawa amalan meletakkan kalungan bunga sebagaimana yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta penyiaran iklan di televisyen menghormati Tugu Negara mesti dihentikan kerana ia diputuskan boleh membawa kepada syirik.

Memandangkan Abdullah orang yang dihormati, pemimpin kepada sebuah negara, cucu kepada ulama besar dan terkenal dengan Islam Hadhari maka perbuatan tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh mempengaruhi orang ramai terutama umat Islam bahawa tingkah laku tersebut seolah tidak diharamkan.

Begitu juga dengan iklan letak kalung bunga dan hormat tugu di televisyen sempena 50 merdeka ia boleh mempengaruhi ramai umat Islam terutama kanak-kanak dikatakan perbuatan itu baik dan tidak menyelahi agama.

Firman Allah dalam surah al-Maaidah, ayat 90: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Fatwa Mufti Pulau Pinang mengatakan bahawa tiupan dan bertafakur dengan menundukan kepala selama 20 saat dengan meletakan kalung bunga ditugu, bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan, tetapi dengan syarat tidak dilakukan dihadapan tugu, atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak kerana semua ini adalah upacara agama juga.

Fatwa Mufti Pahang di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu: “Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan.”

Fatwa Mufti Perlis bahawa berdoa di tugu peringatan adalah ditegah oleh syara' dan hukumnya haram kerana perbuatan seumpama itu termasuk dalam larangan firman Allah, surah al Maidah ayat 90 tadi.

Keterangan: “al-Ansab” dalam ayat itu maknanya batu orang jahiliyah sembelih korban disisinya dan beribadat kepadanya. Berdoa adalah ibadat, berdoa di batu tugu peringatan sama seperti orang jahiliyah beribadat di al-Ansab yang dimaksudkan dalam ayat 90 tersebut.

Sementara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-19 pada 6 dan 7 Oktober 1987 bertempat di Dewan Syura, Tingkat 11, Pusat Islam, Kuala Lumpur yang didedahkan dalam laman web turut memutuskan boleh membawa kepada syirik dan dilarang oleh syarak.

Hujah ini diambil berdasarkan maklum balas kertas kerja yang dibentangkan dan juga penjelasan Sahibul Fadhilah Kol. Haji Abdul Hamid Zainal Abidin seperti berikut:

A) Penubuhan Angkatan Tentera Malayai (ATM) adalah atas model Angkatan Tentera British (ATB) boleh dikatakan sebahagian besar mengenai undang-undang, peraturan-peraturan, adat resam dan tradisi yang dipraktikkan oleh ATM tidak banyak berbeza dengan apa yang dilaksanakan oleh ATB. Oleh itu tidak dinafikan terdapat banyak perkara yang terpengaruh dengan ciri-ciri penjajah yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam.

B) Di antara sekian banyak amalan tradisi yang berbau ciri-ciri penjajah tetapi masih kuat dipertahankan ialah Hari Kenangan Rakan Seperjuangan yang diraikan di Tugu Negara dengan atur caranya yang tersendiri. Sebenarnya kenangan ini hanya disambut setahun sekali sempena menyambut Hari Ulang Tahun ATM. Ucapara ini merupakan salah satu daripada perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam yang masih diamalkan dalam ATM sekarang ini. Untuk menghapuskan segala perkara ini memerlukan kesabaran dan memakan masa yang agak panjang dan usaha ini perlu dibuat supaya ATM akan bersih daripada sebarang kemungkaran. Kerana kemungkaran itu boleh melemahkan kedudukan ATM dan negara ini sendiri.

C) Upacara ini sepertimana yang dijelaskan dalam kertas kerja ini merupakan satu upacara yang mengandungi ciri-ciri yang nyata bertentangan dengan akidah Islam dan masih kuat dipertahankan oleh pihak ATM, terutama oleh pegawai peringkat atasan dengan alasan ia adalah satu tradisi yang perlu dipertahankan.

D) Di akhir-akhir ini telah timbul suasana keresahan di kalangan sebilangan anggota tentera yang telah menyedari bahawa upacara ini adalah tidak Islam, menyebabkan mereka merasai serba salah. Berbagai cara telah dilakukan oleh mereka bagi mengelakkan diri daripada menghadiri upacara tersebut.

Muzakarah telah mengambil ingatan terhadap pandangan yang dikemukakan oleh para ahli seperti berikut:

a) Upacara Hari Kenangan ini adalah mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah Islam dan membawa kepada syirik.

b) Oleh kerana upacara ini nyata bertentangan dengan akidah Islam, maka hendaklah dicadangkan kepada Kementerian Pertahanan supaya upacara ini ditiadakan dan diganti dengan upacara tahlil.

c) Aturcara yang tidak menyalahi dengan syarak yang terdapat dalam upacara ini seperti pembacaan sajak bolehlah diteruskan. Aturcara ini boleh disusun dengan lebih baik dan diperbesarkan lagi, misalnya dengan menjemput penyair yang terdapat di negara bagi mendiklimasikan sajak yang boleh menaikkan semangat perjuangan dan seumpamanya.

d) Selain daripada upacara ini terdapat banyak lagi upacara yang perlu difatwakan umpamanya tos semasa minum ucap selamat dan lain-lain lagi. Perkara tersebut bolehlah dibawa kepada Jawatankuasa ini dari semasa ke semasa.

Muzakarah telah mengambil keputusan bersetuju iaitu:

a) Amalan seperti tiupan `Last Post’ bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan `Rouse’ yang dilakukan dihadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan oleh Angkatan Tentara Malaysia adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

b) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Sementara maklumat daripada laman web soal jawab agama mendedahkan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-9 turut membuat keputusan yang sama.

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP