Oleh ADNAN IBRAHIM
ADA beberapa perkara besar yang menunjukkan Malaysia masih jauh ketinggalan hikmah daripada peristiwa Nuri terhempas di Genting Sempah, Genting Highlands, pada 13 Julai lalu.
Namun sebelum itu, saya dan rakyat Malaysia sungguh sedih dan hanya mampu menzahirkan takziah kepada keluarga ke enam anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat helikopter Nuri di Genting Sempah, Genting Highlands yang berjaya dikesan, 17 Julai itu.
Setelah 18 siri Nuri terhempas, baru Kabinet pada Rabu lalu bersetuju membeli pesawat baru bagi menggantikan helikopter tersebut yang sudah digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hampir 40 tahun lalu.
Sementara menunggu pesawat baru, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam masa dua setengah hingga tiga tahun, tentera akan terus menggunakan Nuri.
Kita sering dihebahkan bahawa banyak kemajuan yang dicapai sebagaimana pelancaran setelit dan lain-lain sehingga rakyat cukup kagum dengan hasil pencapaian pemimpin yang membawa Malaysia ke arah negara maju.
Sebaliknya pada hakikat sebenar peristiwa Nuri itu mendedahkan kepada kita segala-galanya tidak lebih hanya merupakan propaganda pemerintah yang bertujuan mengekalkan kuasa mereka pada setiap kali pilihan raya.
Apa yang jelas ialah pencarian pesawat terhempas tersebut sehingga lima hari menunjukkan kepada kita betapa lemah sistem satelit yang selama ini dihebahkan pelancarannya berkali-kali.
Apakah satelit kita hanya setakat untuk hiburan atau cuma mengesan kenderaan kecurian? Bukan itu sahaja kita berbelanja besar dengan Maxis melancarkan satelit tetapi apa hasilnya?
Jika inilah hasil satelit kita kerajaan kena teliti boya yang kita habiskan berjuta ringgit pasang ditengah laut sebagai alat mengesan thunami selepas negara kita turut merasa kesannya pada 2004 itu sama ada berfungsi atau sebaliknya.
Jika tidak sekali lagi kita menghabiskan wang dan sombong dengan kehebatan sebaliknya teknologi kejuruteraan kita tidak sehebat mana.
Kerajaan kena ingat peristiwa banjir 10 Jun mendedahkan kepada kita bahawa projek RM2 bilion yang dikatakan mampu mengurangkan 50 peratus masalah banjir di Kuala Lumpur sebaliknya hujan lebat pada hari tersebut menceritakan segalanya.
Bagi saya usia Nuri itu bukan sangat menjadi faktor untuk kita bertekak dengan Timbalan Menteri tetapi sejauh mana ATM berjaya melahirkan kepakaran kejuruteraan dalaman sebagaimana Iran mampu membaik pulih pesawat lama mereka walaupun Amerika Syarikat tidak membekalkan alat ganti pesawat pejuang Northrop.
Pesawat ini juga dikatakan masih digunakan tentera Singapura tetapi negara ini masih mendapat alat ganti daripada Amerika.
Tentera Udara Iran semasa rejim Shah Iran mempunyai 166 buah pesawat F-5E/F tersebut tetapi selepas Iran diisytiharkan Republik Islam pada 1979, Amerika Syarikat menyekat bekalan alat ganti kepada negara itu.
Sebaliknya Iran secara berdikari mampu melahirkan teknologi dan kepakaran kejuruteraan dalaman. Mereka sendiri mengubahsuai pesawat yang berusia lebih 30 tahun itu dan sehingga sekarang ia masih boleh digunakan lagi.
Kepakaran mereka mengubahsuai itu sehingga berjaya menghasilkan jet pejuang yang lebih hebat daripada F-18 Amerika Syarikat, dinamakan Saegheh atau kilat.
"Pesawat pengebom Saegheh itu sama seperti F-18 tetapi jauh lebih kuat. Reka bentuk dan keupayaannya dipertingkatkan oleh pakar Iran sendiri. Kami yang merekabentuk dan menghasilkannya dengan usaha sendiri. Tiada negara asing terbabit membantu usaha itu,” kata pegawai kanan tentera Iran, Jeneral Attollah Salehi sebagaimana dilaporkan Irna.
Dimana kehebatan negara kita yang kita heboh dan jaja ke ceruk kampung dan dunia.
Pernah alim ulama kita secara tidak bermaruah mengatakan bahawa negara Islam mundur tidak mampu merekacipta jet pejuang malah mahu naik haji pun menaiki kapal terbang yang dicipta oleh negara maju (Barat) ketika Amerika memerangi Iraq sebagai dalih kepada seruan umat Islam supaya berjihad.
Sebaliknya negara yang dilaungkan oleh ulama ini sampai sekarang tidak mampu melahirkan kepakaran sama ada mengubahsuai apalagi mahu merekacipta. Apa yang nyata negara ini sering diselubungi rasuah dan korupsi atau apakah kepakaran kita hanya mampu mencipta payung untuk Nuri atau pesawat lain supaya ia tidak terhempas maka jatuhlah ia seperti penerjun udara?
-
0 comments:
Catat Ulasan