Pak Lah lemah pembangkang lagi lemah

>> Jumaat, Ogos 24, 2007

Oleh Adnan Ibrahim
KETIKA pembangkang memperkatakan `lemah’ Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, media massa serta dunia siber menyiarkan gambar Pak Lah bersalam dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambarkan jiwa besar beliau.
Pada awal Ogos ini juga, Perdana Menteri dikatakan merestui pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Imam Khalifah Besar Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia.
Tegas Setiausaha Agung pertubuhan itu, Cikgu Majid Mat Isa: “Orang nombor satu negara (Pak Lah) memberi lampu hijau kenapa pula ada sekumpulan lain lebih sudu dari bubur."
Beliau memuji sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, semasa pertemuan singkat dalam majlis di Balik Pulau baru-baru ini di mana beliau sendiri menyarankan dilakukan asalkan bermanafaat.
Ujarnya, beliau menafikan pandangan sekelompok kepimpinan negara dan Umno yang khuatir Anwar mempengaruhi supaya menyokongnya dalam pilihan raya umum yang dijangkakan tidak lama lagi.
Pada mula saya mendapat laporan perlantikan Anwar itu, teringat peristiwa bagaimana Rasulullah saw berdoa: "Ya Allah! Kuatkanlah Islam dengan salah satu yang lebih Engkau cintai di antara dua orang ini. Dengan Abu Jahal atau dengan Umar bin al-Khathab."Maka Allah kabulkan doa beliau. Umar masuk Islam. Kemudian Islam menjadi kuat dengannya. Setelah keislaman Umar, kaum muslimin dapat solat di Masjidil Haram. Padahal sebelumnya mereka tidak mampu melakukannya.
Umar terkenal dengan pemuda gagah berani menjadikan umat Islam lebih izzah iaitu ada harga diri. Dakwah Islam turut bertukar daripada cara sembunyi kepada terangan. Kata-kata berani Umar: “Ya Rasulullah! Bukankah kita ini dalam kebenaran, lantas buat apa kita sembunyi-sembunyi?"
Apakah gelaran yang diterima Anwar itu membuka ruang untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah pengaruh? Diharap dengan gelaran ini juga sekurangnya peluang untuk Anwar berceramah dan menemui rakyat lebih mudah tanpa halangan dari golongan samseng ala mafia.
Peristiwa pilihan raya kecil Ijok pada April lalu banyak mendedahkan pergaduhan Barisan Nasional (BN) dengan PKR. Banyak kawasan yang dikuasai Umno sukar ditembusi PKR kerana gengsterisme.
Saya ada menemui beberapa pemimpin PKR yang melahirkan kegusarannya dengan penglibatan kumpulan `tiga line’ atau kumpulan dikatakan berlambangkan Pakida dalam memberi sokongan kepada BN di situ.
Pada mula saya agak tidak faham tetapi daripada ulangan dan sikapnya bersungguh menunjukkan SMS yang menyatakan `tiga line’ menyokong BN menyukar PKR untuk menang, barulah saya faham ada unsur mafia memberi sokongan padu pada BN.
Oleh kerana itu, saya tidak hairan enam pemuda PAS di kepung dan dipukul oleh 20 pemuda BN dalam pilihan raya tersebut.
Bila ahli PKR menceritakan penguasaan `tiga line’ terutama dalam Umno kawan saya ada juga mencelah, katanya: “Saya `lima line’. Tiga line kita tak pakailah.”
Selepas bersurai daripada kumpulan PKR saya sempat bertanya kawan yang mencelah itu: “Kumpulan mana pulak lima line?”
Secara senyum sinis mungkin sindiran kepada kumpulan tadi yang nampak sangat gementarnya kepada `tiga line’, berkata: “Kumpulan Islam! Satu mengucap dua kalimah syahadah, dua solat...(Merujuk rukan Islam)”
Penerangan kawan saya itu mengingatkan bagaimana Allah mengajar umat Islam supaya tidak bergantung harap kepada makhluk. Walaupun Umur digeruni musuh tetapi dalam peristiwa hijrah, Umar tidak bersama Nabi. Sebaliknya Allah memilih Abu Bakar. Para ulama berpendapat inilah hikmah Allah untuk membentuk Nabi supaya tidak bergantung kepada makhluk tetapi sentiasa mengharapkan pertolongan Allah.
Peristiwa hijrah itu mendidik kita kearah tersebut supaya tidak gerun dengan musuh Allah, menghapuskan perasaan kecewa dan hilang keyakinan bila menerima kekalahan.
Kena ada kecekalan, jangan wujud perasaan penyesalan bila ada yang tidak mahu mendengar seruan kita. Sifat penakut memang ada pada manusia. Itu memang tidak boleh elak tetapi jangan sampai kita syirik.
Kerana itu orang Islam mesti ada kepercayaan dan keyakinan bahawa yang bathil tetap akan tumbang. Islam akan memang. Masalahnya kita menghadapi pemimpin lemah tetapi kita lebih lemah daripada yang lemah. Seperti kata mamak kedai: “Pak Lah lemah pembangkang lagi lemah.”
Pembangkang dilihat lesu tidak mampu menggerakkan rakyat supaya bangkit dalam kesedaran politik. Sebaliknya dalam `lemah’, PM telah cuba menyambung saliraturrahimnya dengan Mahathir dan Anwar. Bagaimanapun Mahathir jelas menyatakan pendirian tetap mengkritik Pak Lah. Cuma kita tunggu bila lagi Pak Lah akan bertemu Tengku Razaliegh?

0 comments:

Catat Ulasan

Jaringan

  © Blogger template AutumnFall by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP