Oleh: Adnan Ibrahim
APAKAH akan ada hero di Malaysia sebagaimana dalam filem Hindi untuk menyelamatkan negara India daripada jenayah ala mafia yang mendapat perlindungan kepimpinan politik, jabatan kerajaan terutama pasukan keselamatan dan sebagainya.
Ada setengah pendapat mengatakan filem walaupun tidak berapa logik tetapi tema atau jalan cerita menggambarkan perkara yang benar berlaku sekiranya filem itu bukan berunsur fantasi.
Pembuat filem Hindi terutamanya mahukan kesudahan yang mendedahkan kebenaran disebalik pergolokan dalam jalan cerita.
Sekiranya ini yang diambil kira maka jalan cerita Malaysia yang melibatkan siasatan rasuah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Zulkifli Mat Noor mungkin masih panjang dan belum sampai kepada penamat kerana kebenaran dirasakan belum muncul.
Kalau Musa tidak bersalah dan beliau dikatakan difitnah tetapi pembuat fitnah tidak tertangkap atau disiasat maka keadilan kepada semua pihak tidak tercapai.
Begitu juga pihak yang membuat laporan terdapat rasuah dan penyelewengan Zulkifli terutama Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Nor bersedia untuk disiasat.
Jadi jalan cerita ini masih menarik mungkin panjang lagi mahu tamat. Biasalah kalau sudah tengok filem ramai-ramai, selagi cerita belum habis kena ada pengulas, baru seronok. Alih-alih saspens belum lagi kemana, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minta jangan diungkit lagi oleh mana-mana pihak. Orang kata klimaks separuh jalan tidak puas. Ada orang sanggup mati untuk habiskan kepuasan.
Jadi permintaan PM itu tidak kena pada tempatnya. Biarlah berlaku seadilnya dan mendedahkan kebenaran baru kita tutup wayang. Jika tidak apa kata saudara kita Ezam. Apakah dia tidak teraniaya kerana dituduh membuat laporan yang tidak berasas. Beliau boleh didakwa kerana laporan palsu.
Begitu juga dengan bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan. Mana dia mahu letak muka bila didakwa buat tuduhan tidak berasas. Takkan orang seperti Ramli tidak tahu hukuman berat ke atas mereka yang membuat laporan palsu.
Sebagai rakyat yang bersedia berkorban membersihkan nama baik negara sepatutnya dijaga kemuliaan mereka. Sebab itu siasatan yang sangat terperinci mesti dilakukan kerana ia melibatkan nama baik seseorang.
Kita rasa Ezam dan Ramli tidak mahu dituduh pemfitnah kerana dia tahu hukum Islam. Berat azab Allah nanti kalau cuba membuat fitnah terhadap seseorang. Kalau kita buat aib orang, Allah akan dedah aib kita. Hukum Allah kena ambil kira. Lainlah kalau PM rasa dia cucu ulama yang diberi keistimewaan.
Tetapi kalau ada tanggapan seperti itu ia sudah mencapai taraf paderi yang pinda hukum Allah dalam kitab Injil. Macam juga para rahib Yahudi yang rasa hukum Allah tidak kena pada mereka.
Peristiwa agung dalam Islam ada dinukilkan dalam sirah nabi, ketika ada seorang wanita mencuri, kerana wanita itu merupakan wanita bangsawan, muncul tuntutan sekelompok orang supaya hukumannya digugurkan agar tidak menjatuhkan kewibawaannya. Dengan marah Nabi menjawab: "(Jangankan wanita ini) kalau sahaja Fatimah binti Muhammad mencuri, tentulah aku akan memotong tangannya." (Hadis riwayat Imam Ahmad, Muslim dan An-Nasa’i).
Jangan kerana kita, Islam hilang kepercayaan. Kerana akhlak kita menyebabkan orang tidak suka pada Islam.
Kerana kita Islam maka perbaikilah diri kita sebagaimana yang dikehendaki Allah. Peraturan sudah ada bertindaklah mengikut keadilan.
Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mengarahkan tutup siasatan BPR terhadap dakwaan Musa menerima rasuah RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat, perlu dikaji.
Kata Ghani kertas siasatan itu dibuka setelah Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Nazree Mohamad mengemukakan satu surat aduan dan e-mail kepada BPR pada 27 April 2007 yang mengandungi antara lain tohmahan itu.
Sementara itu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kredibiliti Peguam Negara persis mee segera.
Abdul Gani segera membersihkan Musa dan Zulkifli dari tuduhan rasuah. Ini merupakan rekod baru dunia. Siasatan dan perlepasan segera. Kaedah menyiasat “kok persis gaya mee segera.”
Sewajarnya siasatan terhadap tuduhan berat seperti ini lebih teliti dan mengambil masa lama. Namun sepertimana yang dijangka, ia lebih merupakan episod menarik persis drama filem hindi yang melibatkan polis, pendakwa, dan hakim.
Dan tentunya media milik Umno. Sekalipun ada pendakwaan, ceriteranya akan selari dengan drama kes rasuah perwaja dan pembunuhan altantuya.Kata Anwar: “Apa lagi yang boleh kita harapkan dengan ’slogan anti-rasuah’ tajaan mereka?”
0 comments:
Catat Ulasan